BUDI SEEKOR HARIMAU
MACHANG, KELANTAN: HAIWAN
kadang-kadang lebih baik, walaupun dianggap tidak sempurna dalam beberapa sifat
sebagaimana yang dimiliki oleh manusia. Walaupun haiwan sekadar mempunyai
perasaan tetapi tidak mempunyai akal sebagai alat berfikir seperti manusia,
namun dalam hal-hal tertentu haiwan juga pandai membalas budi khususnya
terhadap manusia yang pernah menolong spesis mereka. Misalnya, harimau yang
dianggap haiwan ganas di rimba tetapi pada ketika-ketikanya haiwan ini juga
yang dapat membantu manusia yang di dalam kesulitan.
Hal ini bukanlah suatu cerita
dongengan, namun pengalaman salah seorang peneroka tanah hutan yang berasal
dari Kampung Temangan Lama dekat sini yang hanya dikenali sebagai Pak Chek,
adalah merupakan pengalaman berharga beliau ketika membuka tanah hutan di
Kampung Kerilla, daerah Temangan pada tahun 1930 dulu. Kisah ini yang
diceritakan semula oleh arwah bapa dan dipungut oleh Wartawan RELATIF semasa
hayatnya memberitahu, seekor harimau betina yang dianggap ganas di hutan di
kampung berhampiran tiba-tiba membalas budi dengan mempersembahkan seekor rusa
sebagai hadiah kerana salah seorang hamba Allah pernah menolong anaknya yang
terjatuh dan terperangkap dalam sebuah perigi buta di sebuah hutan dan bukit di
kawasan terbabit.
Menurut ceritanya, Pak Chek
bersama lima
rakan-rakannya lain adalah kumpulan peneroka hutan telah membuka kawasan bukit
dan hutan tebal di Kampung Kerila itu untuk dijadikan sebuah perkampungan dan
penempatan baru. Dalam usaha untuk memudahkan kerja-kerja yang memakan masa
beberapa bulan itu, mereka berenam telah membina sebuah “bangsal (danau)” yang
lengkap dengan pagarnya yang dibuat dari batang-batang kayu untuk mengelakkan
dari dirempuh haiwan buas di kawasan hutan terbabit sebagai penempatan
sementara untuk berteduh dari hujan, panas, sebagai tempat tidur dan baring.
Pada suatu hari, mereka seperti
lazimnya meneruskan tugas berkenaan seperti biasa dengan menebas dan menebang
pokok-pokok kayu kerana itulah rutin kerja mereka ketika remaja yang tabah dan berjiwa kental. Jika
tidak mempunyai jiwa yang kental, tabah, teguh dan tekun dengan kerja-kerja
berkenaan tidak mungkin sebuah kawasan dan penempatan baru dapat dibuka dengan
sempurna. Ini kerana, apabila dikatakan kawasan bukit dan hutan, sudah tentu
hal utama yang perlu dihadapi ialah sama ada bertembung dengan haiwan buas dan
makhluk halus yang menghuni di kawasan terbabit.
Pada hari berkenaan, seperti
biasa apabila hari semakin senja, mereka berenam berjaya menyiapkan kerja sebagaimana yang diharapkan
apabila beberapa kawasan tertentu telah dapat diterangkan dan pokok-pokok yang
tumbuh subur di kawasan terbabit akhirnya dapat ditumbangkan. Sekitar kawasan
berkenaan menjadi terang benderang apabila pancaran cahaya matahari, bulan dan
cahaya langit dapat menembusi kawasan tersebut.
Setelah penat bekerja sehari
suntuk, mereka kemudiannya beransur-ansur melangkah pulang ke danau kerana hari
telah beransur senja. Disebabkan kawasan hutan berkenaan telah berjaya
ditebang, mudahlah mereka berjalan pulang kerana suasananya agak terang sedikit
berbanding sebelumnya.
Bezanya, atur langkah Pak Chek
agak perlahan sedikit berbanding lima
rakannya yang lain yang mendahuluinya dan mungkin telah sampai di danau mereka.
Walaupun langkah Pak Chek agak perlahan berbanding lima rakannya itu, namun kaki tetap melangkah
menuju ke danaunya. Tiba di suatu tempat yang agak samar-samar di antara waktu
Maghrib, Pak Chek tiba-tiba dikejutkan dengan ngauman seekor binatang yang agak
kasar. Pak Chek memberhentikan langkahnya, sambil anak telinganya cuba
menangkap arah bunyi ngauman itu dengan meneruskan langkahnya perlahan-lahan.
Setibanya di tempat bunyi ngauman
suara garang itu, terlihatkan olehnya seekor harimau belang sedang memerhatikan
ke arahnya dengan pandangan yang agak liar. Dari pemerhatian Pak Chek, tentunya
harimau yang sedang memuntahkan suara garau itu ialah seekor harimau belang
betina. Harimau itu mungkin dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan
seseorang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya, bisik hatinya.
Seketika kemudian, sekali lagi
Pak Chek melihat dan mendengar dengan jelas ngauman harimau betina itu sambil
melihatkan ekor matanya yang mengarahkan ke arah sebuah tempat yang dalam. Pak
Chek cuba
mendekati harimau betina itu dalam jarak beberapa meter untuk memerhatikan,
apakah maksud di sebalik ngauman harimau betina itu.
Kepalanya dijengukkan ke arah
sebuah tempat yang agak rendah. Dalam samar-samar senja itu, Pak Chek dapat
melihat ada sebuah perigi yang sederhana dalamnya di kawasan itu. Di dalamnya ditakungi air
kerana, hujan lebat sejak seminggu yang lalu menyebabkan air hujan itu
bertakung dalam perigi tersebut. Tiba-tiba di sebalik rimbunan daun-daun yang
tumbuh dalam perigi buta itu, Pak Chek terlihat seekor anak harimau berada dalam
perigi berkenaan, mungkin anak harimau itu terjatuh ke dalam perigi itu ketika
bermain-main atau sedang galak bersama ibunya, harimau betina tersebut.
Pak Chek yang begitu memahami
dengan situasi itu cuba
menyakinkan harimau betina yang pada perkiraannya tentunya ibu kepada anaknya
yang terjatuh ke dalam perigi buta itu. Tanpa membuang masa yang suasananya
semakin gelap, Pak Chek kemudiannya menebang sebatang pokok sebesar pahanya,
lalu dibuang ranting dan daun pokok itu lalu
menyorongkan batang kayu itu ke dalam perigi berkenaan.
Anak harimau yang menyedari ada
sebatang kayu berada dalam perigi itu kemudiannya melompat ke atasnya lalu
berlari naik ke tebing perigi. Setelah selamat berada di tebing perigi, anak
harimau itu menggoyang-goyangkan badannya untuk tujuan mengeringkan air yang
membasahi bulunya.
Hairannya, anak harimau itu tidak
terus mendapatkan ibunya yang setia menunggu anaknya, sebaliknya anak harimau
itu menuju ke arah Pak Chek terlebih dahulu lalu menggesel-geselkan bulu dan
badannya pada kedua-dua betis Pak Chek seperti seekor kucing manja lagaknya
seolah-olah mengucapkan terima kasih kepada Pak Chek kerana telah menyelamatkan
nyawanya dari perigi buta itu. Pak Chek kemudiannya menggosok-gosok badan anak
harimau itu beberapa ketika. Kemudiannya anak harimau itu berlari riang ke arah
ibunya yang sejak tadi sedang menanti dengan penuh kebimbangan tentang keselamatan
anaknya yang terperangkap di dalam perigi buta itu. Sekali lagi harimau betina
itu mengaumkan suaranya seolah-olah mengajak anaknya berlalu pergi dan
mengucapkan terima kasih kepada Pak Chek.
Sementara di danau enam sekawan
itu pula, masing-masing sibuk dengan aktiviti untuk makan malam dan sebagainya.
Dalam suasananya yang agak hingar itu, tiba-tiba salah seorang rakan Pak Chek
terdengar bunyi agak ganjil dari luar danau mereka. Bunyinya seperti pagar
danau mereka runtuh seperti dihempap benda besar dan berat.
Bimbang dengan situasi dan bunyi
pelik itu, rakannya itu memaklumkan hal berkenaan kepada Pak Chek. Pak Chek yang
dianggap ceria dan sepontan dengan keadaan itu tidak menunjukkan sebarang
kebimbangan kerana hanya Allah saja yang tahu dengan keadaan dirinya pada hari
itu.
“Aku rasa, kita ada tuah dan
rezeki yang tidak disangka pada malam ini”, ujar Pak Chek.
“Rezeki apa pulak. Kau jangan
mengada-ngada, kita di dalam hutan sekarang. Aku bimbang sesuatu kejadian
buruk”, cetus rakan yang mendengar bunyi pelik itu.
“Percayalah, kita dapat rezeki
malam ini. Kalau tidak percaya, mari kita pergi tengok”, cetus Pak Chek lagi.
Mereka berenam kemudiannya
berlari keluar danau untuk melihat sendiri apakah bunyi pelik sebagaimana yang
didakwa oleh salah seorang rakan mereka kira-kira jam 10.30 malam itu. Apabila
mereka berenam tiba di tempat yang dimaksudkan, mereka agak terkejut kerana
seekor rusa betina terdampar di atas pagar yang kini telah runtuh dan patah
disebabkan dirempuh rusa itu.
“Kan betul aku kata tadi, kita ada rezeki
bertuah pada malam ini”.
“Kenapa dengan rusa ini?” soal seorang rakannya tidak percaya dengan situasi itu apabila
melihatkan seekor rusa betina yang masih hidup tetapi tidak dapat bangun kerana
kedua-dua kaki hadapannya telah dipatahkan harimau betina itu.
“Harimau betina itu membalas budi
aku waktu senja tadi kerana aku telah menyelamatkan anaknya yang terjatuh dan
terperangkap di dalam perigi buta di atas bukit itu”, ujar Pak Chek sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah bukit yang dimaksudkan.
Mendengar cerita dan penjelasan
Pak Chek berhubung dengan harimau dan rusa itu, kelima-lima rakan-rakannya mula
berasa lega. Hanya yang rakan-rakannya bimbang jika danau mereka diceroboh
haiwan buas kerana selain harimau belang, haiwan buas yang lain seperti harimau
bintang, badak sumbu, serigala dan babi hutan yang sering berkeliaran di
kawasan hutan berhampiran.
Kata Pak Chek, mungkin juga
harimau itu memburu mangsanya (seekor rusa) ketika rusa berkenaan sedang leka
dengan kawanan haiwan berkenaan di sebuah hutan pada malam itu. Dalam agakan Pak
Chek, setelah dapat mangsanya itu, harimau itu mungkin mematahkan kedua kaki hadapan
rusa itu supaya itu tidak dapat melarikan diri lalu diseret ke danau mereka berenam sebagai hadiah kerana telah
menyelamatkan anaknya yang terjatuh dan terperangkap dalam perigi buta itu.
Jika tiada manusia yang cuba
menyelamatkan anaknya, tiada siapa lagi yang dapat berbuat demikian termasuk
harimau itu.
Malam berkenaan mereka kenduri
sakan kerana selama ini mereka hanya mengharapkan daun-daun kayu dan
buah-buahan hutan sebagai makanan, tetapi kini mereka boleh menikmati daging
rusa segar yang manis dan enak sampai berminggu lamanya.
Dalam konteks ini, jangan kita
labelkan haiwan ganas itu jahat dan ganas kerana yang ganasnya ialah sifat dan
tabiat manusia sendiri yang mengganggu habitat haiwan itu. Lihatlah, haiwan
sendiri faham dengan erti pertolongan dan bantuan dari manusia yang jujur akan
dibalas dengan bantuan yang dianggap tidak ternilai dari seekor haiwan yang
tidak mempunyai fikiran seperti kita. Ingatlah, orang yang jujur bukan saja
disenangi manusia keseluruhannya dan malaikat tetapi juga haiwan kerana sifat
berkenaan perlu kekal dalam diri manusia.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan