RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Ahad, 10 November 2013

Misteri Makhluk Tumpang


MISTERI MAKHLUK TUMPANG

TUMPAT, KELANTAN:  MAKHLUK halus kenal siapa yang boleh diusik atau siapa yang tidak patut disakat. Makhluk ini akan melihat dengan jelas dalam sanubari manusia, jika orang yang ingin disakat itu seorang yang mempunyai semangat kental, makhluk halus akan menjauhkan diri. Sebaliknya, jika mangsanya seorang yang mudah dipermainkan, maka pada setiap masa mangsa akan diperlaku dan diperlekehkan oleh makhluk halus yang jahat itu.

Begitulah kejadian yang menimpa keluarga Haji Said Haji Abdullah, 67, atau lebih lebih dikenali dengan panggilan Pak Aid dari Cabang Tiga Kampung Berangan, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu.

“Makhluk halus itu tidak pernah mengusik pakcik, yang sering menjadi mangsanya ialah isteri dan cucu pakcik yang tinggal di rumah ini”, jelasnya kepada RELATIF.

Menurutnya, pada tahun 1957 dulu rumah berkenaan dibina dari papan dan kayu sahaja dan ketika itu beliau menetap di rumah terbabit bersama isterinya, Lijah binti Jusoh. Ketika mendiami rumah yang dibuat dari kayu dan papan kelihatannya agak uzur itu, keluarganya tidak pernah mendapat gangguan dari sesiapa apatah lagi dari makhluk halus.

Isterinya juga tidak pernah merewel atau memaklumkan kepadanya wujudnya gangguan sebagaimana yang dimaksudkan. Ini untuk menunjukkan, beliau dan isterinya ketika itu hidup dalam keadaan aman tanpa rasa takut kerana tidak pernah diganggu walaupun rumahnya ketika itu jauh dari jiran tetangga. Apatah lagi kawasan tapak rumah dan persekitaran rumahnya ketika itu masih dipenuhi hutan tebal yang belum diteroka sepenuhnya dan selepas itu kebun getah pula.

Namun katanya, pada tahun 1997 iaitu apabila rumah lama yang berkonsepkan papan dan kayu dirombak untuk pembinaan rumah batu dan simen, iaitu kira-kira tiga tahun selepas dapat menyiapkan pembinaannya, gangguan yang dimaksudkan masih lagi belum berlaku. Namun, pengalaman jiran-jirannya yang pernah datang ke rumahnya ketika itu mendakwa sering berasa takut dan kecut perut melihat keadaan rumah berkenaan. Kata mereka, rumahnya ketika itu seolah-olah ada penghuni ghaib yang sedang memerhatikan ke arah mereka dan kalau tidak kerana ada urusan rasmi pastinya jiran-jirannya itu tidak akan bertandang ke rumahnya.

Sambungnya, selepas 10 tahun berlalu dan rumahnya kini siap sepenuhnya, kejadian gangguan tersebut mula dan semakin kerap berlaku. Hal yang dapat diingatinya apabila sering berlaku pertengkaran yang tidak pernah berlaku sebelumnya, keadaan dalam rumahnya itu seolah-olah dibakar api kepanasan dan kalau bertutur pun seperti dalam keadaan tidak selesa kerana apabila mula bercakap pastinya akan berasa terbakar dan hati sentiasa mendidih. Melihatkan wujudnya kegelisahan dan suasana yang dianggap panas dan tidak aman dalam rumah batu ketika itu, beliau mendapatkan khidmat “Bomoh Budak” yang tinggal di sebuah pulau.

“Pakcik panggillah seorang bomoh budak, minta dia bantu untuk selesaikan masalah pakcik. Pakcik tidak menjadi masalah, yang merungsingkan adalah keluarga pakcik”, katanya.

Katanya, bomoh budak tersebut membuat kaedah “pagar rumah” dengan melakukannya di sekeliling rumah, kemudiannya dia paku dan ikat paku itu dengan secebis kain merah untuk mengelakkan makhluk halus itu masuk ke kawasan rumah terbabit. Dakwaan bomoh budak itu menyatakan, kaedah pagar sebagaimana yang dilakukan oleh bomoh budak itu dapat mengelakkan gangguan makhluk halus tersebut.

Namun menurut Haji Said, selepas kaedah berkenaan dilakukan oleh bomoh budak terbabit, bukan masalah semakin berkurang atau gangguan makhluk halus telah selesai, sebaliknya gangguan makhluk berkenaan semakin menjadi-jadi untuk menunjukkan makhluk halus itu “bertambah marah” dengan apa yang dilakukan oleh Bomoh Budak itu.

Berikutan kejadian itu, makhluk halus semakin geram dan bertambah marah sehinggakan anak-anak kecil dan cucunya sendiri semakin takut untuk masuk ke dapur di rumahnya seorang diri walaupun sebelum ini tidak begitu. Bukan sahaja amat menakutkan kanak-kanak, bahkan orang-orang dewasa sendiri pun seperti dalam kebimbangan kerana bulu roma meremang setiap kali terfikir tentang makhluk itu. Katanya, beliau tidak pernah diganggu oleh makhluk halus itu, namun orang-orang perempuan seperti isterinya sendiri dan cucunya yang menetap di rumah berkenaan yang menjadi mangsanya akibat gangguan makhluk halus yang dianggap tidak “makan saman” itu.

Adalah lazim katanya, gangguan yang dialami oleh keluarga Haji Said apabila makhluk halus itu sering menjelma menunjukkan dirinya dan wajahnya. Ditanya, adakah makhluk halus itu pernah membisikkan di telinga ahli keluarganya? Beliau menjelaskan, makhluk halus itu tidak pernah bertindak sedemikian, tetapi sering terjadi apabila kaki mereka sentiasa ditarik dan tangan mangsa disentap berulang kali. Malah kadang-kadang pernah terjadi urat perut terseliuh dan luka kerana dipijak dan disentap sedemikian rupa ketika mereka ingin masuk tidur di dalam bilik kira-kira jam 11.00 malam.

“Hal ini pernah dimaklumkan beberapa kali oleh isteri pakcik. Pakcik hanya mendiamkan saja sambil berfikir bagaimana cara untuk bertindak”, luah Haji Said sambil memendamkan kemarahannya terhadap makhluk halus itu.

Menurutnya, kejadian anggota tubuh ahli keluarga disentap berulang kali ketika masuk tidur pernah berlaku beberapa kali. Namun, apabila kejadian berkenaan dimaklumkan dia hanya mendiamkan diri. Tetapi, disebabkan tidak sabar dengan kejadian berkenaan yang dianggap “mencabar” kesabarannya, beliau kemudiannya mendapatkan khidmat seorang bomoh siam. Katanya, bomoh siam itu melakukan dengan cara “tuntung” dan selepas dilakukan cara berkenaan, baharulah keluarganya tidak lagi diganggu oleh makhluk halus yang dianggap nakal dan suka menyakat itu.

Apabila ditanya tentang sebab dan punca kejadian gangguan makhluk halus yang semakin menjadi-jadi itu, beliau menjelaskan, pada masa dulu orang-orang tua zaman lampau suka “bermain puteri”. Banyak “balai” yang di dalamnya disajikan dengan jamuan untuk makhluk halus terbabit dibuang di kawasan berhampiran rumahnya kini kerana pada masa dulu, kawasan tapak rumahnya sekarang ini adalah hutan dan kawasan pokok getah.

“Balai itu dibuang di kawasan hadapan rumah pakcik berdekatan dengan sebatang pokok besar itu. Disebabkan kejadian berkenaan sering berlaku dan pakcik mengetahui puncanya datang dari tempat itu, pokok besar itu pakcik tebang kerana tersangat benci melihatnya”, ujarnya yang juga sudah meluat dengan sikap makhluk halus itu.

Mungkin katanya, disebabkan pokok besar tempat makhluk halus itu menghuni itulah menyebabkan makhluk berkenaan semakin geram dan marah dengan tindakannya. Bermula dari saat itulah, mungkin disebabkan tempat makhluk halus itu menghuni sudah tiada menyebabkan makhluk ghaib itu bertindak menjadikan rumahnya pula sebagai tempat tinggal tetap sebagai ganti rugi. Sejak hari itu, makhluk halus itu akan menjelmakan dirinya dalam rupa beruk, kucing, malah kadang-kadang menjelma dalam rupa manusia.

Katanya, pada suatu hari pernah berlaku makhluk halus berkenaan mengucapkan salam kepadanya. Dia tidak tahu makhluk halus datang dari arah mana malah dia tidak mendengar bunyi tapak kaki seperti manusia berjalan yang lazimnya dapat didengari. Malah beliau juga memberitahu, dia tidak mengetahui apakah kategori makhluk halus yang yang sering mengganggu keluarganya itu dan makhluk halus yang memberi salam itu dalam kategori mana, beliau tidak pasti. Tetapi bagi makhluk halus yang sering mengganggu dan menjelma dalam rumahnya itu ialah hantu raya.

Sementara itu, menurut salah seorang cucunya yang tinggal bersama, Muhd. Faiz Mohamed Isa Saw, 8, atau lebih dikenali sebagai Faiz berkata, makhluk halus itu sering menjelmakan dirinya lalu duduk di atas sebuah tangga dalam rumahnya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Berangan Dua, Tumpat itu mendakwa makhluk halus terbabit adalah berwajah hodoh seperti seorang perempuan yang memakai kain putih dan kadang-kadang berwarna hitam pekat.

“Adik melihatnya pun berasa takut. Tak tahulah makhluk jenis apa. Dia sering duduk di atas tangga itu”, jelas adik Faiz.

Manakala bagi isteri Haji Said, Lijah binti Jusoh, 62, yang lebih dikenali dengan panggilan Makcik Jah berkata, jelmaan makhluk halus di rumahnya itu dalam pelbagai bentuk. Misalnya jelmaan dalam rupa manusia berjubah putih hanya kadang kala tetapi makhluk berkenaan dapat dilihatnya dari arah belakang sahaja. Selepas itu, dalam tempoh dua minggu makhluk berkenaan akan melalui rumahnya itu dan begitulah seterusnya seperti ada tempoh masa tertentu makhluk terbabit akan melalui halaman rumahnya itu.

“Ada satu ketika, makcik pernah mendengar bunyi kenderaan parkir di kawasan rumah ini. Namun apabila makcik jenguk di luar rumah tiada pun kenderaan yang berada di kawasan rumah.

“Sedangkan bunyi kereta datang dan parkir di hadapan rumah ini bunyinya agak jelas menusuk lubang telinga makcik. Sehingga hari ini bunyi seperti itu tidak kedengaran lagi”, ujar makcik Jah lagi.

Katanya, makhluk berjubah putih itu akan melalui kawasan laluan bersebelahan rumahnya kemudian ghaib di hujung rumahnya itu untuk menunjukkan makhluk itu ada di kawasan itu. Namun katanya jika didapati makhluk ghaib itu ada di rumah berkenaan beliau akan terasa sesuatu yang agak berlainan tentang hakikat itu untuk menunjukkan makhluk terbabit berada di kawasan yang dimaksudkan, di mana bulu roma dan tubuhnya akan berasa meremang beberapa kali.

Sambungnya, pernah juga berlaku makhluk halus yang lain pula akan menjelma dalam rupa haiwan seperti gajah. Ketika itu beliau sedang mencuci pinggan mangkuk di mana jelmaan haiwan besar seperti itu akan muncul waktu petang. Waktu itu jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Ketika mendengar bunyi pelik seperti itu, dia sempat berpaling ke belakang untuk melihat apakah bunyi yang dimaksudkan, rupa-rupanya jelmaan gajah berwarna hijau berada dalam rumahnya dan makhluk itu dapat melihatnya ketika itu.

Ketika ditanya jenis makhluk halus yang sering menjelma di kawasan rumahnya, makcik Jah berasa segan untuk memberikan jawapannya kerana tidak mengetahui makhluk berkenaan dalam kategori mana. Katanya, kalau dikatakan pada masa dulu kawasan berkenaan pernah menjadi tempat buangan makhluk halus yang dijadikan seperti “balai” misalnya, makhluk terbabit tidak pernah menyakatnya. Ini kerana, jika makhluk seperti itu mengusik dan menyakat ahli keluarga di dalam rumahnya, pastinya semua ahli keluarga di dalam rumahnya akan dapat mendengar bunyi tersebut bersama-sama.

Tetapi kejadian dan pengalaman yang dialaminya kini, hanya dia seorang sahaja yang mengalami dan mendengarnya tetapi ahli keluarga lain di rumah yang sama tidak pernah mendengarnya. Katanya, beliau mendengar bunyi seperti ada benda terbang lalu bertenggek di atas bumbung rumahnya. Dia seorang sahaja yang mendengar bunyi itu dan sehingga hari ini bunyi rumahnya dipijak makhluk halus terbabit tiada lagi.

Katanya, kejadian benda terbang dan kemudiannya bertenggek di atas rumahnya itu berlaku pada 2 Disember, 2012 jam 9.00 malam. Kebetulan, ketika itu suaminya tiada di rumah dan hanya dia dengan cucunya sahaja tinggal di rumah ketika itu. Ketika kejadian, bunyi objek terbang lalu hinggap di atas bumbung rumahnya itu beliau berada di atas sejadah untuk menunaikan solat selepas selesai mencuci pinggan mangkuk di dapur rumahnya.

Telinganya dapat menangkap bunyi itu dengan agak jelas sebanyak menyebabkan dia terkejut sakan kerana tidak pernah mendengar bunyi sedemikian sebelum ini. Selepas bunyi benda menghempap itu, terdengar pula bunyi seperti makhluk gergasi sedang berjalan dan dengan tiba-tiba bunyi pula seperti objek yang agak kasar dan dan keras sedang menghempap rumahnya sebanyak dua kali, sekali imbas dapat dirasakan suatu objek besar telah menghempap rumahnya dengan kasar ketika itu bagaikan akan menyebabkan rumahnya runtuh dan ranap.

“Disebabkan makcik terlalu terkejut dengan bunyi kasar itu, tidak semena-mena terkeluar dari mulut makcik. Makcik kata, ya Allah tiada apalah dengan rumah aku ini.

“Ketika bunyi kasar menghempap rumah makcik ini, makcik dapati pintu dapur bahagian dalam rumah dalam keadaan terbuka. Dalam keadaan masih rasa takut, makcik gagahi juga untuk pergi menutup pintu dapur itu. Selepas itu, bunyi itu tiada lagi”, ujarnya.

Tambah makcik Jah, dia pada masa itu menjadi serba salah dan membebel mengenangkan suaminya masih tidak pulang-pulang lagi kerana beliau begitu terkejut dan takut dengan bunyi yang agak kasar itu. Selang beberapa ketika kemudian, dilihat suaminya pulang lalu hal berkenaan diceritakannya kepada suaminya itu dari awal hingga akhir. Menurutnya, bunyi sedemikian kasar seperti itu hanya sekali dalam hidupnya dan sehingga hari ini tiada lagi bunyi yang sama menghantui cuping telinganya.

Justeru katanya, jika tidak berlakunya gangguan seumpama yang pernah dialaminya itu beliau akan berasa hidup tenang tanpa berasa apa-apa. Tetapi jika berlakunya gangguan seperti itu, jiwanya mula tidak keruan malah berasa takut yang amat sangat. Namun jelasnya, dia bukannya berasa takut kepada makhluk halus itu kerana dia sudah biasa dengan keadaan itu, sebaliknya bimbang jika ada manusia yang ingin melakukan perbuatan yang tidak baik seperti ingin mencuri dan sebagainya. Jadi jelasnya, beliau terkejut pada malam berkenaan kerana bimbangkan perbuatan manusia terhadap rumah, diri dan cucunya itu bukannya makhluk halus itu. Ini kerana, kawasan berkenaan pernah berlaku kejadian manusia cuba menceroboh beberapa buah rumah penduduk di kawasan itu untuk tujuan mencuri dan menggeledah harta orang.

Haji Said Haji Abdullah atau Pak Aid.

Haji Said ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

Muhd. Faiz Muhammad Isa Saw atau Faiz. 

Muhd. Faiz menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF.

Lijah binti Jusoh atau Makcik Jah.

Makcik Jah berkongsi pengalamannya.

Bunyi kereta milik makhluk halus itu parkir di laman rumah ini.

Makhluk berjubah hijau menyusur melalui lorong bersebelahan rumah mangsa.

Kadang-kadang makhluk halus itu menyusur dari semak dan belukar ini.


Balai makhluk halus dibuang di sebatang pokok besar di sini. Pokok ini kemudiannya ditebang oleh Haji Said menyebabkan makhluk halus itu mengamuk.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan