RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Ahad, 1 September 2013

Misteri Jelmaan Pontianak


MISTERI JELMAAN PONTIANAK

TUMPAT, KELANTAN:  TIDAK semua lelaki berkata berani terhadap makhluk halus, apatah lagi kebanyakan daripada mereka akan meminta supaya tidak menemui atau terserempak dengan makhluk terbabit terutamanya apabila keluar jalan-jalan pada waktu malam. Malahan ada yang pernah berkata, apabila terserempak juga mungkin mereka terkencing atau tidak dapat berbuat apa-apa untuk melarikan diri, seolah-olah kaku di tempat itu.

Begitulah halnya dengan Muhd. Azimin bin Khari, 32, yang dilahirkan di Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF apabila diminta menyatakan pendiriannya apabila terserempak makhluk halus terbabit.

Menurut Azimin, beliau mempunyai banyak cerita misteri berkaitan dengan makhluk halus kerana sifatnya yang suka berjalan pada waktu malam, terutamanya ke rumah rakan-rakan yang sebaya dengannya. Malahan rumah rakan-rakannya itu bukanlah dalam jarak yang dekat. Salah seorang rakan yang sering dikunjunginya pada waktu malam ialah di Kampung Tembesu, Tumpat, jarak kampung itu dengan kampung yang didiaminya juga agak jauh, sebab itulah beliau sentiasa ke sana dengan motosikalnya itu.

“Kejadian pertama yang masih segar dalam ingatan saya ialah ketika ke rumah rakan saya di Kampung Tembesu pada bulan Jun 2013 yang lalu. Saya pun dah lupa tarikhnya.

“Kejadian itu berlaku jam 1.30 pagi. Dalam perjalanan ke sana, tidak pernah berlaku kejadian usikan atau terserempak dengan makhluk ghaib itu. Tujuan kami ke sana adalah untuk bermain video game saja.

“Disebabkan terlalu bosan dan badan berasa sedikit rimas kerana agak terlalu lama bermain video game, saya berhenti seketika lalu menyandarkan badan ke dinding.

“Boleh jadi gatal tangan, saya mengeluarkan telefon bimbit jenama Sony Erricson (resolusi tinggi-HD), saja-saja merakam gambar sekitar dalam rumah ketika rakan saya itu sedang bermain sambil meniarap. Pada waktu itu, saya tidak ambil tahu sangat tentang gambar yang saya rakam itu.

“Selepas itu, saya membelek gambar yang saya rakam itu. Melihat gambar yang terakam cukup cantik dan jelas seperti makhluk berkebaya putih dengan wajah yang hitam dan hodoh sedang berkelana di hujung kaki rakan saya itu, saya ambil keputusan untuk pulang saja pada malam itu. Saya tidak maklumkan kepada rakan saya itu sebabnya kerana sebelum ini saya berjanji untuk bermalam di rumahnya pada malam itu”, cerita Azimin panjang lebar.

Memang agak jelas gambar yang dirakam secara suka-suka di rumah rakan akrabnya pada malam itu muncul objek makhluk berpakaian seperti baju kebaya putih tetapi berwajah hitam dan hodoh. Secara tiba-tiba pula tubuhnya menggigil dan berasa seram yang tidak dapat ditahan lagi. Kalau sebelum ini, beliau berharap tidak menemui makhluk ghaib di jalanan, tetapi dengan melihat gambar yang baru dirakamnya itu beliau sudah berasa seram yang amat sangat. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk pulang saja walaupun beliau pernah berjanji dengan rakannya yang tinggal di Kampung Tembesu untuk bermalam di rumah itu kerana untuk menghabiskan permainan video game.
           
Apabila ditanya tentang punca sehingga kemunculan makhluk halus sebagaimana gambar yang berjaya dirakamnya itu, dia tidak tahu tentang keadaan itu. Namun katanya, mungkin pada zaman dulu kawasan berkenaan menjadi tempat buang saka atau saka dari rumah terbabit. Namun katanya, kawasan rumah rakannya itu bukanlah kawasan hutan malah berkeadaan landai dan terbuka sementara di sekelilingnya pula terdiri daripada jiran tetangga.

Sementara itu, ditanya adakah rakannya itu mengetahui di kawasan dan sekitar rumahnya itu adalah kawasan makhluk halus? Beliau menafikannya, kerana mereka tidak mengetahuinya disebabkan mereka sendiri tidak nampak pun kelibat makhluk halus seumpama itu sebelum ini sehinggalah di hari kejadian itu. Cuma, ketika beliau merakam foto pada malam itu, beliaulah orang pertama yang melihat kemunculan dan jelmaan makhluk halus itu melalui telefon bimbitnya. Beliau tidak pernah memaklumkannya kepada sesiapa pada malam itu kecuali pada hari esoknya.

Katanya, pada mulanya beliau telah berjanji dengan rakannya yang menetap di Kampung Tembesu itu untuk bermalam di kampung itu. Tetapi apabila kejadian itu berlaku pada malam berkenaan, dia membatalkan niatnya untuk bermalam di rumah rakannya itu disebabkan diserang takut serta-merta. Apatah lagi, sejak awal lagi berharap beliau tidak terserempak dengan makhluk ghaib terbabit.

Menurut pandangannya, makhluk tersebut seperti pontianak. Beliau pernah menunjukkan foto yang dirakamnya pada malam itu kepada rakan-rakannya, memang pada mulanya rakan-rakannya itu tidak percaya dengan keadaan itu. Beliau juga pernah menunjukkan foto makhluk halus itu kepada bapanya. Bapanya beristighfar panjang. Mereka seolah-olah tergamam apabila melihat foto tersebut kerana rupanya amat jelas kecuali di bahagian mukanya agak gelap dan kehitaman.
 
“Saya sendiri pernah menunjukkan gambar itu kepada isteri saya. Tetapi isteri saya tidak ingin melihatnya”, ujar Azimin bapa kepada seorang anak lelaki itu.

Apabila ditanya tentang perasaannya apabila melihat rupa dan wajah makhluk halus dalam rakaman foto yang dibuatnya pada malam itu, beliau tidak lena tidur kerana teringat dan terbayang dengan wajah makhluk halus tersebut. Selama tiga hari beliau terbayang wajah tersebut yang kerap mengganggu waktu tidurnya.

Secara ikhlasnya, beliau memberitahu, beliau tidak ingin menyimpan gambar tersebut kerana sering terbayang wajah makhluk tersebut. Tambahnya, tempat kejadian itu agak kurang keras kerana sebelum ini beliau tidak pernah mendengar kejadian usikan dan hilaian makhluk berkenaan apatah lagi cuba berkeliaran di kawasan terbabit. Ini didasarkan kepada tidak pernah beliau mendengar orang-orang kampung terbabit membicarakan makhluk halus muncul di kampung itu.

Tambah Azimin lagi dengan tidak menolak, makhluk tersebut datang dari tempat lain tetapi mengekorinya pada malam tersebut sehingga terjadinya hal pada malam terbabit. Ini katanya, kemungkinan itu ada, sebagaimana yang difikirkannya.

Muhd. Azimin bin Khari.

Muhd. Azimin asyik menceritakan pengalaman misterinya kepada Wartawan RELATIF.

Lembaga pontianak (anak panah), gambar dirakam di rumah rakannya dan disumbangkan oleh Muhd. Azimin bin Khari.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan