RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Selasa, 30 September 2014

Produk Kuih-Muih Tradisional


PRODUK KUIH-MUIH TRADISIONAL

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  KUIH-MUIH tradisional Kelantan yang dipelopori sejak turun-temurun masih lagi mengekalkan kaedah tradisional walaupun terdapat sebahagian di antaranya telah berubah wajah berdasarkan citarasa pengusaha dan pembuatnya. Disebabkan hakikat ini menyebabkan keaslian kuih-muih tersebut agak berbeza dari kaedah dulu. Namun, masih ada pihak yang turut mengekalkan keaslian, corak dan citarasa makanan tersebut sehingga hari ini.

Salah seorang Pengusaha Kuih-Muih Tradisional, Wan Azizom binti Wan Ibrahim, 30, dari Kampung Dusun Langgar, Wakaf Baharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF mengakui keaslian kuih-muih tradisional itu masih mendapat tempat di hati pembeli dan penggemarnya biarpun kini telah wujud kuih tradisional melalui zaman perubahannya.

Menurut Wan Azizom, penubuhan premis miliknya dibarisi pekerja-pekerja yang juga terdiri daripada ahli keluarganya yang menghasilkan kuih-muih di kampung berkenaan masih mengekalkan kaedah sedemikian kerana kuih-muih tradisional sememang “tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas”. Dia sengaja menghasilkan kuih-muih tradisional kerana melihat kuih-muih tradisional ada potensi dan ada penggemarnya.
 
“Produk kuih-muih tradisional ini mula diperkenalkan pada tahun 2008. Pada masa penubuhan, hanya kuih pelita sebagai kuih tradisional yang mula-mula sekali diperkenalkan”, ujarnya.

Apabila ditanya tentang ilmu yang diperolehinya untuk menghasilkan kuih-muih tradisional itu, beliau menjelaskan bahawa kuih-muih berkenaan dihasilkan secara turun-temurun. Pada awalnya, beliau sekadar membuat kuih sahaja, tetapi disebabkan tiada sebarang kerja yang patut dilaksanakannya, beliau mengambil peluang itu dengan memerhatikan kemampuan beberapa pihak yang berjaya menghasilkan kuih-muih berkenaan. Hasil dari pemerhatiannya itu menimbulkan ilham yang tidak terlintas sebelumnya dan bertitik-tolak dari ilham itu, beliau mula memasarkan kuih-muih berkenaan terutamanya ke kedai makan sehingga mula menerima tempahan dari pelbagai pihak.

“Sebelum berkecimpung dalam pembuatan kuih-muih ini, saya sekadar melihatnya sahaja dan selepas itu tambah pengalaman melalui pendekatan kursus yang dianjurkan oleh pihak Kada. Dalam masa kursus yang dianjurkan pihak berkenaan, terdetik dalam hati untuk mencuba produk terbabit”, katanya yang pernah menghadiri kursus yang diadakan oleh pihak Kada di Kota Bharu.

Wan Azizom menambah, di antara jenis-jenis kuih yang telah dipasarkan oleh pihaknya dalam sehari seperti kuih tepung pelita (berjumlah 1,000 biji tidak termasuk tempahan). Selain itu pihaknya telah menghasilkan kuih koci (400 biji), karipap (400 biji), donald (saiz besar sebanyak 60 biji) dan pizza (50 biji).

Menurutnya lagi, sambutan pembeli terhadap kuih-muih tradisional berkenaan semakin menggalakkan bukan saja dipasarkan ke kedai-kedai makan tetapi juga kerap menerima tempahan dari pelbagai pihak seperti pihak sekolah, asrama (setiap hari), pejabat dan agensi kerajaan dan majlis kenduri kahwin. Bahkan dari perkiraannya, setakat ini kira-kira 4,000 biji kuih perlu dihasilkan disebabkan permintaan yang semakin meningkat dari sebelumnya. Tentang pihak asrama yang membuat tempahan, beliau akan mengikut menu yang dinyatakan oleh pihak berkenaan.

“Lazimnya, kuih-muih yang ditempah untuk sesuatu majlis kadang-kadang pihaknya akan menghantarnya malah ada juga yang diambil sendiri oleh pihak yang menempahnya”, jelasnya.

Membicarakan tentang harga kuih-muih yang dijual kepada pembeli, misalnya kuih pelita yang telah siap dipekkan dijual dengan harga RM2. Pihaknya masih menggunakan bahan-bahan asal yang digunakan oleh orang-orang tua zaman dahulu untuk menghasilkan kuih tepung pelita seperti tepung beras, pandan asli (kini banyak pihak telah menggunakan bahan penambah) dan dimasukkan ke dalam daun pisang (lazimnya banyak pihak telah bertukar kepada penggunaan polistrin dan bekas-bekas plastic sebagai pembungkusnya.

“Bercakap tentang penggunaan daun pisang sebagai pembungkus kuih tepung pelita, pihak kami mengambilnya di sebuah pulau di Kampung Kok Keli (Tumpat).

“Lazimnya, bekalan daun pisang ini diambil dan dibawa pulang sendiri kerana dengan cara ini dapat diperolehi dengan banyak”, katanya yang memperolehi bekalan daun pisang itu yang dibelinya di Kampung Kok Keli sebanyak 25 pelepah dengan harga RM6 sahaja.

Menurut Wan Azizom lagi, dalam banyak kuih yang dipasarkan oleh pihaknya, hanya kuih pelita sahaja yang laris dan mendapat tempat di hati pembeli dan penggemarnya. Salah satu sebab kuih berkenaan mendapat perhatian pembeli kerana citarasanya yang manis dan apabila berasa manis tentunya “enak dan lazat”. Apatah lagi, pihaknya masih mengekalkan resipi tradisional yang dihasilkan oleh keluarganya secara tradisi sejak turun-temurun.

Ditanya tentang badan-badan yang pernah menyiarkan produk yang dihasilkan oleh pihaknya, beliau menjelaskan setakat ini beliau belum pernah mengiklankan produk kuih tradisionalnya itu ke mana-mana media sekalipun di laman web. Cuma beliau bercita-cita untuk mengeluarkan produk kuih-muih tradisional lain seperti sardin gulung, kuih seri kaya dan kuih seri muka berdasarkan kepada tempahan yang masih mendapat tempat di hati penggemarnya apabila tiba masanya yang sesuai.

Wan Azizom binti Wan Ibrahim atau Ijon.

Wan Azizom ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kilang kuih miliknya.


Kuih tepung pelita.


Kuih donald.

Jenis-jenis kuih lain.



Sebahagian kuih-muih yang siap dipek dan untuk dipasarkan.



Resipi dan bahan-bahan.


Mesin dan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan kuih-muih tradisional.

Sebahagian pekerja di kilang kuih-muih tradisional.

Wartawan RELATIF sedang menikmati kuih tepung pelita yang baharu siap masak.

Tonton Video:

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Sabtu, 20 September 2014

Nasib Anak OKU


NASIB ANAK OKU

RANTAU PANJANG, KELANTAN:  Tiada siapa yang inginkan kecacatan atau istilah kini yang sering digunakan ialah "Orang Kelainan Upaya (OKU)", tetapi kalau Allah mentakdirkannya begitu, sebagai manusia wajar menerimanya dengan hati yang penuh redha. Apatah lagi, apabila diketahui cacat, sudah tentu rakan-rakan tidak ingin mendampingi malahan kalau ada yang mendampingi, mangsa yang cacat akan ditertawakan, itulah hakikat dan lumrah hidup sebagai anak OKU.

Menyedari tentang hakikat itulah, kerajaan telah menubuhkan beberapa badan, jabatan dan agensi terbabit dalam usaha untuk memberikan penerangan dan menyelesaikan masalah keluarga OKU. Badan yang diamanahkan oleh pihak kerajaan pusat itu untuk membantu mangsa yang terlibat adalah terletak di atas sikap dan keprihatinan mereka, apakah mereka telah memainkan peranan yang sepatutnya atau mengamalkan budaya kerja sambil "lewa", kerajaan pusat perlu menangani masalah ini. Kalau di kawasan kota dan bandar, tentunya masalah berkenaan tidak timbul, tetapi bagaimana pula di kawasan terpencil? 

Salah seorang yang mempunyai anak OKU yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Mohd. Yasin bin Awang Besar, 56, atau lebih dikenali sebagai Pakcu dari Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang, Kelantan redha dengan ketentuan Illahi apabila anaknya Nurul Ain Atikah menerima nasib sedemikian rupa.

“Nurul ni ditakdirkan OKU sejak dari dalam perut lagi”, katanya menceritakan perihal anaknya, Nurul Ain Atikah.

Katanya, disebabkan masalah yang dialami oleh anaknya itu, beliau dimaklumkan oleh banyak pihak khususnya orang-orang kampungnya supaya mendapatkan bantuan dan sumbangan sebagaimana yang sepatutnya daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Lantaran itu, awal tahun 2013 lalu, beliau memaklumkan tentang hal berkenaan kepada pihak JKM Pasir Mas sebagai salah satu prosedur yang wajar dilakukan dalam usaha untuk memperolehi sumbangan sebagaimana yang sepatutnya. Menurutnya, setakat ini sudah kira-kira tiga kali beliau merujuk kepada pihak JKM Pasir Mas itu agar permohonannya mendapat pertimbangan dari pihak terbabit.

Kata Mohd. Yasin lagi, ketika beliau hadir di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas, pihak JKM Pasir Mas melalui pegawainya berjanji akan memberikan pertolongan, namun sehingga hari ini permohonan tersebut seolah-olah tidak dipeduli, tidak dilayani atau mungkin dibakul sampahkan.

“Pihak JKM pernah meminta surat daftar kelahiran anak saya. Namun, saya tidak dapat memenuhi permintaan pegawai berkenaan disebabkan surat daftar itu tiada dalam simpanan akibat rumah dilanda banjir”, katanya yang pada ketika itu agak tergesa-gesa.

Katanya menambah, disebabkan pihak berkenaan tidak lagi memberikan perhatian kerana lebih banyak mendiamkan diri, beliau pun tidak lagi mengambil kisah walaupun anaknya itu mempunyai kad OKU. Biarlah anaknya yang OKU seperti itu tanpa mendapat sebarang bantuan dan sumbangan yang sepatutnya. Kalau cuba bertekak pun, masalahnya tidak akan diambil kisah oleh pihak terbabit.

Apabila ditanya, adakah pihak JKM pernah datang menemui beliau di kediamannya, beliau menjelaskan pihak JKM pernah datang ke rumahnya untuk melihat hal ehwal anak dan kediamannya sebelum ini.

“Pegawai JKM pernah datang ke rumah saya, tetapi sekadar melihatnya saja. Saya tidak tahu mereka lihat apa”, katanya.

Ditanya tentang peranan wakil rakyat dalam usaha menyelesaikan masalahnya itu. Beliau menjelaskan, wakil rakyat di kawasannya itu pernah memberikan nasihat supaya beliau dan keluarganya merujuk kepada pihak JKM.

Justeru, masyarakat kampung sememangnya tidak tahu ke mana tempat untuk mengadu tentang masalah yang dihadapi mereka. Jika pihak kerajaan melalui jabatan dan agensinya sekadar berdiam diri, segala masalah akan sentiasa bertambah dan mangsa sebenar terus dilanda masalah tanpa mendapat pembelaan yang sepatutnya, sedangkan kerajaan pusat sudah lama menubuhkan badan-badan dan agensi terbabit. Penduduk kampung amat berharap tindakan pihak agensi yang diberikan tugas dan amanah, tetapi jika agensi terbabit gagal berbuat demikian, siapa lagi yang mampu memberikan bantuan dan sumbangan.

Mohd. Yasin bin Awang Besar atau Pakcu.

Mohd. Yasin ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Anak OKU, Nurul Ain Atikah binti Mohd. Yasin.

Kad OKU milik Nurul Ain Atikah.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Rabu, 10 September 2014

Sungai Golok Infogaleri Tg.Anis



SUNGAI GOLOK INFOGALERI
TENGKU ANIS

TUMPAT, KELANTAN:  SUNGAI GOLOK INFOGALERI TENGKU ANIS (SGIGTA) adalah sebuah taman rekreasi yang mempunyai nilai ilmu mengenai Pembangunan Sungai Golok. Taman ini terletak di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan iaitu bersebelahan dengan Tak Bai, Thailand yang dipisahkan oleh Sungai Golok sejauh kira-kira 600 meter.

Sungai Golok Infogaleri Tengku Anis ini telah dibuka secara rasminya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan pada 24 Jun, 2004. Ia mempunyai sebuah Bangunan Info Galeri yang menempatkan pelbagai maklumat mengenai Pembangunan dan Kepentingan Sungai Golok kepada Negara Malaysia dan Negara Thailand. SGIGTA ini diurus tadbir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan.

Di antara kemudahan asas yang disediakan di Sungai Golok Infogaleri Tengku Anis ini seperti Surau, Taman Permainan Kanak-kanak, Wakaf Rehat, Menara Tinjau, Tandas Awam dan Gerai Jualan.

Salah seorang Pengawal SGIGTA yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Mohamed bin Awang, 50, atau lebih dikenali sebagai Mat berkata, pengunjung yang datang ke SGIGTA dibenarkan melakukan aktiviti perkhemahan secara percuma. Katanya, setiap pengunjung yang menggunakan taman dalam kawasan SGIGTA untuk melakukan aktiviti riadah perlulah membersihkan kawasan setelah selesai melakukan aktiviti itu.

“Sungai Golok Infogaleri Tengku Anis ini dibuka selama 24 jam mulai jam 8.00 pagi. Walau bagaimanapun, pengunjung yang ingin melakukan aktiviti perkhemahan, perlulah meletakkan kenderaan di luar pagar SGIGTA ini mulai jam 7.00 malam.

“SGIGTA ini juga kawasan utama kaki pancing. Jadi, mereka yang datang dengan kenderaan pada malam hari perlu meletakkan kenderaan masing-masing di luar kawasan SGIGTA ini”, katanya yang berasal dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baharu, Kelantan.

Apabila ditanya tentang sambutan pengunjung, beliau menjelaskan pengunjung semakin ramai ke SGIGTA apabila tiba hari Jumaat, Sabtu dan hari cuti umum. Malah keadaan sebaliknya apabila hari-hari bekerja.

Menurut Mohamed, di antara kumpulan yang pernah melakukan aktiviti perkhemahan dalam kawasan SGIGTA terdiri dari Jabatan Pertahanan Awam, Bomba, pihak sekolah (Sekolah Banggol Pia, Rantau Panjang dan Sekolah di Jeli), Universiti Malaysia Kelantan (Pengkalan Chepa), UMNO dan Tentera.
 
Katanya menambah, di antara beberapa sebab yang mendorong pengunjung datang ke SGIGTA kerana kawasan ini agak teduh, malah kalau berasa agak panas telah diwujudkan kawasan rehat yang dilayani tiupan bayu dari Sungai Golok, SGIGTA juga kawasan utama tarikan kaki pancing untuk melayari aktiviti mereka di Sungai Golok itu.

“Lazimnya, SGIGTA agak ramai dikunjungi pengunjung mulai jam 3.00 petang malah semakin ramai selepas waktu Asar”, katanya.

Beliau juga menjelaskan, masih ramai lagi yang tidak mengetahui tentang wujudnya taman rekreasi berkenaan yang letaknya berhampiran dengan Tak Bai. Malah, beliau pernah ditanya dan dinafikan oleh pengunjung tentang dakwaannya bahawa SGIGTA terletak berhampiran dengan Tak Bai itu. Setelah beliau menunjukkan bukti berkenaan, baharulah pengunjung berkenaan mulai mempercayainya.

“SGIGTA mengalu-alukan kedatangan pengunjung. Namun, pengunjung dilarang melakukan aktiviti yang tidak sihat dan menyalahi undang-undang dalam kawasan SGIGTA ini”, katanya.

Justeru, Sungai Golok Infogaleri Tengku Anis adalah kawasan perkhemahan, rehlah, riadah, taman rekreasi serta kawasan rehat yang ternyata menenangkan fikiran setiap kali pengunjung ke tempat berkenaan. Ini kerana, pengunjung akan dihiburkan dengan hembusan bayu yang menyegarkan yang bertiup dari arah Sungai Golok. Malahan pengunjung juga tidak rugi datang ke tempat berkenaan kerana sememangnya SGIGTA adalah sebuah tempat yang menarik mata memandang untuk dikunjungi.

Mohamed bin Awang atau Mat.

Mat ketika ditemubual Wartawan RELATIF.


Pengunjung sering datang setiap kali hari Jumaat, Sabtu dan cuti umum.

Batu asas.



Bangunan Info Galeri.

Laluan ke Bangunan Info Galeri.

Menara Tinjau.

Wakaf Rehat.

Taman Permainan Kanak-kanak.

Surau dan Tandas Awam.








Taman di Sungai Golok Infogaleri Tengku Anis.


Tak Bai, Thailand hanya dipisahkan Sungai Golok sejauh kira-kira 600 meter.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Isnin, 1 September 2014

Bukit Panau: Xpdc Kedua - 30.8.2014


EKSPEDISI BUKIT PANAU KEDUA
(30.8.2014)


TANAH MERAH, KELANTAN: Bukit Panau yang terletak di Tanah Merah, Kelantan memang tersohor sejak dulu, bukan sekadar sebuah bukit, namun Bukit Panau juga mempunyai dua buah gua yang terselindung di sebalik rimbunan pokok dan akar-akar kayu yang berjuntai di dahannya serta dinding bukit itu. Walaupun pada masa dulu tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur mengelilingi Bukit Panau ibarat pengawal yang setia tidak sebagaimana hari ini yang semakin subur apatah lagi dilindungi pula semak-samun sehingga menenggelamkan rupa paras bukit itu yang sebenar.

Dalam masa yang sama, pada masa dulu penduduk-penduduk kampung yang terdiri daripada warga emas memang sedia maklum tentang cerita Bukit Panau itu dari satu generasi kepada satu generasi dan dari mulut ke mulut, Bukit Panau bukan sahaja telah dijadikan sebuah tempat golongan pertapaan yang mendalami ilmu kebatinan dan kerohanian, namun generasi hari ini tidak pernah mengambil kisah peranan Bukit Panau kepada manusia khususnya dalam konteks dakwah bahawa Bukit Panau itu dalam tahun 1349 Masihi dulu pernah dan telah dijadikan sebagai kawasan perkampungan terawal dan pertemuan Wali Songo malah sebuah gua yang terselindung di sebalik pandangan umum itu pernah dijadikan gelanggang persilatan.

Pahlawan besar yang pernah bertapa dan menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan sebagaimana yang tercatat dalam lipatan sejarah ialah dikenali“Hang Tuah”. Hang Tuah pernah menuntut ilmu persilatan yang meliputi bidang kebatinan dalam gua Bukit Panau itu dari salah seorang ahlul bait yang juga dari keluarga Rasulullah S.A.W  bernama Syed Thananuddin atau masyarakat di situ menggelarkannya sebagai Syeikh Saman atau catatan dalam sejarah dikenali sebagai Adi Putra.

Bahkan Sayed Thananuddin yang merupakan guru Hang Tuah itu adalah adik kepada Syed Hussein Jamadil Kubra yang merupakan Ketua Wali 7 (Tanah Melayu) dan juga Datuk Wali Songo (Indonesia/Jawa). Hakikatnya, Bukit Panau telah dijadikan perkampungan Wali Songo untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa. Dikatakan, asal usul nama negeri “Kelantan” berasal dari tempat itu apabila kumpulan Wali Songo yang diketuai Sunan Bonang datang ke Bukit Panau itu dan apabila kedua-duanya bersalam terbitlah “kilatan” dari arah gua di bukit itu sebanyak tiga kali. Dari istilah kilatan mewujudkan nama Kelantan dikekalkan sehingga hari ini. Pancaran kilat itu boleh disaksikan di kawasan taman rekreasi tempat Puteri Sa’adong dan Cik Siti Wan Kembang bersemayam di Pangkal Kalong (Ketereh) dan di Kampung Pengkalan Kiat (Machang). Bahkan Bukit Panau amat jelas apabila berada di Kampung Pengkalan Kiat ini kerana Bukit Panau itu dipisahkan oleh Sungai Kelantan sejauh kira-kira 400 meter. Sejarah berkenaan luput ditelan zaman disebabkan sikap iri hati pihak British yang memadamkan sejarah tempat itu supaya tidak diketahui oleh generasi yang akan datang.

Berikutan wujudnya sejarah besar yang tenggelam ditelan masa menyebabkan Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh bersama tiga peserta ekspedisi lain yang terdiri daripada Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat Penulis), Mohd. Nasiruddin Mohd. Nor (Din) serta E.Mohd Khairol Azaha bin E.Kamaruzaman (Yo) telah melakukan Ekspedisi Bukit Panau Kedua pada 30.8.2014.

Tujuan peserta kami melakukan ekspedisi berkenaan adalah untuk melihat dengan mata sendiri dan mengesahkan tentang sebuah makam, adakah Makam Ketua Wali 7 dan Datuk Wali Songo, Sayed Hussein Jamadil Kubra atau adiknya yang merupakan guru silat Hang Tuah yang dikenali Sayed Thananuddin atau Adi Putra yang terletak di puncak Bukit Panau. Bahkan peserta kami juga berhasrat menjejak sebuah gua yang pernah dijadikan gelanggang persilatan dan tempat pertapaan Sayed Thananuddin itu.

Peserta ekspedisi kami bertolak dari Kota Bharu jam 11.30 pagi dan tiba di Bukit Panau kira-kira jam 1.05 petang. Setelah segalanya selesai, kami memulakan pendakian kira-kira jam 2.15 petang. Dalam ekspedisi kedua ini kami tidak melalui trek syarikat telekomunikasi dan komunikasi sebagaimana ekspedisi pertama pada 28.7.2007 dulu. Tetapi kami merentas melalui lereng bukit, lopak, caruh air dan akar-akar serta pokok-pokok kayu. Pendakian seumnpama ini adalah laluan sendiri yang tidak memenatkan kerana peserta kami dapat bergantung harap kepada pokok-pokok dan akar belalai yang tumbuh berjuntai di lereng dan tebing Bukit Panau itu.

Dalam masa mendaki, peserta kami banyak menemui beberapa jenis kayu-kayu aneh, tumbuh-tumbuhan (meliputi pokok, buah dan bunga) yang agak pelik di kawasan hutan di bukit itu. Bahkan peserta ekspedisi juga melihat beberapa tapak haiwan liar yang masih baru dan lama seperti tapak harimau, kambing hutan, babi dan mungkin juga beruang.

Setelah berhempas pulas mendaki, kami akhirnya tiba di puncak Bukit Panau dalam suasana terik mentari dan hembusan bayu yang menyegarkan. Kami memulakan pencarian setelah sebuah makam terbabit ditemui di puncak Bukit Panau itu. Pencarian terakhir ini melibatkan sebuah gua. Setelah menuruni lereng bukit dari puncak bukit itu peserta kami akhirnya menemui gua yang dimaksudkan yang dianggap terlalu dalam dan curam. Kami tidak dapat merakam foto gua tersebut disebabkan keadaan bentuk geografinya terlalu menurun dan agak curam.

Setelah dirasakan berpuas hati kerana cita-cita tercapai, kira-kira jam 6.30 petang kami bertolak pulang dengan menuruni trek syarikat telekomunikasi dan komunikasi yang dalam beberapa detik, kami disapa turunan hujan yang agak lebat. Kami berempat bermandikan hujan sehinggalah apabila tiba di daratan kaki Bukit Panau, hujan tiba-tiba berhenti.

Setelah mengeringkan baju dan pakaian yang basah kuyup, kami bertolak pulang dan peserta kami akan meneruskan Ekspedisi Bukit Panau Ketiga pula dalam masa terdekat yang antara lain ialah untuk memasuki dan merakam foto gua tempat pertemuan Wali Songo dengan Sayed Hussein Jamadil Kubra yang juga tempat guru Hang Tuah bertapa di situ dikenali Sayed Thananuddin atau Syeikh Saman atau Adi Putra beruzlah dalam gua Bukit Panau itu. 

 Peserta Ekspedisi Bukit Panau Kedua (30.8.2014): Azmi Mohd. Salleh, Anis Sabirin bin Azmi, Mohd. Nasiruddin Mohd. Nor (Din) dan E.Mohd Khairol Azaha bin E.Kamaruzaman (Yo).

 Wajah Bukit Panau terkini, dari arah dekat. 

Bersiap sedia sebelum memulakan pendakian.

Peserta ekspedisi sedang mencari arah dan laluan sesuai untuk memulakan pendakian.



Peserta ekspedisi berehat sambil bergambar.


Meneruskan pendakian.



Mungkinkah makam di puncak Bukit Panau ini milik Sayed Hussein Jamadil Kubra atau Sayed Thananuddin?


Di sinilah arah gua (dalam bulatan merah) tempat berkumpulnya Sayed Hussein Jamadil Kubra dan Wali Songo untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa dan tempat Hang Tuah belajar silat, ilmu kebatinan dan kerohanian dari Sayed Thananuddin atau Syeikh Saman atau dalam catatan sejarah dikenali "Adi Putra". (Foto ini dirakam dari arah Kampung Pengkalan Kiat, Machang, Kelantan).



Antara buah dan pokok-pokok aneh ditemui semasa pendakian.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 02 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=vos8mAdqbME

Tulisan dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH