HUTAN LIPUR LATA CHANGKAH DUA
SETIU, TERENGGANU: Hutan Lipur Lata Changkah Dua yang letaknya dalam daerah Setiu, Terengganu bukan sekadar sebuah lata atau jeram yang menarik tetapi juga sebuah Taman Rekreasi yang terbaik untuk dikunjungi. Dalam konteks pemandangannya yang kaya dengan flora dan fauna yang belum diteroka, Lata Changkah Dua menjanjikan kelainan kerana keadaan airnya yang dalam, jernih dan sejuk malah sesuai untuk aktiviti terjun ke dalam air, berenang, berendam, mandi dan menyelam serta pelbagai aktiviti lain yang berfaedah seperti mengadakan bar-b-que, berkhemah mahupun santai-santai di jeram itu sambil menyedut keheningan hutan dan suasananya yang nyaman, selesa dan memikat jiwa. Terdapat gerombolan ikan sebagai penghuni asal di jeram berkenaan yang membesar dengan cepat disebabkan persekitarannya yang belum tercemar.
Sekali berkunjung, mungkin anda tidak merasa kepuasannya, tetapi apabila berkunjung buat kali kedua dan seterusnya, anda akan merasai kelainannya. Air yang mengalir di jeramnya itu bukan sahaja dalam yang dikatakan mengalir dari air terjun Lata Changkah Satu yang terletak di bahagian atas jeram ini. Namun, Lata Changkah Satu belum dibuka kepada kunjungan umum atas sebab tertentu, hanya Lata Changkah Dua ini sahaja yang aktif di daerah Setiu, Terengganu itu.
Walaupun Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini dianggap tidak begitu tersohor sebagaimana Hutan Lipur Lata Belatan dan Hutan Lipur Lata Tembakah yang letaknya di daerah Besut, Terengganu kerana dianggap tidak begitu popular dan terlindung dari pengetahuan umum, namun melihatkan kepada pengunjung yang datang ketika cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu menggambarkan Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini juga tidak kurang hebatnya menerima kunjungan orang ramai.
Di antara kemudahan asas yang disediakan di Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini seperti tempat parkir kenderaan yang agak luas, surau, tandas awam, wakaf rehat, bangku rehat, laluan pejalan kaki dan tong sampah. Malahan papan tanda juga dianggap begitu penting kepada orang ramai sebagai suatu arahan dan amaran supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak diingini ketika berkunjung ke hutan lipur berkenaan. Bahkan, pengunjung juga perlu berhati-hati terhadap batu yang tenggelam di dalam air itu agak licin.
Sementara itu, kebanyakan hutan lipur yang terdapat di Terengganu telah mengenakan kadar bayaran masuk yang agak berpatutan. Namun, Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini masih lagi tidak dikenakan bayaran dan anda boleh datang pada bila-bila masa yang sesuai, cuma patuhilah papan tanda yang dipasang di beberapa tempat sebagai langkah berwaspada dan beringat untuk tidak melakukan aktiviti yang menyalahi peraturan.
Justeru, silalah berkunjung ke Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini kerana jeramnya sentiasa menanti anda sambil berehat, menenangkan fikiran dan berhibur dengan bisikan suara alam di situ.
Papan tanda arah masuk ke Lata Changkah Dua di Setiu, Terengganu.
Suasana hutan dan pemandangannya yang menarik.
Keadaan jeram dan batu yang tersusun rapi menambahkan lagi keindahan jeram ini.
Keadaan airnya adalah jernih.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan ketika berada dalam air seperti mandi, berendam dan menyelam.
Aktiviti merakam foto yang dilakukan Penulis.
Golongan remaja tidak melepaskan peluang terjun dan mandi di tempat yang dalam.
Kemudahan parkir kenderaan yang agak luas.
Surau juga disediakan.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan