RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Jumaat, 20 September 2013

Misteri Rumah Mengusik


MISTERI RUMAH MENGUSIK

PASIR MAS, KELANTAN:  PADA tahun-tahun 1970 dulu, Kampung Penggu yang terletak dekat sini adalah kawasan hutan dan pokok penggu selain ditumbuhi lalang liar dan hutan buluh. Malahan kawasan ini juga pada masa itu dikatakan sebuah tempat atau medan perang tentera Jepun yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai markas mereka. Peperangan pihak terbabit dengan askar Melayu ketika itu menyebabkan mayat-mayat bergelimpangan di sana-sini malah akhirnya reput begitu sahaja.

Salah seorang penghuni di kawasan tapak rumah terbabit yang merupakan ibu tunggal, Siti Ramlah binti Yusoff, 55, atau Maksu Gayah yang menetap di rumah berkenaan sejak dari zaman arwah ibu bapanya sehingga beliau mendirikan rumahtangga bahkan suaminya meninggal tujuh tahun lalu ingin berkongsi cerita tentang pengalamannya menetap di kawasan itu.

“Ketika itu, maksu berusia 12 tahun. Maksu acap kali melihat kelibat lembaga yang sedang menunggang basikal melintasi hadapan rumah ini beberapa kali setiap kali malam menjelma”, ujar Siti Ramlah Yusoff yang membahasakan dirinya Maksu kepada Wartawan RELATIF berhubung pengalamannya menetap di kawasan yang dianggap mengusik itu.

Katanya, di zaman kanak-kanaknya, kawasan rumahnya kini ditumbuhi hutan dan pokok-pokok penggu yang begitu subur selain pokok buluh dan rimbunan lalang yang agak subur. Sesiapa yang melihat ke arah rumahnya itu pasti akan berasa seram untuk menggambarkan sebuah tempat yang menakutkan. Apatah lagi, pada masa itu tidak ramai yang menghuni di kawasan berkenaan dan jarak antara sebuah rumah dengan sebuah rumah yang lain juga agak jauh.

“Pada ketika itu, usia maksu 12 tahun, menuntut dalam tahun enam. Apabila menjelang jam 11.00 malam, maksu pastinya akan dapat melihat lembaga lelaki sedang menunggang basikal melalui hadapan rumah ini.

“Bunyi kayuhan basikal tua itu, maksu dapat mendengarnya dengan jelas, tetapi apabila maksu cuba ingin melihatnya di luar rumah, hanya lembaga itu saja yang kelihatan, sedangkan basikal yang ditunggangnya tidak kelihatan. Lantas, maksu berlari masuk ke dalam rumah”, jelas Siti Ramlah lagi.

Katanya menambah, bukan lembaga lelaki yang sedang menunggang basikal itu saja sering melalui hadapan rumahnya itu, bahkan lembaga yang berbungkus dikenali “pocong” juga tumpang sekaki dengan melompat-lompat melalui hadapan rumahnya beberapa kali. Selain itu katanya, arwah ibunya juga pernah memberitahunya bahawa tentang satu bunyi seperti pokok nibong yang tumbang merintangi laluan di hadapan rumahnya ketika itu. Pada hematnya, beliau percaya gangguan makhluk halus berkenaan disebabkan ada segelintir penduduk kampung berkenaan pada masa itu yang membela hantu raya dan anak kerak atas dasar peribadi.

Kediaman yang didudukinya kini ketika hayat ibunya, ibunya pernah memaklumkan kepadanya bahawa, tapak rumahnya sekarang adalah tanah perkuburan selain kawasan laluan dan markas tentera Jepun pada tahun 1941 dulu. Beliau percaya, kawasan tapak rumahnya sekarang ini pada ketika itu adalah kawasan lapang tempat Jepun menanam mayat atau menyembunyikan peluru dan senjata milik mereka ketika tercetusnya peperangan dengan askar-askar Melayu yang ingin membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan Jepun itu.

Tambah Siti Ramlah, ketika hayat ibunya yang memaklumkan tentang hal berkenaan, usianya ketika itu dalam lingkungan 46 tahun. Rumahnya sekarang pada ketika itu adalah sebuah rumah yang agak uzur sekadar berdindingkan papan sahaja. Manakala lantainya juga dibuat dari kayu dan papan, apabila semakin lama dan uzur menyebabkan kayu dan papannya akan reput. Katanya, pernah ada di antara anak-anaknya yang terjatuh ke bawah rumah berikutan lantai kayu dan papannya telah reput lalu patah.
 
“Pada masa itu, sememangnya usikan makhluk ghaib itu semakin menjadi-jadi mengganggu keluarga maksu, sehinggakan anak-anak maksu yang seramai 10 orang membuat keputusan tidak ingin lagi tinggal di rumah ini kerana tidak tahan dengan usikan sedemikian.

“Disebabkan itu, arwah suami maksu terpaksalah menggantikan papan dengan rumah simen dalam usaha untuk mengurang dan mengekang gangguan sedemikian. Namun, suami maksu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hasrat untuk menggantikan rumah papan yang uzur tidak kesampaian”, katanya dengan nada sedih.

Siti Ramlah berkata, gangguan makhluk halus berkenaan semakin menjadi-jadi. Di antara gangguan yang sering didengari oleh beliau dan anak-anaknya ialah bunyi plastik barangan seperti diramas-ramas berulang kali sedangkan apabila dilihat plastik itu tidak bergerak dari tempatnya. Melihatkan keadaan sedemikian, menyebabkan anak-anaknya sentiasa di dalam ketakutan, apatah lagi lembaga yang meramas plastik itu tidak pernah menjelma.

“Bunyi yang agak aneh itu bukan sahaja didengari oleh anak-anaknya, bahkan maksu sendiri turut mendengar bunyi tersebut sewaktu maksu bangun tidur terutamanya waktu tengah malam”, katanya.

Sambung Siti Ramlah, sering juga gangguan terbabit melibatkan jelmaan lembaga seorang wanita tua berpakaian kebaya putih (seolah-olah dalam usia 75 tahun) di mana di lehernya dililitkan dengan kain berwarna hijau berbintik-bintik di dalam rumah terbabit. Ketika itu beliau bangun pada tengah malam kira-kira jam 1.00 pagi untuk ke bilik air, dengan tiba-tiba lembaga wanita berambut panjang muncul di belakangnya. Pada ketika itu, beliau amat terkejut kerana kemunculannya agak pantas apatah lagi di waktu malam.

“Jelmaan wanita berambut panjang di belakang maksu pada pagi itu menyebabkan maksu terkaku seketika seperti dipegang oleh satu kuasa disebabkan terlalu terkejut.

“Syukurlah maksu teringat ayat Al-Qursi lalu maksu membacanya, lembaga wanita itu tiba-tiba ghaib serta-merta”, ujarnya.

Tambah Siti Ramlah, setakat kejadian sedemikian masih lagi berlaku terutamanya sewaktu beliau ingin masuk ke dalam bilik untuk melelapkan mata. Namun, gangguan berkenaan terbatas apabila beliau membaca ayat-ayat Qursi, selawat Nabi S.A.W. Tetapi apabila beliau bangun dari tidur terutamanya waktu larut malam kerana sebab-sebab tertentu misalnya untuk ke tandas, gangguan berkenaan bermula. Bahkan ketika hayat suaminya juga pernah mengalami gangguan lembaga wanita berambut panjangsebagaimana gangguan yang dialaminya, tetapi suaminya itu tidak pernah memaklumkan kepadanya sehinggalah beliau sendiri yang mengalaminya.
           
Menurut Siti Ramlah, awal menjelangnya waktu malam, beliau tidak pernah alami gangguan ketika waktu-waktu berkenaan. Tetapi setiap kali jam 1.00 pagi hingga 3.00 pagi, beliau sentiasa berwaspada kerana waktu berkenaan dianggap masa makhluk berkenaan beroperasi di rumah terbabit. Pada suatu masa, cucunya tidak ingin tinggal bersamanya kerana sering diganggu, akibatnya cucunya yang masih bayi akan sering menangis semahu-mahunya berikutan gangguan tersebut.

Apabila ditanya tentang anak-anaknya yang masih kanak-kanak jika terlalu gembira dan bersuka ria dengan gelak ketawa, adakah mereka diganggu. Siti Ramlah memberitahu, tiada gangguan tentang sedemikian. Mungkin juga, gangguan akan terhad kerana beliau sering membaca Al-Quran yang memungkinkan makhluk berkenaan takut dan cabut lari apabila mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran tersebut. Malahan, jika beliau tiada di rumah berkenaan, tentunya anak-anaknya tidak akan tinggal di situ walaupun mereka berdua atau bertiga.
 
Apabila ditanya tentang jiran-jiran pula, tidakkah mereka akan terdengar gangguan yang sering berlaku di rumahnya. Beliau menjelaskan, dari makluman jiran-jirannya memberitahu mereka tidak pernah mendengar bunyi gangguan apabila makhluk berkenaan datang. Sebaliknya, mereka akan sering terhidu bau seperti orang tua yang sedang mengunyah pinang.

Tambah Siti Ramlah lagi, disebabkan sering diganggu pada setiap kali jam 1.00 pagi, beliau kemudiannya mendapatkan khidmat pengamal rawatan alternatif dalam usaha untuk mengekang dan membendung gangguan di rumahnya itu. Pengamal terbabit sempat menjejak tempat tinggal makhluk terbabit yang terletak di belakang rumahnya. Amat jelas katanya, tapak rumah yang dihuninya sekarang pada masa dulu adalah kawasan Jepun berperang ketika cuba menjajah Tanah Melayu khususnya di Kelantan di mana pada masa itu kawasan tapak rumahnya kini adalah kawasan pokok lalang yang tumbuh subur selain sebuah tempat yang menakutkan.

Walau bagaimanapun, pengamal terbabit menyatakan disebabkan tapak berkenaan telah dibina penginapan dan ditutup di atasnya, jadi adalah terlalu sukar untuk mendapatkan barangan  yang tertanam di bawah tapak rumahnya kini. Namun, usaha pengamal terbabit telah dapat mengurangkan gangguan itu dan beliau tidak lagi berasa bimbang sebagaimana dulu.

Siti Ramlah binti Yusoff atau Maksu Gayah.

Maksu Gayah ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Inilah rumah Maksu Gayah yang dikatakan sering mengusik dari dulu sehingga hari ini.


Inilah laluan di hadapan rumahnya, lembaga lelaki sedang menunggang basikal.

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan