RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Selasa, 10 September 2013

Mangsa Buatan Orang


MANGSA BUATAN ORANG


WAKAF BAHARU, KELANTAN:  DIA tidak mengalami masalah kesakitan, darah juga tidak menitis malah keadaan tubuh badannya dalam keadaan sihat ketika terjun dari tingkat empat bangunan kediaman tempatnya bekerja sebagai buruh binaan di Klang, Selangor beberapa tahun lalu. Ketika dia terjun dari bangunan itu pun, fikirannya seperti dirasuk malah beliau dikejar dengan keras oleh makhluk halus ketika membuka pintu rumahnya setelah anak telinganya dapat mendengar bunyi pintu utama diketuk agak kasar sedangkan rakan-rakannya yang lain tidak mendengarnya dan enggan membuka pintu tersebut walaupun diminta berulang kali supaya berbuat demikian.

Disebabkan rakan-rakannya tidak mempedulikan permintaannya itu beliau bingkas dari tempat duduknya lalu membukanya. Apabila pintu itu terbuka, dengan tiba-tiba beliau dirempuh oleh objek yang tidak kelihatan (ghaib) secara agak keras dan keras. Tidak habis setakat rempuhan itu saja, beliau juga dikejar oleh makhluk halus terbabit sehinggakan beliau terpaksa melarikan diri ke tingkat empat bangunan berkenaan kerana ketakutan lalu terjun untuk melarikan diri dari dikejar makhluk terbabit.

Ketika terjun dari tingkat empat bangunan berkenaan, dia tidak ingat apa-apa. Sedar sahaja dari koma lebih sebulan lamanya itu, beliau dapati berada di salah sebuah hospital yang terletak di Klang, Selangor sehinggakan pihak hospital terbabit memintanya untuk memasukkan besi bagi memudahkannya berjalan, namun dibantah oleh ibunya malah ingin membawanya pulang.

Ketika diminta untuk menceritakan punca dan masalah yang dihadapi oleh anaknya, Mahadi Mohamed Nor, 34, ibunya Limah binti Ali, 72, atau Limah dari Kampung Kebakat, Wakaf Baharu, Kelantan seolah-olah ingin menitiskan air mata mengenangkan nasib malang yang menimpa anaknya itu. Katanya, begitulah nasib anak yang baik sering diperlakukan secara yang tidak rasional oleh rakan-rakannya sendiri ketika bekerja sebagai buruh binaan di Klang, Selangor.

Katanya, ketika anaknya itu bekerja sebagai buruh binaan di Klang, Selangor anaknya sering mengirimkannya wang kepadanya untuk perbelanjaan harian. Menurutnya, pada suatu hari, anaknya itu menghubunginya di kampung yang bertanya adakah ibunya mempunyai wang sebanyak RM3,000 kerana beliau berhasrat untuk membayar wang pendahuluan bagi membeli sebuah kenderaan. Pembelian kenderaan itu adalah bagi memudahkannya pergi dan pulang ke kampung. Dengan senang hati beliau memaklumkan kepada anaknya itu, wang sebanyak yang diminta akan dikirimkannya dengan segera.

“Dia ada menghubungi makcik supaya menghantarkan wang sebanyak RM3,000 kerana dia ingin membayar pendahuluan sebuah kenderaan. Katanya, kereta itu digunakan untuk memudahkannya pergi dan balik.

“Tetapi malangnya, apabila dia menerima wang tersebut, ramai rakannya yang ingin meminjamnya, tetapi ditolak oleh Mahadi”, ujar Limah kepada Wartawan RELATIF.

Sambung Limah, pada mulanya, Mahadi memberitahu rakan-rakannya, bahawa wang yang dikirimkan oleh ibunya itu adalah untuk membayar wang pendahuluan kenderaan dan kalau diketahui oleh ibunya wang tersebut hilang, tentunya dia akan dimarahi oleh ibunya dengan teruk. Tetapi rakan-rakannya memberitahu bahawa mereka hanya ingin meminjamnya hanya beberapa hari sahaja dan akan menggantikannya kembali.

Jadi, bermula dari detik inilah wang yang dipinjam oleh rakan-rakannya itu tidak diganti, malah Mahadi pula menerima nasib malang apabila beliau dikatakan disantau oleh rakan-rakannya sendiri. Kebetulan pula, Mahadi sedang menyewa dengan salah seorang anggota polis dari Pasir Mas, Kelantan di bahagian bawah rumah berkenaan telah memaklumkan hal itu kepada ibu Mahadi bahawa keadaan Mahadi amat tidak masuk akal, kerana sering termenung memikirkan suatu hal yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.

Melihat keadaan itu, rakannya seorang anggota polisnya itu meminta Mahadi supaya berehat dan tidur kerana didapatinya Mahadi tidak mempunyai tidur yang secukupnya. Ketika itu jugalah, Mahadi menyumpah rakannya itu dengan kata-kata kesat menyebabkan rakannya itu agak terkejut, juga suatu hal yang tidak pernah dilafazkannya sebelum ini. Perubahan yang dialami oleh Mahadi amat ketara dan Mahadi dilihatnya begitu bengis dengannya ketika itu. Menurut Limah, beliau syak bahawa ketika itu Mahadi telah disantau dari jarak jauh, jika tidak Mahadi tidak akan bersikap sedemikian.

Beberapa minit kemudiannya, Mahadi dan rakannya seorang anggota polis itu menerima beberapa orang tetamu yang juga rakan Mahadi yang mengajaknya untuk minum-minum di sebuah gerai berhampiran. Ketika itu keadaan Mahadi boleh berjalan seperti biasa dan keadaan fizikal minda dan tubuhnya masih dalam keadaan sihat. Limah menaruh sesuatu yang tidak senang apabila beliau dihubungi, Mahadi diajak oleh rakan-rakannya untuk minum bersama di mana sebelum itu Mahadi berkeras tidak ingin meminjamkan wangnya itu kepada rakan-rakannya itu.

Ketika Mahadi diajak minum oleh rakan-rakannya itulah beliau pasti ada di antara rakan-rakannya yang berniat serong kerana kecewa terhadap Mahadi disebabkan enggan meminjamkan wangnya kepada mereka lalu mencampurkan air minumnya dengan bahan-bahan tertentu di sebuah gerai minum. Katanya, selepas Mahadi meneguk air minumnya itu sehingga habis, Mahadi masih dalam keadaan separuh sedar dan ketika itulah wang yang ada di tangan Mahadi dikebas oleh rakan-rakannya itu secara ganas.

"Makcik percaya, mereka melakukan hal yang sedemikian kerana ingin membalas dendam disebabkan anak makcik enggan meminjamkan wang tersebut kepada mereka.

"Dengan niat dan cara yang serong itulah, anak makcik menyerahkan wang tersebut kepada mereka secara tidak sedar. Malah sehingga hari ini, wang anak makcik itu tidak diganti atau dikembalikan oleh mereka", katanya dengan nada sebak.

Apabila ditanya kepada Mahadi, dia tidak sedar dan tidak dapat mengingati siapakah yang mengambil wang tersebut. Bahkan menurut Mahadi lagi, dia tidak ingin menuduh bahawa beliau disantau oleh seseorang. Tetapi menurut ibunya Limah, kalau Mahadi tidak dikhianati oleh rakan-rakannya, Mahadi tidak akan berkeadaan sedemikian kerana sebelum ini Mahadi dalam keadaan sihat dan boleh berjalan seperti biasa.

Sambung Limah lagi, beberapa jam selepas Mahadi selesai meneguk air minumnya itu, dia berbual-bual dengan rakan-rakannya itu dalam rumah terbabit. Dengan tiba-tiba Mahadi terdengar ketukan pintu dari luar rumahnya. Mahadi dengan nada geram meminta salah seorang rakannya supaya membuka pintu rumah terbabit, sedangkan rakan-rakannya yang lain tidak mendengar bunyi ketukan pintu tersebut. Mahadi memaksa rakannya itu membuka pintu tersebut berulang kali. Namun rakan-rakannya itu tidak mempedulikan desakan Mahadi supaya membuka pintu tersebut sebab rakan-rakannya itu tidak mendengar apa-apa ketukan sebagaimana yang dinyatakan oleh Mahadi.

"Mahadi memberitahu makcik, dia ada mendengar bunyi pintu diketuk kuat. Dia meminta rakannya membukanya, tetapi rakannya tidak mempedulikannya sebab mereka tidak mendengarnya", ujarnya.

Disebabkan hal berkenaan, Mahadi bingkas bangun dari tempat duduknya lantas membuka pintu rumah itu sendiri. Apabila terbuka sahaja pintu berkenaan, dengan tiba-tiba Mahadi dapat merasai satu rempuhan kasar yang ke arahnya. Melihatkan keadaan itu, Mahadi melarikan diri dari dirempuh atau dikejar oleh makhluk ghaib yang diistilahkan sebagai jin hantaran itu. Ketika dalam keadaan melarikan diri itu dari dikejar makhluk halus yang agak bengis itu, Mahadi meminta rakannya mengambil sebilah pisau untuk membunuh makhluk halus itu.

Apabila dilihat oleh rakan yang sebilik dengan Mahadi bahawa Mahadi dalam keadaan yang seolah-olah oleh dirasuk sesuatu seolah-olah Mahadi dalam keadaan ingin membunuh diri, rakannya itu meminta yang lain supaya menyelamatkannya. Tetapi tidak sempat dikejar oleh rakan-rakannya itu apabila dengan lajunya Mahadi berlari ke arah tingkat empat lalu terjun dari tingkat itu dengan pantas.

Disebabkan fikirannya telah diganggu oleh makhluk halus yang cuba mengejarnya itulah menyebabkan Mahadi terjun dari tingkat empat itu ke bawah lalu terdampar di atas tanah rata yang masih belum ditarkan lagi. Katanya, Mahadi memang telah dipegang oleh rakan-rakannya itu sebanyak tiga kali apabila berkesempatan menggapainya, namun terlucut disebabkan lariannya agak laju dan pantas. Pada ketika itu, Mahadi tidak lagi dapat berfikir apakah tindakan yang telah dilakukannya ketika itu apabila beliau sedar dari koma itu, beliau telah berada di wad di salah sebuah hospital di kawasan yang sama.

Pihak doktor pernah menyarankan supaya pinggul Mahadi yang mengalami masalah berkenaan dimasukkan besi, namun Limah membantahnya dengan meminta supaya Mahadi dibawa pulang. Pihak doktor terbabit tidak berbuat apa-apa kecuali akur dengan keputusan Limah. Akhirnya Mahadi dibawa pulang. Mulai dari tarikh malang tersebut sehingga hari ini, Mahadi hanya mampu berbaring dan meniarap di tempat tidurnya. Apabila beliau hendak buang air besar, hanya ibunya yang terpaksa membantu dengan menariknya ke sebuah tandas yang dibina bersebelahan tempat tidurnya.

Mengingati peristiwa itu katanya, Mahadi seorang anak yang baik, sering mengirimkan wang untuk perbelanjaan hariannya. Cuma satu perkara menurutnya yang tidak berasa hati apabila anaknya itu berselera untuk makan berbanding dengan hal-hal fizikal yang lain. Jika anaknya itu tidak berselera, tentunya beliau berasa susah hati kerana Mahadilah anak harapannya yang sentiasa mengingatinya ketika anaknya itu pernah bekerja jauh dari keluarga dan kampung halaman semata-mata untuk mencari rezeki untuk mereka.

Limah binti Ali atau dikenali Limah.

Limah ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Hanya mampu dilakukan oleh Mahadi ialah berbaring dan meniarap di tempat tidurnya.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Foto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan