RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Selasa, 1 Oktober 2013

Misteri Rumah Sewa Mengusik


MISTERI RUMAH SEWA MENGUSIK

PASIR MAS, KELANTAN:  BUKAN sahaja kawasan perkuburan atau tempat keras yang menyebabkan seseorang lemah semangat takut untuk ke situ. Namun, kadang-kadang rumah yang dibina sebagai tempat penginapan yang dianggap selamat turut ditakuti oleh segelintir individu, apatah lagi jika rumah berkenaan dianggap mengusik. Misalnya rumah sewa, ada pemilik rumah yang enggan menceritakan kisah sebenar tentang sejarah rumah terbabit kepada penyewa baru. Natijahnya, penyewalah yang menjadi mangsa diganggu dengan pelbagai kejadian aneh, mistik dan penuh misteri.

Kejadian gangguan oleh makhluk halus ketika menetap di rumah-rumah sewa bukanlah hal asing, namun ada penyewa rumah berkenaan selamat daripada gangguan setelah mendudukinya pada malam pertama. Tetapi setelah masuk malam kedua, mereka mula perasan tentang beberapa bunyi aneh yang meremangkan bulu roma menyebabkan jantung berdebar dan perasaan mula gementar.

Pengalaman diusik oleh jelmaan makhluk halus lelaki di kawasan rumah sewa memang satu pengalaman yang mengerikan yang telah dialami oleh Azhar bin Ma’arif, 38, atau nama glamournya Zahar dari Kampung Pohon Buluh, Pasir Mas, Kelantan bersama dua rakannya yang lain ketika menetap di sebuah rumah sewa di Kampung Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan.

“Ketika kejadian itu, saya berusia 17 tahun. Saya menyewa di sebuah rumah di Kampung Nilam Puri, Kota Bharu kerana bekerja menanam tiang kabel.

“Rumah sewa itu pula terletak berhampiran dengan sebuah surau di mana pemiliknya bernama Shafie. Saya menetap di rumah itu seramai tiga orang”, ujarnya kepada Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi.

Katanya menambah, sudah agak ramai penyewa yang pernah menetap di situ diganggu makhluk halus di kawasan berkenaan. Akhirnya, mangsa gangguan itu berpindah ke rumah lain kerana tidak tahan dengan usikan dan gangguan makhluk ghaib di kawasan rumah terbabit. Mangsa yang pindah itu pula tidak pula menceritakannya kepada sesiapa tentang sebab dia berpindah dari rumah itu sehinggalah penyewa baru yang mengalaminya sendiri

Pada malam terbabit, Zahar bersama dua rakan sekerjanya tinggal di rumah sewa itu manakala sebahagian rakannya yang lain tinggal di sebuah rumah di Ketereh. Menurutnya, pada malam pertama tiada sebarang gangguan yang dialaminya. Tetapi apabila menjelang malam kedua, dia terdengar bunyi sesuatu berjalan dalam rumahnya itu dari satu bilik ke satu bilik.

Mendengarkan bunyi aneh yang tidak pernah didengarinya sebelum ini, dia memberanikan diri untuk melihat dengan lebih dekat apakah bunyi aneh itu, tetapi tiada sesuatu yang kedengaran. Pada ketika itu, dia memasang lampu hanya dalam rumah bagi tempat-tempat yang perlu saja dan memadam lampu di tempat yang tidak diperlukan.

“Disebabkan rasa tidak sedap hati, saya pasang kesemua lampu dalam rumah sewa itu pada malam kedua, kecuali di beranda saja. Jadi, rasa curiga selesai kerana tiada apa-apa yang berbunyi disebabkan semua kawasan rumah bercahaya dengan lampu”, katanya.

Tambahnya, apabila masuk malam ketiga pula, dia memasang kesemua lampu dalam rumah supaya kelihatan lebih terang tidak sebagaimana pada awal malam kedua. Setelah lampu dipasang pada malam ketiga itu, beliau bergegas ke beranda yang terletak di luar rumah. Alangkah terkejutnya, beliau melihat sebatang tubuh sedang bertenggek dalam samar-samar cahaya lampu di atas motosikal yang diparkir berhampiran dengan tangga rumah sewa itu. Disebabkan beliau dan dua rakannya terpandang ada susuk lembaga lelaki di kawasan rumah sewa terbabit, beliau pun memasang lampu di beranda pula menyebabkan jelmaan lembaga lelaki itu ghaib dari situ.

“Sebelum ini, saya dapat tahu, kejadian seumpama ini pernah dialami oleh rakan sekerjanya dari Tumpat. Dia memang tidak pernah menutup lampu. Setiap malam menjelang, dia akan memasang kesemua lampu sehinggalah di luar rumah menyebabkan suasana rumah sewa itu terang-benderang.

“Patutlah, pada hari pertama saya sampai di rumah sewa itu, saya singgah sekejap di warung kopi yang terletak berhampiran dengan rumah sewa itu. Ada seorang dua tanya saya tentang rumah sewa itu, mengusik atau tidak. Saya beritahu mereka, belum lagi mengalaminya kerana baru sampai di rumah itu”, sambung Zahar seterusnya.

Menurutnya, selepas dari kejadian beliau melihat dengan mata kepalanya sendiri tentang adanya makhluk halus di dalam rumah dan di kawasan rumah terbabit, beliau meminta taukenya supaya mencari rumah yang lain dan beliau tidak ingin menetap di rumah sewa itu lagi bimbang kejadian yang kedua yang dianggap lebih teruk dari itu berlaku di rumah berkenaan. Katanya, walaupun lelaki, tetapi kalau melibatkan makhluk halus kalau tidak kena gaya, walaupun tinggal tiga orang pasti mereka cabut lari.

Apabila ditanya tentang perasaannya apabila melihat jelmaan lembaga lelaki sedang bertenggek di atas motosikal yang diparkir di kawasan rumah sewanya itu, perasaannya hanya Allah sahaja yang tahu. Walaupun menetap di rumah sewa itu seramai tiga orang, namun bulu roma sentiasa meremang dan gementar setiap kali teringat peristiwa pada malam kedua itu sehingga hari ini masih lagi berlaku dan dianggap baru berlaku walaupun kejadian sedemikian telah lama berlaku.

“Pakaian yang dipakai oleh lembaga lelaki itu serba putih. Manakala kejadian berkenaan berlaku jam 2.00 pagi. Tiga malam saya dan rakan alami kejadian yang menakutkan itu iaitu malam pertama, makhluk lelaki itu berjalan dari bilik ke sebuah bilik dan malam ketiga itu beliau bersama dua rakannya dapat melihat jelmaan lembaga sedang bertenggek di atas motosikal yang diletakkan berhampiran dengan tangga rumahnya dengan jelas”, katanya.

Tambah Zahar, ketika hari pertama masuk ke rumah sewa itu beliau melihat sebuah bilik dikunci rapat oleh pemiliknya dengan kunci mangga. Beliau bertanya pemilik rumah sewa terbabit tentang adanya sebuah bilik yang dikunci sedemikian. Dengan mudah, pemilik rumah sewa itu memaklumkan sebuah dari bilik itu adalah tempat untuk menyimpan barang.

Kini, beliau dan dua rakannya itu tidak lagi menetap di rumah itu tetapi telah diizinkan oleh taukenya untuk berpindah ke rumah sewa yang lain untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Azhar bin Ma'arif atau Zahar.

Zahar ketika ditemubual Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi.
 
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan