RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Isnin, 30 September 2013

Misteri Pohon Sagu


MISTERI POHON SAGU


PASIR MAS, KELANTAN:  TIDAK sedikit orang yang terpedaya jika makhluk halus menjelma dalam wajah dan rupa bentuk seseorang, apatah lagi jika mangsanya ialah orang sering mengenali antara satu sama lain malah tinggal pula hampir berdekatan dengan kampung terbabit. Malahan lazimnya juga, mangsa gangguan berkenaan akan dialami oleh individu yang mudah berasa kasihan terhadap seseorang yang memerlukan pertolongan walaupun tidak dinafikan, dalam saat-saat tertentu mereka akan mudah lupa dan tidak mengetahui, merekalah mangsa yang dimaksudkan. Inilah permainan hebat yang dilakukan oleh makhluk halus. Syukurlah kejadian berkenaan tidak melibatkan nyawa kerana dalam banyak hal, mangsa akan menemui ajal setelah terpedaya dengan permintaan makhluk halus terbabit.

Membicarakan tentang makhluk halus berkenaan, sudah agak ramai mangsa yang terkena gangguan sedemikian, namun apabila diminta mereka tidak mahu mengaku dan menceritakan keadaan sebenar tentang pengalaman yang dialami akibat disakat dan diperdaya oleh makhluk ghaib itu.

Kejadian dan pengalaman yang dialami oleh Fauzi Awang Hamat, 50, atau lebih dikenali sebagai Puji Pauh dari Kampung Pohon Tanjung, Pasir Mas, Kelantan menggambarkan orang yang biasa melalui di kawasan kampung sendiri pun turut terpedaya dan diganggu, berbanding dengan mangsa-mangsa dari tempat lain tidaklah begitu terasa sangat dengan hakikat sedemikian.

“Kejadian ini berlaku pada tahun 2011. Saya sedang memandu kereta, dalam kereta ada dua orang rakan. Tiba-tiba kereta saya disekat di sebatang jalan berhampiran dengan jambatan dan pokok sagu itu pada pukul 4.00 pagi.

“Melihat dari jauh dua beranak berada di kawasan hutan apatah lagi salah seorang wanita itu menyerupai isteri arwah yang saya kenal bernama Mat Gagap, saya pun berhentikan kereta untuk menumpangkan mereka”, ujar Fauzi kepada Wartawan RELATIF ketika diminta menceritakan pengalamannya pada pagi itu bersama dua rakannya yang lain.

Laluan jambatan dan pokok sagu adalah jalan yang agak popular bagi pengguna-pengguna jalan raya dari Kampung Senor untuk ke mana-mana kampung di sekitarnya. Pokok sagu itu memang agak merimbun dan tumbuh subur, bagi yang sering melaluinya pada waktu malam, mereka sudah agak biasa di kawasan itu. Namun, bagi yang pertama kali melaluinya pastinya akan berasa seram, apatah lagi jika melaluinya ada pula dua makhluk yang ingin menumpang. Bagi yang tidak pernah berfikir tentang suasananya, tidaklah hairan sangat. Sebaliknya, jika di waktu berkenaan ada juga yang ingin menumpang, tentunya akan berasa kecut perut, gementar dan bulu roma pun mula meremang.

“Saya lihat wajah perempuan itu sebiji rupa isteri Mat Gagap, tanpa banyak soal, saya tumpangkan mereka berdua. Katanya, dia nak ke Kubur Raja. Perjalanan ke sana kira-kira lima minit saja. Saya pun hantarkan”, sambung Fauzi lagi.

Sementara di dalam kereta yang dipandunya itu terdiri daripada dua rakannya yang turut bersama pada hari kejadian. Beliau memberhentikan kereta itu, kerana menganggap tidak elok seorang wanita dan bayinya berada di kawasan hutan dan laluan sunyi pada waktu itu, lalu mempersilakan dua beranak itu masuk ke dalam keretanya untuk dihantar ke tempat yang dimaksudkan. Beliau diberitahu oleh makhluk itu bahawa dirinya adalah isteri Mat Gagap, seorang yang dikenalinya di kampung terbabit.

Dua beranak itu kemudiannya masuk ke dalam keretanya setelah dipelawa oleh Fauzi, di mana di dalam kereta berkenaan ialah dua rakannya. Setelah dapat duduk di dalam kereta berkenaan, dengan tiba-tiba wajah penumpang misteri itu mula berubah. Wajah isteri Mat Gagap tidak lagi dikenali apabila secara tiba-tiba saja muka makhluk tersebut menjadi hodoh yang bermata merah.

Apa lagi, akibat perubahan wajah makhluk yang menumpang pada pagi itu, dua rakannya yang turut bersama dengan makhluk berwajah hodoh itu pengsan serta-merta. Apabila Fauzi berpaling ke arah mereka berdua untuk bertanya tentang makhluk itu, kedua-duanya tidak menjawab dan dilihatnya sudah terbujur kaku dan tidak bergerak seolah-olah sekujur mayat.

Sambungnya, sewaktu dua rakannya pengsan dalam keretanya, beliau membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran juga tidak dapat menolak gangguan itu, sehinggalah makhluk halus itu dihantar ke tempat yang dimaksudkan, baharulah kejadian berkenaan selesai apabila makhluk berkenaan turun dari keretanya, makhluk itu kemudiannya ghaib serta-merta.

Dua rakannya yang pengsan itu kemudiannya dibawa olehnya ke rumah salah seorang warga emas yang agak arif dengan gangguan makhluk halus berkenaan bernama Hamzah. Kedua-duanya kemudiannya dipulihkan oleh Hamzah baharulah kedua-dua rakannya itu dapat pulih dan bercakap seperti biasa.

“Pada saya tidak lain kecuali makhluk halus. Orang-orang kampung menganggap perempuan tua dengan anaknya itu adalah jelmaan hantu yang menyerupai isteri arwah Mat Gagap, seorang yang amat dikenali di kampung berkenaan”, ujarnya apabila ditanya siapakah makhluk itu.

Katanya, kejadian berkenaan bukan sahaja dialami oleh beliau yang ditumpangi dua makhluk halus itu, tetapi turut dialami oleh penduduk dari Kampung Senor dan Kampung Pohon Tanjung dan kampung-kampung yang berdekatan. Kampung berkenaan memang agak hampir dengan jambatan dan pokok sagu itu.

Asalkan saja pemandu kenderaan melintas di kawasan pokok sagu dan kawasan jambatan terbabit, pastinya akan dapat melihat dua makhluk itu sedang menunggu di tepi jalan di kawasan itu. Bagi pemandu kenderaan yang melihatnya dalam keadaan kasihan, pasti mereka akan berhenti kenderaan serta-merta untuk memberikan bantuan tanpa menyedarinya makhluk itu adalah makhluk halus jelmaan seseorang yang sifatnya gemar berada di kawasan agak terpencil untuk memperdaya dan menakut-nakutkan seseorang yang lemah semangat.

“Selain itu, seorang pemandu lori dari Pulau Pinang yang membawa ayam hidup pun turut terkena gangguan yang agak berat apabila melalui pokok sagu itu. Saya dengar khabar, dia sudah meninggal, sebab apa saya tidak tahu”, ujar Fauzi lagi.

Kata Fauzi lagi, makhluk halus itu menumpang keretanya disebabkan cucu yang dibawanya bersama. Disebabkan arwah isteri Mat Gagap meninggal dalam kejadian nahas di Kuala Terengganu pada tahun 2011 menyebabkan makhluk halus itu mengambil kesempatan itu menjelma seperti wajah mangsa. Agaknya juga, rohnya dianggap tidak begitu tenteram kerana tiada siapa yang menguruskannya dengan sempurna kerana suaminya pun meninggal lebih awal darinya.

Fauzi Awang Hamat atau Puji Pauh.

Fauzi ketika ditemubual Wartawan RELATIF di sebuah gerai makanan berhampiran tempat kejadian.

Inilah pohon sagu, tempat beliau menumpangkan makhluk halus menaiki keretanya.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Sabtu, 21 September 2013

Cara Makan Berkesan


CARA MAKAN BERKESAN

KESIHATAN khususnya yang melibatkan tubuh badan manusia memerlukan makanan dan pemakanan yang terbaik dengan memilih sumber makanan yang kompleks, asli, bersih dan masih segar. Manakala makanan-makanan remeh yang boleh memudaratkan kesihatan perlu dijauhi.

Di samping itu, adab dalam mendapat dan memakan makanan yang diidamkan perlu juga diberikan perhatian oleh setiap individu. Walaupun makanan yang akan dinikmati itu adalah yang terbaik, namun seandainya adab memakan makanan tidak dipatuhi, penyakit-penyakit kronik juga boleh menyerang. Adab-adab tersebut dapat diterapkan kepada beberapa perkara iaitu:

1. Membaca “Bismillah” atau doa sebelum makan: “Ya Allah! Berilah keberkatan di dalam sesuatu yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami daripada siksa neraka”.

Disudahi dengan menyebut “Alhamdulillah” atau membaca doa selepas makan: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi kita makan dan minum dan telah menjadikan kita sebagai orang-orang Muslim”.

2. Makan dan minum atau memegang makanan dan minuman dengan menggunakan tangan kanan supaya lebih berkat. 

3. Makan tidak terlalu kenyang dan tidak berlebihan sebagai menguatkan tulang belakang.

4. Kunyah makanan perlahan-lahan supaya proses penghadaman lebih sempurna dan teratur. (Proses makanan ini memakan masa empat jam).

5. Elakkan tabiat bercakap semasa sedang makan.

6. Makan menurut masa yang ditetapkan.

7. Senaraikan diari menu anda dan makan menurut senarai tersebut. Elakkan menambah dan mengurangkan menu itu.

Di dalam Islam, telah diperuntukkan bahawa makanan merupakan suatu keperluan asas bagi setiap manusia. Manusia diharuskan mendapat makanan sebagaimana yang disukainya asalkan makanan-makanan tersebut bersih, tidak membahayakan kesihatan dan apabila memakannya tidak terlalu berlebihan. Hal ini amat jelas sebagaimana yang diterapkan di dalam Al-Quran. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

“Hai anak-anak Adam! Pakailah perhiasanmu setiap waktu sembahyang dan makan minumlah dan jangan melampaui batas, sesungguhnya Tuhan tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”. (Surah Al-‘Araf:  ayat 31)

Sebenarnya mengurangkan tabiat makan yang berlebihan dan melampaui batas adalah untuk menghindarkan masalah kegemukan yang sering dialami oleh segelintir umat-umat Islam hari ini. Islam hanya mengizinkan umat-umatnya bersederhana dalam menikmati makanan. Ini kerana, ukuran makanan yang sesuai untuk perut sebanyak satu pertiga, minuman satu pertiga dan pernafasan satu pertiga. Tujuannya adalah untuk menguatkan tulang belakang semata-mata serta menambah tenaga sebagai kekuatan untuk melaksanakan sesuatu tugas tertentu. Hal ini amat jelas di dalam sebuah hadis sebagaimana yang diberitakan daripada Abu Karimah, iaitu Al-Miqdad bin Ma’dikariba r.a, katanya: Saya mendengar Rasulullah S.A.W  bersabda bermaksud:

“Tidaklah seseorang memenuhi sesuatu wadah yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah sebenarnya seseorang itu makan beberapa suapan yang dapat mendirikan, menguatkan tulang rusuknya. Maka jikalau makanan itu harus diisikannya, maka sepertiga hendaklah untuk makanannya dan sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk pernafasannya”. (Hadis hasan sahih riwayat At-Tirmidzi)

Selain itu, seseorang itu dapat dikenali sama ada mereka seorang yang beriman atau seorang yang kafir melalui tabiat makannya. Kenyataan ini amat jelas sebagaimana yang digarapkan dalam sebuah hadis yang diberitakan dari Abu Hurairah r.a, katanya: Ada seorang laki-laki yang biasanya banyak makan. Setelah ia masuk Islam, makannya sedikit. Hal itu diceritakan orang kepada Rasulullah S.A.W. Baginda S.A.W  bersabda: “Orang yang beriman makan untuk satu perut. Orang yang kafir makan untuk tujuh perut”. (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Seorang ulama Islam terkenal dewasa ini, Profesor Dr. Yusof Al-Qardhawi di dalam bukunya "Halal dan Haram Dalam Islam" pernah menegaskan, dengan katanya:

“Setiap Muslim tidak diperkenankan untuk makan minum sesuatu yang dapat membunuh, lambat atau cepat, seperti racun dengan segala macamnya atau sesuatu yang membahayakan termasuk makan dan minum terlalu banyak yang menyebabkan sakit”.

Bagi menjaminkan seseorang individu khususnya di kalangan individu Muslim memperolehi kesihatan yang sempurna termasuk tentang perkembangan mental dan fizikal sepanjang hayat mereka, adalah wajar mereka mematuhi program diet dan pemakanan yang sihat dan tersusun.

Hal ini perlu disedari bahawa, suatu perkara yang menyebabkan seseorang itu kerap mendapat serangan penyakit bahkan yang lebih kronik, usia menjadi pendek dan membawa maut ekoran diet dan pemakanan kita yang tidak sempurna dan seimbang. Pemakanan yang tidak sempurna boleh menggugat kesihatan individu manusia dalam jangka masa yang panjang yang tidak disedari oleh kalangan manusia sendiri.

Sebaliknya mereka lupa bahawa mereka telah cuai dalam menjaga kesihatan sedangkan menjaga kesihatan itu adalah suatu amanah Allah S.W.T yang perlu dipertanggungjawabkan kepada setiap manusia, tentang bagaimana manusia mensia-siakan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada manusia. Dalam sebuah hadis ditegaskan tentang kecuaian manusia dalam menjaga kesihatan sebagaimana yang diberitakan dari Ibnu Abbas r.a, katanya: Rasulullah S.A.W  bersabda:

“Ada dua macam kenikmatan yang keduanya itu disia-siakan oleh sebahagian besar manusia, iaitu kesihatan dan kelapangan waktu”. (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Justeru, ingatlah ketika sihat pastinya manusia lalai tetapi apabila mereka diserang sakit oleh penyakit-penyakit kronik, ketika itulah mereka terbayang, alangkah baiknya jika mereka tidak sakit daripada menderita azab. Tetapi “nasi sudah menjadi bubur”, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya”.

 Berhati-hatilah dengan makanan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 20 September 2013

Misteri Wanita Aneh Melintas


MISTERI WANITA ANEH MELINTAS

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA tahun-tahun 1970 dan 1990 dulu, Jalan Tengku Mohd. Ma’asum yang bermula dari Jalan Telipot ke persimpangan Jalan Pasir Hor dekat sini adalah laluan yang masih dipenuhi semak-samun dan hutan tebal. Penduduk jati dari kawasan terbabit pastinya sedia maklum tentang beberapa gangguan keras terhadap individu yang lemah semangat, mereka mendakwa jelmaan yang sering berkeliaran di kawasan itu pada waktu itu adalah seperti seekor seladang atau kerbau.

Sehinggalah laluan berkenaan diangkat untuk dijadikan sebagai sebatang jalan yang akan memudahkan perhubungan, mengurangkan jarak perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas jalan di jalan utama Wakaf Che Yeh, adalah wajar projek yang dimulakan sejak tahun 2002 dari Jalan Pasir Hor ke Jalan Telipot dijalankan. Namun, ketika awal projek berkenaan sedang dijalankan, pernah terdengar jentera projek didapati mati dengan sendiri sedangkan minyaknya terisi penuh di dalam tangki dan tiada berlaku sebarang kerosakan terhadap jentera berkenaan.

Setelah laluan berkenaan siap sepenuhnya pada tahun 2004 dan diwartakan sebagai laluan singkat penduduk-penduduk dari luar dan di kawasan terbabit, bermulalah kejadian pertama penuh misteri di kawasan yang agak kelihatan selekoh berbukit di mana pada masa itu di kiri laluan berkenaan ditumbuhi semak-samun yang agak tebal, kini laluan berkenaan terletak berhampiran dengan sebuah surau. Kejadian pertama ketika itu melibatkan nahas, pertembungan di antara dua buah kereta Perodua Kancil. Kejadian itu dikatakan berlaku pada waktu petang.

Beberapa bulan selepas pemasangan lampu jalan di laluan terbabit, menjadikan suasana hingar terutamanya pada waktu malam. Kejadian nahas demi nahas semakin menjadi-jadi. Beberapa kejadian nahas ngeri melibatkan sebuah kereta Honda Accord berlaku pada 17 Mac, 2008 pada pukul 11.00 malam.

Malahan dalam tempoh tidak sampai setahun iaitu pada tahun 2009, berlaku pula kejadian nahas melibatkan sebuah motosikal RX-Z yang dikatakan merempuh gerombolan makhluk halus berjubah putih, juga berlaku di kawasan selekoh dan di tempat yang sama kejadian nahas kereta Honda Accord itu. Kejadian ini disaksikan sendiri oleh Wartawan RELATIF yang kebetulan keluar malam untuk ke rumah penggawa pada malam tersebut.

Selepas kejadian itu, kejadian nahas semakin menjadi-jadi dan setakat ini telah 42 kes nahas, tetapi kebanyakannya berlaku pada pukul 1.00 hingga 3.00 pagi di laluan selekoh Kampung Bawah Lembah serta hadapan Taman Restu. Manakala kejadian nahas yang seterusnya berlaku pada 9 Julai, 2010 melibatkan pertembungan Nissan Vanette dan kereta Nissan Sunny, di mana kejadian ini berlaku di waktu pagi.

Kemudiannya, dalam tahun yang sama berlaku pula nahas jalan raya pada pukul 11.35 pagi yang melibatkan sebuah Perodua Kancil putih yang cuba mengelak dari melanggar sebuah rumah di kawasan selekoh itu, akibatnya terbabas dan terbalik sebanyak tiga kali. Kenderaan berkenaan remuk di bahagian bumbung. Kesemua pemandu mendakwa cuba mengelak dari merempuh jelmaan haiwan itu dan seperti manusia yang kadang-kadang menjelma seperti seorang wanita atau nenek tua dan kanak-kanak dalam usia 12 tahun.

Malah kejadian terbaharu yang berlaku pada 12 September, 2013 lalu jam 2.00 pagi (pagi Jumaat) juga tidak kurang hebatnya. Kejadian berkenaan berlaku betul-betul di hadapan sebuah masjid iaitu di kawasan selekoh berbukit di tempat kejadian awal di antara pertembungan dua buah Perodua Kancil pada tahun 2004 dulu.

Nahas pada pagi itu hanya melibatkan sebuah kereta Honda yang dikatakan pemandunya sedang memandu di laluan terbabit. Setibanya di kawasan kejadian, pemandu kenderaan berkenaan melihat seorang wanita tua yang dapat dikategorikan sebagai nenek tiba-tiba melintas lalu berhenti di tengah-tengah jalan. Bimbang nenek itu dirempuh dalam jarak yang dekat, pemandu kereta berkenaan membalasnya ke sebelah kiri. Akibatnya kenderaannya itu merempuh pagar besi dan dinding batu rumah di kawasan itu.

Akibat rempuhan kuat itu, menyebabkan kenderaan remuk di bahagian hadapan. Pemandunya terhantuk ke stereng (kecederaan di bahagian muka dan hidung) menyebabkan dia dimasukkan ke hospital selama tiga hari. Besi pagar dua rumah terbabit bengkok dan tercabut, manakala dinding batu rumah tersebut pecah dan batanya bertaburan di laman rumah berkenaan.

Inilah bahananya memandu pada waktu malam tanpa niat yang suci dan penting kerana Nabi S.A.W  sendiri melarang berjalan malam jika tidak mempunyai suatu hal yang amat mustahak. Apatah lagi, di kebanyakan di kawasan nahas, makhluk halus gemarkan kepada cahaya lampu berwarna kuning kerana itulah warna alamnya. Maka, berhati-hatilah jika memandu pada waktu malam, kerana waktu malam adalah sebahagian dari aktiviti makhluk halus untuk keluar mencari rezeki.

Di sinilah wanita tua (nenek) melintas dari arah kiri ke kanan jalan.


Keadaan pagar besi dan dinding batu rumah terbabit pecah dan bengkok akibat rempuhan kasar dalam kejadian jam 2.00 pagi itu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Misteri Rumah Mengusik


MISTERI RUMAH MENGUSIK

PASIR MAS, KELANTAN:  PADA tahun-tahun 1970 dulu, Kampung Penggu yang terletak dekat sini adalah kawasan hutan dan pokok penggu selain ditumbuhi lalang liar dan hutan buluh. Malahan kawasan ini juga pada masa itu dikatakan sebuah tempat atau medan perang tentera Jepun yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai markas mereka. Peperangan pihak terbabit dengan askar Melayu ketika itu menyebabkan mayat-mayat bergelimpangan di sana-sini malah akhirnya reput begitu sahaja.

Salah seorang penghuni di kawasan tapak rumah terbabit yang merupakan ibu tunggal, Siti Ramlah binti Yusoff, 55, atau Maksu Gayah yang menetap di rumah berkenaan sejak dari zaman arwah ibu bapanya sehingga beliau mendirikan rumahtangga bahkan suaminya meninggal tujuh tahun lalu ingin berkongsi cerita tentang pengalamannya menetap di kawasan itu.

“Ketika itu, maksu berusia 12 tahun. Maksu acap kali melihat kelibat lembaga yang sedang menunggang basikal melintasi hadapan rumah ini beberapa kali setiap kali malam menjelma”, ujar Siti Ramlah Yusoff yang membahasakan dirinya Maksu kepada Wartawan RELATIF berhubung pengalamannya menetap di kawasan yang dianggap mengusik itu.

Katanya, di zaman kanak-kanaknya, kawasan rumahnya kini ditumbuhi hutan dan pokok-pokok penggu yang begitu subur selain pokok buluh dan rimbunan lalang yang agak subur. Sesiapa yang melihat ke arah rumahnya itu pasti akan berasa seram untuk menggambarkan sebuah tempat yang menakutkan. Apatah lagi, pada masa itu tidak ramai yang menghuni di kawasan berkenaan dan jarak antara sebuah rumah dengan sebuah rumah yang lain juga agak jauh.

“Pada ketika itu, usia maksu 12 tahun, menuntut dalam tahun enam. Apabila menjelang jam 11.00 malam, maksu pastinya akan dapat melihat lembaga lelaki sedang menunggang basikal melalui hadapan rumah ini.

“Bunyi kayuhan basikal tua itu, maksu dapat mendengarnya dengan jelas, tetapi apabila maksu cuba ingin melihatnya di luar rumah, hanya lembaga itu saja yang kelihatan, sedangkan basikal yang ditunggangnya tidak kelihatan. Lantas, maksu berlari masuk ke dalam rumah”, jelas Siti Ramlah lagi.

Katanya menambah, bukan lembaga lelaki yang sedang menunggang basikal itu saja sering melalui hadapan rumahnya itu, bahkan lembaga yang berbungkus dikenali “pocong” juga tumpang sekaki dengan melompat-lompat melalui hadapan rumahnya beberapa kali. Selain itu katanya, arwah ibunya juga pernah memberitahunya bahawa tentang satu bunyi seperti pokok nibong yang tumbang merintangi laluan di hadapan rumahnya ketika itu. Pada hematnya, beliau percaya gangguan makhluk halus berkenaan disebabkan ada segelintir penduduk kampung berkenaan pada masa itu yang membela hantu raya dan anak kerak atas dasar peribadi.

Kediaman yang didudukinya kini ketika hayat ibunya, ibunya pernah memaklumkan kepadanya bahawa, tapak rumahnya sekarang adalah tanah perkuburan selain kawasan laluan dan markas tentera Jepun pada tahun 1941 dulu. Beliau percaya, kawasan tapak rumahnya sekarang ini pada ketika itu adalah kawasan lapang tempat Jepun menanam mayat atau menyembunyikan peluru dan senjata milik mereka ketika tercetusnya peperangan dengan askar-askar Melayu yang ingin membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan Jepun itu.

Tambah Siti Ramlah, ketika hayat ibunya yang memaklumkan tentang hal berkenaan, usianya ketika itu dalam lingkungan 46 tahun. Rumahnya sekarang pada ketika itu adalah sebuah rumah yang agak uzur sekadar berdindingkan papan sahaja. Manakala lantainya juga dibuat dari kayu dan papan, apabila semakin lama dan uzur menyebabkan kayu dan papannya akan reput. Katanya, pernah ada di antara anak-anaknya yang terjatuh ke bawah rumah berikutan lantai kayu dan papannya telah reput lalu patah.
 
“Pada masa itu, sememangnya usikan makhluk ghaib itu semakin menjadi-jadi mengganggu keluarga maksu, sehinggakan anak-anak maksu yang seramai 10 orang membuat keputusan tidak ingin lagi tinggal di rumah ini kerana tidak tahan dengan usikan sedemikian.

“Disebabkan itu, arwah suami maksu terpaksalah menggantikan papan dengan rumah simen dalam usaha untuk mengurang dan mengekang gangguan sedemikian. Namun, suami maksu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hasrat untuk menggantikan rumah papan yang uzur tidak kesampaian”, katanya dengan nada sedih.

Siti Ramlah berkata, gangguan makhluk halus berkenaan semakin menjadi-jadi. Di antara gangguan yang sering didengari oleh beliau dan anak-anaknya ialah bunyi plastik barangan seperti diramas-ramas berulang kali sedangkan apabila dilihat plastik itu tidak bergerak dari tempatnya. Melihatkan keadaan sedemikian, menyebabkan anak-anaknya sentiasa di dalam ketakutan, apatah lagi lembaga yang meramas plastik itu tidak pernah menjelma.

“Bunyi yang agak aneh itu bukan sahaja didengari oleh anak-anaknya, bahkan maksu sendiri turut mendengar bunyi tersebut sewaktu maksu bangun tidur terutamanya waktu tengah malam”, katanya.

Sambung Siti Ramlah, sering juga gangguan terbabit melibatkan jelmaan lembaga seorang wanita tua berpakaian kebaya putih (seolah-olah dalam usia 75 tahun) di mana di lehernya dililitkan dengan kain berwarna hijau berbintik-bintik di dalam rumah terbabit. Ketika itu beliau bangun pada tengah malam kira-kira jam 1.00 pagi untuk ke bilik air, dengan tiba-tiba lembaga wanita berambut panjang muncul di belakangnya. Pada ketika itu, beliau amat terkejut kerana kemunculannya agak pantas apatah lagi di waktu malam.

“Jelmaan wanita berambut panjang di belakang maksu pada pagi itu menyebabkan maksu terkaku seketika seperti dipegang oleh satu kuasa disebabkan terlalu terkejut.

“Syukurlah maksu teringat ayat Al-Qursi lalu maksu membacanya, lembaga wanita itu tiba-tiba ghaib serta-merta”, ujarnya.

Tambah Siti Ramlah, setakat kejadian sedemikian masih lagi berlaku terutamanya sewaktu beliau ingin masuk ke dalam bilik untuk melelapkan mata. Namun, gangguan berkenaan terbatas apabila beliau membaca ayat-ayat Qursi, selawat Nabi S.A.W. Tetapi apabila beliau bangun dari tidur terutamanya waktu larut malam kerana sebab-sebab tertentu misalnya untuk ke tandas, gangguan berkenaan bermula. Bahkan ketika hayat suaminya juga pernah mengalami gangguan lembaga wanita berambut panjangsebagaimana gangguan yang dialaminya, tetapi suaminya itu tidak pernah memaklumkan kepadanya sehinggalah beliau sendiri yang mengalaminya.
           
Menurut Siti Ramlah, awal menjelangnya waktu malam, beliau tidak pernah alami gangguan ketika waktu-waktu berkenaan. Tetapi setiap kali jam 1.00 pagi hingga 3.00 pagi, beliau sentiasa berwaspada kerana waktu berkenaan dianggap masa makhluk berkenaan beroperasi di rumah terbabit. Pada suatu masa, cucunya tidak ingin tinggal bersamanya kerana sering diganggu, akibatnya cucunya yang masih bayi akan sering menangis semahu-mahunya berikutan gangguan tersebut.

Apabila ditanya tentang anak-anaknya yang masih kanak-kanak jika terlalu gembira dan bersuka ria dengan gelak ketawa, adakah mereka diganggu. Siti Ramlah memberitahu, tiada gangguan tentang sedemikian. Mungkin juga, gangguan akan terhad kerana beliau sering membaca Al-Quran yang memungkinkan makhluk berkenaan takut dan cabut lari apabila mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran tersebut. Malahan, jika beliau tiada di rumah berkenaan, tentunya anak-anaknya tidak akan tinggal di situ walaupun mereka berdua atau bertiga.
 
Apabila ditanya tentang jiran-jiran pula, tidakkah mereka akan terdengar gangguan yang sering berlaku di rumahnya. Beliau menjelaskan, dari makluman jiran-jirannya memberitahu mereka tidak pernah mendengar bunyi gangguan apabila makhluk berkenaan datang. Sebaliknya, mereka akan sering terhidu bau seperti orang tua yang sedang mengunyah pinang.

Tambah Siti Ramlah lagi, disebabkan sering diganggu pada setiap kali jam 1.00 pagi, beliau kemudiannya mendapatkan khidmat pengamal rawatan alternatif dalam usaha untuk mengekang dan membendung gangguan di rumahnya itu. Pengamal terbabit sempat menjejak tempat tinggal makhluk terbabit yang terletak di belakang rumahnya. Amat jelas katanya, tapak rumah yang dihuninya sekarang pada masa dulu adalah kawasan Jepun berperang ketika cuba menjajah Tanah Melayu khususnya di Kelantan di mana pada masa itu kawasan tapak rumahnya kini adalah kawasan pokok lalang yang tumbuh subur selain sebuah tempat yang menakutkan.

Walau bagaimanapun, pengamal terbabit menyatakan disebabkan tapak berkenaan telah dibina penginapan dan ditutup di atasnya, jadi adalah terlalu sukar untuk mendapatkan barangan  yang tertanam di bawah tapak rumahnya kini. Namun, usaha pengamal terbabit telah dapat mengurangkan gangguan itu dan beliau tidak lagi berasa bimbang sebagaimana dulu.

Siti Ramlah binti Yusoff atau Maksu Gayah.

Maksu Gayah ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Inilah rumah Maksu Gayah yang dikatakan sering mengusik dari dulu sehingga hari ini.


Inilah laluan di hadapan rumahnya, lembaga lelaki sedang menunggang basikal.

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Selasa, 10 September 2013

Mangsa Buatan Orang


MANGSA BUATAN ORANG


WAKAF BAHARU, KELANTAN:  DIA tidak mengalami masalah kesakitan, darah juga tidak menitis malah keadaan tubuh badannya dalam keadaan sihat ketika terjun dari tingkat empat bangunan kediaman tempatnya bekerja sebagai buruh binaan di Klang, Selangor beberapa tahun lalu. Ketika dia terjun dari bangunan itu pun, fikirannya seperti dirasuk malah beliau dikejar dengan keras oleh makhluk halus ketika membuka pintu rumahnya setelah anak telinganya dapat mendengar bunyi pintu utama diketuk agak kasar sedangkan rakan-rakannya yang lain tidak mendengarnya dan enggan membuka pintu tersebut walaupun diminta berulang kali supaya berbuat demikian.

Disebabkan rakan-rakannya tidak mempedulikan permintaannya itu beliau bingkas dari tempat duduknya lalu membukanya. Apabila pintu itu terbuka, dengan tiba-tiba beliau dirempuh oleh objek yang tidak kelihatan (ghaib) secara agak keras dan keras. Tidak habis setakat rempuhan itu saja, beliau juga dikejar oleh makhluk halus terbabit sehinggakan beliau terpaksa melarikan diri ke tingkat empat bangunan berkenaan kerana ketakutan lalu terjun untuk melarikan diri dari dikejar makhluk terbabit.

Ketika terjun dari tingkat empat bangunan berkenaan, dia tidak ingat apa-apa. Sedar sahaja dari koma lebih sebulan lamanya itu, beliau dapati berada di salah sebuah hospital yang terletak di Klang, Selangor sehinggakan pihak hospital terbabit memintanya untuk memasukkan besi bagi memudahkannya berjalan, namun dibantah oleh ibunya malah ingin membawanya pulang.

Ketika diminta untuk menceritakan punca dan masalah yang dihadapi oleh anaknya, Mahadi Mohamed Nor, 34, ibunya Limah binti Ali, 72, atau Limah dari Kampung Kebakat, Wakaf Baharu, Kelantan seolah-olah ingin menitiskan air mata mengenangkan nasib malang yang menimpa anaknya itu. Katanya, begitulah nasib anak yang baik sering diperlakukan secara yang tidak rasional oleh rakan-rakannya sendiri ketika bekerja sebagai buruh binaan di Klang, Selangor.

Katanya, ketika anaknya itu bekerja sebagai buruh binaan di Klang, Selangor anaknya sering mengirimkannya wang kepadanya untuk perbelanjaan harian. Menurutnya, pada suatu hari, anaknya itu menghubunginya di kampung yang bertanya adakah ibunya mempunyai wang sebanyak RM3,000 kerana beliau berhasrat untuk membayar wang pendahuluan bagi membeli sebuah kenderaan. Pembelian kenderaan itu adalah bagi memudahkannya pergi dan pulang ke kampung. Dengan senang hati beliau memaklumkan kepada anaknya itu, wang sebanyak yang diminta akan dikirimkannya dengan segera.

“Dia ada menghubungi makcik supaya menghantarkan wang sebanyak RM3,000 kerana dia ingin membayar pendahuluan sebuah kenderaan. Katanya, kereta itu digunakan untuk memudahkannya pergi dan balik.

“Tetapi malangnya, apabila dia menerima wang tersebut, ramai rakannya yang ingin meminjamnya, tetapi ditolak oleh Mahadi”, ujar Limah kepada Wartawan RELATIF.

Sambung Limah, pada mulanya, Mahadi memberitahu rakan-rakannya, bahawa wang yang dikirimkan oleh ibunya itu adalah untuk membayar wang pendahuluan kenderaan dan kalau diketahui oleh ibunya wang tersebut hilang, tentunya dia akan dimarahi oleh ibunya dengan teruk. Tetapi rakan-rakannya memberitahu bahawa mereka hanya ingin meminjamnya hanya beberapa hari sahaja dan akan menggantikannya kembali.

Jadi, bermula dari detik inilah wang yang dipinjam oleh rakan-rakannya itu tidak diganti, malah Mahadi pula menerima nasib malang apabila beliau dikatakan disantau oleh rakan-rakannya sendiri. Kebetulan pula, Mahadi sedang menyewa dengan salah seorang anggota polis dari Pasir Mas, Kelantan di bahagian bawah rumah berkenaan telah memaklumkan hal itu kepada ibu Mahadi bahawa keadaan Mahadi amat tidak masuk akal, kerana sering termenung memikirkan suatu hal yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.

Melihat keadaan itu, rakannya seorang anggota polisnya itu meminta Mahadi supaya berehat dan tidur kerana didapatinya Mahadi tidak mempunyai tidur yang secukupnya. Ketika itu jugalah, Mahadi menyumpah rakannya itu dengan kata-kata kesat menyebabkan rakannya itu agak terkejut, juga suatu hal yang tidak pernah dilafazkannya sebelum ini. Perubahan yang dialami oleh Mahadi amat ketara dan Mahadi dilihatnya begitu bengis dengannya ketika itu. Menurut Limah, beliau syak bahawa ketika itu Mahadi telah disantau dari jarak jauh, jika tidak Mahadi tidak akan bersikap sedemikian.

Beberapa minit kemudiannya, Mahadi dan rakannya seorang anggota polis itu menerima beberapa orang tetamu yang juga rakan Mahadi yang mengajaknya untuk minum-minum di sebuah gerai berhampiran. Ketika itu keadaan Mahadi boleh berjalan seperti biasa dan keadaan fizikal minda dan tubuhnya masih dalam keadaan sihat. Limah menaruh sesuatu yang tidak senang apabila beliau dihubungi, Mahadi diajak oleh rakan-rakannya untuk minum bersama di mana sebelum itu Mahadi berkeras tidak ingin meminjamkan wangnya itu kepada rakan-rakannya itu.

Ketika Mahadi diajak minum oleh rakan-rakannya itulah beliau pasti ada di antara rakan-rakannya yang berniat serong kerana kecewa terhadap Mahadi disebabkan enggan meminjamkan wangnya kepada mereka lalu mencampurkan air minumnya dengan bahan-bahan tertentu di sebuah gerai minum. Katanya, selepas Mahadi meneguk air minumnya itu sehingga habis, Mahadi masih dalam keadaan separuh sedar dan ketika itulah wang yang ada di tangan Mahadi dikebas oleh rakan-rakannya itu secara ganas.

"Makcik percaya, mereka melakukan hal yang sedemikian kerana ingin membalas dendam disebabkan anak makcik enggan meminjamkan wang tersebut kepada mereka.

"Dengan niat dan cara yang serong itulah, anak makcik menyerahkan wang tersebut kepada mereka secara tidak sedar. Malah sehingga hari ini, wang anak makcik itu tidak diganti atau dikembalikan oleh mereka", katanya dengan nada sebak.

Apabila ditanya kepada Mahadi, dia tidak sedar dan tidak dapat mengingati siapakah yang mengambil wang tersebut. Bahkan menurut Mahadi lagi, dia tidak ingin menuduh bahawa beliau disantau oleh seseorang. Tetapi menurut ibunya Limah, kalau Mahadi tidak dikhianati oleh rakan-rakannya, Mahadi tidak akan berkeadaan sedemikian kerana sebelum ini Mahadi dalam keadaan sihat dan boleh berjalan seperti biasa.

Sambung Limah lagi, beberapa jam selepas Mahadi selesai meneguk air minumnya itu, dia berbual-bual dengan rakan-rakannya itu dalam rumah terbabit. Dengan tiba-tiba Mahadi terdengar ketukan pintu dari luar rumahnya. Mahadi dengan nada geram meminta salah seorang rakannya supaya membuka pintu rumah terbabit, sedangkan rakan-rakannya yang lain tidak mendengar bunyi ketukan pintu tersebut. Mahadi memaksa rakannya itu membuka pintu tersebut berulang kali. Namun rakan-rakannya itu tidak mempedulikan desakan Mahadi supaya membuka pintu tersebut sebab rakan-rakannya itu tidak mendengar apa-apa ketukan sebagaimana yang dinyatakan oleh Mahadi.

"Mahadi memberitahu makcik, dia ada mendengar bunyi pintu diketuk kuat. Dia meminta rakannya membukanya, tetapi rakannya tidak mempedulikannya sebab mereka tidak mendengarnya", ujarnya.

Disebabkan hal berkenaan, Mahadi bingkas bangun dari tempat duduknya lantas membuka pintu rumah itu sendiri. Apabila terbuka sahaja pintu berkenaan, dengan tiba-tiba Mahadi dapat merasai satu rempuhan kasar yang ke arahnya. Melihatkan keadaan itu, Mahadi melarikan diri dari dirempuh atau dikejar oleh makhluk ghaib yang diistilahkan sebagai jin hantaran itu. Ketika dalam keadaan melarikan diri itu dari dikejar makhluk halus yang agak bengis itu, Mahadi meminta rakannya mengambil sebilah pisau untuk membunuh makhluk halus itu.

Apabila dilihat oleh rakan yang sebilik dengan Mahadi bahawa Mahadi dalam keadaan yang seolah-olah oleh dirasuk sesuatu seolah-olah Mahadi dalam keadaan ingin membunuh diri, rakannya itu meminta yang lain supaya menyelamatkannya. Tetapi tidak sempat dikejar oleh rakan-rakannya itu apabila dengan lajunya Mahadi berlari ke arah tingkat empat lalu terjun dari tingkat itu dengan pantas.

Disebabkan fikirannya telah diganggu oleh makhluk halus yang cuba mengejarnya itulah menyebabkan Mahadi terjun dari tingkat empat itu ke bawah lalu terdampar di atas tanah rata yang masih belum ditarkan lagi. Katanya, Mahadi memang telah dipegang oleh rakan-rakannya itu sebanyak tiga kali apabila berkesempatan menggapainya, namun terlucut disebabkan lariannya agak laju dan pantas. Pada ketika itu, Mahadi tidak lagi dapat berfikir apakah tindakan yang telah dilakukannya ketika itu apabila beliau sedar dari koma itu, beliau telah berada di wad di salah sebuah hospital di kawasan yang sama.

Pihak doktor pernah menyarankan supaya pinggul Mahadi yang mengalami masalah berkenaan dimasukkan besi, namun Limah membantahnya dengan meminta supaya Mahadi dibawa pulang. Pihak doktor terbabit tidak berbuat apa-apa kecuali akur dengan keputusan Limah. Akhirnya Mahadi dibawa pulang. Mulai dari tarikh malang tersebut sehingga hari ini, Mahadi hanya mampu berbaring dan meniarap di tempat tidurnya. Apabila beliau hendak buang air besar, hanya ibunya yang terpaksa membantu dengan menariknya ke sebuah tandas yang dibina bersebelahan tempat tidurnya.

Mengingati peristiwa itu katanya, Mahadi seorang anak yang baik, sering mengirimkan wang untuk perbelanjaan hariannya. Cuma satu perkara menurutnya yang tidak berasa hati apabila anaknya itu berselera untuk makan berbanding dengan hal-hal fizikal yang lain. Jika anaknya itu tidak berselera, tentunya beliau berasa susah hati kerana Mahadilah anak harapannya yang sentiasa mengingatinya ketika anaknya itu pernah bekerja jauh dari keluarga dan kampung halaman semata-mata untuk mencari rezeki untuk mereka.

Limah binti Ali atau dikenali Limah.

Limah ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Hanya mampu dilakukan oleh Mahadi ialah berbaring dan meniarap di tempat tidurnya.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Foto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Ahad, 1 September 2013

Misteri Jelmaan Pontianak


MISTERI JELMAAN PONTIANAK

TUMPAT, KELANTAN:  TIDAK semua lelaki berkata berani terhadap makhluk halus, apatah lagi kebanyakan daripada mereka akan meminta supaya tidak menemui atau terserempak dengan makhluk terbabit terutamanya apabila keluar jalan-jalan pada waktu malam. Malahan ada yang pernah berkata, apabila terserempak juga mungkin mereka terkencing atau tidak dapat berbuat apa-apa untuk melarikan diri, seolah-olah kaku di tempat itu.

Begitulah halnya dengan Muhd. Azimin bin Khari, 32, yang dilahirkan di Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF apabila diminta menyatakan pendiriannya apabila terserempak makhluk halus terbabit.

Menurut Azimin, beliau mempunyai banyak cerita misteri berkaitan dengan makhluk halus kerana sifatnya yang suka berjalan pada waktu malam, terutamanya ke rumah rakan-rakan yang sebaya dengannya. Malahan rumah rakan-rakannya itu bukanlah dalam jarak yang dekat. Salah seorang rakan yang sering dikunjunginya pada waktu malam ialah di Kampung Tembesu, Tumpat, jarak kampung itu dengan kampung yang didiaminya juga agak jauh, sebab itulah beliau sentiasa ke sana dengan motosikalnya itu.

“Kejadian pertama yang masih segar dalam ingatan saya ialah ketika ke rumah rakan saya di Kampung Tembesu pada bulan Jun 2013 yang lalu. Saya pun dah lupa tarikhnya.

“Kejadian itu berlaku jam 1.30 pagi. Dalam perjalanan ke sana, tidak pernah berlaku kejadian usikan atau terserempak dengan makhluk ghaib itu. Tujuan kami ke sana adalah untuk bermain video game saja.

“Disebabkan terlalu bosan dan badan berasa sedikit rimas kerana agak terlalu lama bermain video game, saya berhenti seketika lalu menyandarkan badan ke dinding.

“Boleh jadi gatal tangan, saya mengeluarkan telefon bimbit jenama Sony Erricson (resolusi tinggi-HD), saja-saja merakam gambar sekitar dalam rumah ketika rakan saya itu sedang bermain sambil meniarap. Pada waktu itu, saya tidak ambil tahu sangat tentang gambar yang saya rakam itu.

“Selepas itu, saya membelek gambar yang saya rakam itu. Melihat gambar yang terakam cukup cantik dan jelas seperti makhluk berkebaya putih dengan wajah yang hitam dan hodoh sedang berkelana di hujung kaki rakan saya itu, saya ambil keputusan untuk pulang saja pada malam itu. Saya tidak maklumkan kepada rakan saya itu sebabnya kerana sebelum ini saya berjanji untuk bermalam di rumahnya pada malam itu”, cerita Azimin panjang lebar.

Memang agak jelas gambar yang dirakam secara suka-suka di rumah rakan akrabnya pada malam itu muncul objek makhluk berpakaian seperti baju kebaya putih tetapi berwajah hitam dan hodoh. Secara tiba-tiba pula tubuhnya menggigil dan berasa seram yang tidak dapat ditahan lagi. Kalau sebelum ini, beliau berharap tidak menemui makhluk ghaib di jalanan, tetapi dengan melihat gambar yang baru dirakamnya itu beliau sudah berasa seram yang amat sangat. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk pulang saja walaupun beliau pernah berjanji dengan rakannya yang tinggal di Kampung Tembesu untuk bermalam di rumah itu kerana untuk menghabiskan permainan video game.
           
Apabila ditanya tentang punca sehingga kemunculan makhluk halus sebagaimana gambar yang berjaya dirakamnya itu, dia tidak tahu tentang keadaan itu. Namun katanya, mungkin pada zaman dulu kawasan berkenaan menjadi tempat buang saka atau saka dari rumah terbabit. Namun katanya, kawasan rumah rakannya itu bukanlah kawasan hutan malah berkeadaan landai dan terbuka sementara di sekelilingnya pula terdiri daripada jiran tetangga.

Sementara itu, ditanya adakah rakannya itu mengetahui di kawasan dan sekitar rumahnya itu adalah kawasan makhluk halus? Beliau menafikannya, kerana mereka tidak mengetahuinya disebabkan mereka sendiri tidak nampak pun kelibat makhluk halus seumpama itu sebelum ini sehinggalah di hari kejadian itu. Cuma, ketika beliau merakam foto pada malam itu, beliaulah orang pertama yang melihat kemunculan dan jelmaan makhluk halus itu melalui telefon bimbitnya. Beliau tidak pernah memaklumkannya kepada sesiapa pada malam itu kecuali pada hari esoknya.

Katanya, pada mulanya beliau telah berjanji dengan rakannya yang menetap di Kampung Tembesu itu untuk bermalam di kampung itu. Tetapi apabila kejadian itu berlaku pada malam berkenaan, dia membatalkan niatnya untuk bermalam di rumah rakannya itu disebabkan diserang takut serta-merta. Apatah lagi, sejak awal lagi berharap beliau tidak terserempak dengan makhluk ghaib terbabit.

Menurut pandangannya, makhluk tersebut seperti pontianak. Beliau pernah menunjukkan foto yang dirakamnya pada malam itu kepada rakan-rakannya, memang pada mulanya rakan-rakannya itu tidak percaya dengan keadaan itu. Beliau juga pernah menunjukkan foto makhluk halus itu kepada bapanya. Bapanya beristighfar panjang. Mereka seolah-olah tergamam apabila melihat foto tersebut kerana rupanya amat jelas kecuali di bahagian mukanya agak gelap dan kehitaman.
 
“Saya sendiri pernah menunjukkan gambar itu kepada isteri saya. Tetapi isteri saya tidak ingin melihatnya”, ujar Azimin bapa kepada seorang anak lelaki itu.

Apabila ditanya tentang perasaannya apabila melihat rupa dan wajah makhluk halus dalam rakaman foto yang dibuatnya pada malam itu, beliau tidak lena tidur kerana teringat dan terbayang dengan wajah makhluk halus tersebut. Selama tiga hari beliau terbayang wajah tersebut yang kerap mengganggu waktu tidurnya.

Secara ikhlasnya, beliau memberitahu, beliau tidak ingin menyimpan gambar tersebut kerana sering terbayang wajah makhluk tersebut. Tambahnya, tempat kejadian itu agak kurang keras kerana sebelum ini beliau tidak pernah mendengar kejadian usikan dan hilaian makhluk berkenaan apatah lagi cuba berkeliaran di kawasan terbabit. Ini didasarkan kepada tidak pernah beliau mendengar orang-orang kampung terbabit membicarakan makhluk halus muncul di kampung itu.

Tambah Azimin lagi dengan tidak menolak, makhluk tersebut datang dari tempat lain tetapi mengekorinya pada malam tersebut sehingga terjadinya hal pada malam terbabit. Ini katanya, kemungkinan itu ada, sebagaimana yang difikirkannya.

Muhd. Azimin bin Khari.

Muhd. Azimin asyik menceritakan pengalaman misterinya kepada Wartawan RELATIF.

Lembaga pontianak (anak panah), gambar dirakam di rumah rakannya dan disumbangkan oleh Muhd. Azimin bin Khari.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM