WAKAF BAHARU, KELANTAN: Bagi penggemar minuman, produk serbuk kopi
menjadi kegemaran ramai. Ada
sesetengah penggemarnya yang menyatakan, tidak sah meminum air jika tidak
dibancuh dengan kopi. Malah, ada juga yang menyatakan secara nakal, rokok dan
kopi adalah rakan dan sahabat yang tidak dapat dipisahkan.
Membicarakan tentang produk
serbuk kopi, di negara kita memang terkenal dengan produk sedemikian iaitu
seiring dengan penggemarnya. Ada
serbuk kopi diproses secara moden kerana dianggap cepat, hasil yang minimum dan
menjimatkan masa. Namun, tidak kurang juga serbuk kopi dihasilkan secara
tradisional. Paling menarik pula, perusahaan dan pengeluaran serbuk kopi itu
dilakukan secara warisan keluarga dan pekerja-pekerjanya pula terdiri daripada
ahli-ahli keluarga dan anak-anaknya sahaja.
Seorang Pengusaha Kopi Cap Anggur yang mengeluarkan
produk serbuk kopi secara warisan keluarga yang sempat ditemui Wartawan RELATIF
di kediamannya, Umi Kalsom binti Mahmood, 55, atau lebih dikenali sebagai Kak
Som dari Kampung Alor Pasir, Wakaf Baharu, Kelantan berkata, produk kopi
keluarannya itu adalah dari warisan bapanya yang mengusahakannya secara
sendiri.
Katanya, produk serbuk kopi
keluarannya itu telah mencapai 50 tahun yang diwarisi dari bapanya. Ketika itu,
beliau berusia dalam lingkungan 6 tahun pernah melihat sendiri bagaimana serbuk
kopi tradisional milik bapanya itu dihasilkan. Disebabkan hal itulah beliau
memiliki kemahiran mengeluarkan serbuk kopi itu dan mengambil alih peranan itu
dari arwah bapanya di mana serbuk kopi warisan bapanya itu diteruskan sehingga
hari ini.
“Sebelum ini, kak menggunakan
jenama “Parlimen” iaitu salah satu simbol negara. Jenama Parlimen amat dikenali
ramai. Namun, disebabkan larangan penggunaan simbol parlimen itu, kak
menukarnya kepada jenama “Anggur” sehingga hari ini”, ujarnya ketika ditemui di
kediamannya.
Menurutnya, semenjak memperolehi
ilmu menghasilkan produk kopi jenama Anggurnya itu dari arwah bapanya, beliau
tidak pernah belajar atau memasuki kursus dari mana-mana individu atau
agensi-agensi kerajaan serta swasta dalam usaha memantapkan lagi produk kopi
keluarannya. Beliau memahirkan kepakaran mengeluarkan produk kopi itu
berdasarkan ilmu yang dicurahkan oleh arwah bapanya dan dari apa yang pernah
dilihatnya ketika hayat bapanya ketika itu sebagai kesinambungan dan warisan
keluarganya.
Katanya, produk serbuk kopi
jenama Anggurnya itu menggunakan nama suaminya, Abdullah bin Ismail. Malah bahan-bahan yang
digunakan untuk menghasilkan serbuk kopi keluarannya adalah amat ringkas sahaja
iaitu kopi dan gula. Tidak sebagaimana pengeluar-pengeluar kopi lain yang turut
menggunakan “beras” menggantikan kopi sebagai bahan dan resepi pembuatan kopi
tersebut agar kelihatan pekat dan rasanya lebih lazat. Kopi tradisional warisan
miliknya itu tidak menggunakan bahan-bahan itu dan tidak juga menggunakan
bahan-bahan pengawet malah boleh diminum dalam keadaan segar dan lazat.
Apabila ditanya tentang cara
membuat kopi warisan tradisional miliknya, beliau berkata, kopi perlu dimasak
dengan cara menggorengnya di dalam kuali yang agak besar (dikenali kawah)
menggunakan kayu sebagai bahan bakarnya. Penggunaan bahan bakar seumpama ini
tentunya menjadikan pekerja-pekerjanya agak kepanasan kerana dibuat secara
tradisional. Kira-kira dalam tempoh selama empat (4) jam masa yang digunakan
supaya kopi-kopi itu masak dengan sempurna.
Malah katanya, sekurang-kurangnya
20 kilogram kopi perlu dimasak dalam tempoh selama empat jam itu dan
pekerja-pekerjanya seramai empat orang perlu melakukannya secara giliran untuk
memastikan kopi-kopi itu masak sepenuhnya.
Tambah Kak Som lagi, tenaga kerja
yang dimaksudkan itu adalah terdiri dari anak-anaknya yang sentiasa diperlukan
untuk memasak kopi-kopi itu. Penggunaan “kawah” (kuali besar) dan tenaga kerja
seramai empat orang itu bukan berperanan untuk memasak kopi-kopi itu dan
bahan-bahan lainnya, namun setelah kopi-kopi itu masak kawah itu perlu diangkat
dari dapur kayu untuk dituangkan ke dalam satu bekas yang dikhaskan. Jika
menggunakan seorang pekerja saja, tentunya tidak mampu melaksanakannya secara
cepat apatah lagi dalam keadaan suasana panas dan kuali yang agak berat, ini
tentunya mudah berasa letih.
“Tujuan kopi-kopi yang telah
masak itu dituangkan ke dalam satu bekas khas adalah untuk proses
menyejukkannya. Dengan cara yang demikian, kopi akan mudah sejuk dan senanglah
untuk proses membungkusnya nanti”, katanya.
Kak Som menambah, walaupun
kerja-kerja berkenaan dilakukan sekali sahaja dalam satu hari kerana caranya
agak sukar apatah lagi pekerja-pekerja itu perlu mengangkat kuali besar yang
agak berat. Selain kuali besar turut digunakan untuk menggoreng, sebuah lagi
kuali kosong turut disediakan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap
kuali yang digunakannya sekarang.
“Proses menggoreng kopi itu
dilakukan sekali sahaja dalam sehari kerana kerja-kerjanya agak sukar malah
terlalu berat. Sebab itulah memerlukan masa dan pekerja yang mencukupi.
“Itupun jika anak-anaknya berada
bersama-sama dengan akak, jika tidak akak meneruskan proses produk kopi itu
bersama suami sekali saja dalam seminggu”, ujar Kak Som.
Dalam konteks pembungkusannya
pula katanya, disebabkan kopi warisan cap Anggurnya itu dibuat secara tradisional
yang menggunakan tenaga kerja dari kalangan keluarganya iaitu anak-anaknya
sahaja, pembungkusan produk kopinya itu juga dilakukan oleh anak-anaknya juga
menggunakan peralatan pembungkusan secara tradisional.
Setelah kopi yang telah masak itu
sejuk setelah dituangkan ke dalam satu bekas yang dikhaskan di sebelah tengah
harinya, pada sebelah petangnya serbuk-serbuk kopi itu mula dibungkus. Katanya,
kopi yang masih dalam keadaan panas tidak boleh dibungkus dengan segera kerana
dibimbangkan mendatangkan masalah terhadap baunya kerana pastinya kepanasan
kopi itu akan bertindak dengan plastik pembungkusnya.
Apabila ditanya tentang berat dan
harga serbuk kopi cap Anggur keluarannya itu, serbuk kopinya itu disenaraikan
dalam tiga kategori berat iaitu 70 gram (biasa), 150 gram dan 350 gram.
Serbuk kopi yang berat 70 gram
(biasa) itu dijual dengan harga RM0-20 sen sebungkus. Harga-harga lain ialah
RM1-50 dan RM5. Lazimnya kebanyakan peruncit, beliau membekalkan kopinya itu
dalam tin.
Berhubung dengan sambutan pembeli
terhadap kopi warisannya, setakat ini produk kopi keluarannya hanya berlegar di
sekitar Kampung Alor Pasir itu saja selain di Wakaf Baharu dan Tumpat. Katanya,
beliau masih belum bercadang untuk memasarkannya keluar dari tempatnya itu.
Walaupun hanya berlegar di sekitar kampungnya sahaja, namun sambutan pembeli
agak memberangsangkan selain ada yang datang dari Wakaf Baharu dan Tumpat yang
datang sendiri ke rumahnya kerana harganya lebih murah.
“Tentang pasaran kopi akak ini,
setakat akak tidak pernah mengiklankannya dalam mana-mana media sama ada
akhbar, media sosial atau sebagainya.
“Produk kopi akak ini dikenali
ramai melalui anak-anak dan dari mulut ke mulut orang ramai dan rakan-rakan
akak dalam kampung ini yang pernah membeli darinya yang mendakwa kopi keluaran
cap Anggur ini lazat diminum”, katanya.
Menyentuh tentang pengeluaran
kopi tradisional yang dihasilkan oleh Kak Som, katanya usahanya itu memang agak
terlalu sukar dan memenatkan kerana serba serbinya secara tradisi. Tetapi
dengan adanya bantuan dari anak-anaknya, kerja yang sukar dan berat menjadi
ringan malah mendatangkan keseronokan pula apatah lagi keluarannya adalah hasil
usaha sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
Anak-anaknya yang seringkali
melihat dan membantunya cara menghasilkan kopi seumpama itu, akhirnya ilmu itu
dapat dicurahkan pula kepada anak-anaknya. Sekarang ini, anak-anaknya memang
mahir melakukan pelbagai tugas yang diberikan malah kerana itu beliau tidak
perlu memaklumkannya berulang kali.
Produk serbuk kopi cap Anggur ini
menggunakan bahan-bahan asli dan halal tanpa bahan penambah dalam makanan (bahan
aditif). Ini kerana, beliau ingin mengekalkan kopinya secara tradisional yang
diwarisi dari kepakaran arwah bapanya yang bergiat cergas dalam perusahaan
berkenaan secara jujur dan ikhlas, jadi biarlah konsep berkenaan dikekalkan
sampai bila-bila.
Sementara itu, ditanya tentang
pasaran yang lebih luas, beliau sememangnya agak berminat tentangnya. Hal ini
pernah beberapa kali diutarakan oleh rakan-rakan dan jiran-jiran dari
kampungnya supaya memasarkannya secara lebih meluas dan moden. Namun, disebabkan
sumber kewangan yang terhad, pengeluaran secara tradisional itu adalah lebih
baik lagi. Katanya, beliau tidak menolak, hasratnya itu akan diteruskan oleh
generasi anak-anaknya pula yang sentiasa melihat produk itu agak mampu
menyaingi kopi-kopi yang dibuat secara moden.
Kak Som boleh bernafas agak lega
kerana ramai pelanggan yang menggemari kopi keluarannya. Tidak sia-sialah
dengan pengorbanan arwah bapanya dicurahkan ilmu kepadanya untuk diteruskan
warisan produk serbuk kopi berkenaan, beliau akan meneruskan kesinambungan dan
warisan itu dari generasinya kepada anak-anaknya pula.
Justeru, walaupun pasarannya agak
terhad, namun atas sokongan rakan-rakan, jiran-jiran sekampung dan
penggemar-penggemar yang pernah merasai sendiri kopi warisan keluarannya, keenakan
kopi warisan keluarannya itu dianggap tiada tandingannya apatah lagi dibuat
dalam kaedah dan resipi serta adunan bahan-bahan yang asli menjadikan kopi cap
Anggur sentiasa dalam perhatian pelanggan dan penggemar-penggemarnya. Apatah
lagi, dengan adanya tolak ansur, sikap dan sifat jujur yang diwarisi juga dari
keluarganya sebagai jalan terbaik perusahaan kopi jenama Anggurnya mendapat
keberkatannya.
Beliau boleh dihubungi di talian: 09-7196095
Umi Kalsom binti Mahmood atau Kak Som.
Kak Som sedang ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Inilah contoh serbuk kopi cap Anggur dalam kuantiti 70 gram menggunakan nama suaminya, Abdullah bin Ismail.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM