RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Sabtu, 10 Mei 2014

Misteri Wanita Bertongkat


MISTERI WANITA BERTONGKAT


KOTA BHARU, KELANTAN:  MAKHLUK halus ada di mana-mana sama ada di gua, gunung, bukit-bukau, hutan belantara mahupun di jalanan, kawasan luar dan dalam rumah malah turut berada di luar dan di dalam masjid. Ini kerana, manusia sebenarnya berkongsi alam dengan makhluk halus. Justeru, manusia dan makhluk halus bebas ke mana-mana pergi di alam ini menurut kemahuan masing-masing.

Bezanya, di antara makhluk halus dengan manusia, sebahagian manusia tidak dapat melihat mereka bahkan sebahagiannya pula dapat melihat mereka berdasarkan kelebihan, anugerah dan ilmu yang dimiliki. Walaupun begitu, apabila dikatakan makhluk halus, terdapat dua kategori di kalangan koloni makhluk berkenaan iaitu “jin Islam” dan “jin kafir (jin bukan Islam)”. Jin Islam memang sering datang ke masjid semata-mata untuk bersolat dan melakukan ibadat sebagaimana yang dilakukan oleh manusia. Hanya segelintir di kalangan jemaah masjid yang tidak dapat melihat kelibat mereka sedang bersolat di dalamnya.

Lazimnya pula, makhluk halus akan keluar pada malam hari terutamanya ketika "petang hari" (waktu Maghrib) kerana waktu berkenaan merupakan pertukaran masa. Koloni mereka menggunakan masa-masa tersebut untuk melakukan aktiviti mencari rezeki seperti bekerja dan berusaha membina penempatan dan kumpulan. Walau pun dikatakan makhluk halus akan muncul dengan jelas pada malam hari, tetapi adakalanya makhluk halus ini menjelma waktu siang hari dan mereka ke sana ke mari sepertimana yang dilakukan oleh manusia juga walaupun sebahagian makhluk halus ini sememangnya tidur di siang hari seperti jin-jin kafir yang menyerupai haiwan seperti lembu, ular, gajah dan sebagainya.

Membicarakan tentang makhluk halus ini, pengalaman Wartawan RELATIF dapat melihat makhluk halus seumpamanya memang sering kali tanpa mengira keadaan masa dan tempat, sama ada di siang hari mahupun di malam hari. Contoh jelas dapat melihat jin Islam datang bersolat bersama-sama makmum manusia di sebuah masjid di Lundang, Kota Bharu memang kerapkali dilihat bukan sahaja ketika solat Jumaat tetapi juga ketika solat berjemaah lima waktu itu.

Pada 6 Mei, 2014 lalu, Penulis pernah melihat seorang jin lelaki (jin Islam) datang bersolat di masjid berkenaan, ketika itu solat Isyak. Tetapi pada 7 Mei, 2014 pula jin berkenaan duduk berdekatan dengan Penulis, pada ketika itu dengan tiba-tiba Penulis berasa mengantuk. Jin berkenaan berlalu pergi apabila Imam membacakan wirid “lillah hima fis saama…”, dengan tiba-tiba jin berkenaan berlalu pergi dan ghaib betul-betul di hadapan Penulis. Ketika itu, jin berkenaan memakai ketayap putih, berbaju Melayu putih lusuh dan kain pelikat berwarna coklat. Manakala pada 8 Mei, 2014 pula, jin berkenaan (mungkin jin lelaki yang sama seperti semalam) duduk bersebelahan dengan Penulis. Ketika itu solat Subuh di masjid yang sama, jin berkenaan juga berlalu pergi dan ghaib setelah Imam membacakan wirid “lilah hima fis saama”. Pakaian yang dipakai oleh jin itu hampir sama tetapi bentuk kain pelikat dan warna coklatnya agak tebal tidak sebagaimana sebelumnya. 

Melihatkan kedua-dua pengalaman ini, Penulis kemudiannya memaklumkan kepada isteri sekembalinya Penulis ke rumah. Apabila hal berkenaan dibicarakan tentang jin tersebut, dengan tiba-tiba seluruh tubuh Penulis menjadi gatal dan kelihatannya bintik-bintik gatal itu tumbuh dengan pantas. Paling jelas di bahagian pergelangan tangan selain di bahagian belakang memang Penulis tidak dapat melihatnya, kecuali bahagian muka. Walau bagaimanapun, munculnya bintik-bintik itu adalah buat sementara sahaja, kemudiannya beransur hilang kecuali di bahagian pergelangan tangan, bintik-bintik itu hilang apabila menjelang waktu tengah hari dan setelah peluh keluar dari rongga kulit.

Kejadian itu berlaku di masjid terbabit kerana melihat jin Islam datang ke situ semata-mata untuk beribadat dan bersolat bersama-sama jemaah manusia. Namun, kejadian yang berlaku pada 7 Mei, 2014 ketika Penulis bermotosikal ingin melakukan solat Subuh di masjid tersebut, Penulis turut melihat jelmaan wanita tua bertongkat, badannya agak gempal, langkahnya perlahan dan muncul dari arah semak berhampiran sebuah rumah di Jalan Tengku Mohd. Ma'asum - Jalan Bawah Lembah.

Ketika itu, Penulis tiba di sebatang cabang di laluan itu dan berhenti di sebuah cabang laluan berkenaan di Jalan Tengku Mohd. Ma’asum - Jalan Bawah Lembah itu. Penulis berhenti di cabang itu untuk melihat laluan kenderaan lain di situ. Sememangnya pagi itu, tiada kenderaan yang lalu-lalang, yang agak pelik bagi Penulis ialah bunyi deruan enjin kereta yang memecah kesunyian pagi itu. Agak lama juga Penulis berhenti di cabang itu semata-mata ingin melihat kereta yang mungkin dipandu laju mendengarkan bunyi enjin yang kuat seperti itu, tetapi tiada kereta yang muncul.

Dalam keadaan kehairanan itu, dengan tiba-tiba muncullah wanita misteri yang dikatakan bertongkat, jalan bongkok dan perlahan dari arah semak berhampiran rumah yang dimaksudkan. Agak lama juga Penulis memerhatikan ke arah wanita misteri itu. Ketika itu azan Subuh mula berkumandang di surau dan masjid berhampiran, dengan tiba-tiba wanita berkenaan ghaib di tepi jalan dari arah semak itu. Melihatkan suasana itu, Penulis terpaksa memulakan perjalanan ke masjid berkenaan kerana bimbang ketinggalan solat Subuh berjemaah.

Walaupun begitu, laluan berkenaan pada masa dulu sering berlaku nahas jalan raya. Bukan saja disebabkan kecuaian manusia sebagai pemandu kenderaan yang menyebabkan nahas terbabit, namun gangguan jalanan tentang jelmaan makhluk ghaib di kawasan itu memang ada benarnya, sementelah makhluk berkenaan memang gemarkan cahaya lampu jalan yang berwarna kuning, menjadi tarikan makhluk berkenaan untuk berkeliaran di kawasan terbabit. Sering kali juga wujudnya jelmaan seperti seekor seladang jantan yang agak besar sedang bersimpuh di tengah-tengah laluan tersebut yang menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan. Bahkan terdapat juga wanita tua yang agak kurus sering berkeliaran dan mundar-mandir di Jalan Tengku Ma’asum-Jalan Bawah Lembah itu apabila menjelang jam 12.00 malam hingga 4.00 pagi. 

Justeru, kalau di alam manusia suasananya akan melalui pagi dan siang, di alam mereka waktu tengah hari. Menjadi kebiasaan manusia bertembung dengan makhluk halus di waktu-waktu berkenaan kerana malam hari di alam manusia adalah siang hari di alam makhluk halus. Adalah menjadi kelaziman, makhluk-makhluk berkenaan muncul kerana mereka juga seperti manusia, ada keluarga, anak-pinak, rumahtangga dan perkampungan serta bekerja untuk mencari rezeki.

Di sinilah (anak panah), wanita bertongkat itu menjelma secara tiba-tiba dari arah semak.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan