RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Isnin, 30 Disember 2013

Misteri Lubuk Ikan


MISTERI LUBUK IKAN

MACHANG, KELANTAN:  KEBANYAKAN ikan lazimnya datang dari lubuk dan ikan-ikan berkenaan akan memasuki lubuk apabila didapati air semakin berkurangan dan kering. Apabila air kembali melimpah, ikan-ikan berkenaan akan mula keluar dari lubuk ke dunia luas sama ada ke sawah padi mahupun berenang ke parit dan saliran.

Membicarakan lubuk ikan, lazimnya kebanyakan masyarakat kampung akan mendapatkan ikan di lubuk-lubuk haiwan berkenaan apabila tibanya musim kemarau dengan mengadakan aktiviti menimba. Dengan cara dan kaedah ini, ikan-ikan yang berada dalam lubuk-lubuk berkenaan tidak akan dapat melarikan diri bahkan akan terperangkap di dalam lubuk-lubuk berkenaan disebabkan ketiadaan air. Apabila air terus dikeringkan, ikan-ikan berkenaan akan mudah ditangkap untuk dijadikan juadah pada hari itu.

Apabila membicarakan masyarakat kampung terutamanya remaja dan kanak-kanak amat gemar dengan aktiviti menimba ikan-ikan yang berada dalam lubuk-lubuk berkenaan. Apatah lagi, mereka sengaja mencari lubuk-lubuk ikan yang dikatakan menampung ikan-ikan besar di kawasan yang pernah dilalui orang atau kawasan terpencil. Dalam kegirangan untuk mendapatkan ikan-ikan yang berada di lubuk berkenaan, mereka sanggup menempuh risiko seperti berdepan dengan ular. Namun, hal yang sering terjadi ialah gangguan yang akan dialami di lubuk ikan terbabit.

Pengalaman seorang penduduk, Mohd. Fadli Yusoff ketika ditemui Wartawan RELATIF di Kampung Wakaf Bata, Machang, Kelantan yang sering menjadikan aktiviti menimba sebagai sebahagian aktiviti di kampungnya yang turut diganggu dengan kejadian aneh sewaktu menimba berkata, beliau turut diganggu oleh makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Pada zaman kanak-kanak tahun 1980 dulu, saya memang gemar menimba ikan. Setiap kali terlihat lubuk ikan, hanya terbayang dalam kepala saya tentunya ikan di situ banyak. Kalau saya tahu di kawasan itu ada lubuk ikan, peluang itu jarang saya lepaskan”, ujarnya kepada Wartawan RELATIF.

Katanya, di persekitaran kampungnya memang banyak lubuk ikan malahan terdapat lubuk-lubuk ikan itu yang tidak pernah diteroka dan dilalui oleh orang lain. Kawasan tempat beliau menimba ikan itu memang suatu tempat yang sunyi. Jadi, apabila musim kemarau, tentunya air dalam lubuk itu akan berkurangan dan kering, ikan-ikannya pula akan bersembunyi dalam lubuk-lubuk terbabit. Inilah masanya yang paling sesuai buat Fadli untuk menangkap ikan-ikan yang terperangkap dalam lubuk yang airnya semakin berkurangan itu.

Menurut Fadli, ikan-ikan yang dapat ditangkap dari sesuatu lubuk yang dikunjungi lazimnya ikan itu akan dibakar kerana ikan-ikan air tawar yang dikenali di Kelantan sebagai “ikan darat” memang enak dibakar. Apatah lagi, di kampungnya iaitu Kampung Banggol Cantik memang terdapat banyak lubuk ikan di mana lubuk ini tempat ikan-ikan darat seperti puyu, keli dan haruan bersembunyi dari kepanasan mentari akibat kekeringan air pada musim kemarau.

Tambah Fadli, beliau mempunyai dua adik lelaki jadi apabila beliau berasa ingin menikmati citarasa ikan darat dari sesuatu lubuk, beliau bersama-sama dua adik lelakinya itu akan bergegas ke lubuk ikan yang dimaksudkan itu dengan membawa bersama baldi, timba dan cangkul untuk dibuat batas untuk menakung dan sebagai aliran air keluar. Jadi, pada suatu petang, beliau bersama dengan adik-adiknya itu pergi menimba ikan di sebuah lubuk ikan dikenali “Lubuk Naso”.

“Zaman kanak-kanak, kita tak tahu erti takut. Sebut binatang apa, hantu atau sebagainya, sekalipun dilarang, kita akan pergi”, katanya yang menyatakan orang tuanya pernah melarangnya menimba ikan di lubuk itu bimbang sesuatu kejadian yang tidak diingini. Namun, beliau tetap ke lubuk ikan terbabit bersama-sama dua adiknya itu.

Menurut Fadli, setibanya di lubuk ikan dikenali sebagai Lubuk Naso itu, beliau bersama adik-adiknya itu akan membuat batas (menyekat ikan keluar) dan batas satu lagi untuk memudahkan air keluar dan menangkapnya. Selepas siap kerja-kerjanya itu, baharulah aktiviti menimba dilakukan.

Pada petang itu, memang Fadli bersama dua adiknya terlalu asyik melakukan aktiviti menimba supaya ikan-ikan yang dihajatkan dapat ditangkap sebelum waktu malam menjelang. Dalam keadaan hingar itu, dia memberhentikan kerja-kerjanya untuk menghilangkan rasa lenguh kerana agak terlalu lama tunduk dan menimba dalam lubuk ikan tersebut.

Dalam keadaan demikian, dia terlihat ke arah beberapa objek seperti “kulit pisang” berselerak di sana-sini seperti ada orang yang memakan isinya. Katanya, memanglah Lubuk Naso itu sebuah lubuk yang terletak di kawasan hutan tebal dalam daerah Machang, laluan singkat yang sering digunakan oleh penoreh-penoreh getah termasuk ibunya untuk ke kebun getah beberapa meter dari lubuk ikan itu.

Menurutnya, agak pelik juga dengan kulit pisang itu kerana kawasan hutan dan lubuk ikan itu tidak mempunyai sebatang pun pokok pisang, bagaimana kulit pisang itu berada di kawasan lubuk ikan itu dan jika ada kulit pisang tentunya ada orang yang telah memakannya, tetapi siapakah dia? Namun, amat mustahil ada manusia yang sengaja mencari tempat untuk memakan pisang apatah lagi di kawasan lubuk itu. Lubuk ikan bukan sebuah kawasan riadah atau perkelahan.

Tambah Fadli lagi, dia pun tidak perasan ketika awal beliau berlabuh di lubuk ikan itu sebab lazimnya lubuk ikan bukanlah sebuah kawasan yang menarik. Namun, melihat keadaan tempat berkenaan pada petang itu, kawasan lubuk ikan itu amat cantik dan menarik perhatian, seperti ada pihak tertentu yang mengurus dan menjaga kawasan lubuk ikan tersebut. Setahunya, manalah ada manusia yang sanggup membersihkan lubuk ikan yang terletak dalam kawasan hutan itu.

“Pada mulanya saya agak hairan kerana lubuk ikan itu agak cantik, seperti ada orang yang mengurusnya. Tidak mungkin penduduk kampung saya yang menguruskan lubuk itu kerana letaknya di kawasan hutan agak tebal”, ujar Fadli mengingati peristiwa pada petang tersebut.

Katanya menambah, satu hal lagi yang dianggap ganjil ialah air di lubuk itu memang tidak begitu dalam sangat, apabila ditimba beberapa kali tentunya airnya akan terus kering. Tetapi yang peliknya, apabila semakin ditimba, air itu semakin banyak dan tidak kering sehingga ke malam. Apabila hari sudah semakin senja dan dilihatnya akan Maghrib, beliau meneruskan aktiviti menimbanya dengan harapan air di lubuk itu semakin berkurangan dan kering, dengan demikian ikan yang terperangkap dalam lubuk berkenaan yang telah dibuat batas itu akan mudah ditangkap.

Namun, dilihatnya tiada ikan di kawasan itu sedangkan pada awal kedatangannya ke lubuk itu memang ada ikan yang melompat di lubuk itu. Tetapi sesuatu yang agak pelik baginya, semakin ditimba, air semakin bertambah banyak dan ikan yang diharapkannya tiada. Dalam keadaan berkenaan, dengan tiba-tiba tubuhnya berasa sesuatu yang menyeramkan, berbulu dan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan aktivitinya pada senja itu.

Disebabkan suasana yang semakin gelap dan di waktu Maghrib pula, tentunya ada sesuatu yang menunggu dan sedang memerhatikan tiga jiwa di kawasan lubuk itu yang menjadikan beliau berasa tidak selesa apabila melihat tiada ikan yang diperolehi. Jadi, beliau mengajak adik-adiknya pulang ke rumah dengan segera kerana jika berada agak lama di situ, bimbang sesuatu kejadian buruk akan berlaku.

Tambahnya, tempat beliau menimba ikan di Lubuk Naso itu merupakan tempat laluan ibunya untuk ke kebun getah sebagai penoreh di kawasan berhampiran. Katanya, ibunya akan turun dari rumahnya ke kebun getah itu mulai jam 5.30 pagi lagi untuk cepat sampai dan supaya getah yang ditoreh akan diperolehi dengan banyak kerana suasananya yang agak sejuk dan pada hari itu, beliau ke sekolah seperti biasa. Manakala ibunya pula seperti biasa akan ke kebun getah dengan melalui kawasan Lubuk Naso, tempat Fadli dan adik-adiknya sedang menimba petang semalam.

Pada hari esoknya, apabila beliau pulang dari sekolah, ibunya memaklumkan kepadanya bahawa suatu suara tiba-tiba memanggil ibunya ketika ibunya melintasi Lubuk Naso itu untuk menoreh di kebun getah berhampiran. Mendengar suara tersebut, ibunya memerhatikan kiri, kanan dan ke serata arah untuk melihat dan mencari gerangan suara yang memanggil namanya pada pagi itu. Bukan itu sahaja, ibunya juga mendengar suara beliau dan dua adiknya itu meminta ibunya itu turut menimba bersama.

Baginya, Lubuk Naso itu agak peliknya juga, mungkin juga sebuah kawasan agak keras dan ada penunggunya di kawasan itu. Selepas kejadian itu, beliau tidak lagi ke Lubuk Naso itu walaupun hanya seorang diri atau ditemani oleh adik-adiknya. Dia mendakwa Lubuk Naso ada penunggu yang menjaga lubuk berkenaan apabila ditemui kulit pisang berselerakan dan air yang ditimba tidak kering. Ini katanya, untuk memberikan gambaran ada makhluk di kawasan itu yang tidak dapat dilihat olehnya tetapi makhluk ghaib itu yang dapat melihatnya pada petang berkenaan.

Katanya, dia mula menimba selepas waktu Asar sehingga Maghrib. Kawasan itu tidak pernah dilalui orang lain kecuali penoreh-penoreh getah sebagai laluan singkat ke kebun getah terbabit. Sayangnya, Lubuk Naso dilihatnya banyak ikan, tetapi apabila cuba ditangkap ikannya hilang entah ke mana. Adakah ikan itu disembunyikan oleh makhluk halus itu atau ikan-ikan yang dilihatnya sewaktu tiba di lubuk itu hanya gambaran dalam penglihatannya semata-mata. Mungkin ikan haruan, keli dan puyu memang wujud di lubuk ikan itu tetapi makhluk halus yang menjaganya sejak awal lagi tidak membenarkan beliau menangkapnya kerana ikan-ikan itu adalah milik dan sebagai makanannya.

 Mohd. Fadli Yusoff.

 Mohd. Fadli Yusoff ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan