PERIGI DISANGKA TEROWONG
TUMPAT, KELANTAN: HEBOH satu
Malaysia pada tahun 2012 lalu kononnya ada pihak telah menemui terowong
yang dibina oleh pihak Jepun yang terletak di Kampung Sungai Nyior, Palekbang,
Tumpat, Kelantan. Disebabkan dakwaan itu, ramai pihak yang berkampung di
kampung terbabit semata-mata ingin melihat terowong yang sesetengah pihak
mendakwa terowong tersebut adalah laluan bawah tanah sehingga ke Tak Bai, Thailand.
Tidak kurang pula yang mendakwa, terowong itu mengandungi khazanah bumi yang
paling berharga, kalau tidak emas mungkin juga bijih besi. Malah tidak kurang
juga yang memberikan saranan supaya pengunjung ke situ perlu berhati-hati
kerana dibimbangi terdapatnya bom peninggalan zaman Jepun yang tidak meletup
tetapi masih aktif.
“Bukannya
terowong, tetapi perigi yang dibina oleh pihak Jepun menggunakan tenaga
pemuda-pemuda Melayu dari kampung ini”, katanya.
Tambahnya,
salah satu punca empat buah perigi itu digali di kawasan itu disebabkan sejak
awal lagi pihak Jepun telah pun membina penginapan (berek) pekerja di mana
kesan tapak penginapan terbabit masih lagi wujud sehingga hari ini. Beliau
mengetahui cerita ini disebabkan, ketika Jepun menjadikan kawasan berkenaan
sebagai penginapan pekerja, beliau ketika itu masih kanak-kanak dalam
lingkungan usia kira-kira 6 tahun yang menjadi penjaja kuih-kuih tradisional
Kelantan kepada pihak Jepun.
Menurutnya
lagi, di kawasan lapang berhampiran dengan perigi yang didakwa terowong itu
adalah tempat longgokan bijih besi yang didatangkan dari lombong Bukit Besi
yang terletak di Kampung Temangan Lama (kini Kampung Bukit Besi) dalam daerah
Machang. Katanya, pembinaan perigi amat perlu bagi pihak Jepun untuk
mendapatkan bekalan air yang disalurkan dari Sungai Palekbang. Adalah amat
mustahil bekalan air dperolehi terus dari sungai berkenaan kerana dianggap
jauh, justeru dengan pembinaan perigi tersebut dapatlah bekalan air diperolehi
dengan mudah.
Pak
Nor menambah, selain itu kampung itu juga amat tersohor di zaman Jepun apabila
diwujudkan bengkel membaikpulih keretapi. Ini katanya, apabila keretapi
mengalami kerosakan, akan dibawa ke tempat itu. Justeru, penggunaan air yang
banyak amat diperlukan untuk tujuan mencuci peralatan yang kotor dan tercemar.
Sebuah perigi besar selain tiga perigi lain di kawasan yang sama masih wujud
sehingga hari ini yang terletak berhampiran dengan kediaman Pak Nor.
“Kawasan
simpanan bijih besi di kawasan lapang itu dikenali sebagai “Pinako” dan boleh
jadi juga dianggap sebagai bengkel keretapi Jepun”, katanya menambah.
Selepas
beberapa dekad lamanya bijih besi yang dilonggok dan disimpan di kawasan lapang
di kampung itu sehingga ketinggiannya mencecah pokok kelapa, akhirnya bijih
besi yang dimaksudkan itu terus dibawa ke tempat memproses dan mencairkannya
yang terletak di Jubakar Pantai untuk dibawa terus ke Negara Matahari Terbit itu,
akhirnya kawasan lapang itu menjadi kosong.
“Perigi
itu digali sebagai sumber air minuman pekerja-pekerja dan untuk bekalan ke
penginapan pekerja itu. Jika perigi tidak disediakan, bagaimana bekalan air
bersih dapat diambil?” ujarnya.
Kata
Pak Nor, kesan pejabat atau bengkel membaikpulih keretapi tidak lagi wujud hari
ini. Namun, tapak bangunan dan berek pekerja masih ada kesannya yang terletak
berhampiran dengan perigi kedua, ketiga dan keempat. Manakala sebuah lagi perigi
sebagai tempat mengisi minyak atau tapak minyak keretapi itu pula terletak
berhampiran dengan Balai Polis Tumpat itu.
Pak
Nor menambah, Jepun tidak mempunyai masa untuk membina terowong kalau
berdasarkan kepada kelengkapan mereka di negara ini, berbanding di negara
mereka. Katanya, Jepun hanya mampu menggali perigi itu lalu memasang beberapa
batang paip dari Sungai Palekbang untuk digunakan di kawasan berkenaan
(menyedut air sungai ke dalam perigi tersebut) sebagai “lubang nafas”.
Menurutnya
lagi, ketika serangan Jepun di kampung terbabit, banyak bom digugurkan oleh tentera
udara Jepun. Namun, sebiji bom yang digugurkan ketika itu menyebabkan landasan
keretapi musnah. Malah didakwa dua biji bom yang digugurkan di kawasan sekitar
Kampung Sungai Nyior itu didapati tidak meletup dan bom itu kemudiannya ditemui
oleh beberapa penduduk dari kampung terbabit. Namun, dua bom itu kemudiannya
diletupkan oleh pihak British setelah dilaporkan oleh penduduk-penduduk kampung
kepada tentera British selepas pihak berkenaan
mengambil alih dari tangan Jepun yang telah menyerah kalah pada tahun 1945.
Justeru,
jelaslah empat buah perigi yang terdapat di Kampung Sungai Nyior, Palekbang,
Tumpat, Kelantan dan sebuah lagi di Tumpat bukanlah terowong sebagai laluan
bawah tanah pihak Jepun. Sifat terowong sebenar ialah mendatar atau memanjang
malah mempunyai tangga di dalamnya jika ia dibina secara menegak. Penulis
difahamkan, dua daerah di negeri ini yang didakwa mempunyai terowong terletak
di Kampung Bukit Besi (Temangan Lama, Machang) dan di Batu Melintang, Jeli,
Kelantan.
Mohd. Nor bin Awang atau Pak Nor.
Pak Nor ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Perigi terawal dibina pihak Jepun di laluan ke kediaman Pak Nor.
Inilah perigi yang didakwa sebagai terowong.
Perigi ini terletak berdekatan dengan penginapan (berek) pekerja.
Tapak asal penginapan (berek) pekerja masih kekal sehingga hari ini.
Bijih besi dari Kampung Temangan Lama, Machang dilonggokkan di sini.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan