RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Selasa, 30 September 2014

Produk Kuih-Muih Tradisional


PRODUK KUIH-MUIH TRADISIONAL

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  KUIH-MUIH tradisional Kelantan yang dipelopori sejak turun-temurun masih lagi mengekalkan kaedah tradisional walaupun terdapat sebahagian di antaranya telah berubah wajah berdasarkan citarasa pengusaha dan pembuatnya. Disebabkan hakikat ini menyebabkan keaslian kuih-muih tersebut agak berbeza dari kaedah dulu. Namun, masih ada pihak yang turut mengekalkan keaslian, corak dan citarasa makanan tersebut sehingga hari ini.

Salah seorang Pengusaha Kuih-Muih Tradisional, Wan Azizom binti Wan Ibrahim, 30, dari Kampung Dusun Langgar, Wakaf Baharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF mengakui keaslian kuih-muih tradisional itu masih mendapat tempat di hati pembeli dan penggemarnya biarpun kini telah wujud kuih tradisional melalui zaman perubahannya.

Menurut Wan Azizom, penubuhan premis miliknya dibarisi pekerja-pekerja yang juga terdiri daripada ahli keluarganya yang menghasilkan kuih-muih di kampung berkenaan masih mengekalkan kaedah sedemikian kerana kuih-muih tradisional sememang “tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas”. Dia sengaja menghasilkan kuih-muih tradisional kerana melihat kuih-muih tradisional ada potensi dan ada penggemarnya.
 
“Produk kuih-muih tradisional ini mula diperkenalkan pada tahun 2008. Pada masa penubuhan, hanya kuih pelita sebagai kuih tradisional yang mula-mula sekali diperkenalkan”, ujarnya.

Apabila ditanya tentang ilmu yang diperolehinya untuk menghasilkan kuih-muih tradisional itu, beliau menjelaskan bahawa kuih-muih berkenaan dihasilkan secara turun-temurun. Pada awalnya, beliau sekadar membuat kuih sahaja, tetapi disebabkan tiada sebarang kerja yang patut dilaksanakannya, beliau mengambil peluang itu dengan memerhatikan kemampuan beberapa pihak yang berjaya menghasilkan kuih-muih berkenaan. Hasil dari pemerhatiannya itu menimbulkan ilham yang tidak terlintas sebelumnya dan bertitik-tolak dari ilham itu, beliau mula memasarkan kuih-muih berkenaan terutamanya ke kedai makan sehingga mula menerima tempahan dari pelbagai pihak.

“Sebelum berkecimpung dalam pembuatan kuih-muih ini, saya sekadar melihatnya sahaja dan selepas itu tambah pengalaman melalui pendekatan kursus yang dianjurkan oleh pihak Kada. Dalam masa kursus yang dianjurkan pihak berkenaan, terdetik dalam hati untuk mencuba produk terbabit”, katanya yang pernah menghadiri kursus yang diadakan oleh pihak Kada di Kota Bharu.

Wan Azizom menambah, di antara jenis-jenis kuih yang telah dipasarkan oleh pihaknya dalam sehari seperti kuih tepung pelita (berjumlah 1,000 biji tidak termasuk tempahan). Selain itu pihaknya telah menghasilkan kuih koci (400 biji), karipap (400 biji), donald (saiz besar sebanyak 60 biji) dan pizza (50 biji).

Menurutnya lagi, sambutan pembeli terhadap kuih-muih tradisional berkenaan semakin menggalakkan bukan saja dipasarkan ke kedai-kedai makan tetapi juga kerap menerima tempahan dari pelbagai pihak seperti pihak sekolah, asrama (setiap hari), pejabat dan agensi kerajaan dan majlis kenduri kahwin. Bahkan dari perkiraannya, setakat ini kira-kira 4,000 biji kuih perlu dihasilkan disebabkan permintaan yang semakin meningkat dari sebelumnya. Tentang pihak asrama yang membuat tempahan, beliau akan mengikut menu yang dinyatakan oleh pihak berkenaan.

“Lazimnya, kuih-muih yang ditempah untuk sesuatu majlis kadang-kadang pihaknya akan menghantarnya malah ada juga yang diambil sendiri oleh pihak yang menempahnya”, jelasnya.

Membicarakan tentang harga kuih-muih yang dijual kepada pembeli, misalnya kuih pelita yang telah siap dipekkan dijual dengan harga RM2. Pihaknya masih menggunakan bahan-bahan asal yang digunakan oleh orang-orang tua zaman dahulu untuk menghasilkan kuih tepung pelita seperti tepung beras, pandan asli (kini banyak pihak telah menggunakan bahan penambah) dan dimasukkan ke dalam daun pisang (lazimnya banyak pihak telah bertukar kepada penggunaan polistrin dan bekas-bekas plastic sebagai pembungkusnya.

“Bercakap tentang penggunaan daun pisang sebagai pembungkus kuih tepung pelita, pihak kami mengambilnya di sebuah pulau di Kampung Kok Keli (Tumpat).

“Lazimnya, bekalan daun pisang ini diambil dan dibawa pulang sendiri kerana dengan cara ini dapat diperolehi dengan banyak”, katanya yang memperolehi bekalan daun pisang itu yang dibelinya di Kampung Kok Keli sebanyak 25 pelepah dengan harga RM6 sahaja.

Menurut Wan Azizom lagi, dalam banyak kuih yang dipasarkan oleh pihaknya, hanya kuih pelita sahaja yang laris dan mendapat tempat di hati pembeli dan penggemarnya. Salah satu sebab kuih berkenaan mendapat perhatian pembeli kerana citarasanya yang manis dan apabila berasa manis tentunya “enak dan lazat”. Apatah lagi, pihaknya masih mengekalkan resipi tradisional yang dihasilkan oleh keluarganya secara tradisi sejak turun-temurun.

Ditanya tentang badan-badan yang pernah menyiarkan produk yang dihasilkan oleh pihaknya, beliau menjelaskan setakat ini beliau belum pernah mengiklankan produk kuih tradisionalnya itu ke mana-mana media sekalipun di laman web. Cuma beliau bercita-cita untuk mengeluarkan produk kuih-muih tradisional lain seperti sardin gulung, kuih seri kaya dan kuih seri muka berdasarkan kepada tempahan yang masih mendapat tempat di hati penggemarnya apabila tiba masanya yang sesuai.

Wan Azizom binti Wan Ibrahim atau Ijon.

Wan Azizom ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kilang kuih miliknya.


Kuih tepung pelita.


Kuih donald.

Jenis-jenis kuih lain.



Sebahagian kuih-muih yang siap dipek dan untuk dipasarkan.



Resipi dan bahan-bahan.


Mesin dan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan kuih-muih tradisional.

Sebahagian pekerja di kilang kuih-muih tradisional.

Wartawan RELATIF sedang menikmati kuih tepung pelita yang baharu siap masak.

Tonton Video:

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan