RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Isnin, 30 Jun 2014

Lemak: Risiko Kesihatan


LEMAK: RISIKO KESIHATAN


KITA akan berasa risau apabila mendapati tubuh badan tiba-tiba menjadi gemuk dan dikatakan banyak lemak. Tetapi individu yang gemuk menganggap lemak dalam badan sebagai perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan. Malah dalam sajian makanan harian, ada orang tidak gemar makanan yang berlemak tetapi tidak kepada individu yang menggemari makanan yang mengandungi kadar lemak yang ketara.

Dari kedua-dua perbandingan tersebut yang berdasarkan konsep pemakanan Malaysia hari ini, jelaslah yang mengandungi kadar lemak amat digemari masyarakat kita. Malahan mereka tidak mempedulikan makanan itu mengandungi lemak atau sebaliknya. Maka tidak hairanlah, ramai rakyat di negara ini bertubuh gemuk dan menyimpan banyak lemak.

Lemak merupakan sumber tenaga kalori yang padat. Nama lain bagi lemak juga disebut sebagai lemak beku, lelemak dan lemak khinzir (lard). Lemak boleh didapati melalui makanan secara semula jadi serta lemak secara tersembunyi.

Lemak secara semula jadi boleh didapati dari minyak, mentega, majerin, minyak sapi serta santan. Manakala lemak secara tersembunyi boleh diperolehi daripada makanan siap masak umpamanya karipap, kek, daging berlemak dan makanan bergoreng.
Kandungan Lemak Dalam Makanan

Di samping itu, makanan segera dan snek juga adalah contoh lemak dari sumber yang tersembunyi walaupun tidak kelihatan berlemak atau berminyak.
Dalam konteks pemakanan harian, lemak mengandungi dua peringkat iaitu lemak tepu dan lemak tak tepu. Menurut Unit Pendidikan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Kelantan, lemak tak tepu adalah lembut dan cair pada suhu yang rendah seperti di dalam peti ais. Ia diperolehi daripada sumber tumbuhan yang mengandungi dua jenis iaitu:
1. Mono tak tepu seperti minyak zaitun serta minyak kelapa sawit.
2. Poli tak tepu umpamanya minyak bunga matahari, minyak jagung dan majerin lembut.
Lemak tak tepu kurang membahayakan kesihatan kerana bersumberkan tumbuh-tumbuhan. Manakala lemak tepu boleh memudaratkan kesihatan seandainya pengambilannya secara berlebihan. Ini kerana, lemak tepu banyak diperolehi dari sumber haiwan dan beberapa lemak sayuran umpamanya santan. Pengambilan lemak tepu yang berlebihan di dalam badan boleh menyebabkan risiko serangan penyakit jantung dan darah tinggi.
Hakikat yang sebenarnya, tubuh kita sememangnya memerlukan kehadiran lemak kerana lemak merupakan sumber tenaga yang baik dan diperlukan untuk pencernaan vitamin larut lemak. Ia juga memberi rasa dan kualiti tekstur yang menjadikan makanan itu berperisa.
Walaupun begitu, kehadiran lemak yang berlebihan dalam badan boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan umpamanya menyebabkan penyakit jantung koronari, angin ahmar, kegemukan dan serangan kanser.
Sementara itu, berdasarkan buku "Makan Untuk Kesihatan", Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan, beberapa lokasi atau kawasan lemak dalam badan manusia merupakan faktor penting untuk menentukan risiko kesihatan bagi orang dewasa.
Menurut kajian tersebut, lebihan lemak di bahagian perut atau disebut "bentuk epal" mempunyai risiko yang lebih besar berbanding lebihan lemak di bahagian pinggang atau paha yang disebut sebagai "bentuk pear". Lebihan lemak di bahagian perut dikaitkan dengan darah tinggi, kencing manis (diabetes), peringkat awal penyakit jantung dan beberapa jenis kanser tertentu. Manakala jika anda lebih lebar di bahagian pinggang daripada bahagian pinggul, anda mempunyai risiko yang tinggi mendapat penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung koronari dan lain-lain penyakit kronik.

Berikutan itu, elakkanlah pengambilan lemak yang berlebihan terutamanya yang bersumberkan haiwan dan dapatkan juzuk makanan yang mengandungi rendah lemak umpamanya tauhu iaitu hasil kacang soya, kacang, kekacang, ikan, bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan. Juzuk makanan berkenaan tidak dihadkan pengambilannya walaupun mengandungi lemak.
Langkah Mengurangkan Pengambilan Lemak
Dalam hubungan "lemak" dengan kesihatan manusia, lemak boleh dikurangkan apabila setiap individu dapat mengikuti beberapa langkah tertentu. Contohnya, masakan tradisi Melayu yang diamalkan di masa lampau menyumbang kepada penjagaan kesihatan kerana masakan berkenaan ternyata dapat mengurangkan lemak dalam makanan sebagaimana cara-cara berikut:
1. Memasak secara merebus atau mengukus.
2. Mengamalkan kaedah "bakar" dan memanggang ketika memasak.
3. Buangkan lemak dalam daging dan ayam sebelum dimasak.
Dengan yang demikian, berhati-hatilah dengan diet dan pemakanan anda khususnya terhadap penggemar makanan yang mengandungi lemak. Kehadiran penyakit kronik khususnya yang berpunca dari pengambilan lemak amat menyusahkan. Walaupun begitu, keputusan untuk menghindarinya adalah di tangan anda. Makanlah makanan berdasarkan pengetahuan kesihatan dan hindari makanan kerana runtunan nafsu selera semata-mata.

Kandungan lemak dalam ayam juga boleh mengancam kesihatan tanpa disedari.

Kurangkan pengambilan lemak dalam daging lembu.

Walaupun daging telah dimasak, namun kehadiran lemak masih lagi wujud.

Ikan: pemakanan selamat dari lemak. Lebihkan pengambilannya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan