RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Ahad, 20 April 2014

Garam: Raja Segala Lauk


GARAM: RAJA SEGALA LAUK

KOTA BHARU, KELANTAN:  GARAM merupakan bahan penting dalam makanan selalu dikaitkan sebagai penyebab kepada masalah penyakit darah tinggi. Memakan terlalu banyak makanan masin boleh menyebabkan seseorang itu diserang darah tinggi.
Tanggapan ini memberikan pandangan serong terhadap garam, orang sering menyalahkan garam apabila diserang darah tinggi. Garamlah puncanya bukan tabiat buruk mereka yang menjadi penyebab kepada masalah kesihatan itu.
Sebagai komponen yang tidak dapat dipisahkan dengan makanan, garam bukan sahaja diperlukan manusia tetapi sebenarnya bahan ini mempunyai kelebihan lain terutama sekali dalam merawat pelbagai jenis penyakit.

Seolah-olah pelik tetapi benar, dalam rawatan alternatif (tradisional) yang berkait dengan makhluk halus, garam sebagai bahan yang sangat penting untuk menghindar gangguannya.

"Garam mengandungi kesan bakteriostatik mencegah pembiakan kuman dan tekanan osmatik di mana ia mudah menyedut air dan mengeringkan sesuatu. Selain dari sumber mineral, garam juga adalah penawar yang mujarab bagi keracunan.

"Ia dapat membantu meneuteralkan asid dari bahan makanan yang diambil sekaligus sebagai pencegah kepada kenaikan tahap asid dalam darah yang menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit.

"Di hospital-hospital, rawatan pertama untuk keracunan ialah memberikan Sodium Chloride iaitu garam. Ia juga dapat menghalang sihir dan makhluk halus yang ingin mengganggu manusia", jelas Profesor Dr. Haji Shahrin Abdul Rahman, Pengasas Pusat Rawatan Qalbun Salim.
Menurut beliau, pemakanan adalah salah satu punca kepada pelbagai jenis penyakit (pemakanan, emosi, persekitaran dan juga DNA). Katanya, dari segi konsepnya darah kita perlu berada pada tahap alkali sekitar  7.4 - 7.5 bagi melengkapkan tahap kesihatan yang baik.

Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan memang disarankan untuk kesihatan kerana ia mengandungi kadar mineral yang terbaik, namun kehadiran asid yang berlebihan dalam darah adalah penyebab kepada penyakit.

Kepentingan garam untuk kesihatan bukan sekadar pemecah deria rasa atau pembuka selera semata-mata, sebaliknya hal ini memang telah dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W  dalam hadisnya yang bermaksud:
   
"Raja lauk-pauk kalian adalah garam".

Dikatakan lauk atau raja lauk kerana garam mampu memperbaiki kualiti dan memantapkan rasa sesuatu makanan. Hal ini disebut juga oleh Barghawi dalam tafsir dari Abdullah bin Umar secara merfu', maksudnya:

"Sesungguhnya Allah menurunkan empat berkat dari langit ke bumi iaitu besi, api, air dan garam".

Profesor Dr. Haji Shahrin juga menjelaskan tentang penggunaan garam dan kelebihannya dalam konteks sunnah Rasulullah S.A.W bermaksud:

"Sesiapa yang memulakan makanan dengan memakan secubit garam Allah akan hindarkan 330 jenis penyakit, yang paling kurang ialah gila, kusta, sakit perut dan sakit gigi. Yang selebihnya hanya diketahui Allah sahaja.

"Berdasarkan cara Rasulullah S.A.W  Baginda akan menggaulkan nasi dan lauk-pauk dengan tangan kanannya, kemudian membiarkannya sebentar. Lalu Rasulullah S.A.W  akan mengambil sedikit garam dengan menggunakan jari manisnya atau kelingkingnya lalu Rasulullah S.A.W  menghisap garam tersebut. Kemudian barulah Rasulullah S.A.W  akan makan nasinya tadi", ujar Profesor Dr. Haji Shahrin yang juga Pengasas Mind Gym Group, Produk Herba Anugerah Alam dan Kelantan Alternative Therapy & Training Centre.

Beliau menjelaskan, amalan Rasulullah S.A.W  akan menghisap garam terlebih dahulu sebelum makan. Ini kerana, kedua-dua belah tangan manusia mengeluarkan tiga jenis enzim tetapi konsentrasi pada tangan kanan adalah kurang berbanding tangan kiri.

Keadaan ini disebabkan enzim yang ada pada tangan kanan merupakan enzim yang menolong proses penghadaman yang merupakan proses pertama penghadaman.

"Garam adalah sumber mineral dari tanah yang amat diperlukan oleh badan. Mencecah garam dari jari kita samalah dengan satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah, maka lumrahnya yang berasal dari bumi berkhasiat untuk kita", katanya.

Profesor Dr. Haji Shahrin menjelaskan, banyak kelebihan garam yang boleh membantu melegakan pelbagai jenis penyakit dihidapi manusia umpamanya selsema, demam dan panas badan.

"Cara rawatannya mudah, jika berlaku masalah seumpama ini, kemamlah dua biji garam dua atau empat kali sehari. Setelah reda, letakkan dua biji garam di bawah lidah, biarkan sehingga larut. Ulangi setiap dua hingga empat jam sehari", katanya.

Selain itu, garam juga boleh merawat busung, cengkam jari dan tumit pecah, mencantikkan kuku. Selain itu, ia juga mampu mengelak telur yang direbus pecah, menghilangkan getah pada buah-buahan, mematikan ikan keli, membersihkan pasu bunga, mengelak pokok diserang semut dan membersihkan bunga tiruan. Jelas, kalau diserang darah tinggi, jangan salahkan garam.

Profesor Dr. Haji Shahrin bin Abdul Rahman di kliniknya.

Pusat Rawatan Qalbun Salim milik Profesor Dr. Haji Shahrin Abdul Rahman di Taman Sabariah,
Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.


Contoh garam bukit yang telah dikomersialkannya.

Garam biasa.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan