RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Khamis, 30 Januari 2014

Misteri Hutan Lipur Jeram Linang


MISTERI HUTAN LIPUR JERAM LINANG

MACHANG, KELANTAN:  JERAM LINANG adalah sebuah kawasan hutan lipur, rekreasi dan air terjun yang dianggap malah begitu terkenal di negeri Kelantan. Hutan lipur ini terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Sat, dalam jajahan Machang, Kelantan. Hutan lipur ini dikatakan ditemui, diteroka dan dibuka oleh moyang Paksu Mi (Paksu Mi adalah rakan Penulis yang kini menetap di Kota Bharu) pada tahun 1930 di mana ketika itu kawasan berkenaan masih belum mempunyai nama malah masih lagi dipenuhi hutan tebal dan pokok-pokok yang agak tinggi mendongak langit.

Beliaulah yang menebang dan menebas semak-samun dan pokok-pokok yang menghalang laluannya ketika mula meneroka kawasan tersebut. Moyang beliau dianggap seorang yang berani dan salah seorang peneroka hutan yang disegani kerana dalam usia berkenaan beliau sudah sanggup meredah hutan seorang diri semata-mata mencari kawasan baru untuk dibuka dan diberikan nama. Untuk datang ke sini pada ketika itu bukan calang-calang orang, kerana memang berlaku kejadian misteri ketika moyang Paksu Mi ingin membersihkan hutan di situ.

Ketika moyangnya itu mengambil peluang untuk berehat buat sementara waktu dari kepenatan, moyangnya itu menyandarkan tubuhnya pada sebatang pokok yang tumbuh di kawasan tersebut. Alat atau senjata yang digunakan untuk menebasnya ialah sebilah sabit (sadat) sahaja. Ketika moyangnya itu berehat, sabit tersebut dipacakkan di atas kepalanya di sebatang pokok tempat beliau bersandar itu. Dengan tidak disangka-sangka, pokok tersebut bergerak, mungkin sakit kerana senjata sabit itu terpacak pada lututnya. Mungkin pokok itu adalah makhluk halus yang dimaksudkan. Namun, disebabkan moyangnya itu seorang yang handal ketika berada di hutan, beliau tidak diapa-apakan sehinggalah aktiviti menebas kawasan itu selesai. Sudahnya kelihatanlah batu-batan yang agak besar dan air terjun yang memukau pandangan mengalir melalui jeram itu. Ketika itu, terjunan air terjunnya agak tinggi tidak sebagaimana hari ini yang agak perlahan.

Kolam air terjun yang terletak di bahagian bawah air terjun yang dimaksudkan sememangnya agak dalam, terdapat beberapa ekor ikan yang agak besar sentiasa berenang dalam kolam berkenaan. Sebahagian ikan berkenaan tidak kelihatan pada pandangan manusia, namun ikan-ikan berkenaan wujud dan hidup di dalam kolam yang dimaksudkan.


Ketika kali pertama Penulis menjejakkan kaki di dataran berbukit berhampiran dengan batu licin iaitu di kawasan kolam air terjun pada tahun 2007 dulu, Penulis pernah melihat serumpun pokok rendang berwarna unggu yang agak cantik tumbuh betul-betul di perdu sebatang pokok di kawasan itu. Tetapi apabila Penulis melihatnya buat kali kedua, didapati rumpunan pokok yang dimaksudkan ghaib (hilang) dari pandangan. Ini bermakna, kawasan terbabit memang segar sebagai kawasan milik makhluk halus di jeram itu yang tidak dapat dilihat oleh mata kita.

Walau bagaimanapun, kejadian misteri tidak habis setakat itu sahaja. Ini kerana, beberapa kejadian misteri mangsa lemas di kawasan kolam air terjun itu kerap dilaporkan dalam akhbar-akhbar tempatan. Kejadian misteri yang begitu ketara berlaku sejak tahun 2012, juga dikaitkan dengan kejadian lemas dan kematian mangsa di kawasan kolam air terjun Hutan Lipur Jeram Linang itu.

Manakala kejadian terbaru berlaku pada 25 Januari, 2014 lalu apabila dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Machang, Ahmad Izaat Zakaria, 19, dari Kampung Atas Banggol, Kota Bharu dan rakannya, Wan Khairul Ariffin Abdullah, 19, dari Kampung Durian Rendang, Ketereh juga mangsa di kawasan terbabit. Walaupun di kawasan kolam serta air terjun berkenaan telah dipasang papan tanda dilarang mandi-manda di kawasan “Kolam Air Terjun” berkenaan malah risiko berkenaan ditanggung sendiri oleh mangsa, namun kejadian mangsa lemas sering dilaporkan terjadi di kawasan tersebut. Mengapa jadi begitu?

Bukan ingin menyalahkan sesiapa di atas kejadian itu, tetapi apabila berada kawasan yang sunyi dan tersembunyi khususnya di kawasan bukit, gunung mahupun lata atau jeram, kita perlu beringat kawasan terbabit dihuni oleh makhluk halus dari bangsa “jin”. Makhluk ini juga sebagaimana manusia, boleh menjelma dalam bentuk dan rupa manusia, boleh menyusup masuk ke dalam tubuh, darah dan otak manusia, boleh juga menyakat atau mengganggu manusia apabila koloni dan tempat penginapan atau perkampungan mereka telah diganggu.

Maksud “ganggu” adalah merujuk kepada perbuatan atau sikap manusia yang tidak dapat melihat mereka sedangkan makhluk halus terbabit dapat melihat manusia dengan jelas. Berikutan itu, apabila manusia bersikap lepas tangan dengan menjadikan kawasan berkenaan menjadi kotor bagi pandangan mereka seperti ada manusia yang duduk berdua-duaan tanpa ikatan “pernikahan” seperti melakukan maksiat, berpelukan atau berbogel di kawasan dimaksudkan, dalam keadaan tertentu mangsa pasti disakat untuk tujuan menghalau pelaku dari melakukan perkara yang tidak senonoh di kawasan itu.

Manusia tidak dapat melihat atau tidak nampak makhluk berkenaan dengan mata kasar, sebab itulah mangsa melakukan hal-hal yang tidak senonoh dan kotor di situ. Makhluk halus yang menghalau mangsa mungkin dari jin Islam. Kalau jin bukan Islam menetap di situ, sudah tentu mangsa mendapat kecelakaan atau sebagainya kerana mereka akan masuk ke dalam tubuh manusia sehingga natijahnya (histeria) akan dialami pula oleh orang lain apabila cuba menolong mangsa, malah jin dalam ketegori ini juga boleh melahap manusia jika mereka mahu.

Selain itu, disebabkan manusia juga tidak nampak tempat berkenaan sebagai kolam atau taman biru (merujuk kepada cantik) milik makhluk itu, ada di kalangan manusia yang cuba membuat angkara seperti menyentuh beberapa batu aneh atau haiwan peliharaan milik mereka, mencemarkan kolam atau taman, memegang benda-benda aneh seperti ikan aneh atau sebagainya malah membuat bising di kawasan itu juga pastinya mangsa akan ditimpa petaka. Ini kerana, makhluk halus sudah cuba sedaya upaya untuk menjauhkan koloni mereka dari manusia kerana mereka juga berhati perut untuk tidak memberi ancaman terhadap manusia. Tetapi disebabkan manusia sendiri yang lalai kerana tabiat dan perilaku manusia menyebabkan mereka tidak cuba berhati-hati apabila berada di kawasan seperti itu.

Walaupun kawasan berkenaan berada di dalam negeri dan negara kita, tetapi kita sebenarnya berkongsi alam dengan mereka. Sebagai manusia, kita jangan fikir bahawa alam ini hak kita semata-mata tetapi makhluk halus juga adalah makhluk Allah yang perlukan makan minum, tempat tinggal, tidur, beranak-pinak malah mempunyai keluarga dan tidak ingin diganggu. Kalaulah manusia sentiasa berwaspada dan sentiasa faham dengan hal berkenaan, jika penempatan dan keluarga kita diganggu, begitulah juga makhluk halus tidak ingin diganggu sebagaimana manusia.

Kolam air terjun yang terletak di bahagian bawah air terjun yang dimaksudkan sememangnya agak dalam, terdapat beberapa ekor ikan yang agak besar sentiasa berenang dalam kolam berkenaan. Sebahagian ikan berkenaan tidak kelihatan pada pandangan mata kasar manusia, namun ikan-ikan berkenaan wujud dan hidup di dalam kolam yang dimaksudkan.

Manakala sebuah tempat di bahagian atas kolam berkenaan adalah tempat makhluk halus itu berkawal. Mereka sentiasa berada di situ malah sentiasa memerhatikan ke bawah iaitu ke kolam yang dimaksudkan. Buktinya, ketika Penulis bersama keluarga berkelah dan mandi-mandi di kawasan kolam berkenaan pada 17 Oktober, 2013 lalu, dari awal lagi Penulis melihat seorang makhluk halus sedang berdiri di kawasan yang dimaksudkan. Penulis berpura-pura mandi sebenarnya untuk melihat ke arah makhluk terbabit. Melihatkan paras rupa makhluk halus itu seperti sudah berusia dan Penulis percaya di tempat makhluk halus itu berdiri berhampiran dengan sebuah gua yang terselindung dari pandangan umum terletak di sebelah hadapan.

Dalam hubungan ini, untuk mengelakkan korban yang terlalu ramai ketika mandi-mandi di kawasan kolam terbabit, pengunjung dinasihatkan supaya tidak membuat bising atau bercakap perkara yang mengarut dan mencarut malah terlalu gembira sehingga tidak sedar dan lalai. Ini kerana, apabila kita mandi jam 10.00 pagi (di alam manusia) tetapi di alam mereka ketika itu sudah larut malam. Mungkinkah mereka sudah melelapkan mata yang menyebabkan mereka terganggu oleh bunyi bising suara manusia? Jika begitu, siapakah yang harus dipersalahkan?


Pintu gerbang Hutan Lipur Jeram Linang.
Kolam air terjun (anak panah), kawasan kolam ini agak dalam airnya (terdapat ikan yang boleh dilihat dan ikan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar).
Di sinilah (dalam bulatan merah) iaitu atas kolam air terjun, Penulis melihat makhluk halus lelaki sedang memerhatikan remaja sedang mandi pada 17.10.2013 (ketika rakaman foto tarikh tersebut).


Air mengalir dari Kolam Air Terjun.
Papan tanda larangan dan amaran mandi-manda di kawasan "Kolam Air Terjun".

Keratan akhbar Sinar Harian edisi Kelantan, 26 Januari, 2014.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan