RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Khamis, 1 Mei 2014

Misteri Pohon Pauh Butut


MISTERI POHON PAUH BUTUT

BACHOK, KELANTAN KAMPUNG PAUH BUTUT yang terletak di daerah Gunong, Bachok, Kelantan pada masa dahulu memang agak tersohor di seluruh negeri Kelantan. Ini kerana, kampung berkenaan diberi nama berdasarkan kepada nama sebatang pohon pauh (mangga) yang kulitnya memang kelihatan menggerutu atau berbonjol seperti kulit buaya sejak dahulu lagi. Pokok ini kelihatannya selain tumbuh subur sehingga hari ini berhampiran dengan sawah padi dan usianya dianggarkan lebih 300 tahun berbanding dengan pohon-pohon pauh lain yang sudah lama menyembah bumi, namun sesuatu yang menariknya ialah pohon pauh ini dikatakan banyak menyimpan pelbagai kejadian aneh dan misteri yang hanya diketahui oleh segelintir warga emas dan penduduk asal dari kampung itu sahaja.

Bagi mendapatkan gambaran di sebalik misteri, keanehan dan peristiwa pelik tentang pohon paut butut itu, Wartawan RELATIF sempat menemui Imam Masjid Kampung Pauh Butut, Ibrahim Zakaria, 58, atau dikenali Abang Him Tok Imam dari Kampung Bukit Kechik, Gunong dekat sini. Imam Zakaria yang merupakan penduduk asal Kampung Pauh Butut sanggup berkongsi cerita tentang pohon paut butut yang masih kekal sehingga kini.

Katanya, apa yang diketahuinya, pohon pauh butut adalah sekadar pohon pauh semata-mata tetapi tidak lebih dari itu. Pohon pauh itu pada masa dulu memang berbuah agak lebat, ternyata menjadi kegemaran kanak-kanak kerana isi buahnya amat enak dan sedap dimakan berbanding pohon pauh yang lain. Tetapi penyebab kepada pohon pauh itu dikatakan berpuaka dan kadang-kadang mengusik disebabkan kepercayaan orang-orang tua dahulu.

"Kanak-kanak memang datang setiap hari memetik buahnya untuk dimakan. Tidak pula terkena mudarat seperti sakit perut, demam atau pitam. Abang Him sendiri sering lalu lalang di bawah pohon itu, sebab rumah Abang Him di sebelah hulu pohon pauh itu saja", jelas Imam Ibrahim.

Tetapi satu hal sahaja menurutnya, mereka menganggap pohon pauh butut itu adalah sebatang pokok yang yang agak pelik lantas mereka mengadakan jamuan dengan meletakkan kelapa muda dan selepas itu melakukan pemujaan di bawah pohon itu umpamanya mengadakan permainan rakyat seperti menora, mak yong dan main puteri.

Disebabkan kepercayaan yang agak menebal di kalangan masyarakat pada masa itulah kononnya pokok seperti itu berpuaka, apabila syaitan dan iblis mula masuk campur dengan menjelmakan dirinya dalam pelbagai rupa menjadikannya seperti ada penunggunya. Hakikatnya selepas itu menyebabkan kanak-kanak atau sesiapa sahaja yang lalu lalang di bawah dan di sekitar pohon pauh itu seakan fobia dan menjadi takut walaupun kejadian seumpama itu tidak pernah dialami sebelum ini.

Tambah Imam Ibrahim, kisah bermula yang menjadikan pohon pauh butut itu tiba-tiba berpuaka adalah sewaktu pembinaan sistem perparitan dalam tahun 1960. Sebuah syarikat kontraktor berbangsa Cina dari Perak itu pada mulanya menolak untuk menumbangkan pohon pauh butut itu kerana badannya terasa sesuatu yang agak pelik iaitu seperti diserang rasa takut dan sesekali timbul kebimbangan. Walau dengan cara mana sekalipun, beliau tidak berhasrat untuk berbuat demikian. Namun, atas dasar kerja patut diteruskan apabila tiada alternatif lain, pohon pauh butut itu perlu juga ditebang, dengan itu kerja-kerjanya diteruskan.

Tetapi sesuatu agak aneh berlaku apabila enjin jentolak yang digunakan untuk menumbangkan pohon pauh itu mati secara tiba-tiba. Apabila enjin jentolak itu dihidupkan, enjinnya memang hidup untuk menunjukkan jentolak itu tidak ada masalah. Namun, apabila cuba untuk menumbangkan pohon pauh itu buat kali kedua, dengan tiba-tiba enjinnya mati pula. Disebabkan keadaan agak luar biasa itu, menyebabkan pengurus kontraktor itu membuat saranan supaya hasrat untuk menumbangkan pohon pauh butut itu dibatalkan dan meminta pohon pauh itu dikekalkan di situ. Sebaliknya pula terjadi, apabila selang beberapa hari kontraktor itu diserang sakit yang berpanjangan seperti sakit di seluruh tubuh dan sakit perut.

"Orang-orang tua dahulu memang percaya pokok pauh itu memang ada penunggunya. Mereka kata pernah terserempak dengan dua lembaga yang menghuni dalam pokok itu. Tetapi sejak dulu sehingga hari ini, Abang Him tak pernah pun lihat lembaga itu muncul", ujarnya.

Tambah Imam Ibrahim lagi, beliau juga turut diberitahu oleh beberapa orang penduduk kampung yang menyatakan, setiap kali tibanya waktu malam ramai yang pernah melihat dua biji mata yang agak besar sedang memerhatikan ke arah mereka. Malahan terdapat juga daripada dakwaan beberapa penduduk kononnya apabila seseorang berdiri di bawah pohon pauh butut itu sambil mendongak ke atas kelihatan seperti suatu lembaga yang sedang memerhatikan ke bawah atau memerhatikan orang yang lalu lalang di bawah dan di sekitarnya.

"Paling kerap Abang Him dengar ada orang memberitahu terlihat seperti cahaya api pelita ayam seumpama ada orang sedang menyuluh untuk mencari sesuatu di bawah dan di sekitar pohon pauh butut itu kira-kira jam 2.00 hingga 4.00 pagi.

Pernah juga penduduk dari kampung berdekatan yang melalui jalan pohon pauh itu pada waktu malam terdengar seperti suara orang sedang bercakap-cakap berhampiran pohon tersebut seolah-olah sedang menyakat orang yang lalu lalang, sedangkan tidak kelihatan lembaga sebagaimana yang dimaksudkan. Kejadian sedemikian berlaku hanya kepada penduduk-penduduk luar iaitu dari kampung lain tetapi tidak kepada pendudukm dari kampung ini", cerita Imam Ibrahim seterusnya.

Katanya, ada juga individu pernah disakat ketika melalui di bawah pohon pauh tersebut sehinggakan ada di kalangan kanak-kanak dan orang-orang dewasa sendiri yang terkena sampuk oleh penunggu pohon pauh itu menjadi demam dan mengalami pelbagai kesakitan. Namun bagi Imam Ibrahim, kejadian seumpama itu kadang-kadang sahaja berlaku apabila didakwa penunggu pohon pauh itu tiba-tiba 'mengamuk' disebabkan jamuan lambat disediakan. Punca peristiwa itulah menyebabkan ada di kalangan penduduk dari kampung berkenaan menjadi takut untuk melalui kawasan itu apatah lagi penduduk-penduduk dari kampung lain.

"Satu lagi kejadian yang ada kaitan dengan amukan penunggu pohon pauh itu ialah kejadian bunuh diri pada tahun 1974. Kejadian ini berlaku di kawasan sebuah perigi yang terletak berhampiran pohon pauh itu.

"Ceritanya, seorang lelaki dari Pasir Mas beristerikan penduduk dari kampung ini, tiba-tiba pasangan suami isteri itu bertengkar. Tanpa berfikir panjang suaminya bertindak nekad terjun ke dalam perigi berkenaan lalu meninggal dalam perigi itu", jelas Imam Ibrahim apabila diminta mengaitkan kejadian pohon pauh itu dengan krisis rumahtangga pasangan berkenaan pada tahun tersebut.

Katanya menambah, kejadian pohon pauh butut berpuaka itu memang tidak pelik baginya kerana sesuatu yang pelik adalah sikap manusia itu sendiri yang lebih percayakan perkara-perkara tahyul dan khurafat. Syaitan dan iblis akan mengusik manusia secara psikologi seperti menjelma dalam bentuk lembaga jikia manusia itu mempercayai kehebatan makhluk ghaib itu. Namun menurutnya, jelmaan adalah sekadar jelmaan sahaja tetapi tidak boleh mendekati manusia, kerana apabila hampir dengan manusia mereka akan ghaib semula ke alamnya.

Sebaliknya, jika boleh mendekati dan menyentuhi manusia, ia bukan dari kalangan syaitan atau iblis tetapi mungkin makhluk lain. Malah, kadang-kadang jikalau syaitan dan iblis itu boleh rapat dengan manusia apatah lagi ingin berbaik-baik dengan manusia, mereka boleh melakukannya dengan menjelma dalam bentuk manusia dan begitulah sebaliknya.

Seraya dengan itu, Imam Ibrahim amat berharap supaya umat-umat Islam menjauhi perkara-perkara tahyul dan khurafat kerana perbuatan sedemikian boleh menimbulkan syirik terhadap Allah malah boleh merosakkan akidah. Menurutnya, syaitan dan iblis yang dinamakan oleh manusia sebagai hantu, pontianak, langsuir dan sebagainya memang wujud kerana memang telah dijelaskan di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W  bahawa, syaitan dan iblis itu adalah berpunca dari penciptaan Adam a.s  apabila Allah S.W.T  memerintahkan makhluk berkenaan supaya sujud kepada Nabi Adam, namun iblis enggan kerana iblis menganggap dirinya lebih mulia kerana diciptakan Allah dari api berbanding Adam yang hanya dijadikan dari tanah. Kerana sikap keras dan durhakanya iblis terhadap Allah S.W.T  itulah, maka iblis memohon kepada Allah untuk menggoda dan menyesatkan umat manusia sehingga hari kiamat.

Justeru menurut Imam Ibrahim, jika ada individu yang terlihat dengan pelbagai jelmaan dari makhluk halus, mintalah perlindungan daripada Allah S.W.T,  sebab iblis dan syaitan tidak mampu berbuat apa-apa tanpa izin Allah dan hanya Allah S.W.T  sahaja tempat untuk setiap umat manusia memohon pertolongan mahupun perlindungan bukannya daripada iblis dan syaitan.

Imam Ibrahim Zakaria atau Abang Him Tok Imam.

Imam Ibrahim ketika menceritakan perihal pohon pauh butut.

Papan tanda terletak berhampiran pohon pauh butut.

Pohon pauh butut dari jarak yang jauh.

Inilah pohon pauh butut berusia lebih 300 tahun.

Keadaan kulitnya yang menggerutu dan wajah batangnya seperti lembaga yang menyeramkan.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan