RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Khamis, 10 April 2014

Krisis Bekalan Air


KRISIS BEKALAN AIR

SEJAK tahun 2010, hujan semakin segan dan malu untuk turun ke bumi. Hanya sekali sekala hujan turun juga, itupun mungkin terlalu kasihan terhadap makhluk-makhluk Allah yang kerdil seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang sentiasa mengharap dan meminta supaya Allah turunkan hujan supaya makhluk-makhluk berkenaan tidak terlalu kekeringan dan mati. Namun, tahun 2012 hujan semakin malas untuk menitis walau setitik air kerana mungkin geram dengan sikap manusia. Apakah petanda yang menyebabkan hujan enggan lagi turun ke bumi, menyebabkan takungan air di sesetengah tempat dalam bumi kita ini semakin parah. Adakah sikap manusia yang semakin tamak, enggan menggunakan mindanya untuk berfikir, lalai dari arahan serta peringatan Allah dan Rasul-Nya, disebabkan banyaknya pencemaran dan unsur-unsur pencemaran dari bumi mengalir ke dalam sistem bekalan air bersih, air dibazirkan begitu saja, engkar dengan amanat dan amanah Allah atau mungkin disebabkan terlalu banyak kes-kes pembunuhan sejak kebelakangan ini?

Alam sekitar terutamanya air adalah penting bukan sahaja kepada manusia malah juga terhadap makhluk-makhluk Allah yang lain yang hidup melata di bumi ini. Dalam hal ini, kita sebagai manusia jangan lupa, apabila dikatakan alam sekitar peranan gunung, bukit, tanah tinggi dan tumbuh-tumbuhan adalah seperti aur dengan tebing, seperti adik-beradik yang saling memerlukan. Apabila salah satu unsur-unsur berkenaan dirosakkan, misalnya gunung dan bukit digondol, saliran air bersih dicemari, kawasan tanah tinggi dimusnahkan dan sebagainya, menyebabkan berlaku masalah alam sekitar. Itulah manusia, mereka sanggup menerima amanat untuk menjaga dan memikulnya, akhirnya alam menjadi porak peranda kerana sikap manusia. Dalam Al-Quran Allah S.W.T  berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat (tanggungjawab) kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi mereka enggan untuk memikulnya dan takut terhadap tanggungjawabnya. Manusia mahu memikulnya, tetapi manusia itu banyak kesalahannya dan bodoh". (Surah Al-Ahzab : 72)

Musim kemarau yang melanda negara dan khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 2010 lalu, paras air bersih yang digunakan sebagai minuman, mencuci pakaian dan untuk keperluan mandi yang pada masa dulu melebihi paras keperluan, tetapi kini telah susut dan semakin menurun. Walaupun aktiviti menggali perigi untuk tujuan menampung keperluan air juga sukar ditemui dan sumber bekalan air bersih sebagaimana yang diharapkan tidak berhasil. Malahan RELATIF difahamkan tangki Air Kelantan Sdn. Bhd sendiri pun semakin susut dengan perkembangan musim kemarau ini. Kenapa jadi begini?

Masyarakat kita jangan terlalu berharap bahawa bekalan air bersih masih mencukupi walaupun kita masih sempat minum, mandi, mencuci pakaian dan pinggan mangkuk. Kekurangan bekalan air yang menyebabkan beberapa batang sungai dan tempat simpanan air turut kering sebagaimana yang dialami di beberapa negeri sebelum ini adalah sebagai pengajaran bahawa air semakin berkurangan. Namun, di sesetengah tempat tabiat membazirkan air masih terus dilakukan.

Dalam jangka panjang, manusia akan menghadapi krisis sumber bekalan air yang serius seiringan dengan krisis makanan dan krisis nilai mata wang yang juga dijangka bermasalah. Namun, air adalah lebih berharga berbanding makanan. Tanpa makanan, manusia masih dapat hidup, sebaliknya jika tanpa air untuk selama tiga hari sahaja, manusia akan mati. Maknanya air itu lebih penting, tetapi jika air yang diminum turut tercemar ternyata akan lebih mendatangkan kesan buruk kepada jangka hayat manusia.

Menurut fakta, dianggarkan kira-kira 1.2 bilion penduduk kini kekurangan bekalan air bersih disebabkan beberapa punca seperti pencemaran, kemarau, pembaziran air, pembebasan karbon dioksida di udara, masalah lapisan ozon yang semakin nipis akibat pelepasan bahan-bahan kimia dan racun makhluk perosak, aktiviti pembalakan dan pembakaran terbuka serta peningkatan jumlah penduduk bumi dua kali ganda atau lebih dalam abad yang akan datang.

Wartawan alam sekitar BBC, Alex Kirby melaporkan "bumi ini tidak lagi mempunyai air bersih berbanding 2,000 tahun lalu apabila penduduk kurang dari saiz tiga (3) peratus daripada saiz hari ini".

Perbezaannya amat jelas apabila negara-negara Timur Tengah sebelum ini yang dilaporkan jarang-jarang mendapat hujan seperti Israel, Jordan dan Syria memperolehi sumber air dari Lembah Sungai Jordan. Tetapi kini, akibat dari kekurangan bekalan air tersebut, beberapa buah negara seperti Arab Saudi, Israel, Jordan dan Afrika terpaksa mengimpot air bersih, malah dianggarkan dalam tempoh 25 tahun lagi, kira-kira 48 buah negara dengan lebih dari satu pertiga penduduk dunia akan menderita kehausan air.

Semasa musim kemarau pada tahun 1984-1985 di Mesir, jumlah air yang mengalir ke Aswan telah jatuh sebanyak 38 bilion meter padu, di bawah bahagian yang diperuntukkan kepada Mesir. Manakala pada tahun 1986, simpanan air Mesir telah jatuh ke paras 24 bilion meter padu atau kurang satu perlima daripada kandungan simpanannya dan lebih kurang satu pertiga jumlah penggunaan tahunannya. China juga menghadapi kekurangan bekalan air yang mana hanya lapan (8) peratus air jernih yang boleh dibaharui selain Rusia juga turut menjadi kontang akibat penggunaan air yang berlebihan.

Bagaimana pula dalam konteks negara kita, walaupun mempunyai standard sistem dan pengurusan air yang terbaik dengan adanya sistem takungan dan tempat tadahan air serta sungai-sungai dan tasik, adakah cukup untuk menampung generasi hari ini akan datang?

Beberapa kes catuan air serta kejadian beberapa batang sungai yang turut kering akibat kemarau sebelum ini adalah menjadi pengajaran kepada masyarakat di negara kita supaya tidak terus membazirkan air dan tidak mencemari sumber bekalan air bersih itu.

Kita sedia maklum bahawa, petanda kemarau yang mengakibatkan sungai dan tempat tadahan air menjadi kering adalah berpunca dari sikap manusia sendiri iaitu dengan sengaja mencemari bekalan air, menggondol bukit-bukau dan aktiviti menebang pokok dengan sewenang-wenangnya.

Perbuatan membuang sampah, menyalurkan sisa bahan kimia dan toksik ke dalam sumber bekalan air adalah sikap yang tidak bertanggungjawab manusia terhadap ekologi yang secara langsung menyebabkan air bersih semakin susut dan berkurangan.

Usaha pihak Jabatan Pengairan dan Saliran memulihkan beberapa batang sungai tercemar sebelum ini seperti Sungai Klang, Sungai Juru, Sungai Kinta, Sungai Melaka dan Sungai Kedah adalah menunjukkan bahawa negara kita juga mengalami masalah sumber air tersebut.

Sejajar dengan itu, kalau sikap suka membazirkan air tidak dibendung, lambat-laun masyarakat di negara ini akan menghadapi krisis air yang kronik dan menderita kehausan air berpanjangan dan mungkin selama-lamanya.

Justeru, ingatlah kepada titah "Parakrama Bahu The Great", iaitu Raja Sri Lanka pada abad ke-12 telah membentuk satu standard pengurusan air iaitu "jangan membiarkan setitik air hujan mengalir ke laut tanpa memberi faedah kepada manusia". Dengan itu, hargailah air sebagaimana kita menghargai nyawa kita sendiri.

Air semakin susut.


Air keruh dan berkelodak sebagai tanda kekurangan bekalan air.


Sungai dan saliran air juga semakin cetek.

 Tulisan dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan