RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Isnin, 1 September 2014

Bukit Panau: Xpdc Kedua - 30.8.2014


EKSPEDISI BUKIT PANAU KEDUA
(30.8.2014)


TANAH MERAH, KELANTAN: Bukit Panau yang terletak di Tanah Merah, Kelantan memang tersohor sejak dulu, bukan sekadar sebuah bukit, namun Bukit Panau juga mempunyai dua buah gua yang terselindung di sebalik rimbunan pokok dan akar-akar kayu yang berjuntai di dahannya serta dinding bukit itu. Walaupun pada masa dulu tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur mengelilingi Bukit Panau ibarat pengawal yang setia tidak sebagaimana hari ini yang semakin subur apatah lagi dilindungi pula semak-samun sehingga menenggelamkan rupa paras bukit itu yang sebenar.

Dalam masa yang sama, pada masa dulu penduduk-penduduk kampung yang terdiri daripada warga emas memang sedia maklum tentang cerita Bukit Panau itu dari satu generasi kepada satu generasi dan dari mulut ke mulut, Bukit Panau bukan sahaja telah dijadikan sebuah tempat golongan pertapaan yang mendalami ilmu kebatinan dan kerohanian, namun generasi hari ini tidak pernah mengambil kisah peranan Bukit Panau kepada manusia khususnya dalam konteks dakwah bahawa Bukit Panau itu dalam tahun 1349 Masihi dulu pernah dan telah dijadikan sebagai kawasan perkampungan terawal dan pertemuan Wali Songo malah sebuah gua yang terselindung di sebalik pandangan umum itu pernah dijadikan gelanggang persilatan.

Pahlawan besar yang pernah bertapa dan menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan sebagaimana yang tercatat dalam lipatan sejarah ialah dikenali“Hang Tuah”. Hang Tuah pernah menuntut ilmu persilatan yang meliputi bidang kebatinan dalam gua Bukit Panau itu dari salah seorang ahlul bait yang juga dari keluarga Rasulullah S.A.W  bernama Syed Thananuddin atau masyarakat di situ menggelarkannya sebagai Syeikh Saman atau catatan dalam sejarah dikenali sebagai Adi Putra.

Bahkan Sayed Thananuddin yang merupakan guru Hang Tuah itu adalah adik kepada Syed Hussein Jamadil Kubra yang merupakan Ketua Wali 7 (Tanah Melayu) dan juga Datuk Wali Songo (Indonesia/Jawa). Hakikatnya, Bukit Panau telah dijadikan perkampungan Wali Songo untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa. Dikatakan, asal usul nama negeri “Kelantan” berasal dari tempat itu apabila kumpulan Wali Songo yang diketuai Sunan Bonang datang ke Bukit Panau itu dan apabila kedua-duanya bersalam terbitlah “kilatan” dari arah gua di bukit itu sebanyak tiga kali. Dari istilah kilatan mewujudkan nama Kelantan dikekalkan sehingga hari ini. Pancaran kilat itu boleh disaksikan di kawasan taman rekreasi tempat Puteri Sa’adong dan Cik Siti Wan Kembang bersemayam di Pangkal Kalong (Ketereh) dan di Kampung Pengkalan Kiat (Machang). Bahkan Bukit Panau amat jelas apabila berada di Kampung Pengkalan Kiat ini kerana Bukit Panau itu dipisahkan oleh Sungai Kelantan sejauh kira-kira 400 meter. Sejarah berkenaan luput ditelan zaman disebabkan sikap iri hati pihak British yang memadamkan sejarah tempat itu supaya tidak diketahui oleh generasi yang akan datang.

Berikutan wujudnya sejarah besar yang tenggelam ditelan masa menyebabkan Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh bersama tiga peserta ekspedisi lain yang terdiri daripada Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat Penulis), Mohd. Nasiruddin Mohd. Nor (Din) serta E.Mohd Khairol Azaha bin E.Kamaruzaman (Yo) telah melakukan Ekspedisi Bukit Panau Kedua pada 30.8.2014.

Tujuan peserta kami melakukan ekspedisi berkenaan adalah untuk melihat dengan mata sendiri dan mengesahkan tentang sebuah makam, adakah Makam Ketua Wali 7 dan Datuk Wali Songo, Sayed Hussein Jamadil Kubra atau adiknya yang merupakan guru silat Hang Tuah yang dikenali Sayed Thananuddin atau Adi Putra yang terletak di puncak Bukit Panau. Bahkan peserta kami juga berhasrat menjejak sebuah gua yang pernah dijadikan gelanggang persilatan dan tempat pertapaan Sayed Thananuddin itu.

Peserta ekspedisi kami bertolak dari Kota Bharu jam 11.30 pagi dan tiba di Bukit Panau kira-kira jam 1.05 petang. Setelah segalanya selesai, kami memulakan pendakian kira-kira jam 2.15 petang. Dalam ekspedisi kedua ini kami tidak melalui trek syarikat telekomunikasi dan komunikasi sebagaimana ekspedisi pertama pada 28.7.2007 dulu. Tetapi kami merentas melalui lereng bukit, lopak, caruh air dan akar-akar serta pokok-pokok kayu. Pendakian seumnpama ini adalah laluan sendiri yang tidak memenatkan kerana peserta kami dapat bergantung harap kepada pokok-pokok dan akar belalai yang tumbuh berjuntai di lereng dan tebing Bukit Panau itu.

Dalam masa mendaki, peserta kami banyak menemui beberapa jenis kayu-kayu aneh, tumbuh-tumbuhan (meliputi pokok, buah dan bunga) yang agak pelik di kawasan hutan di bukit itu. Bahkan peserta ekspedisi juga melihat beberapa tapak haiwan liar yang masih baru dan lama seperti tapak harimau, kambing hutan, babi dan mungkin juga beruang.

Setelah berhempas pulas mendaki, kami akhirnya tiba di puncak Bukit Panau dalam suasana terik mentari dan hembusan bayu yang menyegarkan. Kami memulakan pencarian setelah sebuah makam terbabit ditemui di puncak Bukit Panau itu. Pencarian terakhir ini melibatkan sebuah gua. Setelah menuruni lereng bukit dari puncak bukit itu peserta kami akhirnya menemui gua yang dimaksudkan yang dianggap terlalu dalam dan curam. Kami tidak dapat merakam foto gua tersebut disebabkan keadaan bentuk geografinya terlalu menurun dan agak curam.

Setelah dirasakan berpuas hati kerana cita-cita tercapai, kira-kira jam 6.30 petang kami bertolak pulang dengan menuruni trek syarikat telekomunikasi dan komunikasi yang dalam beberapa detik, kami disapa turunan hujan yang agak lebat. Kami berempat bermandikan hujan sehinggalah apabila tiba di daratan kaki Bukit Panau, hujan tiba-tiba berhenti.

Setelah mengeringkan baju dan pakaian yang basah kuyup, kami bertolak pulang dan peserta kami akan meneruskan Ekspedisi Bukit Panau Ketiga pula dalam masa terdekat yang antara lain ialah untuk memasuki dan merakam foto gua tempat pertemuan Wali Songo dengan Sayed Hussein Jamadil Kubra yang juga tempat guru Hang Tuah bertapa di situ dikenali Sayed Thananuddin atau Syeikh Saman atau Adi Putra beruzlah dalam gua Bukit Panau itu. 

 Peserta Ekspedisi Bukit Panau Kedua (30.8.2014): Azmi Mohd. Salleh, Anis Sabirin bin Azmi, Mohd. Nasiruddin Mohd. Nor (Din) dan E.Mohd Khairol Azaha bin E.Kamaruzaman (Yo).

 Wajah Bukit Panau terkini, dari arah dekat. 

Bersiap sedia sebelum memulakan pendakian.

Peserta ekspedisi sedang mencari arah dan laluan sesuai untuk memulakan pendakian.



Peserta ekspedisi berehat sambil bergambar.


Meneruskan pendakian.



Mungkinkah makam di puncak Bukit Panau ini milik Sayed Hussein Jamadil Kubra atau Sayed Thananuddin?


Di sinilah arah gua (dalam bulatan merah) tempat berkumpulnya Sayed Hussein Jamadil Kubra dan Wali Songo untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa dan tempat Hang Tuah belajar silat, ilmu kebatinan dan kerohanian dari Sayed Thananuddin atau Syeikh Saman atau dalam catatan sejarah dikenali "Adi Putra". (Foto ini dirakam dari arah Kampung Pengkalan Kiat, Machang, Kelantan).



Antara buah dan pokok-pokok aneh ditemui semasa pendakian.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 02 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=vos8mAdqbME

Tulisan dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan