MISTERI LANGSUIR MENGILAI
MACHANG, KELANTAN: MAKHLUK halus tidak sudah-sudah ingin menyakat dan mengganggu manusia. Mentang-mentanglah tempat terpencil, apatah lagi pada waktu malam pula. Maka koloni makhluk terbabit semakin naik minyak kerana pada waktu malam menyebabkan mereka semakin agresif dan bertenaga berbanding tengah hari.
Misalnya di kampung-kampung yang ditumbuhi pokok-pokok kayu yang agak besar dan banyak hutan seperti pokok kekabu menjadi kesukaan makhluk-makhluk halus yang boleh terbang seperti langsuir untuk bertenggek dan mendekap di batang pokok itu. Dengan adanya pokok terbabit, pokok-pokok lain turut menjadi mangsa makhluk halus berkenaan, kerana dengannya makhluk berkenaan menggunakannya sebagai "batu loncatan".
Bukan pokok kekabu saja, pokok gatal, pokok kelapa dan pinang menjadi kegemaran langsuir untuk bertenggek. Makhluk ini akan melihat dari atas ke bawah, kalau ada manusia penakut, mangsalah manusia itu akan disakat oleh langsuir yang siap menanti di tempatnya. Walau bagaimanapun, dalam konteks perkampungan Penulis, pokok kekabu itulah yang dianggap puncanya dan kawasan lembah seperti itu telah menjadi tempat permainan makhluk halus itu.
Hal langsuir ini bukanlah pertama kali dialami oleh Penulis. Kali pertama dulu pada tahun 2010 apabila Penulis dapat merakam makhluk halus berkain putih sedang bertenggek di kedua-dua pokok pinang berhampiran dengan kediaman orang tua di kampung Penulis, Kampung Temangan Lama dekat sini. Sementara kejadian kedua tentang langsuir ini ialah pada 21 April, 2014 lalu iaitu ketika Penulis bersama keluarga pulang ke kampung atas dasar ingin melihat rumah kosong yang dipusakakan oleh arwah kedua orang tua.
Berdasarkan pengalaman Penulis pada 21 April, 2014 yang lalu, kami sekeluarga pulang ke sana kerana ingin membersihkan kediaman arwah, sementara barangan yang perlu diambil sebagaimana pesanan mereka. Ketika jam 7.00 malam, suasananya sudah agak gelap dan agak jelas kerana kawasan perkampungan berkenaan dikelilingi hutan dan pokok-pokok yang agak rimbun, besar termasuk semak-samun.
Setelah kerja-kerja dapat disiapkan, Penulis berehat sekejap untuk menghilangkan hawa panas dan apabila tubuh semakin dingin, Penulis mengambil kesempatan itu untuk mandi. Setelah selesai mandi, Penulis melihat sekeliling. Tiada sebarang perubahan di kawasan yang dimaksudkan. Seketika kemudian, Penulis terdengar sayup-sayup azan dikemundangkan oleh muazzin di sebuah masjid di kampung itu sebagai menandakan Maghrib telah menyapa.
Penulis kemudiannya mengalunkan azan di dalam rumah berkenaan, kerana amat sesuai rumah yang akan ditinggalkan kosong perlu dilakukan kaedah berkenaan agar tidak dimasukki oleh makhluk halus dan sebagai memaklumkan kepada makhluk berkenaan rumah terbabit sentiasa dalam perhatian. Setelah azan selesai, Penulis mula menunaikan solat berkenaan. Selepas solat itu, Penulis berasa meremang dari kebiasaannya. Setelah selesai menunaikan solat Maghrib, Penulis mencapai sebuah kitab Al-Quran untuk dibaca pada ketika itu juga.
Ketika Penulis mula memegang naskhah Al-Quran tersebut, Penulis terdengar hilaian makhluk terbabit. Pada mula-mulanya hanya kedengaran suara seorang sahaja, tetapi selepas itu Penulis terdengar pula suara ramai. Bunyinya betul-betul dari arah hadapan rumah arwah yang pada hemat Penulis suara seperti itu tidak pernah diperdengarkan. Namun, pengalaman pada malam tersebut memberikan gambaran makhluk halus terbabit seolah-olah ingin merampas kawasan rumah itu barangkali.
Walaupun suara mengilai itu amat jelas di anak telinga, namun Penulis tidak mempedulikan, Penulis meneruskan niat asal iaitu membaca surah Al-Baqarah. Setelah selesai dua lembaran muka surat Al-Quran itu, Penulis dapati suasananya agak sunyi dan suara-suara mengilai itu tiada lagi. Penulis bercakap dalam hati, padan muka kamu "jin".
Selepas itu, Penulis merakam sebanyak 20 keping foto. Dari foto pertama (menggunakan lampu kamera) yang dirakam jam 8.06 malam, kelihatan beberapa makhluk "orb" muncul di kawasan terbabit, namun dalam foto yang kesembilan (infra red, tanpa menggunakan lampu kamera) tidak kelihatan makhluk orb itu. Malah apabila dirakam foto yang kesembilan belas (menggunakan lampu kamera) jam 8.13 malam, dengan jelas terdapat makhluk berkebaya putih sedang mendekap di sebatang pokok yang letaknya berhampiran dengan pokok kekabu itu. Sudah jelas, makhluk terbabit ialah "langsuir".
Disebabkan geram dengan perkembangan berkenaan yang seolah-olah ingin merampas kawasan perumahan arwah, Penulis mencari simpanan garam kasar untuk mengambil tindakan terhadap makhluk itu. Setelah garam kasar ditemui, Penulis membaca bismillah (3 kali) surah tiga qul (1 kali) dan selawat Nabi S.A.W (7 kali) lalu dihembuskan ke arah garam kasar yang tergenggam erat di tangan Penulis. Garam itu kemudiannya dilontarkan ke arah tempat langsuir yang sedang bertenggek itu dengan ucapan garam itu adalah lontaran jibril dengan lafaz kalimah "Allah huakhbar". Kemudiannya garam kasar kedua dilontarkan ke atas bumbung rumah arwah dengan kalimah yang sama untuk mengingatkan makhluk halus pengacau itu berambus dari tempat itu.
Selang beberapa minit sahaja, Penulis cuba merakam gambar di kawasan terbabit dan didapati tiada lagi sama ada makhluk orb yang menerawang di kawasan berkenaan. Keadaan ini amat jelas, makhluk terbabit kaget apabila digunakan garam kasar yang diisi dengan kalimah Allah dan wirid itu. Setelah diyakini tiada lagi gangguan, Penulis kemudiannya bersiap untuk pulang ke Kota Bharu pula.
Foto pertama ini, kelihatan makhluk orb.
Foto infra red, tiada kelihatan makhluk orb.
Foto ke-19, kelihatan makhluk orb dan langsuir (dalam bulatan)
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan