SUNGAI GOLOK INFOGALERI
TENGKU ANIS
TENGKU ANIS
TUMPAT, KELANTAN: SUNGAI GOLOK INFOGALERI TENGKU ANIS (SGIGTA)
adalah sebuah taman rekreasi yang mempunyai nilai ilmu mengenai Pembangunan
Sungai Golok. Taman ini terletak di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan iaitu bersebelahan
dengan Tak Bai, Thailand yang dipisahkan oleh
Sungai Golok sejauh kira-kira 600 meter.
Sungai Golok Infogaleri Tengku
Anis ini telah dibuka secara rasminya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Al-Sultan Kelantan pada 24 Jun, 2004. Ia mempunyai sebuah Bangunan Info Galeri
yang menempatkan pelbagai maklumat mengenai Pembangunan dan Kepentingan Sungai
Golok kepada Negara Malaysia
dan Negara Thailand.
SGIGTA ini diurus tadbir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri
Kelantan.
Di antara kemudahan asas yang
disediakan di Sungai Golok Infogaleri Tengku Anis ini seperti Surau, Taman
Permainan Kanak-kanak, Wakaf Rehat, Menara Tinjau, Tandas Awam dan Gerai
Jualan.
Salah seorang Pengawal SGIGTA
yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Mohamed bin Awang, 50, atau lebih
dikenali sebagai Mat berkata, pengunjung yang datang ke SGIGTA dibenarkan
melakukan aktiviti perkhemahan secara percuma. Katanya, setiap pengunjung yang
menggunakan taman dalam kawasan SGIGTA untuk melakukan aktiviti riadah perlulah
membersihkan kawasan setelah selesai melakukan aktiviti itu.
“Sungai Golok Infogaleri Tengku
Anis ini dibuka selama 24 jam mulai jam 8.00 pagi. Walau bagaimanapun,
pengunjung yang ingin melakukan aktiviti perkhemahan, perlulah meletakkan
kenderaan di luar pagar SGIGTA ini mulai jam 7.00 malam.
“SGIGTA ini juga kawasan utama
kaki pancing. Jadi, mereka yang datang dengan kenderaan pada malam hari perlu
meletakkan kenderaan masing-masing di luar kawasan SGIGTA ini”, katanya yang berasal dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baharu, Kelantan.
Apabila ditanya tentang sambutan
pengunjung, beliau menjelaskan pengunjung semakin ramai ke SGIGTA apabila tiba
hari Jumaat, Sabtu dan hari cuti umum. Malah keadaan sebaliknya apabila
hari-hari bekerja.
Menurut Mohamed, di antara
kumpulan yang pernah melakukan aktiviti perkhemahan dalam kawasan SGIGTA
terdiri dari Jabatan Pertahanan Awam, Bomba, pihak sekolah (Sekolah Banggol
Pia, Rantau Panjang dan Sekolah di Jeli), Universiti Malaysia Kelantan
(Pengkalan Chepa), UMNO dan Tentera.
Katanya menambah, di antara
beberapa sebab yang mendorong pengunjung datang ke SGIGTA kerana kawasan ini
agak teduh, malah kalau berasa agak panas telah diwujudkan kawasan rehat yang
dilayani tiupan bayu dari Sungai Golok, SGIGTA juga kawasan utama tarikan kaki
pancing untuk melayari aktiviti mereka di Sungai Golok itu.
“Lazimnya, SGIGTA agak ramai
dikunjungi pengunjung mulai jam 3.00 petang malah semakin ramai selepas waktu
Asar”, katanya.
Beliau juga menjelaskan, masih
ramai lagi yang tidak mengetahui tentang wujudnya taman rekreasi berkenaan yang
letaknya berhampiran dengan Tak Bai. Malah, beliau pernah ditanya dan dinafikan
oleh pengunjung tentang dakwaannya bahawa SGIGTA terletak berhampiran dengan
Tak Bai itu. Setelah beliau menunjukkan bukti berkenaan, baharulah pengunjung
berkenaan mulai mempercayainya.
“SGIGTA mengalu-alukan kedatangan
pengunjung. Namun, pengunjung dilarang melakukan aktiviti yang tidak sihat dan
menyalahi undang-undang dalam kawasan SGIGTA ini”, katanya.
Justeru, Sungai Golok Infogaleri
Tengku Anis adalah kawasan perkhemahan, rehlah, riadah, taman rekreasi serta
kawasan rehat yang ternyata menenangkan fikiran setiap kali pengunjung ke
tempat berkenaan. Ini kerana, pengunjung akan dihiburkan dengan hembusan bayu
yang menyegarkan yang bertiup dari arah Sungai Golok. Malahan pengunjung juga
tidak rugi datang ke tempat berkenaan kerana sememangnya SGIGTA adalah sebuah
tempat yang menarik mata memandang untuk dikunjungi.
Mohamed bin Awang atau Mat.
Mat ketika ditemubual Wartawan RELATIF.
Pengunjung sering datang setiap kali hari Jumaat, Sabtu dan cuti umum.
Bangunan Info Galeri.
Menara Tinjau.
Wakaf Rehat.
Taman Permainan Kanak-kanak.
Surau dan Tandas Awam.
Taman di Sungai Golok Infogaleri Tengku Anis.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan