RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Sabtu, 10 Ogos 2013

Misteri Rumah Sewa Bermisteri


MISTERI RUMAH SEWA BERMISTERI

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Pada tahun 1970 dulu sebatang sebatang pokok celagi yang terletak di sebatang lorong yang dikenali Lorong Alabaladi, Jalan Kebakat dekat sini yang kini berhampiran dengan gelanggang futsal dikatakan sering menjadikan mangsanya gementar dan bertempiaran lari apabila makhluk halus yang menghuni di kawasan itu menyakat mangsa yang lalu lalang di situ. Mangsa yang disakat oleh makhluk halus itu menamakannya sebagai “hantu” disebabkan tidak kelihatan dengan mata kasar apabila cuba melihatnya.

Salah seorang anak jati kampung terbabit, Burahman Zakaria, 41, atau lebih dikenali sebagai Man berkata, ketika berlakunya hujan panas di sebelah petang yang turun di kawasan itu, pasti di sebelah malamnya ada orang yang menjadi mangsa disakat makhluk ghaib itu.

“Pada masa itu, sering berlaku mangsa disakat oleh makhluk ghaib yang melalui kawasan tersebut apabila hujan panas di turun di sebelah petangnya. Namun, mangsa tidak dapat melihat makhluk itu dengan mata kasar”, ujar Burahman ketika menceritakannya kepada Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi. 
     
Katanya, walaupun beliau tidak pernah melihat makhluk halus terbabit, namun dari apa yang diceritakan oleh mangsa amat jelas hantu tersebut memang wujud sejak dulu dan sering berkeliaran di kawasan terbabit pada malam hari. Malah beliau percaya, kawasan terbabit hingga ke kawasan gelanggang futsal itu adalah tempat tinggal asal makhluk yang digelarkan hantu itu. Bukan seorang dua yang pernah menjadi mangsa tetapi agak ramai juga terutamanya bagi yang suka menjadikan waktu malam sebagai aktiviti harian.

Selain itu menurut Burahman lagi, di kawasan rumah bapa saudaranya yang terletak di lorong terbabit terdapatnya pokok manggis yang pernah didakwa oleh orang-orang kampung terbabit terdapatnya “hantu beruk” (spesis monyet) atau orang-orang kampung memanggil hantu itu sebagai jelmaan hantu raya yang sering bertenggek di dahan pokok terbabit. Apabila tibanya musim buah, hantu beruk itu akan memetik buahnya lalu membaling ke arah orang yang lalu lalang dengan tujuan untuk menakut-nakutkan mangsanya.

“Sudah ramai mangsa yang dibaling oleh hantu beruk itu. Apabila dilihat, tidak ada makhluk di situ. Akhirnya mangsa lari lintang-pukang”, katanya.

Menurut Burahman, hantu beruk itu mengusik apabila menjelangnya waktu malam di antara jam 10.00 malam yang berakhir jam 4.00 pagi iaitu sebelum Subuh menjelma. Lazimya, setiap penyewa rumah yang lemah semangat pastinya akan sering diusik oleh lembaga yang menghuni di kawasan terbabit.

Kata Burahman, rumah bapa saudaranya yang pernah dijadikan sebagai rumah untuk disewa adalah sebuah rumah yang mengusik. Bukan sahaja berlaku di jalanan malah turut berlaku di persekitarannya, apatah lagi sering berlaku di dalam rumah berkenaan. Di antara usikan yang berlaku terutamanya di dalam rumah, jika ada gelas, gelas pasti akan terbang dengan sendiri, malah pernah terjadi terhadap seorang penyewa yang terlihat sekujur mayat, kadang-kadang berlaku kanak-kanak menangis. Kejadian ini pernah berlaku pada tahun 1970 dulu. Katanya, setiap kali penyewa masuk ke rumah itu, pastinya kejadian misteri itu berlaku seolah-olah tidak mengizinkan penyewa tinggal di dalam rumah itu.

“Biasanya, kebanyakan penyewa hanya kekal selama seminggu dan selepas itu terpaksa pindah kerana tidak tahan dengan gangguan di rumah tersebut.

“Kejadian berlaku ke atas seorang kontraktor berbangsa Cina yang bertugas untuk menyiapkan jalan baru dari bulatan Wakaf Baharu ke sebuah balai polis di situ perlu melalui jalan itu untuk dibaiki kerana mengalami kerosakan. Natijahnya kontraktor tersebut mendapat gangguan dari penghuni ghaib di kawasan tersebut”, jelas Burahman.

Setahu beliau, setakat ini kira-kira lapan keluarga yang menyewa di rumah tersebut mengalami kejadian misteri. Pernah terjadi gangguan terhadap keluarga seorang guru agama (ustaz) dari Terengganu apabila memasuki rumah sewa terbabit, anaknya mulai menjerit kerana dapat melihat lembaga yang menyeramkan dari dalam rumah tersebut.

“Abang kandung saya sendiri yang cuba tidur di rumah itu seorang diri pada suatu malam dengan tiba-tiba dilihatnya mayat bergelimpangan dengan banyaknya dalam rumah tersebut, berbanding dengan beliau yang belum pernah mengalami kejadian usikan sedemikian”, katanya ketika menceritakan pengalaman abangnya yang pernah tidur di rumah bapa saudaranya pada masa itu.

Menjelaskan tentang sejarah rumah itu, Burahman berkata, setahunya rumah tersebut pada masa dulu adalah tapak rumah asal tempat tentera Jepun memancung kepala pesalah, cuma itu sahaja yang pernah didengarinya pada masa itu dari orang tuanya termasuk beberapa penduduk kampung asal itu. Beliau pernah beberapa kali yang melintasi rumah berkenaan sering berderau bulu romanya tetapi belum pernah terlihat kelibat makhluk halus yang menghuni di dalam rumah terbabit.

"Arwah ibu pernah memberitahu saya, kadang kala beliau terdengar seperti ada orang yang bercakap-cakap dalam sebuah pasar besar. Tetapi apabila beliau mengamatinya tidak kelihatan pun kelibat orang yang bercakap itu”, katanya mengingatkan pengalaman arwah ibunya ketika itu.

Tambah Burahman, makhluk halus yang menghuni rumah tersebut akan menjelma dalam pelbagai rupa terutamanya dalam rupa binatang seperti beruk dan paling menakutkan ialah menjelma dalam bentuk mayat. Apabila ditanya tentang makhluk tersebut yang jika pada masa-masa tertentu menjelma dalam rupa manusia, beliau menjelaskan belum pernah mendengarnya dari orang tuanya. Namun, kejadian yang sering terjadi ialah didapati gelas dan pinggan mangkuk yang ada dalam rumah itu seperti terbang atau bergawangan di udara untuk menunjukkan makhluk halus itu ada dalam rumah tersebut.

Walau bagaimanapun menurut Burahman, tapak rumah tersebut kini telah ditukar menjadi tempat atau kedai pertukangan besi pula. Namun menurutnya, kejadian sedemikian hanya berlaku pada waktu malam sahaja tetapi tidak di siang hari. Malah kejadian tersebut hanya diperolehi sumber berkenaan dari keluarganya termasuk pengalaman penduduk-penduduk kampung dan mangsa yang pernah mengalaminya apabila melalui kawasan tersebut.

Malah katanya, pernah pekerja pertukangan besi memberitahu kepadanya bahawa, mereka sering mendengar bunyi seperti ketukan atau paluan untuk menunjukkan suatu bunyi aneh dari kawasan tapak kedai pertukangan besi itu. Namun, salah seorang pekerjanya mendakwa bunyi tersebut sekadar mainan tikus yang sering berkeliaran di kawasan terbabit.

Justeru, kejadian demikian hanya berlaku pada tahun 1970 dulu namun tidak lagi berlaku di zaman moden ini. Walaupun pernah didakwa kadang-kadang terdengar bunyi sesuatu yang agak misteri di rumah terbabit, namun percayalah kawasan tersebut kini telah dimajukan menjadi sebuah kedai pertukangan besi. Bunyi yang agak misteri di rumah tersebut hanyalah sekali sekala ketika makhluk berkenaan tersepit atau terkurung di kawasan yang dihuninya. 

Burahman bin Zakaria atau Man.

Burahman Zakaria (kiri) ketika ditemubual Wartawan RELATIF.


Lorong Alabaladi, Jalan Kebakat laluan kejadian misteri.

Inilah tempat kejadian rumah misteri itu (sebelah kanan). Sebelah kiri pula Lorong Alabaladi.


Inilah rumah misteri yang dimaksudkan. Kelihatan Burahman Zakaria sedang menunjukkan sebatang pokok celagi dan manggis yang menjadi tempat hantu beruk itu bertenggek.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH


Foto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan