RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Jumaat, 10 Januari 2014

Misteri Gua Ikan


MISTERI GUA IKAN


KUALA KRAI, KELANTAN:  MAKHLUK halus khususnya jin memang sukakan tempat yang sunyi, bebas dari bunyi bising serta pelbagai gangguan lain. Sebab itulah mereka menghuni kawasan-kawasan terpencil dan jauh dari manusia seperti di hutan, bukit-bukau, gua-gua, gunung-ganang, kawasan lembah, sungai dan tasik-tasik. Kejadian gangguan yang dialami oleh manusia disebabkan oleh sikap manusia sendiri yang mengganggu mereka dan menceroboh penempatan mereka, menyebabkan makhluk halus bertindak membalas dendam.

Begitu halnya tentang kejadian misteri di Gua Ikan yang sering berlaku sejak tahun 1970 dulu malah keadaannya semakin menjadi-jadi sejak pembukaan rasmi Taman Rekreasi Gua Ikan pada tahun 2006 sehingga hari ini untuk memberikan gambaran bahawa makhluk halus ingin hidup tenang dan bebas dari gangguan, hanya manusia yang tidak berhati perut tetapi suka menimbulkan angkara yang sentiasa mengancam kehidupan makhluk berkenaan. Apabila makhluk halus membalas dendam, manusia juga yang menderita dan sentiasa di dalam kesusahan.

Seorang penduduk yang ditemui Wartawan RELATIF, Zakaria bin Mohamed, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Da Soh dari Kampung Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan berkata, kejadian kedua misteri di Gua Ikan itu berlaku pada tahun 2011 yang dialami oleh rakannya bersama dua sahabatnya yang lain yang juga bekerja sebagai buruh menurap batu jalan untuk tujuan pembinaan jalan raya di kawasan laluan umum Gua Ikan itu.

Katanya, rakannya itu berhasrat untuk menjadikan surau yang dibina oleh pihak Majlis Daerah Dabong (MDD) di Taman Rekreasi Gua Ikan itu sebagai tempatnya untuk menumpang tidur bersama dua lagi rakanya, lalu meminta izin daripada Pak Da Soh. Beritahu Pak Da Soh, kalau sekadar untuk dijadikan tempat tumpang berteduh memang tidak menjadi masalah kerana kemudahan berkenaan memang dijadikan dan disediakan oleh pihak kerajaan sebagai suatu kemudahan kepada orang ramai. Namun, Pak Da Soh meminta segala barangan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu yang masih ada di situ tidak diusik, tetapi sekadar untuk melihatnya tidak menjadi masalah.

Setelah mendapat izin daripada Pak Da Soh, ketiga-tiga pekerja buruh tersebut kemudiannya menumpang tidur dan bermalam di surau itu. Namun, dengan tidak disangka-sangka, berlaku kejadian luar biasa yang menimpa ketiga-tiga mereka, salah satunya mungkin disebabkan keceluparan mulut dan tutur kata mereka memburuk-burukkan taman rekreasi itu tentunya telah didengari oleh makhluk halus yang sering mundar-mandir di malam gelap di taman itu tanpa disedari oleh mereka.

Ketika ketiga-tiganya asyik berborak dengan menghamburkan kata-kata nista dan kesat terhadap taman rekreasi itu, tanpa disedari oleh mereka bertiga jam telah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Dalam sekelip mata, ketiga-tiga mereka melihat ketiga-tiga tangan panjang sedang menghulurkannya di balik cermin tingkap surau itu.

Tambah Pak Da Soh, jelmaan makhluk halus yang menyakat ketiga-tiga mangsa pada pagi itu adalah seorang wanita yang dikatakan agak cantik berpakaian serba putih, manakala bentuk fizikalnya seperti manusia. Sambung Pak Da Soh, ketika ketiga-tiga pergelangan tangan dihulurkan masuk melalui cermin tingkap surau yang dihuni oleh ketiga-tiga mangsa, mangsa memang nampak dengan jelas dari arah cermin tingkap yang terbuka susuk tubuh lembaga wanita terbabit. Tetapi apabila mereka keluar dari surau itu sambil menggenggam lampu suluh untuk meninjau sambil melihat gerangan lembaga yang dimaksudkan, lembaga itu tiba-tiba ghaib.

Melihatkan situasi berkenaan seolah-olah lembaga berkenaan ingin mempermainkan dan mencabar ketiga-tiga mangsa terbabit, sebab apabila jarak mereka jauh lembaga berkenaan menunjukkan rupa dan diri di sebalik cermin tingkap yang terbuka itu. Tetapi apabila mereka keluar dari surau untuk melihat batang tubuh lembaga terbabit, lembaga itu ghaib pula.

Geram dengan permainan lembaga wanita itu, salah seorang mangsa cuba mencabar lembaga tersebut dengan menyatakan jangan cuba menyakat mereka, sebab mereka tidak takut kepada cabaran lembaga tersebut. Lalu ketiga-tiga mangsa kembali masuk ke dalam surau itu. Selang dua minit, dengan tiba-tiba lembaga wanita misteri itu menangis sambil menekup wajahnya dekat kenderaan Hilux milik mangsa.

"Tak usah menangis, kalau kamu nak datang ke surau ini, kamu datanglah", Pak Da Soh cuba mengajuk kata-kata salah seorang mangsa yang seolah-olah cuba mencabar makhluk halus pada pagi itu.

Dakwa Pak Da Soh, mungkin sikap geram lembaga itu terhadap cabaran yang dimajukan oleh seorang mangsa, lembaga wanita berkenaan kemudiannya menghentak dan memukul kenderaan Hilux mangsa dengan kuat. Walaupun kenderaan mangsa dipukul agak kuat dan bunyi menggegar suasana di Taman Rekreasi Gua Ikan pada pagi itu, kenderaannya tidaklah kelihatan kemek atau remuk tetapi sekadar bergoyang sahaja.

Mangsa yang naik marah dan geram dengan sikap biadap lembaga itu yang menghentak kenderaan Hiluxnya itu, dengan pantas berlari keluar dari surau terbabit seraya menyuluh dengan lampu suluhnya ke arah lembaga wanita itu. Mereka cuba menerpa ke arah lembaga wanita yang sedang naik angin itu, tetapi dengan tidak disangka-sangka mereka seperti dihalang atau ditolak secara ghaib, mereka seolah-olah tidak berdaya untuk melawan atau cuba bergerak ke hadapan yang juga seolah-olah badan mereka menjadi berat.

Dakwa ketiga-tiga mangsa, ketika kejadian itu, penglihatan mereka tidak lagi dapat melihat lembaga wanita yang sedang naik angin itu. Apa yang diberitahu oleh mangsa kepada Pak Da Soh, ketika lembaga wanita itu menghentak kenderaan Hiluxnya didapati kenderaannya itu bergoyang ke kiri dan kanan seperti akan terbalik.

"Ketika situasi itulah, sebagai seorang Islam mereka bertiga berdoa dan membaca beberapa potong ayat Al-Quran yang memotong halangan itu sehingga mereka dapat maju ke hadapan dan dapat naik ke atas kenderaan Hiluxnya lalu mereka bergegas ke rumah Pak Da.

"Apabila mereka sampai di rumah Pak Da, mereka kata Pak Da dan Pak Ku Li tiada di rumah, untuk menggambarkan mangsa tidak dapat melihat Pak Da dan Pak Ku Li", ujar Pak Da Soh.

Sambung Pak Da Soh, disebabkan terlalu kecewa dalam keadaan cemas itu apatah lagi melihatkan Pak Da Soh dan Pak Ku Li tiada di rumah untuk meminta bantuan yang diperlukan, mereka bertiga kemudiannya beralih arah untuk tidur di sebuah tempat lain iaitu di sebatang cabang di Kampung Sungai Sam iaitu lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian.

Manakala pada awal pagi esoknya, mangsa menemui Pak Da Soh menyatakan pengalaman mereka pada jam 1.00 pagi itu bahawa selepas kejadian amukan lembaga wanita berkenaan, mereka terus bergegas ke rumah Pak Da Soh untuk meminta bantuan tentang hal terbabit, tetapi didapati Pak Da Soh tiada di rumah, lalu mereka tidur di Kampung Sungai Sam itu. Lantas dijawab oleh Pak Da Soh bahawa beliau dan Pak Ku Li ada di rumah pada masa itu, tetapi mungkin mereka tidak dapat melihatnya.

Tambah Pak Da Soh, ketika ketiga-tiga mangsa bergegas dari rumahnya untuk tinggal di sebuah tempat di Kampung Sungai Sam pula pada pukul 3.00 pagi itu, beliau beranggapan lembaga wanita itu mengekori mereka dari belakang untuk membuat gangguan di Kampung Sungai Sam pula. Lembaga itu memarahi ketiga-tiganya kerana mangsa meminta dengan lembaga itu suatu benda yang tidak masuk akal tetapi mangsa menolaknya, seolah-olah ingin mempermainkan makhluk halus itu.

Setelah Pak Da Soh menyoal mangsa berulang kali tentang rahsia sehingga mereka diperlakukan sedemikian, salah seorang mangsa memberitahu bahawa mereka meminta nombor ekor untuk "berjudi". Keceluparan sikap dan tutur kata mereka membuatkan Pak Da Soh menengking mereka kerana berkelakuan tidak senonoh dan sepatutnya mereka menjaga tingkah laku ketika berada di tempat-tempat begitu.

Justeru, amat jelas bahawa tutur kata yang tidak sopan dan bersikap tidak beradat bukan sahaja tidak disenangi oleh kalangan manusia, namun makhluk halus juga tidak menyukainya dan memandang mereka dengan jelek. Dengan demikian, berwaspadalah apabila berada di tempat yang asing, kerana di tempat terbabit sememangnya dihuni makhluk halus yang tidak dapat dilihat oleh penglihatan manusia. Pengalaman misteri mangsa di Gua Ikan patut dijadikan sebagai satu pengajaran untuk tidak dilakukan oleh orang lain pula.

Zakaria Mohamed atau Pak Da Soh di gerai makanan miliknya.

Papan tanda ke arah Gua Ikan.

Puncak Gua Ikan adalah perkampungan jin.


Muka Gua Ikan, tempat permainan makhluk halus dari bangsa jin.

Sungai dan batu ini adalah tempat makhluk halus perempuan itu bermain.

Tangan makhluk halus dihulurkan ke arah cermin tingkap surau ini.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan