RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Rabu, 1 Januari 2014

Misteri Diusik Makhluk Halus


MISTERI DIUSIK MAKHLUK HALUS

JERTEH, TERENGGANU: KAWASAN yang masih belum diteroka dan terpencil memang telah menjadi kawasan dihuni pelbagai makhluk, selain haiwan, makhluk halus ternyata gemarkan kawasan-kawasan tersebut kerana dianggap bebas dari gangguan terutamanya dari manusia. Ini menunjukkan makhluk halus menjauhkan diri dan koloni mereka dari manusia supaya bebas dari gangguan berkenaan. Tetapi apabila manusia memulakan angkara, koloni mereka yang bertindak semata-mata untuk menyelamatkan keluarga dan koloni mereka itu.

Sebab itulah, individu yang masuk ke hutan mahupun ke bukit-bukau jika tidak membuat persediaan awal dari pelbagai kemungkinan, ada di kalangan mereka yang diganggu oleh makhluk ghaib itu. Apatah lagi, jika kawasan-kawasan yang tidak diketahui manusia sebagai tempat makhluk halus itu menghuni telah menyebabkan kawasan-kawasan berkenaan menjadi satu kawasan lapang tentunya menyakitkan golongan makhluk-makhluk berkenaan.

Kes-kes gangguan seumpama ini bukan lagi dianggap sebagai kes-kes terpencil, kerana jika manusia mengganggu penempatan makhluk terbabit, sudahnya manusia pula yang ditimpa celaka. Gangguan dan usikan pasti mencabar keberanian manusia yang dianggap sebagai penghuni baru di kawasan terbabit, malah jika manusia itu tetap dengan kesabarannya, mereka akan tetap berada di kawasan itu dan jika tidak pastinya akan cabut lari.

Pengalaman seumpama ini biasa terjadi apatah lagi kisah seorang pekerja ladang, Wan Azman Wan Mohammad, 54, dari Kampung Padang Luas, Jerteh, Terengganu ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu berkata, kejadian beliau diusik makhluk halus ketika bekerja di sebuah ladang ternakan lembu di Padang Hijau iaitu kira-kira 11 batu dari Pekan Kluang, Johor pada tahun 1975 dulu sememangnya kejadian yang tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini.

Beliau yang merupakan seorang Pegawai Veterinar, Bahagian Ternakan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Pasir Puteh, Kelantan berkata, ketika kejadian beliau ketika itu berusia 22 tahun (masih bujang) dan berada di salah sebuah rumah yang didudukinya seorang diri.

Katanya, kejadian itu berlaku pada malam hari raya aidilfitri iaitu sekitar jam 3.00 pagi. Rumah kakitangan ladang yang didudukinya itu berada di atas bukit. Hanya beliau seorang diri sahaja di rumah itu kerana rakan-rakannya yang lain telah pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut hari raya aidilfitri. Baginya yang masih seorang bujang, tidak perlulah beliau pulang kerana kalau pulang pun tiada kerja yang perlu dilakukannya di kampung, jadi biarlah beliau di rumah itu sahaja.

Dalam kejadian jam 3.00 pagi itu, beliau terdengar pintu rumahnya diketuk untuk menunjukkan ada tetamu pada pagi itu. Katanya, orang yang mengetuk pintu rumahnya itu memanggil namanya “Wan” sebanyak tiga kali. Di Padang Hijau itu, nama ringkas yang sering dipanggil oleh rakan-rakan dan kakitangan di situ kepadanya dengan panggilan “Wan” sahaja. Namun, panggilan tiga kali sebagaimana yang didengarinya agak jelas itu tidak disahutnya.

“Pada mulanya, saya mengamati suara panggilan itu adakah pemanggil berkenaan akan masuk ke dalam rumah saya, tetapi tidak nampak pun pemanggil terbabit yang masuk ke rumah saya.

“Dalam masa yang sama, saya pun agak hairan, siapakah yang memanggil nama saya sedangkan hanya saya seorang saja yang berada di rumah ladang itu”, katanya.

Pada keesokan harinya, beliau bertanya kakitangan unit lain yang bertugas di pejabat unit berkenaan, adakah kakitangan berkenaan yang datang ke rumahnya jam 3.00 pagi itu, namun mereka menafikannya. Apabila mengetahui jawapan tersebut, dia terus berfikir, siapakah yang datang menemuinya pagi-pagi buta itu. Sehingga sekarang ini pun, beliau masih berfikir tentang pengalamannya itu, siapakah yang datang ke rumahnya pada pagi tersebut. Dan jawapan untuk persoalan tersebut masih belum terjawab sehingga hari ini.

Katanya, keluasan ladang ternakan itu kira-kira 5,000 ekar. Jadi semua kakitangan di ladang berkenaan semuanya pulang ke kampung kecuali beliau dan kakitangan pejabat di unit yang lain tidak pulang ke kampung disebabkan pada masa itu beliau masih bujang lagi.

Menceritakan perihal ladang ternakan lembu itu, ladang berkenaan baharu dibuka kira-kira 1,000 ekar yang terletak di kawasan hutan dan berbukit. Jadi katanya, apabila kawasan hutan dan bukit dibina projek tentunya gangguan makhluk ghaib pastinya akan berlaku.

Ketika kejadian beliau diganggu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kira-kira jam 3.00 pagi itu, tidak timbul pun di fikirannya hal-hal yang mengarut dan tidak masuk akal sepertimana usikan yang dialaminya itu. Hanya yang difikirkannya ialah mungkin salah seorang mandur yang datang mencarinya di ladang itu. Apabila keesokannya, beliau memaklumkan hal berkenaan, namun mereka tidak mengaku pernah ke rumahnya di ladang tersebut pada pagi-pagi buta itu. Jadi, jelaslah baginya bahawa beliau telah diusik oleh makhluk halus pada pagi yang dimaksudkan.

Apabila ditanya, adakah beliau mengetahui di kawasan ladang berkenaan adalah kawasan penempatan makhluk ghaib itu, beliau menjelaskan kemungkinan itu ada sebab kawasan berkenaan masih dipenuhi hutan tebal dan berbukit pula. Apabila projek membangunkan ladang ternakan, pokok-pokok perlu ditebang dan bukit pula perlu ditarah untuk pembinaan prasarana seperti perumahan pekerja dan pejabat. Jadi, dalam hal usikan itu beliau tidak nafikan makhluk halus sememangnya ada di kawasan berkenaan kerana di situlah penempatannya asal mereka.

“Saya pernah mendengar bunyi seperti kuku mencakar dinding beberapa kali, jadi saya syaklah makhluk halus memang ada di kawasan ladang itu”, katanya menambah.

Menurutnya, berhubung dengan kejadian berkenaan beliau tidak pernah rasa tercabar diusik oleh makhluk itu, walaupun pernah mendengar suara memanggil namanya berulang kali sebanyak tiga kali. Pengalaman berkenaan dianggapnya sebagai sebahagian yang perlu dilalui untuk mengukur sejauh mana keberanian yang ada pada dirinya.

Justeru menurutnya, sebelum memulakan projek mewujudkan ladang ternakan lembu itu, tidak ada mana-mana pihak yang bercerita tentang kejadian sebagaimana yang dialaminya itu. Katanya, hutan berkenaan terletak kira-kira 11 batu dari pekan Kluang, Johor. Jadi, apabila mewujudkan ladang lazimnya akan wujud pelbagai gangguan yang tidak sepatutnya sebab sebelum ini kawasan berkenaan tidak pernah diteroka malah makhluk halus itu memang ada di mana-mana.

Wan Azman Wan Muhammad.

 Wan Azman ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Tulisan:
 AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan