NASIB ANAK OKU
RANTAU PANJANG, KELANTAN: Tiada siapa yang inginkan kecacatan atau istilah kini yang sering digunakan ialah "Orang Kelainan Upaya (OKU)", tetapi
kalau Allah mentakdirkannya begitu, sebagai manusia wajar menerimanya dengan
hati yang penuh redha. Apatah lagi, apabila diketahui cacat, sudah tentu
rakan-rakan tidak ingin mendampingi malahan kalau ada yang mendampingi, mangsa
yang cacat akan ditertawakan, itulah hakikat dan lumrah hidup sebagai anak OKU.
Menyedari tentang hakikat itulah,
kerajaan telah menubuhkan beberapa badan, jabatan dan agensi terbabit dalam
usaha untuk memberikan penerangan dan menyelesaikan masalah keluarga OKU. Badan yang diamanahkan oleh pihak kerajaan pusat itu untuk membantu mangsa yang terlibat adalah terletak di atas sikap dan keprihatinan mereka, apakah mereka telah memainkan peranan yang sepatutnya atau mengamalkan budaya kerja sambil "lewa", kerajaan pusat perlu menangani masalah ini. Kalau di kawasan kota dan bandar, tentunya masalah berkenaan tidak timbul, tetapi bagaimana pula di kawasan terpencil?
Salah seorang yang mempunyai anak
OKU yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Mohd. Yasin bin Awang Besar, 56, atau
lebih dikenali sebagai Pakcu dari Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang,
Kelantan redha dengan ketentuan Illahi apabila anaknya Nurul Ain Atikah menerima nasib
sedemikian rupa.
“Nurul ni ditakdirkan OKU sejak
dari dalam perut lagi”, katanya menceritakan perihal anaknya, Nurul Ain Atikah.
Katanya, disebabkan masalah yang
dialami oleh anaknya itu, beliau dimaklumkan oleh banyak pihak khususnya orang-orang kampungnya supaya mendapatkan bantuan dan
sumbangan sebagaimana yang sepatutnya daripada pihak Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM).
Lantaran itu, awal tahun 2013 lalu, beliau memaklumkan
tentang hal berkenaan kepada pihak JKM Pasir Mas sebagai salah satu prosedur
yang wajar dilakukan dalam usaha untuk memperolehi sumbangan sebagaimana yang
sepatutnya. Menurutnya, setakat ini sudah kira-kira tiga kali beliau merujuk
kepada pihak JKM Pasir Mas itu agar permohonannya mendapat pertimbangan dari pihak terbabit.
Kata Mohd. Yasin lagi, ketika
beliau hadir di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas, pihak JKM
Pasir Mas melalui pegawainya berjanji akan memberikan pertolongan, namun
sehingga hari ini permohonan tersebut seolah-olah tidak dipeduli, tidak dilayani
atau mungkin dibakul sampahkan.
“Pihak JKM pernah meminta surat daftar kelahiran anak saya. Namun, saya tidak dapat memenuhi permintaan pegawai berkenaan disebabkan surat daftar itu tiada
dalam simpanan akibat rumah dilanda banjir”, katanya yang pada ketika itu agak tergesa-gesa.
Katanya menambah, disebabkan
pihak berkenaan tidak lagi memberikan perhatian kerana lebih banyak mendiamkan
diri, beliau pun tidak lagi mengambil kisah walaupun anaknya itu mempunyai kad OKU. Biarlah anaknya yang OKU seperti
itu tanpa mendapat sebarang bantuan dan sumbangan yang sepatutnya. Kalau cuba bertekak
pun, masalahnya tidak akan diambil kisah oleh pihak terbabit.
Apabila ditanya, adakah pihak JKM
pernah datang menemui beliau di kediamannya, beliau menjelaskan pihak JKM
pernah datang ke rumahnya untuk melihat hal ehwal anak dan kediamannya sebelum ini.
“Pegawai JKM pernah datang ke
rumah saya, tetapi sekadar melihatnya saja. Saya tidak tahu mereka lihat
apa”, katanya.
Ditanya tentang peranan wakil
rakyat dalam usaha menyelesaikan masalahnya itu. Beliau menjelaskan, wakil rakyat di kawasannya itu pernah memberikan nasihat supaya beliau dan
keluarganya merujuk kepada pihak JKM.
Justeru, masyarakat kampung
sememangnya tidak tahu ke mana tempat untuk mengadu tentang masalah yang
dihadapi mereka. Jika pihak kerajaan melalui jabatan dan agensinya sekadar
berdiam diri, segala masalah akan sentiasa bertambah dan mangsa sebenar terus dilanda masalah tanpa mendapat pembelaan yang sepatutnya, sedangkan kerajaan pusat sudah lama menubuhkan badan-badan dan agensi terbabit. Penduduk kampung amat
berharap tindakan pihak agensi yang diberikan tugas dan amanah, tetapi jika
agensi terbabit gagal berbuat demikian, siapa lagi yang mampu memberikan
bantuan dan sumbangan.
Mohd. Yasin bin Awang Besar atau Pakcu.
Mohd. Yasin ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Anak OKU, Nurul Ain Atikah binti Mohd. Yasin.
Kad OKU milik Nurul Ain Atikah.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan