RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Khamis, 1 Ogos 2013

Lagenda Puteri Mayang Mengurai


LAGENDA PUTERI MAYANG MENGURAI


PASIR PUTEH, KELANTAN:  BUKIT JAWA yang terletak di Kampung Bukit Jawa dalam daerah Pasir Puteh, Kelantan adalah sebuah bukit yang agak sarat dengan lagenda “Puteri Mayang Mengurai”. Apabila membicarakan kisah Puteri Mayang Mengurai, warga emas di kampung berkenaan pastinya sedia maklum tentang cerita berkenaan yang dikatakan melarikan diri dari niat raja-raja ketika itu yang ingin melihat dan menatap wajah puteri berkenaan yang dikatakan amat cantik dan paling menawan.

Ramai yang mendakwa, Puteri Mayang Mengurai adalah dari keturunan jin Islam yang bersahabat dan begitu akrab dengan kebanyaan raja-raja ketika itu. Puteri Mayang Mengurai ini pula adalah sepupu Puteri Sa’adong atau Puteri Maryam binti Raja Loyor yang merupakan anak angkat Cik Siti Wan Kembang.

Salah seorang warga emas, Wan Abdullah Wan Daud, 71, atau lebih dikenali dengan panggilan Wan yang merupakan anak jati Kampung Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh, Kelantan berkata, Puteri Mayang Mengurai menetap dalam gua Bukit Jawa sejak dulu kerana melarikan diri dari sultan lalu bersembunyi di dalam gua berkenaan.

“Puteri Mayang Mengurai adalah seorang puteri yang agak cantik, sebab itulah dia lari dan bersembunyi di gua itu.

“Bukan pria dari rakyat biasa saja yang terpesona dengan kejelitaannya, sultan dan raja juga menjadi tidak keruan jika terpandang wajahnya yang ayu”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya yang memperolehi cerita berkenaan dari salah seorang arwah penduduk asal yang tinggal berhampiran dengan Bukit Jawa itu.

Katanya, sikap terpuji Puteri Mayang Mengurai ialah sebagaimana Puteri Sa’adong juga yang suka menolong orang-orang kampung yang terlalu daif dan miskin ketika itu. Jika ada di kalangan penduduk kampung yang ingin melaksanakan kenduri kahwin, majlis bacaan doa dan sebagainya, maka mereka akan mendapatkan peralatan dan pinggan mangkuk milik Puteri Mayang Mengurai.

Walau bagaimanapun, Puteri Mayang Mengurai tidak pernah memperlihatkan rupa parasnya setiap kali ada di kalangan orang-orang kampung yang datang ke tempatnya untuk meminjam pinggan mangkuk dan peralatan kenduri lainnya. Mereka akan masuk ke dalam gua itu lalu mengambilnya sendiri.

“Ayahanda Puteri Mayang Mengurai adalah dari kalangan jin Islam. Disebabkan bimbang rahsianya bocor bahawa puteri itu menetap dalam gua di Bukit Jawa, Puteri Mayang Mengurai kemudiannya pindah ke Gunung Ayam (kini terletak dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan) untuk tinggal bersama dengan sepupunya Puteri Sa’adong ketika itu”, ujarnya.

Menurutnya, ketika Puteri Mayang Mengurai akan berpindah dari gua Bukit Jawa, pada sebelah malamnya keadaan bulan samar-samar (sekejap cerah dan sekejap malap), ketika itulah bunyi suara binatang dalam hutan dari sawah Kampung Cherang Rotan dan Pasir Puteh semakin jelas kedengaran. Beberapa keluarga yang menetap di kawasan itu pastinya mendengar bunyi riuh dan gegak gempita suara binatang sebagai petanda Puteri Mayang Mengurai akan berpindah meninggalkan tempat tinggalnya di Bukit Jawa itu.

Katanya, Puteri Mayang Mengurai itu menuju ke sebuah gua di Gunung Ayam (dulu dikenali sebagai Gunung Dang Besar atau Gunung Chinta Wangsa) yang terletak berhampiran dengan Gunung Stong dekat Dabong, Kuala Krai dan telah menetap di situ sehingga beliau meninggal dunia. Pada masa itu, bagi penduduk-penduduk kampung yang ingin melihat wajah Puteri Mayang Mengurai mereka dibenarkan berbuat demikian kononnya masyarakat di kampung berkenaan ketika itu apabila menyeru nama Puteri Mayang Mengurai, puteri berkenaan akan datang dan terus menjelma.

“Sesiapa saja terutamanya lelaki yang dapat melihat wajah Puteri Mayang Mengurai tentunya menjadi “gila” dengan kecantikan puteri itu. Apatah lagi ketika itu, semua putera-putera raja terpaksa mengadu kekuatan dan berperang setelah melihat wajah Puteri Mayang Mengurai seolah-olah memberikan gambaran puteri itu mempengaruhi fikiran raja-raja itu”, katanya.

Puteri Mayang Mengurai adalah sepupu Puteri Saadong dan nama berkenaan adalah sekadar panggilan atau gelaran yang diberikan oleh penduduk-penduduk kampung berkenaan ketika itu untuk menggambarkan rupa paras Puteri Mayang Mengurai yang cantik dan rambutnya yang mengurai sampai ke pinggang.

Tambah Wan lagi, Puteri Mayang Mengurai ini adalah anak kepada Cik Siti Wan Kembang yang merupakan pemerintah Kelantan ke-6 yang bertakhta di Gunung Dang Besar atau Gunung Chinta Wangsa (kini dipanggil Gunung Ayam). Dalam konteks ini, Puteri Mayang Mengurai dianggap adik kepada Puteri Sa’adong. Puteri Mayang Mengurai tinggal di gua Bukit Jawa dan selepas itu berangkat di Gunung Ayam kerana melarikan diri dari raja-raja dan lanun-lanun yang suka mengganggu ketika itu.

Katanya, perpindahan Puteri Mayang Mengurai itu bukanlah perpindahan secara alam nyata tetapi secara alam ghaib. Sebab itulah, perpindahan puteri berkenaan pada ketika itu tidak diketahui oleh sesiapa. Bahkan katanya, puteri terbabit sering juga datang ke Kota Bharu dan Pasir Puteh dari Gunung Ayam secara ghaib yang sememangnya tidak diketahui oleh sesiapa termasuk raja-raja dan lanun-lanun yang sentiasa menunggunya. Puteri Mayang Mengurai boleh datang dan pergi, namun puteri berkenaan sebenarnya mempunyai kenderaannya sendiri yang dikatakan berwarna gelap (biru kehitaman) yang boleh bergerak secara ghaib.

Menurut ceritera orang tua-tua zaman dulu, pada ketika itu raja-raja yang memerintah memang banyak cawangan dan tempat dan keturunan. Bahkan amat tersohor pada masa itu, kebanyakan raja-raja mendapatkan khidmat jin Islam sama ada dalam kehidupan berkeluarga dan dalam konteks pemerintahan dan secara tidak langsung apabila mereka berkahwin dan mempunyai anak-pinak, anak-anak berkenaan dari keturunan jin Islam terbabit. Katanya, dalam bentuk, corak pemerintahan dan kehidupan berkeluarga dua perkara utama yang terbabit dalam situasi ketika itu ialah hal manusia dan jin. Kedua-duanya yang mencorakkan kehidupan pada ketika itu amat rapat malah saling perlu-memerlukan di antara satu sama lain.

Jin Islam pada ketika itu dikatakan sering berkawan dengan raja-raja Melayu ketika itu sehingga boleh menuntut bela dalam konteks pemerintahan beraja. Misalnya, Cik Siti Wan Kembang dikatakan pernah berkawan dengan jin-jin Islam ini ketika zaman pemerintahannya. Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk mendapatkan khidmat secara ghaib pihak jin-jin Islam ini menurut Wan tentunya para raja berkenaan mempunyai ilmu khusus supaya jin-jin Islam berkenaan sentiasa berdamping dengan mereka. Berbanding di zaman sains dan teknologi ini tiada lagi manusia yang ingin berdamping dengan jin-jin berkenaan kerana masyarakat ini tidak mempercayai makhluk-makhluk berkenaan, apatah lagi dengan perkembangan Islam.

Selepas lebih 300 tahun Puteri Mayang Mengurai meninggalkan gua Bukit Jawa menuju ke Gunung Ayam, tempat Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Sa’adong bersemayam dan hidup di alamnya, pada tahun 2010 berlaku kejadian seorang lelaki tersesat ketika memasuki gua Bukit Jawa. Dikatakan, lelaki terbabit memasuki gua Bukit Jawa itu seorang diri dan apabila dia ingin melangkah keluar dari gua itu, dia tidak menemui jalan keluar seolah-olah jalan keluar tidak kelihatan di hadapannya. Dengan itu, dia seperti terkurung seorang diri di gua itu.

Walau bagaimanapun, mangsa berusaha sedaya upaya untuk meninggalkan gua itu sehingga hari beransur malam, namun jalan keluar yang diharapkan masih juga tidak kelihatan. Disebabkan terlalu letih mencari laluan keluar, beliau membaringkan diri untuk berehat seketika sehingga tertidur. Ketika berada di antara alam sedar dan tidak sedar, dia tidak pasti sama ada dia bermimpi atau sebaliknya kerana beliau dapat melihat dengan jelas wajah sebenar Puteri Mayang Mengurai itu.

Beberapa detik selepas itu pula, beliau seperti sedang memasuki dan berada di suatu hutan yang agak tebal. Dengan tiba-tiba semasa beliau melangkah di sebuah bongkah batu dalam gua terbabit, beliau dapat melihat seorang puteri yang amat cantik. Setelah diamati, beliau agak terkejut kerana puteri yang hadir ketika itu ialah Puteri Sa’adong dan setelah dilihat keseluruhan tempat itu, rupa-rupanya dia ketika itu sedang berada di Gunung Tebu (terletak di Besut, Terengganu). Ketika dia dapat melihat rupa paras Puteri Sa’adong itu, beliau telah berada dalam sebuah gua, mungkin itulah yang dikatakan gua di Batu Mat Hassan di mana di dalamnya seperti dunia asing yang agak luas seperti dunia luar.

Wan menambah, ketika mangsa berada dalam gua Gunung Tebu, beliau dapat melihat empat lorong dalam gua tersebut dan beliau tidak pasti lorong manakah yang dapat keluar nanti apabila melaluinya. Katanya lagi, keempat-empat gua seperti Gunung Tebu (Terengganu), Bukit Jawa (Pasir Puteh), Bukit Marak (Bachok), Gunung Ayam (Dabong, Kuala Krai) dan Gunung Stong (Dabong, Kuala Krai) adalah rangkaian laluan dalam tanah yang dikatakan dunianya luas lagi sunyi. Kalau kita berada di gua Bukit Jawa, satu laluan ke Bukit Marak dan satu laluan lagi ke Gunung Ayam dan Gunung Stong pula. Katanya, keempat-empat gua berkenaan boleh dimasuki kerana keadaan laluan dalam gua berkenaan agak luas dan cerah yang boleh dilalui, cuma tiada individu yang berani atau cuba membongkarnya.

Justeru kata Wan lagi, cerita berkenaan tamat setelah kemangkatan Sultan Ibrahim. Bahkan katanya, penduduk kampung ketika dalam zaman pemerintahan sultan berkenaan semua mengetahui tentang ceritera ini. Di antara raja-raja di zaman Sultan Ibrahim seperti Cik Siti Wan Kembang, Sultan Muhammad IV, Sultan Muhammad Mulut Merah dan Sultan Abdullah (suami Puteri Sa’adong).

Wan Abdullah Wan Daud.

Wan Abdullah Wan Daud ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Laluan di Kampung Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum..sy pelajar prauniversiti.sy perlu melakukan kajian sejarah bukit jawa.adakah tuan mempunyai info tentang pembukaan bukit jawa selain lagenda mayang mengurai

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum..sy pelajar prauniversiti.sy perlu melakukan kajian sejarah bukit jawa.adakah tuan mempunyai info tentang pembukaan bukit jawa selain lagenda mayang mengurai

    BalasPadam
    Balasan
    1. 7 tahun telah berlalu, tiada jawapan yg diberikan, adakah anda sudah graduate? Mesti anda sekarang sudah menjadi seorang pegawai kan.

      Padam