RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Isnin, 30 Disember 2013

Misteri Lubuk Ikan


MISTERI LUBUK IKAN

MACHANG, KELANTAN:  KEBANYAKAN ikan lazimnya datang dari lubuk dan ikan-ikan berkenaan akan memasuki lubuk apabila didapati air semakin berkurangan dan kering. Apabila air kembali melimpah, ikan-ikan berkenaan akan mula keluar dari lubuk ke dunia luas sama ada ke sawah padi mahupun berenang ke parit dan saliran.

Membicarakan lubuk ikan, lazimnya kebanyakan masyarakat kampung akan mendapatkan ikan di lubuk-lubuk haiwan berkenaan apabila tibanya musim kemarau dengan mengadakan aktiviti menimba. Dengan cara dan kaedah ini, ikan-ikan yang berada dalam lubuk-lubuk berkenaan tidak akan dapat melarikan diri bahkan akan terperangkap di dalam lubuk-lubuk berkenaan disebabkan ketiadaan air. Apabila air terus dikeringkan, ikan-ikan berkenaan akan mudah ditangkap untuk dijadikan juadah pada hari itu.

Apabila membicarakan masyarakat kampung terutamanya remaja dan kanak-kanak amat gemar dengan aktiviti menimba ikan-ikan yang berada dalam lubuk-lubuk berkenaan. Apatah lagi, mereka sengaja mencari lubuk-lubuk ikan yang dikatakan menampung ikan-ikan besar di kawasan yang pernah dilalui orang atau kawasan terpencil. Dalam kegirangan untuk mendapatkan ikan-ikan yang berada di lubuk berkenaan, mereka sanggup menempuh risiko seperti berdepan dengan ular. Namun, hal yang sering terjadi ialah gangguan yang akan dialami di lubuk ikan terbabit.

Pengalaman seorang penduduk, Mohd. Fadli Yusoff ketika ditemui Wartawan RELATIF di Kampung Wakaf Bata, Machang, Kelantan yang sering menjadikan aktiviti menimba sebagai sebahagian aktiviti di kampungnya yang turut diganggu dengan kejadian aneh sewaktu menimba berkata, beliau turut diganggu oleh makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Pada zaman kanak-kanak tahun 1980 dulu, saya memang gemar menimba ikan. Setiap kali terlihat lubuk ikan, hanya terbayang dalam kepala saya tentunya ikan di situ banyak. Kalau saya tahu di kawasan itu ada lubuk ikan, peluang itu jarang saya lepaskan”, ujarnya kepada Wartawan RELATIF.

Katanya, di persekitaran kampungnya memang banyak lubuk ikan malahan terdapat lubuk-lubuk ikan itu yang tidak pernah diteroka dan dilalui oleh orang lain. Kawasan tempat beliau menimba ikan itu memang suatu tempat yang sunyi. Jadi, apabila musim kemarau, tentunya air dalam lubuk itu akan berkurangan dan kering, ikan-ikannya pula akan bersembunyi dalam lubuk-lubuk terbabit. Inilah masanya yang paling sesuai buat Fadli untuk menangkap ikan-ikan yang terperangkap dalam lubuk yang airnya semakin berkurangan itu.

Menurut Fadli, ikan-ikan yang dapat ditangkap dari sesuatu lubuk yang dikunjungi lazimnya ikan itu akan dibakar kerana ikan-ikan air tawar yang dikenali di Kelantan sebagai “ikan darat” memang enak dibakar. Apatah lagi, di kampungnya iaitu Kampung Banggol Cantik memang terdapat banyak lubuk ikan di mana lubuk ini tempat ikan-ikan darat seperti puyu, keli dan haruan bersembunyi dari kepanasan mentari akibat kekeringan air pada musim kemarau.

Tambah Fadli, beliau mempunyai dua adik lelaki jadi apabila beliau berasa ingin menikmati citarasa ikan darat dari sesuatu lubuk, beliau bersama-sama dua adik lelakinya itu akan bergegas ke lubuk ikan yang dimaksudkan itu dengan membawa bersama baldi, timba dan cangkul untuk dibuat batas untuk menakung dan sebagai aliran air keluar. Jadi, pada suatu petang, beliau bersama dengan adik-adiknya itu pergi menimba ikan di sebuah lubuk ikan dikenali “Lubuk Naso”.

“Zaman kanak-kanak, kita tak tahu erti takut. Sebut binatang apa, hantu atau sebagainya, sekalipun dilarang, kita akan pergi”, katanya yang menyatakan orang tuanya pernah melarangnya menimba ikan di lubuk itu bimbang sesuatu kejadian yang tidak diingini. Namun, beliau tetap ke lubuk ikan terbabit bersama-sama dua adiknya itu.

Menurut Fadli, setibanya di lubuk ikan dikenali sebagai Lubuk Naso itu, beliau bersama adik-adiknya itu akan membuat batas (menyekat ikan keluar) dan batas satu lagi untuk memudahkan air keluar dan menangkapnya. Selepas siap kerja-kerjanya itu, baharulah aktiviti menimba dilakukan.

Pada petang itu, memang Fadli bersama dua adiknya terlalu asyik melakukan aktiviti menimba supaya ikan-ikan yang dihajatkan dapat ditangkap sebelum waktu malam menjelang. Dalam keadaan hingar itu, dia memberhentikan kerja-kerjanya untuk menghilangkan rasa lenguh kerana agak terlalu lama tunduk dan menimba dalam lubuk ikan tersebut.

Dalam keadaan demikian, dia terlihat ke arah beberapa objek seperti “kulit pisang” berselerak di sana-sini seperti ada orang yang memakan isinya. Katanya, memanglah Lubuk Naso itu sebuah lubuk yang terletak di kawasan hutan tebal dalam daerah Machang, laluan singkat yang sering digunakan oleh penoreh-penoreh getah termasuk ibunya untuk ke kebun getah beberapa meter dari lubuk ikan itu.

Menurutnya, agak pelik juga dengan kulit pisang itu kerana kawasan hutan dan lubuk ikan itu tidak mempunyai sebatang pun pokok pisang, bagaimana kulit pisang itu berada di kawasan lubuk ikan itu dan jika ada kulit pisang tentunya ada orang yang telah memakannya, tetapi siapakah dia? Namun, amat mustahil ada manusia yang sengaja mencari tempat untuk memakan pisang apatah lagi di kawasan lubuk itu. Lubuk ikan bukan sebuah kawasan riadah atau perkelahan.

Tambah Fadli lagi, dia pun tidak perasan ketika awal beliau berlabuh di lubuk ikan itu sebab lazimnya lubuk ikan bukanlah sebuah kawasan yang menarik. Namun, melihat keadaan tempat berkenaan pada petang itu, kawasan lubuk ikan itu amat cantik dan menarik perhatian, seperti ada pihak tertentu yang mengurus dan menjaga kawasan lubuk ikan tersebut. Setahunya, manalah ada manusia yang sanggup membersihkan lubuk ikan yang terletak dalam kawasan hutan itu.

“Pada mulanya saya agak hairan kerana lubuk ikan itu agak cantik, seperti ada orang yang mengurusnya. Tidak mungkin penduduk kampung saya yang menguruskan lubuk itu kerana letaknya di kawasan hutan agak tebal”, ujar Fadli mengingati peristiwa pada petang tersebut.

Katanya menambah, satu hal lagi yang dianggap ganjil ialah air di lubuk itu memang tidak begitu dalam sangat, apabila ditimba beberapa kali tentunya airnya akan terus kering. Tetapi yang peliknya, apabila semakin ditimba, air itu semakin banyak dan tidak kering sehingga ke malam. Apabila hari sudah semakin senja dan dilihatnya akan Maghrib, beliau meneruskan aktiviti menimbanya dengan harapan air di lubuk itu semakin berkurangan dan kering, dengan demikian ikan yang terperangkap dalam lubuk berkenaan yang telah dibuat batas itu akan mudah ditangkap.

Namun, dilihatnya tiada ikan di kawasan itu sedangkan pada awal kedatangannya ke lubuk itu memang ada ikan yang melompat di lubuk itu. Tetapi sesuatu yang agak pelik baginya, semakin ditimba, air semakin bertambah banyak dan ikan yang diharapkannya tiada. Dalam keadaan berkenaan, dengan tiba-tiba tubuhnya berasa sesuatu yang menyeramkan, berbulu dan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan aktivitinya pada senja itu.

Disebabkan suasana yang semakin gelap dan di waktu Maghrib pula, tentunya ada sesuatu yang menunggu dan sedang memerhatikan tiga jiwa di kawasan lubuk itu yang menjadikan beliau berasa tidak selesa apabila melihat tiada ikan yang diperolehi. Jadi, beliau mengajak adik-adiknya pulang ke rumah dengan segera kerana jika berada agak lama di situ, bimbang sesuatu kejadian buruk akan berlaku.

Tambahnya, tempat beliau menimba ikan di Lubuk Naso itu merupakan tempat laluan ibunya untuk ke kebun getah sebagai penoreh di kawasan berhampiran. Katanya, ibunya akan turun dari rumahnya ke kebun getah itu mulai jam 5.30 pagi lagi untuk cepat sampai dan supaya getah yang ditoreh akan diperolehi dengan banyak kerana suasananya yang agak sejuk dan pada hari itu, beliau ke sekolah seperti biasa. Manakala ibunya pula seperti biasa akan ke kebun getah dengan melalui kawasan Lubuk Naso, tempat Fadli dan adik-adiknya sedang menimba petang semalam.

Pada hari esoknya, apabila beliau pulang dari sekolah, ibunya memaklumkan kepadanya bahawa suatu suara tiba-tiba memanggil ibunya ketika ibunya melintasi Lubuk Naso itu untuk menoreh di kebun getah berhampiran. Mendengar suara tersebut, ibunya memerhatikan kiri, kanan dan ke serata arah untuk melihat dan mencari gerangan suara yang memanggil namanya pada pagi itu. Bukan itu sahaja, ibunya juga mendengar suara beliau dan dua adiknya itu meminta ibunya itu turut menimba bersama.

Baginya, Lubuk Naso itu agak peliknya juga, mungkin juga sebuah kawasan agak keras dan ada penunggunya di kawasan itu. Selepas kejadian itu, beliau tidak lagi ke Lubuk Naso itu walaupun hanya seorang diri atau ditemani oleh adik-adiknya. Dia mendakwa Lubuk Naso ada penunggu yang menjaga lubuk berkenaan apabila ditemui kulit pisang berselerakan dan air yang ditimba tidak kering. Ini katanya, untuk memberikan gambaran ada makhluk di kawasan itu yang tidak dapat dilihat olehnya tetapi makhluk ghaib itu yang dapat melihatnya pada petang berkenaan.

Katanya, dia mula menimba selepas waktu Asar sehingga Maghrib. Kawasan itu tidak pernah dilalui orang lain kecuali penoreh-penoreh getah sebagai laluan singkat ke kebun getah terbabit. Sayangnya, Lubuk Naso dilihatnya banyak ikan, tetapi apabila cuba ditangkap ikannya hilang entah ke mana. Adakah ikan itu disembunyikan oleh makhluk halus itu atau ikan-ikan yang dilihatnya sewaktu tiba di lubuk itu hanya gambaran dalam penglihatannya semata-mata. Mungkin ikan haruan, keli dan puyu memang wujud di lubuk ikan itu tetapi makhluk halus yang menjaganya sejak awal lagi tidak membenarkan beliau menangkapnya kerana ikan-ikan itu adalah milik dan sebagai makanannya.

 Mohd. Fadli Yusoff.

 Mohd. Fadli Yusoff ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Jumaat, 20 Disember 2013

Misteri Pak Din Hilang


MISTERI PAK DIN HILANG

KOTA BHARU, KELANTAN:  KEJADIAN manusia disorok atau disembunyikan makhluk halus memang suatu yang realiti dan bukannya cerita dongengan. Bukan kanak-kanak sahaja yang menjadi mangsa disorok oleh makhluk ghaib itu, namun golongan veteran juga mengalami nasib yang sama. Puncanya, mungkin mangsa telah didapati mengganggu persekitaran atau tempat makhluk terbabit ataupun secara kebetulan makhluk berkenaan berada di kawasan itu yang berasa kasihan kepada mangsa yang dalam keadaan daif, lantas makhluk berkenaan cuba membantu mangsa. Ataupun pertolongan yang dimaksudkan itu sebenarnya ada udang di sebalik batu, mangsanya tidak sedar tentang hakikat itu, kerana di waktu yang akan datang mangsa terbabit pastinya akan menerima natijah yang sama.

Walaupun ada yang menganggap manusia disorok makhluk halus dikenali sebagai “jin” (hantu pari, pontianak dan langsuir) adalah kes terpencil, namun pastinya mangsa yang disorok akan mengalami pelbagai gangguan, terutamanya bagi mereka yang lemah semangat. Malah keluarga mangsa pula termasuk orang-orang kampung pastinya menjadi gempar dengan kejadian berkenaan. Bagaimana jika mangsanya disembunyikan terus dan makhluk halus terbabit enggan mengembalikannya ke alam manusia?

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, suatu kejadian yang tidak dapat dilupakan oleh Mohamed bin Awang Noh, 74, atau lebih dikenali sebagai Tok Haji Mamat dari Kampung Baru Salor, Kota Bharu, Kelantan berkata, kisah Pak Din yang merupakan rakan sekampungnya yang paling akrab pernah disorok oleh makhluk halus ketika sedang melakukan kerja-kerja menyadat untuk mendapatkan nira kelapa di Kampung Atas Pulau, Pasir Mas, Kelantan kira-kira 10 tahun lalu masih lagi segar dalam ingatannya sehingga kini.

Katanya, setelah selesai rutin hariannya menyadat nira kelapa pada pukul 11.00 pagi, Tok Haji Mamat agak hairan kerana sehingga jam 12.00 tengah hari beliau masih belum melihat kelibat Pak Din di tempat itu. Setahunya Pak Din masih berada di atas pohon kelapa di kampung itu kerana sedang menyudahkan kerja-kerjanya menyadat dan mendapatkan nira kelapa untuk dituangkan ke dalam kawah (kuali besar) yang turut disediakan di situ untuk dimasak. Pada mulanya Tok Haji Mamat terfikir sama ada Pak Din tertidur di denai hutan terbabit jika itulah kejadiannya.

“Kerja Pak Haji memangnya sudah selesai, Pak Haji bersiap untuk pulang. Hanya Pak Din sahaja yang masih belum siap. Pak Haji terus menunggu Pak Din untuk pulang bersama-sama, sebab pada masa itu Pak Din masih berada di atas pokok kelapa. Anehnya, Pak Din tidak kelihatan.

“Bimbang hari semakin panas, Pak Haji melangkah pulang seorang diri. Dalam hati bimbang dan tertanya-tanya, ke mana Pak Din menghilang”, ujar Tok Haji Mamat yang membahasakan dirinya Pak Haji.

Oleh kerana Pak Din tidak juga muncul, Tok Haji Mamat terus pulang sendirian tanpa Pak Din bersama kerana terik mentari mula menampakkan sinarnya. Kerja-kerja menyadat kelapa tidak perlu dilakukan terus kerana mudah merimaskan badan dan banyak tenaga hilang disebabkan terpaksa memanjat pokok kelapa yang kadang-kadang agak terlalu tinggi. Tok Haji Mamat kemudiannya mula angkat kaki meninggalkan suasana hutan ketika itu kerana Pak Din yang ditunggu tidak juga nampak batang hidungnya. Apabila sampai di rumah, Tok Haji Mamat ditanya isterinya kerana Tok Haji Mamat sahaja yang pulang sedangkan Pak Din tidak kelihatan bersamanya.

“Pak Haji maklumkan kepada isteri, semasa sibuk dengan urusan itu, Pak Din masih ada di atas pokok kelapa itu. Tetapi apabila bersiap untuk pulang, didapati Pak Din tidak kelihatan”, ujar Tok Haji Mamat.

Apabila hari menjelang malam, beliau meminta rakan-rakan sekampungnya yang lain supaya membantunya untuk cuba mencari Pak Din yang masih belum pulang lagi. Bertemankan rakannya itu, beliau kembali ke tempat kejadian untuk mencari Pak Din yang hilang. Apabila beliau dan rakannya tiba di tempat yang dimaksudkan yang pada hemahnya tentunya Pak Din hilang di tempat itu, matanya melilau ke serata arah. Beliau kemudiannya mendongak ke arah sebatang pokok kelapa tempat Pak Din sedang menyadat siang tadi, tetapi Pak Din tiada di atas pokok kelapa itu.

Dalam Tok Haji Mamat terlintas pelbagai perkara buruk terhadap Pak Din berdasarkan situasi pada masa itu. Kadang-kadang Tok Haji Mamat terfikir berkemungkinan Pak Din tidak dapat turun ke bawah dan dikatakan hilang disebabkan telah disorok oleh makhluk halus yang kebetulan ada di situ kerana tempat berkenaan pada ketika itu masih dipenuhi hutan yang belum dibersihkan.

Namun, rupa-rupanya ketika Tok Haji Mamat ingin mengangkat kaki untuk pulang kerana telah putus asa mencari Pak Din yang tetap tidak kelihatan, sedangkan pada ketika itu juga Pak Din nampak dengan jelas dari atas sebatang pohon kelapa itu orang-orang kampung berkenaan sedang mencarinya, tetapi orang-orang kampung tidak dapat melihat Pak Din yang hakikatnya masih berada di atas pokok kelapa itu. Bahkan suaranya untuk meraung dan memanggil-manggil mereka yang sedangnya mencarinya gagal didengari mereka yang mungkin telah dihalang alam makhluk halus itu.

Berikutan itu, Tok Haji Mat mencadangkan supaya membuat aduan polis tentang kehilangan Pak Din itu. Selepas membuat laporan polis kira-kira jam 1.00 pagi itu yang turut disertai oleh sepupu mangsa, mereka pulang ke rumah. Kerana masih belum puas hati, mereka kembali ke tempat Pak Din hilang itu dengan membawa pelbagai kelengkapan yang sepatutnya untuk tujuan meneruskan pencarian Pak Din yang dikatakan hilang itu.

Ketika semangat membara orang-orang kampung yang masih berusaha mencari Pak Din di tempat Pak Din hilang itu, dengan kehendak Allah mereka berselisih di perjalanan. Pak Din sedang dalam perjalanan pulang manakala kumpulan orang-orang kampung dalam perjalanan mencari Pak Din, akhirnya bertembung di tempat itu.

Mengetahui bahawa Pak Din telah pulang pada malam berkenaan, pada hari esoknya Tok Haji Mamat membatalkan niat untuk menyadat kelapa, sebaliknya terus bergegas ke balai polis bersama Pak Din untuk memaklumkan kepada pihak berkenaan bahawa, Pak Din telah ditemui dan telah pulang ke rumah malam semalam. Mendengarkan cerita Tok Haji Mamat itu, anggota polis terbabit ketawa kerana geli hati.

Menurut Tok Haji Mamat, kejadian berkenaan berlaku lebih dari 10 tahun lalu dan masih segar dalam ingatannya kerana mereka berdua tersohor sebagai penyadat kelapa yang disegani. Mereka berdua dianggap rakan sekampung yang hanya bekerja sebagai penyadat kelapa, itulah rutin harian mereka untuk mencari sesuap rezeki. Tetapi, disebabkan salah seorang rakannya itu didapati telah disorok oleh makhluk halus semasa sedang memanjat kelapa, menyebabkan berita berkenaan menjadi gempar kononnya Pak Din ghaib secara tiba-tiba.

Selepas Pak Din ditemui dan pulang dengan selamat, Tok Haji Mamat meminta Pak Din memintanya menceritakan pengalamannya itu. Menurut Pak Din, ketika berada di alam makhluk halus itu, dia tidak mengetahui tentang dirinya telah disorok kerana lupa setelah dijamu dengan nasi beras wangi berlaukkan gulai yang lazat. Tok Haji Mamat mencelah, adakah Pak Din tahu apa yang dimakannya ketika disorok oleh makhluk halus itu?

Tok Haji Mamat menjelaskan, Pak Din sebenarnya bukannya memakan beras wangi sebaliknya telur semut dan lauk yang lazat itu sebenarnya katak. Walaupun dimaklumkan oleh Tok Haji Mamat, Pak Din hanya ketawa kononnya beliau telah menikmati juadah yang lazat di alam makhluk halus itu. Pak Din juga berasa seperti masih berada dan memeluk batang kelapa itu, tetapi hakikatnya dia telah dibawa ke salah satu pokok mangga di kawasan yang sama

“Pak Haji agak, mungkin Pak Din tak tahu dia berada di atas pokok mangga itu, sebab itulah dia dapat makan nasi beras wangi”, jelas Tok Haji Mamat sambil ketawa.

Tambah Tok Haji Mamat, banyak kerengga di kawasan itu, tetapi Pak Din seperti tidak berasa apa-apa kerana telah dilindungkan ke alam berkenaan yang dianggapnya seperti alam manusia juga kerana keadaannya luas, sedangkan beliau ketika itu sedang berada di atas pokok mangga.

Kata Tok Haji Mamat lagi, usia Pak Din lebih tua dari usianya ketika itu, tetapi disebabkan rakan sekampung, mereka berkawan sehingga dewasa dan tidak pernah bermasam muka, begitulah hebatnya golongan remaja zaman dulu. Katanya, ketika kejadian beliau agak usia Pak Din dalam lingkungan 40 tahun.

Mohamed bin Awang Noh atau Tok Haji Mamat.

Tok Haji Mamat ketika menceritakan kisah misteri itu kepada Wartawan RELATIF.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Ahad, 1 Disember 2013

Budi Seekor Harimau


BUDI SEEKOR HARIMAU


MACHANG, KELANTAN:  HAIWAN kadang-kadang lebih baik, walaupun dianggap tidak sempurna dalam beberapa sifat sebagaimana yang dimiliki oleh manusia. Walaupun haiwan sekadar mempunyai perasaan tetapi tidak mempunyai akal sebagai alat berfikir seperti manusia, namun dalam hal-hal tertentu haiwan juga pandai membalas budi khususnya terhadap manusia yang pernah menolong spesis mereka. Misalnya, harimau yang dianggap haiwan ganas di rimba tetapi pada ketika-ketikanya haiwan ini juga yang dapat membantu manusia yang di dalam kesulitan.

Hal ini bukanlah suatu cerita dongengan, namun pengalaman salah seorang peneroka tanah hutan yang berasal dari Kampung Temangan Lama dekat sini yang hanya dikenali sebagai Pak Chek, adalah merupakan pengalaman berharga beliau ketika membuka tanah hutan di Kampung Kerilla, daerah Temangan pada tahun 1930 dulu. Kisah ini yang diceritakan semula oleh arwah bapa dan dipungut oleh Wartawan RELATIF semasa hayatnya memberitahu, seekor harimau betina yang dianggap ganas di hutan di kampung berhampiran tiba-tiba membalas budi dengan mempersembahkan seekor rusa sebagai hadiah kerana salah seorang hamba Allah pernah menolong anaknya yang terjatuh dan terperangkap dalam sebuah perigi buta di sebuah hutan dan bukit di kawasan terbabit.

Menurut ceritanya, Pak Chek bersama lima rakan-rakannya lain adalah kumpulan peneroka hutan telah membuka kawasan bukit dan hutan tebal di Kampung Kerila itu untuk dijadikan sebuah perkampungan dan penempatan baru. Dalam usaha untuk memudahkan kerja-kerja yang memakan masa beberapa bulan itu, mereka berenam telah membina sebuah “bangsal (danau)” yang lengkap dengan pagarnya yang dibuat dari batang-batang kayu untuk mengelakkan dari dirempuh haiwan buas di kawasan hutan terbabit sebagai penempatan sementara untuk berteduh dari hujan, panas, sebagai tempat tidur dan baring.

Pada suatu hari, mereka seperti lazimnya meneruskan tugas berkenaan seperti biasa dengan menebas dan menebang pokok-pokok kayu kerana itulah rutin kerja mereka ketika  remaja yang tabah dan berjiwa kental. Jika tidak mempunyai jiwa yang kental, tabah, teguh dan tekun dengan kerja-kerja berkenaan tidak mungkin sebuah kawasan dan penempatan baru dapat dibuka dengan sempurna. Ini kerana, apabila dikatakan kawasan bukit dan hutan, sudah tentu hal utama yang perlu dihadapi ialah sama ada bertembung dengan haiwan buas dan makhluk halus yang menghuni di kawasan terbabit.

Pada hari berkenaan, seperti biasa apabila hari semakin senja, mereka berenam berjaya  menyiapkan kerja sebagaimana yang diharapkan apabila beberapa kawasan tertentu telah dapat diterangkan dan pokok-pokok yang tumbuh subur di kawasan terbabit akhirnya dapat ditumbangkan. Sekitar kawasan berkenaan menjadi terang benderang apabila pancaran cahaya matahari, bulan dan cahaya langit dapat menembusi kawasan tersebut.

Setelah penat bekerja sehari suntuk, mereka kemudiannya beransur-ansur melangkah pulang ke danau kerana hari telah beransur senja. Disebabkan kawasan hutan berkenaan telah berjaya ditebang, mudahlah mereka berjalan pulang kerana suasananya agak terang sedikit berbanding sebelumnya.

Bezanya, atur langkah Pak Chek agak perlahan sedikit berbanding lima rakannya yang lain yang mendahuluinya dan mungkin telah sampai di danau mereka. Walaupun langkah Pak Chek agak perlahan berbanding lima rakannya itu, namun kaki tetap melangkah menuju ke danaunya. Tiba di suatu tempat yang agak samar-samar di antara waktu Maghrib, Pak Chek tiba-tiba dikejutkan dengan ngauman seekor binatang yang agak kasar. Pak Chek memberhentikan langkahnya, sambil anak telinganya cuba menangkap arah bunyi ngauman itu dengan meneruskan langkahnya perlahan-lahan.

Setibanya di tempat bunyi ngauman suara garang itu, terlihatkan olehnya seekor harimau belang sedang memerhatikan ke arahnya dengan pandangan yang agak liar. Dari pemerhatian Pak Chek, tentunya harimau yang sedang memuntahkan suara garau itu ialah seekor harimau belang betina. Harimau itu mungkin dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan seseorang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya, bisik hatinya.

Seketika kemudian, sekali lagi Pak Chek melihat dan mendengar dengan jelas ngauman harimau betina itu sambil melihatkan ekor matanya yang mengarahkan ke arah sebuah tempat yang dalam. Pak Chek cuba mendekati harimau betina itu dalam jarak beberapa meter untuk memerhatikan, apakah maksud di sebalik ngauman harimau betina itu.

Kepalanya dijengukkan ke arah sebuah tempat yang agak rendah. Dalam samar-samar senja itu, Pak Chek dapat melihat ada sebuah perigi yang sederhana dalamnya di kawasan itu. Di dalamnya ditakungi air kerana, hujan lebat sejak seminggu yang lalu menyebabkan air hujan itu bertakung dalam perigi tersebut. Tiba-tiba di sebalik rimbunan daun-daun yang tumbuh dalam perigi buta itu, Pak Chek terlihat seekor anak harimau berada dalam perigi berkenaan, mungkin anak harimau itu terjatuh ke dalam perigi itu ketika bermain-main atau sedang galak bersama ibunya, harimau betina tersebut.

Pak Chek yang begitu memahami dengan situasi itu cuba menyakinkan harimau betina yang pada perkiraannya tentunya ibu kepada anaknya yang terjatuh ke dalam perigi buta itu. Tanpa membuang masa yang suasananya semakin gelap, Pak Chek kemudiannya menebang sebatang pokok sebesar pahanya, lalu dibuang ranting dan daun pokok itu lalu  menyorongkan batang kayu itu ke dalam perigi berkenaan.

Anak harimau yang menyedari ada sebatang kayu berada dalam perigi itu kemudiannya melompat ke atasnya lalu berlari naik ke tebing perigi. Setelah selamat berada di tebing perigi, anak harimau itu menggoyang-goyangkan badannya untuk tujuan mengeringkan air yang membasahi bulunya.

Hairannya, anak harimau itu tidak terus mendapatkan ibunya yang setia menunggu anaknya, sebaliknya anak harimau itu menuju ke arah Pak Chek terlebih dahulu lalu menggesel-geselkan bulu dan badannya pada kedua-dua betis Pak Chek seperti seekor kucing manja lagaknya seolah-olah mengucapkan terima kasih kepada Pak Chek kerana telah menyelamatkan nyawanya dari perigi buta itu. Pak Chek kemudiannya menggosok-gosok badan anak harimau itu beberapa ketika. Kemudiannya anak harimau itu berlari riang ke arah ibunya yang sejak tadi sedang menanti dengan penuh kebimbangan tentang keselamatan anaknya yang terperangkap di dalam perigi buta itu. Sekali lagi harimau betina itu mengaumkan suaranya seolah-olah mengajak anaknya berlalu pergi dan mengucapkan terima kasih kepada Pak Chek.

Sementara di danau enam sekawan itu pula, masing-masing sibuk dengan aktiviti untuk makan malam dan sebagainya. Dalam suasananya yang agak hingar itu, tiba-tiba salah seorang rakan Pak Chek terdengar bunyi agak ganjil dari luar danau mereka. Bunyinya seperti pagar danau mereka runtuh seperti dihempap benda besar dan berat.

Bimbang dengan situasi dan bunyi pelik itu, rakannya itu memaklumkan hal berkenaan kepada Pak Chek. Pak Chek yang dianggap ceria dan sepontan dengan keadaan itu tidak menunjukkan sebarang kebimbangan kerana hanya Allah saja yang tahu dengan keadaan dirinya pada hari itu.

“Aku rasa, kita ada tuah dan rezeki yang tidak disangka pada malam ini”, ujar Pak Chek.
“Rezeki apa pulak. Kau jangan mengada-ngada, kita di dalam hutan sekarang. Aku bimbang sesuatu kejadian buruk”, cetus rakan yang mendengar bunyi pelik itu.
“Percayalah, kita dapat rezeki malam ini. Kalau tidak percaya, mari kita pergi tengok”, cetus Pak Chek lagi.

Mereka berenam kemudiannya berlari keluar danau untuk melihat sendiri apakah bunyi pelik sebagaimana yang didakwa oleh salah seorang rakan mereka kira-kira jam 10.30 malam itu. Apabila mereka berenam tiba di tempat yang dimaksudkan, mereka agak terkejut kerana seekor rusa betina terdampar di atas pagar yang kini telah runtuh dan patah disebabkan dirempuh rusa itu.

“Kan betul aku kata tadi, kita ada rezeki bertuah pada malam ini”.
“Kenapa dengan rusa ini?” soal seorang rakannya tidak percaya dengan situasi itu apabila melihatkan seekor rusa betina yang masih hidup tetapi tidak dapat bangun kerana kedua-dua kaki hadapannya telah dipatahkan harimau betina itu.

“Harimau betina itu membalas budi aku waktu senja tadi kerana aku telah menyelamatkan anaknya yang terjatuh dan terperangkap di dalam perigi buta di atas bukit itu”, ujar Pak Chek sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah bukit yang dimaksudkan.

Mendengar cerita dan penjelasan Pak Chek berhubung dengan harimau dan rusa itu, kelima-lima rakan-rakannya mula berasa lega. Hanya yang rakan-rakannya bimbang jika danau mereka diceroboh haiwan buas kerana selain harimau belang, haiwan buas yang lain seperti harimau bintang, badak sumbu, serigala dan babi hutan yang sering berkeliaran di kawasan hutan berhampiran.

Kata Pak Chek, mungkin juga harimau itu memburu mangsanya (seekor rusa) ketika rusa berkenaan sedang leka dengan kawanan haiwan berkenaan di sebuah hutan pada malam itu. Dalam agakan Pak Chek, setelah dapat mangsanya itu, harimau itu mungkin mematahkan kedua kaki hadapan rusa itu supaya itu tidak dapat melarikan diri lalu diseret ke danau mereka berenam sebagai hadiah kerana telah menyelamatkan anaknya yang terjatuh dan terperangkap dalam perigi buta itu. Jika tiada manusia yang cuba menyelamatkan anaknya, tiada siapa lagi yang dapat berbuat demikian termasuk harimau itu.

Malam berkenaan mereka kenduri sakan kerana selama ini mereka hanya mengharapkan daun-daun kayu dan buah-buahan hutan sebagai makanan, tetapi kini mereka boleh menikmati daging rusa segar yang manis dan enak sampai berminggu lamanya.

Dalam konteks ini, jangan kita labelkan haiwan ganas itu jahat dan ganas kerana yang ganasnya ialah sifat dan tabiat manusia sendiri yang mengganggu habitat haiwan itu. Lihatlah, haiwan sendiri faham dengan erti pertolongan dan bantuan dari manusia yang jujur akan dibalas dengan bantuan yang dianggap tidak ternilai dari seekor haiwan yang tidak mempunyai fikiran seperti kita. Ingatlah, orang yang jujur bukan saja disenangi manusia keseluruhannya dan malaikat tetapi juga haiwan kerana sifat berkenaan perlu kekal dalam diri manusia.


Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 10 November 2013

Misteri Makhluk Tumpang


MISTERI MAKHLUK TUMPANG

TUMPAT, KELANTAN:  MAKHLUK halus kenal siapa yang boleh diusik atau siapa yang tidak patut disakat. Makhluk ini akan melihat dengan jelas dalam sanubari manusia, jika orang yang ingin disakat itu seorang yang mempunyai semangat kental, makhluk halus akan menjauhkan diri. Sebaliknya, jika mangsanya seorang yang mudah dipermainkan, maka pada setiap masa mangsa akan diperlaku dan diperlekehkan oleh makhluk halus yang jahat itu.

Begitulah kejadian yang menimpa keluarga Haji Said Haji Abdullah, 67, atau lebih lebih dikenali dengan panggilan Pak Aid dari Cabang Tiga Kampung Berangan, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu.

“Makhluk halus itu tidak pernah mengusik pakcik, yang sering menjadi mangsanya ialah isteri dan cucu pakcik yang tinggal di rumah ini”, jelasnya kepada RELATIF.

Menurutnya, pada tahun 1957 dulu rumah berkenaan dibina dari papan dan kayu sahaja dan ketika itu beliau menetap di rumah terbabit bersama isterinya, Lijah binti Jusoh. Ketika mendiami rumah yang dibuat dari kayu dan papan kelihatannya agak uzur itu, keluarganya tidak pernah mendapat gangguan dari sesiapa apatah lagi dari makhluk halus.

Isterinya juga tidak pernah merewel atau memaklumkan kepadanya wujudnya gangguan sebagaimana yang dimaksudkan. Ini untuk menunjukkan, beliau dan isterinya ketika itu hidup dalam keadaan aman tanpa rasa takut kerana tidak pernah diganggu walaupun rumahnya ketika itu jauh dari jiran tetangga. Apatah lagi kawasan tapak rumah dan persekitaran rumahnya ketika itu masih dipenuhi hutan tebal yang belum diteroka sepenuhnya dan selepas itu kebun getah pula.

Namun katanya, pada tahun 1997 iaitu apabila rumah lama yang berkonsepkan papan dan kayu dirombak untuk pembinaan rumah batu dan simen, iaitu kira-kira tiga tahun selepas dapat menyiapkan pembinaannya, gangguan yang dimaksudkan masih lagi belum berlaku. Namun, pengalaman jiran-jirannya yang pernah datang ke rumahnya ketika itu mendakwa sering berasa takut dan kecut perut melihat keadaan rumah berkenaan. Kata mereka, rumahnya ketika itu seolah-olah ada penghuni ghaib yang sedang memerhatikan ke arah mereka dan kalau tidak kerana ada urusan rasmi pastinya jiran-jirannya itu tidak akan bertandang ke rumahnya.

Sambungnya, selepas 10 tahun berlalu dan rumahnya kini siap sepenuhnya, kejadian gangguan tersebut mula dan semakin kerap berlaku. Hal yang dapat diingatinya apabila sering berlaku pertengkaran yang tidak pernah berlaku sebelumnya, keadaan dalam rumahnya itu seolah-olah dibakar api kepanasan dan kalau bertutur pun seperti dalam keadaan tidak selesa kerana apabila mula bercakap pastinya akan berasa terbakar dan hati sentiasa mendidih. Melihatkan wujudnya kegelisahan dan suasana yang dianggap panas dan tidak aman dalam rumah batu ketika itu, beliau mendapatkan khidmat “Bomoh Budak” yang tinggal di sebuah pulau.

“Pakcik panggillah seorang bomoh budak, minta dia bantu untuk selesaikan masalah pakcik. Pakcik tidak menjadi masalah, yang merungsingkan adalah keluarga pakcik”, katanya.

Katanya, bomoh budak tersebut membuat kaedah “pagar rumah” dengan melakukannya di sekeliling rumah, kemudiannya dia paku dan ikat paku itu dengan secebis kain merah untuk mengelakkan makhluk halus itu masuk ke kawasan rumah terbabit. Dakwaan bomoh budak itu menyatakan, kaedah pagar sebagaimana yang dilakukan oleh bomoh budak itu dapat mengelakkan gangguan makhluk halus tersebut.

Namun menurut Haji Said, selepas kaedah berkenaan dilakukan oleh bomoh budak terbabit, bukan masalah semakin berkurang atau gangguan makhluk halus telah selesai, sebaliknya gangguan makhluk berkenaan semakin menjadi-jadi untuk menunjukkan makhluk halus itu “bertambah marah” dengan apa yang dilakukan oleh Bomoh Budak itu.

Berikutan kejadian itu, makhluk halus semakin geram dan bertambah marah sehinggakan anak-anak kecil dan cucunya sendiri semakin takut untuk masuk ke dapur di rumahnya seorang diri walaupun sebelum ini tidak begitu. Bukan sahaja amat menakutkan kanak-kanak, bahkan orang-orang dewasa sendiri pun seperti dalam kebimbangan kerana bulu roma meremang setiap kali terfikir tentang makhluk itu. Katanya, beliau tidak pernah diganggu oleh makhluk halus itu, namun orang-orang perempuan seperti isterinya sendiri dan cucunya yang menetap di rumah berkenaan yang menjadi mangsanya akibat gangguan makhluk halus yang dianggap tidak “makan saman” itu.

Adalah lazim katanya, gangguan yang dialami oleh keluarga Haji Said apabila makhluk halus itu sering menjelma menunjukkan dirinya dan wajahnya. Ditanya, adakah makhluk halus itu pernah membisikkan di telinga ahli keluarganya? Beliau menjelaskan, makhluk halus itu tidak pernah bertindak sedemikian, tetapi sering terjadi apabila kaki mereka sentiasa ditarik dan tangan mangsa disentap berulang kali. Malah kadang-kadang pernah terjadi urat perut terseliuh dan luka kerana dipijak dan disentap sedemikian rupa ketika mereka ingin masuk tidur di dalam bilik kira-kira jam 11.00 malam.

“Hal ini pernah dimaklumkan beberapa kali oleh isteri pakcik. Pakcik hanya mendiamkan saja sambil berfikir bagaimana cara untuk bertindak”, luah Haji Said sambil memendamkan kemarahannya terhadap makhluk halus itu.

Menurutnya, kejadian anggota tubuh ahli keluarga disentap berulang kali ketika masuk tidur pernah berlaku beberapa kali. Namun, apabila kejadian berkenaan dimaklumkan dia hanya mendiamkan diri. Tetapi, disebabkan tidak sabar dengan kejadian berkenaan yang dianggap “mencabar” kesabarannya, beliau kemudiannya mendapatkan khidmat seorang bomoh siam. Katanya, bomoh siam itu melakukan dengan cara “tuntung” dan selepas dilakukan cara berkenaan, baharulah keluarganya tidak lagi diganggu oleh makhluk halus yang dianggap nakal dan suka menyakat itu.

Apabila ditanya tentang sebab dan punca kejadian gangguan makhluk halus yang semakin menjadi-jadi itu, beliau menjelaskan, pada masa dulu orang-orang tua zaman lampau suka “bermain puteri”. Banyak “balai” yang di dalamnya disajikan dengan jamuan untuk makhluk halus terbabit dibuang di kawasan berhampiran rumahnya kini kerana pada masa dulu, kawasan tapak rumahnya sekarang ini adalah hutan dan kawasan pokok getah.

“Balai itu dibuang di kawasan hadapan rumah pakcik berdekatan dengan sebatang pokok besar itu. Disebabkan kejadian berkenaan sering berlaku dan pakcik mengetahui puncanya datang dari tempat itu, pokok besar itu pakcik tebang kerana tersangat benci melihatnya”, ujarnya yang juga sudah meluat dengan sikap makhluk halus itu.

Mungkin katanya, disebabkan pokok besar tempat makhluk halus itu menghuni itulah menyebabkan makhluk berkenaan semakin geram dan marah dengan tindakannya. Bermula dari saat itulah, mungkin disebabkan tempat makhluk halus itu menghuni sudah tiada menyebabkan makhluk ghaib itu bertindak menjadikan rumahnya pula sebagai tempat tinggal tetap sebagai ganti rugi. Sejak hari itu, makhluk halus itu akan menjelmakan dirinya dalam rupa beruk, kucing, malah kadang-kadang menjelma dalam rupa manusia.

Katanya, pada suatu hari pernah berlaku makhluk halus berkenaan mengucapkan salam kepadanya. Dia tidak tahu makhluk halus datang dari arah mana malah dia tidak mendengar bunyi tapak kaki seperti manusia berjalan yang lazimnya dapat didengari. Malah beliau juga memberitahu, dia tidak mengetahui apakah kategori makhluk halus yang yang sering mengganggu keluarganya itu dan makhluk halus yang memberi salam itu dalam kategori mana, beliau tidak pasti. Tetapi bagi makhluk halus yang sering mengganggu dan menjelma dalam rumahnya itu ialah hantu raya.

Sementara itu, menurut salah seorang cucunya yang tinggal bersama, Muhd. Faiz Mohamed Isa Saw, 8, atau lebih dikenali sebagai Faiz berkata, makhluk halus itu sering menjelmakan dirinya lalu duduk di atas sebuah tangga dalam rumahnya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Berangan Dua, Tumpat itu mendakwa makhluk halus terbabit adalah berwajah hodoh seperti seorang perempuan yang memakai kain putih dan kadang-kadang berwarna hitam pekat.

“Adik melihatnya pun berasa takut. Tak tahulah makhluk jenis apa. Dia sering duduk di atas tangga itu”, jelas adik Faiz.

Manakala bagi isteri Haji Said, Lijah binti Jusoh, 62, yang lebih dikenali dengan panggilan Makcik Jah berkata, jelmaan makhluk halus di rumahnya itu dalam pelbagai bentuk. Misalnya jelmaan dalam rupa manusia berjubah putih hanya kadang kala tetapi makhluk berkenaan dapat dilihatnya dari arah belakang sahaja. Selepas itu, dalam tempoh dua minggu makhluk berkenaan akan melalui rumahnya itu dan begitulah seterusnya seperti ada tempoh masa tertentu makhluk terbabit akan melalui halaman rumahnya itu.

“Ada satu ketika, makcik pernah mendengar bunyi kenderaan parkir di kawasan rumah ini. Namun apabila makcik jenguk di luar rumah tiada pun kenderaan yang berada di kawasan rumah.

“Sedangkan bunyi kereta datang dan parkir di hadapan rumah ini bunyinya agak jelas menusuk lubang telinga makcik. Sehingga hari ini bunyi seperti itu tidak kedengaran lagi”, ujar makcik Jah lagi.

Katanya, makhluk berjubah putih itu akan melalui kawasan laluan bersebelahan rumahnya kemudian ghaib di hujung rumahnya itu untuk menunjukkan makhluk itu ada di kawasan itu. Namun katanya jika didapati makhluk ghaib itu ada di rumah berkenaan beliau akan terasa sesuatu yang agak berlainan tentang hakikat itu untuk menunjukkan makhluk terbabit berada di kawasan yang dimaksudkan, di mana bulu roma dan tubuhnya akan berasa meremang beberapa kali.

Sambungnya, pernah juga berlaku makhluk halus yang lain pula akan menjelma dalam rupa haiwan seperti gajah. Ketika itu beliau sedang mencuci pinggan mangkuk di mana jelmaan haiwan besar seperti itu akan muncul waktu petang. Waktu itu jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Ketika mendengar bunyi pelik seperti itu, dia sempat berpaling ke belakang untuk melihat apakah bunyi yang dimaksudkan, rupa-rupanya jelmaan gajah berwarna hijau berada dalam rumahnya dan makhluk itu dapat melihatnya ketika itu.

Ketika ditanya jenis makhluk halus yang sering menjelma di kawasan rumahnya, makcik Jah berasa segan untuk memberikan jawapannya kerana tidak mengetahui makhluk berkenaan dalam kategori mana. Katanya, kalau dikatakan pada masa dulu kawasan berkenaan pernah menjadi tempat buangan makhluk halus yang dijadikan seperti “balai” misalnya, makhluk terbabit tidak pernah menyakatnya. Ini kerana, jika makhluk seperti itu mengusik dan menyakat ahli keluarga di dalam rumahnya, pastinya semua ahli keluarga di dalam rumahnya akan dapat mendengar bunyi tersebut bersama-sama.

Tetapi kejadian dan pengalaman yang dialaminya kini, hanya dia seorang sahaja yang mengalami dan mendengarnya tetapi ahli keluarga lain di rumah yang sama tidak pernah mendengarnya. Katanya, beliau mendengar bunyi seperti ada benda terbang lalu bertenggek di atas bumbung rumahnya. Dia seorang sahaja yang mendengar bunyi itu dan sehingga hari ini bunyi rumahnya dipijak makhluk halus terbabit tiada lagi.

Katanya, kejadian benda terbang dan kemudiannya bertenggek di atas rumahnya itu berlaku pada 2 Disember, 2012 jam 9.00 malam. Kebetulan, ketika itu suaminya tiada di rumah dan hanya dia dengan cucunya sahaja tinggal di rumah ketika itu. Ketika kejadian, bunyi objek terbang lalu hinggap di atas bumbung rumahnya itu beliau berada di atas sejadah untuk menunaikan solat selepas selesai mencuci pinggan mangkuk di dapur rumahnya.

Telinganya dapat menangkap bunyi itu dengan agak jelas sebanyak menyebabkan dia terkejut sakan kerana tidak pernah mendengar bunyi sedemikian sebelum ini. Selepas bunyi benda menghempap itu, terdengar pula bunyi seperti makhluk gergasi sedang berjalan dan dengan tiba-tiba bunyi pula seperti objek yang agak kasar dan dan keras sedang menghempap rumahnya sebanyak dua kali, sekali imbas dapat dirasakan suatu objek besar telah menghempap rumahnya dengan kasar ketika itu bagaikan akan menyebabkan rumahnya runtuh dan ranap.

“Disebabkan makcik terlalu terkejut dengan bunyi kasar itu, tidak semena-mena terkeluar dari mulut makcik. Makcik kata, ya Allah tiada apalah dengan rumah aku ini.

“Ketika bunyi kasar menghempap rumah makcik ini, makcik dapati pintu dapur bahagian dalam rumah dalam keadaan terbuka. Dalam keadaan masih rasa takut, makcik gagahi juga untuk pergi menutup pintu dapur itu. Selepas itu, bunyi itu tiada lagi”, ujarnya.

Tambah makcik Jah, dia pada masa itu menjadi serba salah dan membebel mengenangkan suaminya masih tidak pulang-pulang lagi kerana beliau begitu terkejut dan takut dengan bunyi yang agak kasar itu. Selang beberapa ketika kemudian, dilihat suaminya pulang lalu hal berkenaan diceritakannya kepada suaminya itu dari awal hingga akhir. Menurutnya, bunyi sedemikian kasar seperti itu hanya sekali dalam hidupnya dan sehingga hari ini tiada lagi bunyi yang sama menghantui cuping telinganya.

Justeru katanya, jika tidak berlakunya gangguan seumpama yang pernah dialaminya itu beliau akan berasa hidup tenang tanpa berasa apa-apa. Tetapi jika berlakunya gangguan seperti itu, jiwanya mula tidak keruan malah berasa takut yang amat sangat. Namun jelasnya, dia bukannya berasa takut kepada makhluk halus itu kerana dia sudah biasa dengan keadaan itu, sebaliknya bimbang jika ada manusia yang ingin melakukan perbuatan yang tidak baik seperti ingin mencuri dan sebagainya. Jadi jelasnya, beliau terkejut pada malam berkenaan kerana bimbangkan perbuatan manusia terhadap rumah, diri dan cucunya itu bukannya makhluk halus itu. Ini kerana, kawasan berkenaan pernah berlaku kejadian manusia cuba menceroboh beberapa buah rumah penduduk di kawasan itu untuk tujuan mencuri dan menggeledah harta orang.

Haji Said Haji Abdullah atau Pak Aid.

Haji Said ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

Muhd. Faiz Muhammad Isa Saw atau Faiz. 

Muhd. Faiz menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF.

Lijah binti Jusoh atau Makcik Jah.

Makcik Jah berkongsi pengalamannya.

Bunyi kereta milik makhluk halus itu parkir di laman rumah ini.

Makhluk berjubah hijau menyusur melalui lorong bersebelahan rumah mangsa.

Kadang-kadang makhluk halus itu menyusur dari semak dan belukar ini.


Balai makhluk halus dibuang di sebatang pokok besar di sini. Pokok ini kemudiannya ditebang oleh Haji Said menyebabkan makhluk halus itu mengamuk.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Ahad, 3 November 2013

Santau: Kaedah Mengesannya


SANTAU: KAEDAH MENGESANNYA

KOTA BHARU, KELANTAN:  PADA dasarnya "ilmu santau" adalah ilmu yang mempelajari bagaimana memasukkan benda atau sesuatu ke tubuh orang lain dengan tujuan menyakiti. Mungkin ia sebatang paku atau seekor binatang berbisa yang dikirim secara ghaib untuk dimasukkan ke tubuh seseorang dengan tujuan menyakiti orang tersebut.

Seperti ilmu-ilmu lain yang ada di dunia, "santau" boleh jadi merupakan "ilmu putih" atau "ilmu hitam" bergantung dari penggunaan ilmu ini, apakah untuk kebaikan atau untuk kejahatan. Tetapi dalam aplikasinya ilmu putih ini dipadukan dengan ilmu-ilmu lain sehingga dapat dikatakan diselewengkan (dihitamkan) oleh pelakunya, misalnya yang aslinya digunakan untuk menidurkan bayi yang sering menangis agar terlelap, tetapi kalau oleh seorang pencuri ilmu ini diselewengkan untuk menidurkan mangsanya.

Ilmu untuk meluluhkan hati orang yang keras atau degil tetapi diselewengkan fungsinya untuk membuat orang lain terlena dengan pujuk rayunya. Kes yang terakhir ini dikenali secara umum dengan istilah "pukau" atau "gendam".

Walaupun proses santau yang ghaib ini sulit dimengertikan secara ilmu pengetahuan, tetapi secara logiknya santau dapat dimengertikan sebagai proses dematerialisasi. Pada waktu santau akan dikirimkan, benda-benda seperti paku, jarum, kaca ataupun binatang berbisa ini diubah dari nyata menjadi "energi" (tenaga).

Kemudian dalam bentuk energi (tenaga), benda ini dikirim menuju sasaran. Setelah tepat mengenai sasaran, energi ini diubah kembali menjadi nyata. Sehinggakan sebarang benda yang dikirim itu, misalnya kaca atau binatang berbisa akan masuk ke tubuh seseorang yang merupakan sasaran santau. Selanjutnya secara automatik, benda-benda yang tadi dimasukkan melalui santau ini akan menimbulkan kesakitan pada tubuh orang yang disantau.

Selanjutnya, saya akan membahaskan ilmu santau ini lebih ke arah santau sebagai ilmu hitam. Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya, ada dua jenis kekuatan yang dijadikan sumber untuk mengaktifkan santau.

Pertama, adalah santau yang dalam prosesnya memanfaatkan kekuatan makhluk ghaib seperti jin, syaitan dan makhluk ghaib lainnya. Dalam pelaksanaannya, pelaku santau akan bekerjasama dengan makhluk ghaib sebagai media pengiriman santau.

Untuk mengajak si makhluk ghaib untuk dijadikan "penghantar atau courier" ini, tentu sahaja pelaku santau harus memberikan imbalan (ganjaran atau upah) sesuai yang diminta oleh si penghantar. Ganjaran boleh jadi berupa sesaji khusus yang diperuntukkan untuk makhluk ghaib sebagai makanan untuknya.

Ganjaran juga mungkin dalam bentuk lain sesuai dengan pemuafakatan makhluk ghaib dengan pelaku santau. Setelah ganjaran yang dijanjikan disepakati, maka "si penghantar" pun akan melakukan tugasnya membawa santau menuju sasaran.

Ada kes di mana sesaji atau ganjaran yang disepakati tidak dilaksanakan oleh pelaku santau, maka si penghantar tadi akan meminta "tumbal" atau "imbalan" dari diri pelaku santau itu sendiri sama ada dirinya sendiri atau keluarganya. Inilah merupakan risiko yang akan dhadapi oleh pelaku santau walaupun ia terlupa atau terlalai tetapi padah yang buruk akan diterimanya.

Kedua, adalah santau yang bersumber dari kekuatan "batin". Santau dengan metode ini memerlukan kekuatan batin yang biasanya diperolehi dari amalan spiritual.

Pada saat penggunaannya, santau dengan kekuatan batin biasanya kekuatannya itu dibantu dengan kekuatan visualisasi (pembayangan) yang kuat dari pelaku. Misalnya santau dengan menggunakan media sembilu, ketika hendak digunakan terlebih dahulu dibacakan mantera-mantera atau jampi-jampi tertentu. Setelah itu, pelaku santau memusatkan konsentrasinya, visualisasi dan berniat memasukkan sembilu ke dalam tubuh mangsanya.

Konon, dengan cara demikian, seseorang yang dituju akan bermuntahkan darah, sakit dalam perut dan sebagainya berdasarkan visualisasi yang dilakukan oleh penyantau. Kaedah ini merupakan gabungan antara kekuatan visualisasi, imaginasi dan juga jampi mantera.

Walau bagaimanapun, kedua-dua kaedah berkenaan mempunyai hubungkait dengan urusan syaitan dan jin. Sebab itu, kalau anda seorang yang kuat berpegang kepada amalan Islam, menjaga syariat, sering membaca Al-Quran, berwirid, bersolat sunat di samping menjaga solat yang wajib, berbuat baik sesama manusia dan sebagainya maka anda tidak akan dapat disentuh oleh angkara santau.

Bersama ini saya perturunkan amalan untuk mengelakkan diri dari gangguan jin, syaitan dan juga sihir sama ada sewaktu anda sedar atau tidak. Setiap selepas solat Subuh dan Asar bacalah "Surah Al-Ikhlas" (11 kali) dengan bermohon kepada Allah S.W.T  agar dikuatkan tauhid. "Surah Al-Falaq" (11 kali) dengan bermohon agar Allah melindungi dari kejahatan syaitan dan "Surah An-Nas" (11 kali) dengan bermohon kepada Allah agar melindungi dari kejahatan manusia.

Kaedah Mudah Mengesan Santau

Santau, guna-guna dan tuju adalah cara halus yang digunakan oleh seseorang untuk mencelakakan orang yang dibenci, dengki dan menguji ilmu. Cara halus ini kebiasaannya ada hubung kait dengan jin yang jahat.

Menurut Pengasas Pusat Rawatan Qalbun Salim, Profesor Dr. Haji Shahrin Abd. Rahman berkata, "santau biasanya menggunakan unsur alam sebagai perantaraan seperti angin, air, tanah dan api. Kerana kemajuan teknologi dewasa ini, foto seseorang, benda yang pernah dipakai, data diri bahkan melalui teknologi terkini seperti sms, e-mel dan mms akan digunakan untuk mencelakakan seseorang".

Sudah ramai mangsa yang jatuh akibat dari perbuatan jahat ini. Orang yang terkena santau, guna-guna dan tuju  ada sesetengahnya menderita seumur hidup, menjadi cacat zahir mahupun jiwa bahkan ramai yang mati akibat dari perbuatan terkutuk ini. Masalah yang menimbulkan kebencian kadang kalanya bukan besar sangat, cuma kecil bahkan tidak dikirakan masalah. Tetapi oleh kerana diri sudah dikuasai iblis dan syaitan, maka musuhnya tidak takut dan ragu-ragu untuk menyantau mangsa.

"Cara menyantau banyak dilakukan seseorang dengan meminta bantuan pakar ilmu hitam, mendatangi kubur-kubur yang dikuasai syaitan atau melakukan sendiri. Yang pentingnya, mangsa akan terima padahnya secara ghaib", ujar Profesor Dr. Haji Shahrin.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk menghindar atau mengelak dari terkena perbuatan terkutuk ini? "Pada kebiasaannya, orang yang menerima serangan santau akan mendapat firasat yang tidak baik seperti mimpi buruk atau gerak rasa yang mengisyaratkan bahawa sesuatu perkara buruk akan menimpanya", tegas Profesor Dr. Haji Shahrin. Kalau sudah mendapat firasat tersebut, apakah yang harus dilakukan? Adakah harus berserah begitu sahaja?

Sebagai manusia yang diberi akal fikiran tidaklah baik dengan hanya berserah sahaja apabila mengetahui perbuatan ahat akan menimpanya. Jalan yang baik adalah mempersiapkan diri untuk mempertahankan dari serangan tersebut. Salah satu cara untuk mengesan santau mengikut kaedah yang disarankan oleh Profesor Dr. Haji Shahrin adalah seperti berikut dengan menyediakan:

1. Telur ayam kampung (1 bii)
2. Sebuah baldi
3. Bunga (7 jenis)
4. Kain putih satu meter
5. Kayu sepanjang satu meter.

"Langkah pertama yang harus dilakukan ialah dengan mengisikan baldi dengan air lalu masukkan bunga (tujuh jenis) dan telur ke dalamnya.

Kedua, bukalah tiga (3) atau empat (4) keping atap sebelah kiri bahagian belakang. Lalu letakkan baldi yang mengandungi bunga dan telur di bawah atap yang terbuka itu. Letakkan baldi di atas kerusi atau meja. Yang pentingnya, biarlah tinggi. Kain putih digunakan sebagai alas baldi.

Ketiga, mohonlah kepada Allah S.W.T  agar diberi petunjuk yang benar. Tinggalkan baldi di situ selama 7 hari 7 malam.

Setelah 7 hari 7 malam, ambillah baldi tersebut dan bawalah keluar rumah dan diletakkan atas tanah. Ambillah kayu sepanjang satu meter yang telah anda persiapkan lalu pukullah telur yang berada di dalam baldi.

Apabila telur yang anda pukulkan itu masih berupa telur yang terdiri dari putih dan kuning, itu petanda anda tidak terkena santau atau sakit biasa sahaja tanpa ada pengaruh ghaib. Tetapi apabila telur yang anda pukul itu mengeluarkan darah atau apa-apa kotoran, maka bererti anda memang terkena serangan ilmu hitam atau santau yang membahayakan keselamatan anda.

Hal yang perlu diperhatikan, jangan memecahkan telur dengan tangan kerana dibimbangi ilmu ghaib yang ada pada telur itu akan meresap masuk ke badan anda. Lebih baik tanam baldi bersama bunga dan telur itu. Biarlah bumi yang akan meneutralkan pengaruh jahat santau itu", ujar Profesor Dr. Haji Shahrin.

Cara mudah ini mungkin ada manfaatnya bagi anda. Palik tidak untuk anda menambahkan pengetahuan anda tentang wacana dunia ghaib. Pastinya, cara ini boleh digunakan untuk menghindari syak wasangka terhadap orang lain.

Penawar Santau

Bahan-bahan:
1. 500 gram rebung buluh
2. Kapur sirih
3. Segenggam garam
4. Kunyit hidup (2 jari)
5. 8 gelas air kelapa muda
6. 1 gelas santan segera
7. 2 gelas air perahan labu air
8. Madu asli.

Cara membuatnya:

1. Rebung dihaluskan dan direndam dalam air kapur sirih yang dicampur garam. Rendam selama satu (1) hari satu (1) malam.
2. Rebung yang direndam, dicuci dan direbus bersama lapan (8) gelas air kelapa muda, satu (1) gelas santan segera, dua (2) gelas air labu dan kunyit. Rebus hingga tinggal 3/4. Air rebusan disimpan di dalam peti sejuk. Rebung dibuang.

Cara penggunaan:

* Bagi lelaki yang ada gangguan seksual akibat disantau, masukkan satu (1) biji kuning telur ayam kampung dalam 1/2 cawan air penawar santau dan dimaniskan dengan dua (2) sudu madu. Minum dua kali sehari.

Profesor Dr. Haji Shahrin Abd. Rahman di klinik miliknya.


Inilah Pusat Rawatan Qalbun Salim miliknya yang terletak di Taman Sabariah.

Teks Sumbangan:
PROFESOR DR. HAJI SHAHRIN ABD. RAHMAN
Pengasas
Pusat Rawatan Qalbun Salim

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH