HUTAN LIPUR JERAM LINANG
(MACHANG)
MACHANG, KELANTAN: JERAM LINANG
adalah sebuah kawasan hutan lipur, rekreasi dan air terjun yang dianggap malah
begitu terkenal di negeri Kelantan. Hutan ini dikatakan ditemui dan dibuka oleh moyang Paksu Mi (Paksu Mi adalah rakan Penulis yang kini menetap di Kota Bharu). Moyang beliau dianggap seorang yang berani dan salah seorang peneroka hutan yang disegani kerana dalam usia
berkenaan beliau sudah sanggup meredah hutan seorang diri semata-mata mencari
kawasan baru untuk dibuka dan diberikan nama.
Menurut ceritanya, Jeram Linang
pada ketika itu masih belum mempunyai nama malah dipenuhi hutan yang agak tebal. Hanya seseorang yang
berhati cekal sahaja yang berjaya ke situ. Setelah tiba di tempat berkenaan
beliau mula menghunus senjata sabit atau sadat (bentuk ladam kuda) yang sentiasa dibawanya
untuk menebang dan mencantas segala pokok yang menghalang laluannya.
Setelah sehari suntuk beliau berbuat demikian, kelihatanlah olehnya sebuah
jeram dan air terjun yang agak memukau di situ. Pada ketika itu, air terjun
yang dimaksudkan agak cantik dan terjunan air terjunnya agak tinggi dan kuat
tidak sebagaimana hari ini yang agak perlahan.
Setelah agak penat bekerja untuk
membersihkan kawasan laluan dan persekitaran air terjun dan jeram yang
dimaksudkan, beliau berehat beberapa ketika lalu menyandarkan belakangnya di
sebatang pokok sambil melipat dan membungkus rokok daun nipah berulamkan
tembakau lalu disedutnya perlahan-lahan. Sebatang sabit yang digunakannya untuk
mencantas pokok-pokok di kawasan air terjun dan jeram itu kemudiannya
dipacakkan di sebatang pokok yang dijadikan tempat belakangnya untuk bersandar
itu.
Disebabkan terlalu mesra, senang
dengan suasananya apatah lagi agak terlalu letih bekerja di kawasan terbabit,
beliau kemudianya tertidur di jeram itu. Apabila terbangun dari tidurnya, hari
sudah semakin gelap sehinggakan laluan tidak lagi kelihatan untuk pulang.
Akhirnya beliau membuat keputusan untuk bermalam di jeram itu seorang diri.
Hakikatnya, dari pengalaman beliau itulah, Jeram Linang diberikan nama kerana
terlalu asyik bersandar dan senang dengan suasananya sehinggakan membuatkan
beliau tertidur tanpa mendapat gangguan dari sesiapa.
Hutan Lipur Jeram Linang ini
terletak di kawasan Hutan Simpan Ulu Sat, dalam Jajahan Machang sebagaimana Hutan
Lipur Bukit Bakar yang juga tersohor di daerah berkenaan. Malah pada masa
dulu kawasan puncak Hutan Lipur Jeram Linang ini boleh dilalui sehingga ke
Hutan Lipur Bukit Bakar oleh kebanyakan pendaki dan para graduan universiti
yang menghabiskan cuti semester mereka. Malah Penulis pernah dimaklumkan,
sewaktu ketika dulu aktiviti penebangan kayu balak secara haram sering berlaku
dan laluan inilah yang sering digunakan oleh pembalak-pembalak haram itu untuk
menyeludup dan menyembunyikan aktiviti mereka supaya tidak dihidu oleh pihak
berkuasa perhutanan.
Hutan Lipur Jeram Linang ini
adalah kawasan jeram dan air terjun yang dianggap terawal dibangunkan sebagai
kawasan rekreasi kepada orang ramai di negeri Kelantan. Ia adalah air terjun
setinggi 12 meter, sehinggakan namanya dikenali umum. Menjadi tumpuan ramai
sebagai destinasi ideal untuk berkelah, berehat, berkhemah dan merentas hutan bukan sahaja dari kalangan warga tempatan tetapi juga turut dikunjungi oleh
penduduk-penduduk dari Pasir Puteh, Jerteh (Terengganu) dan dari luar Kelantan
sendiri. Ada
yang bermotosikal dan berkereta untuk ke hutan lipur ini semata-mata
mengharapkan ketenangan fikiran dan jauh dari kesibukan bunyi yang membosankan.
Jaraknya dari pusat bandar Kota Bharu kira-kira 65 kilometer, dari Pasir Puteh (melalui jalan Pasir Puteh - Machang) sejauh 10 kilometer dan dari Machang (melalui jalan Machang - Wakaf Linchong) sejauh 15 kilometer. Majlis Daerah Machang selaku Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyediakan banyak kemudahan seperti tempat
parkir kenderaan, surau, wakaf rehat, tandas awam (dikenakan caj 30 sen seorang), bilik persalinan, gerai
makanan dan restoran, tempat permainan kanak-kanak, chalet, kolam mandi untuk
kanak-kanak dan tapak perkhemahan kepada pengunjung yang gemarkan kepada
suasananya yang nyaman dan menyegarkan tatkala berkunjung ke hutan lipur ini.
Papan tanda dan kain rentang tentang arahan dan amaran juga turut dipasang
sebagai makluman awal kepada orang ramai dan pengunjung agar sentiasa
berwaspada ketika bersuka-ria dan mandi-manda.
Namun, walaupun banyak kemudahan
tidak dapat digunakan sepenuhnya seperti tandas awam yang mengalami masalah
bekalan air, bilik persalinan yang baru dibina sentiasa ditutup, tong sampah
yang sentiasa penuh dengan sampah tetapi tidak dikutip dan diselenggarakan
dengan sempurna malahan sikap pengunjung yang membuang sampah merata-rata juga
menjadikan hutan lipur ini hilang serinya. Sesuatu yang menariknya, seekor katak
raksasa turut ditemui di kawasan jeram berkenaan sebagai menandakan kawasan
berkenaan belum tercemar dan sesuai dihuni oleh pelbagai spesis haiwan.
Justeru, kalau setakat untuk
menikmati bunyi deruan air terjun, mandi dan menyelam di kawasan kolam yang
agak dalam, menikmati bunyi unggas dan panorama hutannya, anda tidak rugi untuk
berkunjung ke Hutan Lipur Jeram Linang. Ini kerana, apabila anda berada satu
jam di kawasan air terjun ini, segala masalah akan dapat dilupakan dan minda
akan kembali memperolehi kesegarannya apabila pulang setelah menikmatinya di
Hutan Lipur Jeram Linang, Machang, Kelantan.
Papan tanda di Wakaf Linchong.
Jambatan khusus dibina di atas sungai jeram.
Suasana di Jeram Linang.
Kolam mandi.
Kolam mandi kanak-kanak turut disediakan.
Air Terjun Jeram Linang.
Makhluk misteri (dalam bulatan) yang sempat dilihat oleh Wartawan RELATIF sedang memerhati pengunjung sedang mandi di kolam di bawahnya. Kolam ini agak dalam.
Di hujung jeram ini adalah kolam dalam sebagaimana yang dimaksudkan.
Keadaan jeram air terjun.
Sungai dan jeram air terjun.
Keadaan hutan yang segar dan belum terusik.
Spesis katak raksasa dalam habitat di Jeram Linang, sebagai petanda tiada berlaku pencemaran.
Gerai makanan turut disediakan.
Wakaf rehat.
Tandas awam (caj 30 sen seorang).
Tempat letak kenderaan.
Kain rentang dan papan tanda arahan dan amaran kepada pengunjung.
"Sila Datang Lagi".
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan