MISTERI GADIS PENUMPANG
JERTEH, TERENGGANU: BUKIT BAUK
yang terletak dalam daerah Dungun, Terengganu pada masa dulu adalah sebuah
bukit yang masih diselubungi hutan yang didakwa oleh kebanyakan pemandu-pemandu
kenderaan sebagai tempat yang berpuaka dan sering mengusik. Seringkali pemandu
kenderaan yang melalui bukit tersebut pasti akan terserempak dengan pelbagai jelmaan
makhluk halus dalam rupa paras manusia.
Bahkan pernah juga dikatakan
bukit berkenaan adalah penempatan makhluk halus sejak dulu dan bagi segelintir
pemandu yang sering berulang alik, apabila melintasi bukit berkenaan mereka
akan memperlahankan pemanduan kerana bimbang terserempak dengan jelmaan lembaga
yang dimaksudkan, sering terjadi ialah lembaga perempuan yang sedang memangku
anaknya akan sering melintasi laluan itu.
Salah seorang yang mengalami
kejadian di Bukit Bauk, Wan Azhar Wan Muhammad, 45, dari Seberang Jerteh, Jerteh,
Terengganu ketika ditemui Wartawan RELATIF berkata, beliau turut mengalami
kejadian yang dimaksudkan di bukit itu ketika bersama seorang rakannya yang
ingin ke Kuala Lumpur untuk tujuan membeli kenderaan yang dihajatkan.
Katanya, setelah pulang dari Kuala Lumpur, rakannya itu
menguji keupayaan kereta yang baru dibeli itu dengan memandu agak laju. Dia yang
turut bersama dalam kenderaan berkenaan cuba mengimbangkan tempat duduknya
sambil melihat di kiri kanan jalan, ternyata kenderaan yang dipandu itu sedang
memasuki dan akan melalui Bukit Bauk itu.
Menurut Azhar, beliau yang sering
kali memandu kenderaan ketika memasuki dan melintasi Bukit Bauk itu sentiasa
berhati-hati kerana bimbang dengan sesuatu kejadian yang tidak diingini. Dalam
keadaan corak pemanduan yang dianggap terlalu laju itu, beliau menasihatkan
rakannya itu supaya memperlahankan kenderaan dan berhati-hati tetapi rakannya
itu tidak mempedulikan amarannya sebaliknya beliau diminta bersedia di tempat
duduk saja. Melihatkan keadaan sikap rakannya itu yang tidak mengendahkan
permintaannya supaya memperlahankan kenderaan yang dipandunya, beliau akan
menceritakan apakah misterinya Bukit Bauk itu nanti. Namun, rakannya itu masih
dengan sikapnya dengan mendakwa kawasan bukit itu memang sesuai sebagai tempat
memandu dan memotong secara laju.
Akhirnya, setelah melintasi
beberapa meter dari kawasan Bukit Bauk di mana jalannya masih dalam kawasan
bukit itu, beliau bangun dari kerusi yang didudukinya dalam kereta itu kerana
ingin menceritakan rahsia bukit itu kepada rakannya itu. Belum pun sempat
beliau cuba
membuka rahsia dan misteri bukit berkenaan, dengan tiba-tiba beliau terlihat
makhluk terbabit berdiri di tepi jalan. Makhluk yang dapat dilihatnya itu
memakai “semutar”, sementara bajunya berwarna coklat dan kain sarung seperti
seorang ingin ke laut, manakala matanya sebesar biji saga berwarna merah sedang
memandang tepat ke arah wajahnya.
Katanya, wajah makhluk halus
bermata merah itu menggerutu seperti kulit biawak. Melihatkan pandangan makhluk
halus itu terhadapnya, Azhar membatalkan niatnya untuk menceritakan misteri
bukit itu, rakannya itu tiba-tiba berpaling ke arahnya secara mengejut dan luar
biasa.
Tujuan beliau ingin menceritakan
situasi dan rahsia di Bukit Bauk adalah supaya rakannya itu tidak memandu laju
berikutan sering kali pemandu kenderaan yang melalui kawasan terbabit bertembung
dengan makhluk perempuan sedang memangku anaknya di persekitaran Bukit Bauk
itu. Jika memandu terlalu laju akan menjadikan corak pemanduan kita lalai dan
apabila makhluk yang memangku anak itu muncul serta merta, sudah tentu pemandu
kenderaan tidak akan dapat mengelak, jadi jika tidak dapat mengelak pastinya
melanggar perempuan tersebut ataupun terbabas. Justeru, hal itulah yang ingin dimaklumkan
kepada rakannya itu dan beliau tidak ingin kejadian itu berlaku kepada mereka
berdua.
Menurut Azhar, beliau juga turut diberitahu
oleh seorang guru yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan yang datang ke kedai
mekanik miliknya itu kerana melawat seorang rakannya yang mengalami nahas jalan
raya. Ketika kejadian, beliau baru pulang dari Kuantan, Pahang kerana
berkursus. Dalam perjalanan pulang itu, beliau memandu melalui Bukit Bauk itu.
“Katanya, dalam jarak beberapa
meter ketika beliau sedang memandu itu, pandangannya tertumpu kepada sebuah
teksi penumpang (kereta sewa) yang sedang parkir di tepi Bukit Bauk itu. Apa
yang dilihat olehnya ialah bahagian belakang kereta penumpang itu didapati
terbuka.
“Dengan tidak sangka-sangka
pemandu kereta penumpang itu menahan kereta yang dipandunya. Tanpa mencurigakan
hal-hal yang lain, beliau memberhentikan kenderaannya bersebelahan dengan
kereta penumpang itu lalu bertanya tentang masalah yang dihadapi mereka di
situ.
“Kata pemandu kereta itu, dia
ingin menumpangkan seorang gadis yang ingin balik ke Kota Bharu. Pemandu itu tidak
dapat menghantarkan gadis berkenaan kerana terpaksa menghantar penumpang yang
ada dalam kenderaannya itu ke tempat lain”, katanya kepada Wartawan RELATIF.
Mendengarkan masalah yang
dihadapi oleh pemandu kereta penumpang itu, beliau sanggup menumpangkan dan
menghantarkan gadis berkenaan ke rumahnya apatah lagi beliau juga ingin pulang
ke Kelantan iaitu di Pasir Mas.
Katanya, gadis terbabit kemudiannya
menumpang kenderaan guru itu lalu melabuhkan dirinya di bahagian belakang
kenderaan tersebut. Selepas melintasi kawasan Bukit Bauk itu, dia
memberhentikan kenderaannya di salah sebuah warung kopi di tepi laluan
berkenaan untuk membasahkan tekak (minum air) disebabkan terlalu mengantuk di
mana ketika itu jam menunjukkan jam 2.00 pagi. Beliau mempelawa gadis tersebut
singgah untuk hal yang sama, namun gadis tersebut menolaknya. Guru itu
memberitahu, apabila ditanya sepatah, gadis itu menjawab sepatah perkataan dan
tidak lebih dari itu. Setelah selesai menikmati minuman di warung berkenaan,
beliau masuk ke dalam kenderaan untuk menyambung perjalanan.
Setelah agak lama memandu sejak
dari Bukit Bauk dan tiba di laluan Kota Bharu, beliau bertanya gadis tersebut
ke manakah destinasi yang hendak dituju kerana beliau berhasrat untuk
menghantarkan ke rumah gadis tersebut disebabkan hari sudah larut malam. Gadis
itu memberitahu bahawa beliau ingin ke Batu 2, Jalan Bunut Payong, Kota Bharu
iaitu selepas melintasi sebuah Jambatan Bunut Payong itu.
Dalam keadaan malam yang semakin
larut itu beliau cuba
mencari laluan yang dimaksudkan untuk tujuan menghantarkan gadis tersebut ke
rumah yang dimaksudkan. Dalam beberapa detik, beliau tiba di rumah gadis
tersebut lalu ditunjukkan oleh gadis berkenaan bahawa itulah rumahnya
sebagaimana yang dimaksudkan. Beliau melihat rumah gadis tersebut terang
benderang dengan cahaya lampu yang terpasang dan dilihatnya ramai yang hadir di
rumah gadis tersebut seperti majlis kenduri dan turut dilihatnya juga banyak
kenderaan diparkir di hadapan rumah gadis tersebut.
Disebabkan penghuni di rumah
gadis tersebut agak terlalu ramai, jadi dia tidak ingin keluar dari
kenderaannya dan tidak berhasrat untuk singgah di rumah gadis tersebut walaupun
dipelawa oleh gadis itu kerana beliau mahu pulang cepat ke rumahnya di Pasir
Mas. Beliau hanya menurunkan gadis berkenaan di sebatang lorong menghala ke
rumah gadis itu sahaja yang dianggapkannya selamat apatah lagi melihat keadaan
rumah berkenaan mempunyai penghuninya. Kemudiannya, gadis itu memberitahu
bahawa rumahnya itu sedang mengadakan “kenduri arwah” dan “majlis tahlil”, jadi
kalau ada masa datanglah ke rumahnya pada bila-bila masa sahaja (pelawa gadis)
itu.
Akhirnya dia meninggalkan gadis
tersebut di sebatang jalan ke rumah gadis berkenaan lalu terus memandu ke
rumahnya. Pada malam esoknya, sengaja beliau ingin jalan-jalan lalu berhasrat
ke rumah gadis yang mempelawanya pada malam semalam disebabkan beliau juga
tidak ada hal yang ingin dilakukannya di rumah. Setibanya di rumah gadis itu di
Batu 2, Jalan Bunut Payong, Kota Bharu beliau melihat ramai tetamu di rumah
gadis itu diadakan majlis tahlil, untuk siapa majlis itu beliau tidak tahu dan
tidak bertanya.
Setelah duduk di suatu ruang di
rumah gadis berkenaan, semua yang hadir dalam majlis tahlil di rumah gadis itu
pada malam berkenaan tertumpu memandang ke arahnya. Hal berkenaan menyebabkan
beliau berasa segan dan malu seolah-olah orang asing dan mengganggu majlis
berkenaan. Apatah lagi, gerak hatinya seolah-olah memberitahu dia tidak
dijemput untuk ke rumah itu dan kalau ada yang menjemputnya, siapakah
gerangannya. Justeru, melihatkan keadaan itu beliau agak tidak tergamak untuk
menjamah dan menikmati makanan yang dihidangkan, lalu beliau melangkah turun
dari rumah itu untuk menghilangkan rasa malu yang dialaminya sebentar tadi itu.
Pada masa itu, beliau cuba
ingin memberitahu tuan rumah kenapa beliau boleh hadir di rumah berkenaan pada
masa itu adalah atas jemputan gadis yang ditumpangkannya malam semalam.
“Oleh kerana dia berasa malu
dengan tetamu yang hadir itu agak ramai dan melihat ke arahnya, dia pun
melangkah turun dari rumah itu perlahan-lahan.
“Setelah kedua-dua kakinya
berpijak ke tanah, dilihatnya orang ramai yang sedang menikmati hidangan dalam
rumah itu termasuk gadis yang mempelawanya datang ke kenduri arwah di rumah
berkenaan tiba-tiba hilang (ghaib)”, ujarnya.
Tambah Azhar, terkejut dengan kejadian
itu, beliau mencari pemilik rumah yang akhirnya disapa oleh tuan
rumah terbabit iaitu seorang lelaki separuh usia yang dipanggilnya sebagai
“pakcik”. Dia menceritakan hal gadis yang ditumpangkannya dari Bukit Bauk,
Dungun, Terengganu untuk dihantarkan pulang ke Jalan Bunut Payong, Kota Bharu
dan dia hadir pada malam berkenaan kerana dipelawa oleh gadis terbabit sempena
majlis tahlil dan kenduri arwah.
Katanya, pakcik itu merenung ke
arahnya lalu memberitahu, gadis yang dimaksudkan itu adalah anaknya seorang
jururawat yang telah meninggal beberapa tahun lalu akibat nahas jalan raya di
bukit tersebut. Pakcik yang dimaksudkan itu bergegas memperlihatkan kepadanya
album foto anak gadis yang dimaksudkan itu. Pakcik itu berkata, dia tidak pasti
dengan kejadian majlis kenduri sebagaimana yang dilihat oleh guru tersebut sama
ada jelmaan jin atau jelmaan rohnya pada ketika itu yang memperlihatkan wajah makhluk
itu sebagai anak gadisnya. Pakcik terbabit turut menunjukkan pusara anaknya
yang telah dikebumikan berhampiran rumahnya itu.
Menurut Azhar sebagaimana yang
diceritakan oleh guru terbabit kepadanya menyatakan, beliau percaya sebuah
kereta sewa yang diparkir di tepi Bukit Bauk yang dilihatnya tempat barangan
terbuka, wajah pemandu kereta terbabit yang menahannya untuk menumpangkan gadis
dan juga gadis yang ditumpangkan dalam keretanya adalah jelmaan makluk halus semata-mata
yang sengaja ingin memperdayanya dan bukannya manusia sebagaimana yang dilihatnya. Menurut Azhar, guru
terbabit yang menjadi mangsa permainan makhluk terbabit agak malu dengan tuan rumah
kerana tuan rumah tidak pernah mempelawanya ke rumah terbabit pada malam
berkenaan.
Kata Azhar lagi, guru tersebut
kemudiannya perasan bahawa gadis yang ditumpangkannya sejak dari Bukit Bauk ke
Kota Bharu itu adalah makhluk halus yang menjelma seperti manusia. Malahan
majlis tahlil dan kenduri arwah sebagaimana yang beliau hadir pada malam
terbabit tidak wujud dan sejak itu beliau mula berhati-hati.
Wan Azhar Wan Muhammad.
Wan Azhar ketika menceritakan kejadian misteri Bukit Bauk itu kepada Wartawan RELATIF.
Mungkin di lorong inilah mangsa diperdaya oleh gadis penumpang itu tentang majlis kenduri dan
arwah yang tidak wujud sebagaimana yang dimaksudkan. Sebelah belakang premis ini adalah
tanah perkuburan.
tanah perkuburan.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan