RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Isnin, 30 September 2013

Misteri Pohon Sagu


MISTERI POHON SAGU


PASIR MAS, KELANTAN:  TIDAK sedikit orang yang terpedaya jika makhluk halus menjelma dalam wajah dan rupa bentuk seseorang, apatah lagi jika mangsanya ialah orang sering mengenali antara satu sama lain malah tinggal pula hampir berdekatan dengan kampung terbabit. Malahan lazimnya juga, mangsa gangguan berkenaan akan dialami oleh individu yang mudah berasa kasihan terhadap seseorang yang memerlukan pertolongan walaupun tidak dinafikan, dalam saat-saat tertentu mereka akan mudah lupa dan tidak mengetahui, merekalah mangsa yang dimaksudkan. Inilah permainan hebat yang dilakukan oleh makhluk halus. Syukurlah kejadian berkenaan tidak melibatkan nyawa kerana dalam banyak hal, mangsa akan menemui ajal setelah terpedaya dengan permintaan makhluk halus terbabit.

Membicarakan tentang makhluk halus berkenaan, sudah agak ramai mangsa yang terkena gangguan sedemikian, namun apabila diminta mereka tidak mahu mengaku dan menceritakan keadaan sebenar tentang pengalaman yang dialami akibat disakat dan diperdaya oleh makhluk ghaib itu.

Kejadian dan pengalaman yang dialami oleh Fauzi Awang Hamat, 50, atau lebih dikenali sebagai Puji Pauh dari Kampung Pohon Tanjung, Pasir Mas, Kelantan menggambarkan orang yang biasa melalui di kawasan kampung sendiri pun turut terpedaya dan diganggu, berbanding dengan mangsa-mangsa dari tempat lain tidaklah begitu terasa sangat dengan hakikat sedemikian.

“Kejadian ini berlaku pada tahun 2011. Saya sedang memandu kereta, dalam kereta ada dua orang rakan. Tiba-tiba kereta saya disekat di sebatang jalan berhampiran dengan jambatan dan pokok sagu itu pada pukul 4.00 pagi.

“Melihat dari jauh dua beranak berada di kawasan hutan apatah lagi salah seorang wanita itu menyerupai isteri arwah yang saya kenal bernama Mat Gagap, saya pun berhentikan kereta untuk menumpangkan mereka”, ujar Fauzi kepada Wartawan RELATIF ketika diminta menceritakan pengalamannya pada pagi itu bersama dua rakannya yang lain.

Laluan jambatan dan pokok sagu adalah jalan yang agak popular bagi pengguna-pengguna jalan raya dari Kampung Senor untuk ke mana-mana kampung di sekitarnya. Pokok sagu itu memang agak merimbun dan tumbuh subur, bagi yang sering melaluinya pada waktu malam, mereka sudah agak biasa di kawasan itu. Namun, bagi yang pertama kali melaluinya pastinya akan berasa seram, apatah lagi jika melaluinya ada pula dua makhluk yang ingin menumpang. Bagi yang tidak pernah berfikir tentang suasananya, tidaklah hairan sangat. Sebaliknya, jika di waktu berkenaan ada juga yang ingin menumpang, tentunya akan berasa kecut perut, gementar dan bulu roma pun mula meremang.

“Saya lihat wajah perempuan itu sebiji rupa isteri Mat Gagap, tanpa banyak soal, saya tumpangkan mereka berdua. Katanya, dia nak ke Kubur Raja. Perjalanan ke sana kira-kira lima minit saja. Saya pun hantarkan”, sambung Fauzi lagi.

Sementara di dalam kereta yang dipandunya itu terdiri daripada dua rakannya yang turut bersama pada hari kejadian. Beliau memberhentikan kereta itu, kerana menganggap tidak elok seorang wanita dan bayinya berada di kawasan hutan dan laluan sunyi pada waktu itu, lalu mempersilakan dua beranak itu masuk ke dalam keretanya untuk dihantar ke tempat yang dimaksudkan. Beliau diberitahu oleh makhluk itu bahawa dirinya adalah isteri Mat Gagap, seorang yang dikenalinya di kampung terbabit.

Dua beranak itu kemudiannya masuk ke dalam keretanya setelah dipelawa oleh Fauzi, di mana di dalam kereta berkenaan ialah dua rakannya. Setelah dapat duduk di dalam kereta berkenaan, dengan tiba-tiba wajah penumpang misteri itu mula berubah. Wajah isteri Mat Gagap tidak lagi dikenali apabila secara tiba-tiba saja muka makhluk tersebut menjadi hodoh yang bermata merah.

Apa lagi, akibat perubahan wajah makhluk yang menumpang pada pagi itu, dua rakannya yang turut bersama dengan makhluk berwajah hodoh itu pengsan serta-merta. Apabila Fauzi berpaling ke arah mereka berdua untuk bertanya tentang makhluk itu, kedua-duanya tidak menjawab dan dilihatnya sudah terbujur kaku dan tidak bergerak seolah-olah sekujur mayat.

Sambungnya, sewaktu dua rakannya pengsan dalam keretanya, beliau membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran juga tidak dapat menolak gangguan itu, sehinggalah makhluk halus itu dihantar ke tempat yang dimaksudkan, baharulah kejadian berkenaan selesai apabila makhluk berkenaan turun dari keretanya, makhluk itu kemudiannya ghaib serta-merta.

Dua rakannya yang pengsan itu kemudiannya dibawa olehnya ke rumah salah seorang warga emas yang agak arif dengan gangguan makhluk halus berkenaan bernama Hamzah. Kedua-duanya kemudiannya dipulihkan oleh Hamzah baharulah kedua-dua rakannya itu dapat pulih dan bercakap seperti biasa.

“Pada saya tidak lain kecuali makhluk halus. Orang-orang kampung menganggap perempuan tua dengan anaknya itu adalah jelmaan hantu yang menyerupai isteri arwah Mat Gagap, seorang yang amat dikenali di kampung berkenaan”, ujarnya apabila ditanya siapakah makhluk itu.

Katanya, kejadian berkenaan bukan sahaja dialami oleh beliau yang ditumpangi dua makhluk halus itu, tetapi turut dialami oleh penduduk dari Kampung Senor dan Kampung Pohon Tanjung dan kampung-kampung yang berdekatan. Kampung berkenaan memang agak hampir dengan jambatan dan pokok sagu itu.

Asalkan saja pemandu kenderaan melintas di kawasan pokok sagu dan kawasan jambatan terbabit, pastinya akan dapat melihat dua makhluk itu sedang menunggu di tepi jalan di kawasan itu. Bagi pemandu kenderaan yang melihatnya dalam keadaan kasihan, pasti mereka akan berhenti kenderaan serta-merta untuk memberikan bantuan tanpa menyedarinya makhluk itu adalah makhluk halus jelmaan seseorang yang sifatnya gemar berada di kawasan agak terpencil untuk memperdaya dan menakut-nakutkan seseorang yang lemah semangat.

“Selain itu, seorang pemandu lori dari Pulau Pinang yang membawa ayam hidup pun turut terkena gangguan yang agak berat apabila melalui pokok sagu itu. Saya dengar khabar, dia sudah meninggal, sebab apa saya tidak tahu”, ujar Fauzi lagi.

Kata Fauzi lagi, makhluk halus itu menumpang keretanya disebabkan cucu yang dibawanya bersama. Disebabkan arwah isteri Mat Gagap meninggal dalam kejadian nahas di Kuala Terengganu pada tahun 2011 menyebabkan makhluk halus itu mengambil kesempatan itu menjelma seperti wajah mangsa. Agaknya juga, rohnya dianggap tidak begitu tenteram kerana tiada siapa yang menguruskannya dengan sempurna kerana suaminya pun meninggal lebih awal darinya.

Fauzi Awang Hamat atau Puji Pauh.

Fauzi ketika ditemubual Wartawan RELATIF di sebuah gerai makanan berhampiran tempat kejadian.

Inilah pohon sagu, tempat beliau menumpangkan makhluk halus menaiki keretanya.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan