RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Ahad, 10 Ogos 2014

Produk Kopi Warisan


PRODUK KOPI WARISAN

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Bagi penggemar minuman, produk serbuk kopi menjadi kegemaran ramai. Ada sesetengah penggemarnya yang menyatakan, tidak sah meminum air jika tidak dibancuh dengan kopi. Malah, ada juga yang menyatakan secara nakal, rokok dan kopi adalah rakan dan sahabat yang tidak dapat dipisahkan.

Membicarakan tentang produk serbuk kopi, di negara kita memang terkenal dengan produk sedemikian iaitu seiring dengan penggemarnya. Ada serbuk kopi diproses secara moden kerana dianggap cepat, hasil yang minimum dan menjimatkan masa. Namun, tidak kurang juga serbuk kopi dihasilkan secara tradisional. Paling menarik pula, perusahaan dan pengeluaran serbuk kopi itu dilakukan secara warisan keluarga dan pekerja-pekerjanya pula terdiri daripada ahli-ahli keluarga dan anak-anaknya sahaja.

Seorang Pengusaha Kopi Cap Anggur yang mengeluarkan produk serbuk kopi secara warisan keluarga yang sempat ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya, Umi Kalsom binti Mahmood, 55, atau lebih dikenali sebagai Kak Som dari Kampung Alor Pasir, Wakaf Baharu, Kelantan berkata, produk kopi keluarannya itu adalah dari warisan bapanya yang mengusahakannya secara sendiri.

Katanya, produk serbuk kopi keluarannya itu telah mencapai 50 tahun yang diwarisi dari bapanya. Ketika itu, beliau berusia dalam lingkungan 6 tahun pernah melihat sendiri bagaimana serbuk kopi tradisional milik bapanya itu dihasilkan. Disebabkan hal itulah beliau memiliki kemahiran mengeluarkan serbuk kopi itu dan mengambil alih peranan itu dari arwah bapanya di mana serbuk kopi warisan bapanya itu diteruskan sehingga hari ini.

“Sebelum ini, kak menggunakan jenama “Parlimen” iaitu salah satu simbol negara. Jenama Parlimen amat dikenali ramai. Namun, disebabkan larangan penggunaan simbol parlimen itu, kak menukarnya kepada jenama “Anggur” sehingga hari ini”, ujarnya ketika ditemui di kediamannya.

Menurutnya, semenjak memperolehi ilmu menghasilkan produk kopi jenama Anggurnya itu dari arwah bapanya, beliau tidak pernah belajar atau memasuki kursus dari mana-mana individu atau agensi-agensi kerajaan serta swasta dalam usaha memantapkan lagi produk kopi keluarannya. Beliau memahirkan kepakaran mengeluarkan produk kopi itu berdasarkan ilmu yang dicurahkan oleh arwah bapanya dan dari apa yang pernah dilihatnya ketika hayat bapanya ketika itu sebagai kesinambungan dan warisan keluarganya.

Katanya, produk serbuk kopi jenama Anggurnya itu menggunakan nama suaminya, Abdullah bin Ismail. Malah bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan serbuk kopi keluarannya adalah amat ringkas sahaja iaitu kopi dan gula. Tidak sebagaimana pengeluar-pengeluar kopi lain yang turut menggunakan “beras” menggantikan kopi sebagai bahan dan resepi pembuatan kopi tersebut agar kelihatan pekat dan rasanya lebih lazat. Kopi tradisional warisan miliknya itu tidak menggunakan bahan-bahan itu dan tidak juga menggunakan bahan-bahan pengawet malah boleh diminum dalam keadaan segar dan lazat.

Apabila ditanya tentang cara membuat kopi warisan tradisional miliknya, beliau berkata, kopi perlu dimasak dengan cara menggorengnya di dalam kuali yang agak besar (dikenali kawah) menggunakan kayu sebagai bahan bakarnya. Penggunaan bahan bakar seumpama ini tentunya menjadikan pekerja-pekerjanya agak kepanasan kerana dibuat secara tradisional. Kira-kira dalam tempoh selama empat (4) jam masa yang digunakan supaya kopi-kopi itu masak dengan sempurna.

Malah katanya, sekurang-kurangnya 20 kilogram kopi perlu dimasak dalam tempoh selama empat jam itu dan pekerja-pekerjanya seramai empat orang perlu melakukannya secara giliran untuk memastikan kopi-kopi itu masak sepenuhnya.

Tambah Kak Som lagi, tenaga kerja yang dimaksudkan itu adalah terdiri dari anak-anaknya yang sentiasa diperlukan untuk memasak kopi-kopi itu. Penggunaan “kawah” (kuali besar) dan tenaga kerja seramai empat orang itu bukan berperanan untuk memasak kopi-kopi itu dan bahan-bahan lainnya, namun setelah kopi-kopi itu masak kawah itu perlu diangkat dari dapur kayu untuk dituangkan ke dalam satu bekas yang dikhaskan. Jika menggunakan seorang pekerja saja, tentunya tidak mampu melaksanakannya secara cepat apatah lagi dalam keadaan suasana panas dan kuali yang agak berat, ini tentunya mudah berasa letih.

“Tujuan kopi-kopi yang telah masak itu dituangkan ke dalam satu bekas khas adalah untuk proses menyejukkannya. Dengan cara yang demikian, kopi akan mudah sejuk dan senanglah untuk proses membungkusnya nanti”, katanya.

Kak Som menambah, walaupun kerja-kerja berkenaan dilakukan sekali sahaja dalam satu hari kerana caranya agak sukar apatah lagi pekerja-pekerja itu perlu mengangkat kuali besar yang agak berat. Selain kuali besar turut digunakan untuk menggoreng, sebuah lagi kuali kosong turut disediakan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kuali yang digunakannya sekarang.

 “Proses menggoreng kopi itu dilakukan sekali sahaja dalam sehari kerana kerja-kerjanya agak sukar malah terlalu berat. Sebab itulah memerlukan masa dan pekerja yang mencukupi.

“Itupun jika anak-anaknya berada bersama-sama dengan akak, jika tidak akak meneruskan proses produk kopi itu bersama suami sekali saja dalam seminggu”, ujar Kak Som.

Dalam konteks pembungkusannya pula katanya, disebabkan kopi warisan cap Anggurnya itu dibuat secara tradisional yang menggunakan tenaga kerja dari kalangan keluarganya iaitu anak-anaknya sahaja, pembungkusan produk kopinya itu juga dilakukan oleh anak-anaknya juga menggunakan peralatan pembungkusan secara tradisional.

Setelah kopi yang telah masak itu sejuk setelah dituangkan ke dalam satu bekas yang dikhaskan di sebelah tengah harinya, pada sebelah petangnya serbuk-serbuk kopi itu mula dibungkus. Katanya, kopi yang masih dalam keadaan panas tidak boleh dibungkus dengan segera kerana dibimbangkan mendatangkan masalah terhadap baunya kerana pastinya kepanasan kopi itu akan bertindak dengan plastik pembungkusnya.

Apabila ditanya tentang berat dan harga serbuk kopi cap Anggur keluarannya itu, serbuk kopinya itu disenaraikan dalam tiga kategori berat iaitu 70 gram (biasa), 150 gram dan 350 gram.

Serbuk kopi yang berat 70 gram (biasa) itu dijual dengan harga RM0-20 sen sebungkus. Harga-harga lain ialah RM1-50 dan RM5. Lazimnya kebanyakan peruncit, beliau membekalkan kopinya itu dalam tin.

Berhubung dengan sambutan pembeli terhadap kopi warisannya, setakat ini produk kopi keluarannya hanya berlegar di sekitar Kampung Alor Pasir itu saja selain di Wakaf Baharu dan Tumpat. Katanya, beliau masih belum bercadang untuk memasarkannya keluar dari tempatnya itu. Walaupun hanya berlegar di sekitar kampungnya sahaja, namun sambutan pembeli agak memberangsangkan selain ada yang datang dari Wakaf Baharu dan Tumpat yang datang sendiri ke rumahnya kerana harganya lebih murah.

“Tentang pasaran kopi akak ini, setakat akak tidak pernah mengiklankannya dalam mana-mana media sama ada akhbar, media sosial atau sebagainya.

“Produk kopi akak ini dikenali ramai melalui anak-anak dan dari mulut ke mulut orang ramai dan rakan-rakan akak dalam kampung ini yang pernah membeli darinya yang mendakwa kopi keluaran cap Anggur ini lazat diminum”, katanya.
 
Menyentuh tentang pengeluaran kopi tradisional yang dihasilkan oleh Kak Som, katanya usahanya itu memang agak terlalu sukar dan memenatkan kerana serba serbinya secara tradisi. Tetapi dengan adanya bantuan dari anak-anaknya, kerja yang sukar dan berat menjadi ringan malah mendatangkan keseronokan pula apatah lagi keluarannya adalah hasil usaha sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

Anak-anaknya yang seringkali melihat dan membantunya cara menghasilkan kopi seumpama itu, akhirnya ilmu itu dapat dicurahkan pula kepada anak-anaknya. Sekarang ini, anak-anaknya memang mahir melakukan pelbagai tugas yang diberikan malah kerana itu beliau tidak perlu memaklumkannya berulang kali.

Produk serbuk kopi cap Anggur ini menggunakan bahan-bahan asli dan halal tanpa bahan penambah dalam makanan (bahan aditif). Ini kerana, beliau ingin mengekalkan kopinya secara tradisional yang diwarisi dari kepakaran arwah bapanya yang bergiat cergas dalam perusahaan berkenaan secara jujur dan ikhlas, jadi biarlah konsep berkenaan dikekalkan sampai bila-bila.

Sementara itu, ditanya tentang pasaran yang lebih luas, beliau sememangnya agak berminat tentangnya. Hal ini pernah beberapa kali diutarakan oleh rakan-rakan dan jiran-jiran dari kampungnya supaya memasarkannya secara lebih meluas dan moden. Namun, disebabkan sumber kewangan yang terhad, pengeluaran secara tradisional itu adalah lebih baik lagi. Katanya, beliau tidak menolak, hasratnya itu akan diteruskan oleh generasi anak-anaknya pula yang sentiasa melihat produk itu agak mampu menyaingi kopi-kopi yang dibuat secara moden.

Kak Som boleh bernafas agak lega kerana ramai pelanggan yang menggemari kopi keluarannya. Tidak sia-sialah dengan pengorbanan arwah bapanya dicurahkan ilmu kepadanya untuk diteruskan warisan produk serbuk kopi berkenaan, beliau akan meneruskan kesinambungan dan warisan itu dari generasinya kepada anak-anaknya pula.

Justeru, walaupun pasarannya agak terhad, namun atas sokongan rakan-rakan, jiran-jiran sekampung dan penggemar-penggemar yang pernah merasai sendiri kopi warisan keluarannya, keenakan kopi warisan keluarannya itu dianggap tiada tandingannya apatah lagi dibuat dalam kaedah dan resipi serta adunan bahan-bahan yang asli menjadikan kopi cap Anggur sentiasa dalam perhatian pelanggan dan penggemar-penggemarnya. Apatah lagi, dengan adanya tolak ansur, sikap dan sifat jujur yang diwarisi juga dari keluarganya sebagai jalan terbaik perusahaan kopi jenama Anggurnya mendapat keberkatannya.

Beliau boleh dihubungi di talian: 09-7196095

Umi Kalsom binti Mahmood atau Kak Som.

Kak Som sedang ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Inilah contoh serbuk kopi cap Anggur dalam kuantiti 70 gram menggunakan nama suaminya, Abdullah bin Ismail.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan