MISTERI GADIS PONTIANAK
TUMPAT, KELANTAN: Jelmaan makhluk halus sering dialami oleh mangsa apabila mangsa dalam keadaan tertekan
dan lemah semangat. Hal yang sering berlaku dan dialami ialah di kalangan
pelajar dan graduan yang sedang dan akan menghadapi peperiksaan. Walaupun
kejadian berkenaan tidak pernah dialami ketika dalam bilik pembelajaran, namun
kejadian-kejadian gangguan misteri seumpamanya sering berlaku di asrama pelajar
terbabit. Malah kadang-kadang ada pelajar yang mengalami kejadian histeria
ketika mula-mula masuk ke pusat-pusat pembelajaran berkenaan. Apakah sebagai
memaklumkan kepada setiap pelajar baru supaya berhati-hati untuk mengingatkan
mereka bahawa makhluk halus ada di tempat itu?
Kejadian usikan dan gangguan
terhadap pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi seperti universiti, kolej dan
sebagainya bukanlah cerita dongengan. Ini kerana, kejadian ini pernah dialami
oleh salah seorang anak sulong Siti Mariam binti Mamat, 51, atau lebih dikenali
Kak Lah ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya di Kampung Menjual,
Tumpat, Kelantan ketika anak perempuannya itu menuntut di Kolej Matrikulasi Kuala Batas, Pulau Pinang.
“Kejadian ini berlaku ketika anak
akak sedang studi di asrama dengan kawan-kawannya kerana akan menghadapi
peperiksaan semester di kolejnya. Ketika itu, jam 1.00 pagi, semua kawan-kawannya
bersurai untuk masuk tidur kerana terlalu mengantuk.
“Anak sulong akak ni masih
meneruskan pembacaannya sampai selesai. Dengan tiba-tiba, seorang rakannya
meminta anak akak menemankannya ke tandas. Katanya, dia takut ke tandas seorang
diri.
“Jadi, tanpa berfikir hal yang
lain, anak akak akur dengan permintaan rakannya itu. Anak akak hanya tunggu di
luar tandas sahaja, sementara rakannya itu telah masuk ke dalam”, ujar Kak Lah.
Sambung Kak Lah lagi, anaknya
agak hairan juga kerana mendapati rakannya itu agak terlalu lama masuk ke tandas
terbabit. Dari luar tandas, anaknya bertanya adakah rakannya itu telah siap
atau belum, lalu dijawab oleh rakan anaknya itu yang sedang berada dalam tandas
ketika itu berkata bahawa beliau masih belum siap lagi. Keadaan demikian
menyebabkan timbul sesuatu yang agak ganjil dari dalam benak anak sulongnya
ketika itu, kerana terpaksa menunggu terlalu lama.
Disebabkan agak terlalu lama
menunggu rakannya di luar tandas, anak sulongnya itu membuat keputusan untuk
masuk ke tandas terbabit untuk tujuan melihat keadaan rakannya itu. Apabila
anak sulongnya itu masuk ke dalam tandas terbabit, didapati tiada seorang pun
di dalam tandas berkenaan termasuk rakan anaknya itu. Jadi, anak sulongnya itu
berfikir sejenak dengan kejadian misteri itu, adakah benar yang masuk ke tandas
itu rakannya atau siapa?
Menerangkan lebih lanjut tentang
kisah berkenaan, sebenarnya agak ramai juga rakan-rakannya yang sedang studi
bersama ketika itu. Tetapi apabila masing-masing terlalu mengantuk apatah lagi
jam telah mencecah sehingga larut malam iaitu 1.00 pagi, jadi masing-masing
ingin melelapkan mata kerana terlalu keletihan. Hanya anak sulongnya seorang
sahaja yang masih belum mengantuk dan ingin meneruskan studi itu kerana akan menghadapi
peperiksaan semester.
Apabila ditanya, tidakkah anak
sulongnya mengetahui bentuk fizikal makhluk yang menjelma sebagai rakannya,
anak sulongnya tidak memberitahunya. Beliau ada anaknya itu bahawa sesuatu yang
menzahirkan diri dalam rupa manusia apatah lagi dalam rupa rakannya itu
bukanlah rakannya yang sebenar tetapi jelmaan lembaga makhluk halus. Pada
hematnya, rupa bentuk lembaga terbabit hampir sama tinggi dan sebaya dengan
anaknya itu. Anaknya mungkin tidak terfikir ketika itu bahawa rakannya itu
adalah lembaga yang menyamar sebagai rakan yang menetap bersama di asramanya
ketika itu, jadi dia hanya turut sahaja sebagaimana yang diminta oleh rakannya
itu.
Menurut Kak Lah, disebabkan
terlalu lama menunggu rakannya masuk ke tandas, dia pun tidak puas hati lalu
menjenguknya ke dalam tandas. Didapati tiada siapa pun dalam tandas terbabit.
Akhirnya, timbul idea mungkin rakannya itu sudah masuk ke dalam bilik tidurnya.
Lalu dia pun menjenguk ke bilik tidur di asrama itu. Rupa-rupanya rakannya itu
telah tidur sejak jam 1.00 pagi itu lagi dan bukannya di tandas sebagaimana
yang pernah dialaminya ketika itu. Apabila timbul hal yang sedemikian,
baharulah dia terfikir siapa yang telah mengajaknya masuk ke tandas itu,
baharulah anak sulongnya itu perasan. Apabila timbul hal yang sedemikian,
mulalah hatinya berasa lain dan menggelabah.
“Setelah anak akak alami kejadian
itu, tiba-tiba dia berasa tidak sihat dan ketika itu juga anak akak jatuh demam
dan sakit kepala yang tidak dapat ditahan-tahan lagi sehingga berhari-hari.
“Ketika anak akak masuk ke kelas,
dia seperti tidak ada semangat untuk belajar kerana sering teringatkan tentang
kejadian dia ditegur lembaga perempuan yang menjelma seperti rakannya pada pagi
itu”, ujar Kak Lah apabila ditanya tentang perubahan fizikal anak sulongnya
apabila mengetahui yang disangka rakannya itu adalah jelmaan makhluk halus
seperti yang dialaminya.
Kak Lah menambah, kejadian
berkenaan dialami oleh anak sulongnya itu dalam tempoh sehari dua sahaja kerana
anaknya itu pernah disarankan oleh neneknya supaya mengamalkan “Surah Tiga Qul”
untuk menjauhkan gangguan jelmaan jin dan syaitan ketika bersendirian. Jadi,
hal berkenaan habis setakat itu sahaja dan anaknya kemudiannya berkeadaan
seperti sedia kala semula.
“Hanya sekali itu sahaja anak
akak yang alaminya ketika menuntut di kolej itu. Ini setahu akak, anak akak itu
memang seorang yang keras semangat dan tidak mudah mengalah kepada keadaan
apatah lagi yang melibatkan gangguan makhluk halus seperti itu.
“Jadi, jika berlaku untuk kali
keduanya, anak akak tidak melayaninya kerana pernah mengalaminya buat kali
pertama dulu.
“Justeru, apabila anak sulong menghubungi
akak selepas kejadian itu, dia beritahu memang dia lemah dan tidak sihat
disebabkan tekanan untuk menghadapi peperiksaan. Jadi, akak sempat berpesan
supaya jangan tinggalkan sembahyang, amalkan selalu membaca Surah Tiga Qul dan
Surah Yassin sebagai pembenteng diri”, katanya.
Menceritakannya lebih lanjut
tentang kejadian misteri di asrama kolej terbabit, kejadian yang hampir sama
sebagaimana yang dialami oleh anaknya di kolej tersebut hampir tiga kali
berlaku. Menurutnya, ada rakannya iaitu seorang pelajar lelaki yang memberitahunya,
ketika beliau bersendirian jam 10.00 malam untuk menelefon ibunya di kampung
dengan tiba-tiba ada lembaga menjelma di sebelahnya, jadi rakannya yang lelaki
itu memberitahunya bahawa dirinya ketika itu terlalu takut disebabkan dia hanya
seorang diri saja ketika itu.
Apabila ditanya, bentuk fizikal
lembaga tersebut, beliau memberitahu bahawa, lembaga tersebut seorang perempuan
yang berambut panjang malah berwajah hodoh dan dia agak mungkin pontianak jika melihat
rupa parasnya itu. Anaknya pun tidak mengetahui punca kejadian jelmaan itu
terhadap tapak kolej itu sebelum ini sama ada pernah berlaku kejadian bunuh
atau mati terbunuh, maklumlah di kawasan pembinaan, tentunya ramai warga asing
yang menetap di situ, sementelah pula kemungkinan juga wujudnya amalan khurafat
seperti “ilmu hitam” dan sebagainya.
“Cuma apa yang pernah didengari
oleh anak akak ialah semasa dia masuk ke kolej itu pernah berlaku kejadian
histeria yang dialami oleh tiga orang pelajar perempuan ketika itu. Sering
berlaku histeria ialah di kantin kolej tersebut” jelasnya.
Katanya, pelajar-pelajar
perempuan yang pernah alami kejadian histeria pada ketika itu kini tidak lagi
ambil kisah apabila berlaku kejadian yang seumpamanya selepas itu. Ini
disebabkan, pihak warden asrama segera bertindak apabila berlakunya pelajar
mengalami gangguan dari makhluk halus di kolej itu.
Manakala kejadian lain pula
sebagaimana yang dimaklumkan oleh anak sulongnya itu ialah, pernah berlaku beberapa
pelajar di kolej terbabit melihat kelibat lembaga yang melintas berhampiran
cermin tingkap asrama yang dihuni pelajar-pelajar perempuan terbabit dalam
keadaan mengilai. Malah kadang-kadang ada pelajar-pelajar yang berbual-bual
kosong yang diselang-selai dengan hilai ketawa, dengan tiba-tiba lembaga perempuan
itu melintas dan memotong hilai ketawa mereka seperti dalam keadaan seronok.
Jadi, ketika itu juga pelajar-pelajar terbabit pastinya akan perasan dan
mendengar hilaian lembaga terbabit. Akibatnya, mereka mendiamkan diri dan
menamatkan perbualan serta-merta.
Siti Mariam binti Mamat atau Kak Lah.
Kak Lah ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Foto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan