RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Sabtu, 21 September 2013

Cara Makan Berkesan


CARA MAKAN BERKESAN

KESIHATAN khususnya yang melibatkan tubuh badan manusia memerlukan makanan dan pemakanan yang terbaik dengan memilih sumber makanan yang kompleks, asli, bersih dan masih segar. Manakala makanan-makanan remeh yang boleh memudaratkan kesihatan perlu dijauhi.

Di samping itu, adab dalam mendapat dan memakan makanan yang diidamkan perlu juga diberikan perhatian oleh setiap individu. Walaupun makanan yang akan dinikmati itu adalah yang terbaik, namun seandainya adab memakan makanan tidak dipatuhi, penyakit-penyakit kronik juga boleh menyerang. Adab-adab tersebut dapat diterapkan kepada beberapa perkara iaitu:

1. Membaca “Bismillah” atau doa sebelum makan: “Ya Allah! Berilah keberkatan di dalam sesuatu yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami daripada siksa neraka”.

Disudahi dengan menyebut “Alhamdulillah” atau membaca doa selepas makan: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi kita makan dan minum dan telah menjadikan kita sebagai orang-orang Muslim”.

2. Makan dan minum atau memegang makanan dan minuman dengan menggunakan tangan kanan supaya lebih berkat. 

3. Makan tidak terlalu kenyang dan tidak berlebihan sebagai menguatkan tulang belakang.

4. Kunyah makanan perlahan-lahan supaya proses penghadaman lebih sempurna dan teratur. (Proses makanan ini memakan masa empat jam).

5. Elakkan tabiat bercakap semasa sedang makan.

6. Makan menurut masa yang ditetapkan.

7. Senaraikan diari menu anda dan makan menurut senarai tersebut. Elakkan menambah dan mengurangkan menu itu.

Di dalam Islam, telah diperuntukkan bahawa makanan merupakan suatu keperluan asas bagi setiap manusia. Manusia diharuskan mendapat makanan sebagaimana yang disukainya asalkan makanan-makanan tersebut bersih, tidak membahayakan kesihatan dan apabila memakannya tidak terlalu berlebihan. Hal ini amat jelas sebagaimana yang diterapkan di dalam Al-Quran. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

“Hai anak-anak Adam! Pakailah perhiasanmu setiap waktu sembahyang dan makan minumlah dan jangan melampaui batas, sesungguhnya Tuhan tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”. (Surah Al-‘Araf:  ayat 31)

Sebenarnya mengurangkan tabiat makan yang berlebihan dan melampaui batas adalah untuk menghindarkan masalah kegemukan yang sering dialami oleh segelintir umat-umat Islam hari ini. Islam hanya mengizinkan umat-umatnya bersederhana dalam menikmati makanan. Ini kerana, ukuran makanan yang sesuai untuk perut sebanyak satu pertiga, minuman satu pertiga dan pernafasan satu pertiga. Tujuannya adalah untuk menguatkan tulang belakang semata-mata serta menambah tenaga sebagai kekuatan untuk melaksanakan sesuatu tugas tertentu. Hal ini amat jelas di dalam sebuah hadis sebagaimana yang diberitakan daripada Abu Karimah, iaitu Al-Miqdad bin Ma’dikariba r.a, katanya: Saya mendengar Rasulullah S.A.W  bersabda bermaksud:

“Tidaklah seseorang memenuhi sesuatu wadah yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah sebenarnya seseorang itu makan beberapa suapan yang dapat mendirikan, menguatkan tulang rusuknya. Maka jikalau makanan itu harus diisikannya, maka sepertiga hendaklah untuk makanannya dan sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk pernafasannya”. (Hadis hasan sahih riwayat At-Tirmidzi)

Selain itu, seseorang itu dapat dikenali sama ada mereka seorang yang beriman atau seorang yang kafir melalui tabiat makannya. Kenyataan ini amat jelas sebagaimana yang digarapkan dalam sebuah hadis yang diberitakan dari Abu Hurairah r.a, katanya: Ada seorang laki-laki yang biasanya banyak makan. Setelah ia masuk Islam, makannya sedikit. Hal itu diceritakan orang kepada Rasulullah S.A.W. Baginda S.A.W  bersabda: “Orang yang beriman makan untuk satu perut. Orang yang kafir makan untuk tujuh perut”. (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Seorang ulama Islam terkenal dewasa ini, Profesor Dr. Yusof Al-Qardhawi di dalam bukunya "Halal dan Haram Dalam Islam" pernah menegaskan, dengan katanya:

“Setiap Muslim tidak diperkenankan untuk makan minum sesuatu yang dapat membunuh, lambat atau cepat, seperti racun dengan segala macamnya atau sesuatu yang membahayakan termasuk makan dan minum terlalu banyak yang menyebabkan sakit”.

Bagi menjaminkan seseorang individu khususnya di kalangan individu Muslim memperolehi kesihatan yang sempurna termasuk tentang perkembangan mental dan fizikal sepanjang hayat mereka, adalah wajar mereka mematuhi program diet dan pemakanan yang sihat dan tersusun.

Hal ini perlu disedari bahawa, suatu perkara yang menyebabkan seseorang itu kerap mendapat serangan penyakit bahkan yang lebih kronik, usia menjadi pendek dan membawa maut ekoran diet dan pemakanan kita yang tidak sempurna dan seimbang. Pemakanan yang tidak sempurna boleh menggugat kesihatan individu manusia dalam jangka masa yang panjang yang tidak disedari oleh kalangan manusia sendiri.

Sebaliknya mereka lupa bahawa mereka telah cuai dalam menjaga kesihatan sedangkan menjaga kesihatan itu adalah suatu amanah Allah S.W.T yang perlu dipertanggungjawabkan kepada setiap manusia, tentang bagaimana manusia mensia-siakan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada manusia. Dalam sebuah hadis ditegaskan tentang kecuaian manusia dalam menjaga kesihatan sebagaimana yang diberitakan dari Ibnu Abbas r.a, katanya: Rasulullah S.A.W  bersabda:

“Ada dua macam kenikmatan yang keduanya itu disia-siakan oleh sebahagian besar manusia, iaitu kesihatan dan kelapangan waktu”. (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Justeru, ingatlah ketika sihat pastinya manusia lalai tetapi apabila mereka diserang sakit oleh penyakit-penyakit kronik, ketika itulah mereka terbayang, alangkah baiknya jika mereka tidak sakit daripada menderita azab. Tetapi “nasi sudah menjadi bubur”, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya”.

 Berhati-hatilah dengan makanan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan