MISTERI PAK DIN HILANG
Walaupun ada yang menganggap
manusia disorok makhluk halus dikenali sebagai “jin” (hantu pari, pontianak dan langsuir)
adalah kes terpencil, namun pastinya mangsa yang disorok akan mengalami
pelbagai gangguan, terutamanya bagi mereka yang lemah semangat. Malah keluarga
mangsa pula termasuk orang-orang kampung pastinya menjadi gempar dengan
kejadian berkenaan. Bagaimana jika mangsanya disembunyikan terus dan makhluk
halus terbabit enggan mengembalikannya ke alam manusia?
Ketika ditemui Wartawan RELATIF, suatu kejadian yang tidak dapat dilupakan oleh Mohamed bin Awang Noh, 74, atau lebih
dikenali sebagai Tok Haji Mamat dari
Kampung Baru Salor, Kota Bharu, Kelantan
berkata, kisah Pak Din yang merupakan rakan sekampungnya yang paling akrab
pernah disorok oleh makhluk halus ketika sedang melakukan kerja-kerja menyadat
untuk mendapatkan nira kelapa di Kampung Atas Pulau, Pasir Mas, Kelantan
kira-kira 10 tahun lalu masih lagi segar dalam ingatannya sehingga kini.
Katanya, setelah selesai rutin
hariannya menyadat nira kelapa pada pukul 11.00 pagi, Tok Haji Mamat agak
hairan kerana sehingga jam 12.00 tengah hari beliau masih belum melihat kelibat
Pak Din di tempat itu. Setahunya Pak Din masih berada di atas pohon kelapa di
kampung itu kerana sedang menyudahkan kerja-kerjanya menyadat dan mendapatkan
nira kelapa untuk dituangkan ke dalam kawah (kuali besar) yang turut disediakan
di situ untuk dimasak. Pada mulanya Tok Haji Mamat terfikir sama ada Pak Din
tertidur di denai hutan terbabit jika itulah kejadiannya.
“Kerja Pak Haji memangnya sudah selesai, Pak Haji
bersiap untuk pulang. Hanya Pak Din sahaja yang masih belum siap. Pak Haji
terus menunggu Pak Din untuk pulang bersama-sama, sebab pada masa itu Pak Din masih
berada di atas pokok kelapa. Anehnya, Pak Din tidak kelihatan.
“Bimbang hari semakin panas,
Pak Haji melangkah pulang seorang diri. Dalam hati bimbang dan tertanya-tanya, ke
mana Pak Din menghilang”, ujar Tok Haji Mamat yang membahasakan dirinya Pak Haji.
Oleh kerana Pak Din tidak juga
muncul, Tok Haji Mamat terus pulang sendirian tanpa Pak Din bersama kerana
terik mentari mula menampakkan sinarnya. Kerja-kerja menyadat kelapa tidak
perlu dilakukan terus kerana mudah merimaskan badan dan banyak tenaga hilang
disebabkan terpaksa memanjat pokok kelapa yang kadang-kadang agak terlalu
tinggi. Tok Haji Mamat kemudiannya mula angkat kaki meninggalkan suasana hutan
ketika itu kerana Pak Din yang ditunggu tidak juga nampak batang hidungnya.
Apabila sampai di rumah, Tok Haji Mamat ditanya isterinya kerana Tok Haji Mamat
sahaja yang pulang sedangkan Pak Din tidak kelihatan bersamanya.
“Pak Haji maklumkan kepada isteri,
semasa sibuk dengan urusan itu, Pak Din masih ada di atas pokok kelapa itu.
Tetapi apabila bersiap untuk pulang, didapati Pak Din tidak kelihatan”, ujar
Tok Haji Mamat.
Apabila hari menjelang malam,
beliau meminta rakan-rakan sekampungnya yang lain supaya membantunya untuk cuba
mencari Pak Din yang masih belum pulang lagi. Bertemankan rakannya itu, beliau
kembali ke tempat kejadian untuk mencari Pak Din yang hilang. Apabila beliau
dan rakannya tiba di tempat yang dimaksudkan yang pada hemahnya tentunya Pak
Din hilang di tempat itu, matanya melilau ke serata arah. Beliau kemudiannya
mendongak ke arah sebatang pokok kelapa tempat Pak Din sedang menyadat siang
tadi, tetapi Pak Din tiada di atas pokok kelapa itu.
Dalam Tok Haji Mamat terlintas pelbagai
perkara buruk terhadap Pak Din berdasarkan situasi pada masa itu. Kadang-kadang
Tok Haji Mamat terfikir berkemungkinan Pak Din tidak dapat turun ke bawah dan
dikatakan hilang disebabkan telah disorok oleh makhluk halus yang kebetulan ada
di situ kerana tempat berkenaan pada ketika itu masih dipenuhi hutan yang belum
dibersihkan.
Namun, rupa-rupanya ketika Tok
Haji Mamat ingin mengangkat kaki untuk pulang kerana telah putus asa mencari
Pak Din yang tetap tidak kelihatan, sedangkan pada ketika itu juga Pak Din
nampak dengan jelas dari atas sebatang pohon kelapa itu orang-orang kampung
berkenaan sedang mencarinya, tetapi orang-orang kampung tidak dapat melihat Pak
Din yang hakikatnya masih berada di atas pokok kelapa itu. Bahkan suaranya
untuk meraung dan memanggil-manggil mereka yang sedangnya mencarinya gagal
didengari mereka yang mungkin telah dihalang alam makhluk halus itu.
Berikutan itu, Tok Haji Mat
mencadangkan supaya membuat aduan polis tentang kehilangan Pak Din itu. Selepas
membuat laporan polis kira-kira jam 1.00 pagi itu yang turut disertai oleh
sepupu mangsa, mereka pulang ke rumah. Kerana masih belum puas hati, mereka
kembali ke tempat Pak Din hilang itu dengan membawa pelbagai kelengkapan yang
sepatutnya untuk tujuan meneruskan pencarian Pak Din yang dikatakan hilang itu.
Ketika semangat membara
orang-orang kampung yang masih berusaha mencari Pak Din di tempat Pak Din
hilang itu, dengan kehendak Allah mereka berselisih di perjalanan. Pak Din
sedang dalam perjalanan pulang manakala kumpulan orang-orang kampung dalam
perjalanan mencari Pak Din, akhirnya bertembung di tempat itu.
Mengetahui bahawa Pak Din telah
pulang pada malam berkenaan, pada hari esoknya Tok Haji Mamat membatalkan niat
untuk menyadat kelapa, sebaliknya terus bergegas ke balai polis bersama Pak Din
untuk memaklumkan kepada pihak berkenaan bahawa, Pak Din telah ditemui dan
telah pulang ke rumah malam semalam. Mendengarkan cerita Tok Haji Mamat itu,
anggota polis terbabit ketawa kerana geli hati.
Menurut Tok Haji Mamat, kejadian
berkenaan berlaku lebih dari 10 tahun lalu dan masih segar dalam ingatannya
kerana mereka berdua tersohor sebagai penyadat kelapa yang disegani. Mereka
berdua dianggap rakan sekampung yang hanya bekerja sebagai penyadat kelapa,
itulah rutin harian mereka untuk mencari sesuap rezeki. Tetapi, disebabkan
salah seorang rakannya itu didapati telah disorok oleh makhluk halus semasa
sedang memanjat kelapa, menyebabkan berita berkenaan menjadi gempar kononnya
Pak Din ghaib secara tiba-tiba.
Selepas Pak Din ditemui dan
pulang dengan selamat, Tok Haji Mamat meminta Pak Din memintanya menceritakan
pengalamannya itu. Menurut Pak Din, ketika berada di alam makhluk halus itu,
dia tidak mengetahui tentang dirinya telah disorok kerana lupa setelah dijamu
dengan nasi beras wangi berlaukkan gulai yang lazat. Tok Haji Mamat mencelah,
adakah Pak Din tahu apa yang dimakannya ketika disorok oleh makhluk halus itu?
Tok Haji Mamat menjelaskan, Pak
Din sebenarnya bukannya memakan beras wangi sebaliknya telur semut dan lauk yang
lazat itu sebenarnya katak. Walaupun dimaklumkan oleh Tok Haji Mamat, Pak Din
hanya ketawa kononnya beliau telah menikmati juadah yang lazat di alam makhluk
halus itu. Pak Din juga berasa seperti masih berada dan memeluk batang kelapa
itu, tetapi hakikatnya dia telah dibawa ke salah satu pokok mangga di kawasan
yang sama
“Pak Haji agak, mungkin Pak Din tak
tahu dia berada di atas pokok mangga itu, sebab itulah dia dapat makan nasi
beras wangi”, jelas Tok Haji Mamat sambil ketawa.
Tambah Tok Haji Mamat, banyak
kerengga di kawasan itu, tetapi Pak Din seperti tidak berasa apa-apa kerana
telah dilindungkan ke alam berkenaan yang dianggapnya seperti alam manusia juga
kerana keadaannya luas, sedangkan beliau ketika itu sedang berada di atas pokok
mangga.
Kata Tok Haji Mamat lagi, usia
Pak Din lebih tua dari usianya ketika itu, tetapi disebabkan rakan sekampung,
mereka berkawan sehingga dewasa dan tidak pernah bermasam muka, begitulah
hebatnya golongan remaja zaman dulu. Katanya, ketika kejadian beliau agak usia
Pak Din dalam lingkungan 40 tahun.
Mohamed bin Awang Noh atau Tok Haji Mamat.
Tok Haji Mamat ketika menceritakan kisah misteri itu kepada Wartawan RELATIF.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan