KOTA GUA DAN ARTIFAK EMAS
PASIR MAS, KELANTAN: Kisah penemuan syiling emas dikenali 'pitis' dan beberapa artifak emas yang lainnya di zaman Kelantan purba di Kampung Padang Pak Amin yang terletak di tebing Sungai Kelantan juga
bersempadan dengan Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas, Kelantan menjadi bualan umum setahun yang lalu. Orang pertama
yang menemui syiling tersebut adalah Owe Cheng Huai yang tinggal berhampiran
dengan tebing sungai di Kampung Sakar Sungai.
Seorang penduduk, Owe Cheng Huai ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, artifak emas termasuk syiling emas iaitu syiling emas
berlubang dan bukan sahaja bahan-bahan tinggalan sejarah itu sahaja yang
ditemui di tebing sungai berkenaan, namun terdapat juga emas yang berkualiti
tinggi.
“Saya percaya, syiling emas yang
ditemui di sungai itu adalah milik Raja Kelantan Keenam iaitu Cik Siti Wan
Kembang apabila 'bidal' dikenali Jong Kapa Ulana yang dinaiki Baginda karam di
sungai tersebut sejak beratus tahun lamanya.
“Saya dapat tahu hal ini setelah
diceritakan oleh bapa saya yang ketika itu berusia 82 tahun. Pada mulanya, saya
sukar nak mempercayainya, tetapi setelah ditunjukkannya kepada saya, memang
benarlah syiling emas itu ditemui di tempat bidal itu karam”, katanya.
Katanya lagi, pada masa dulu
Sungai Kelantan itu keadaan airnya agak jernih tidak sebagaimana sekarang yang
didapati keruh dan berkelodak. Ikan-ikan lampam yang bersaiz besar dapat
dilihat dengan agak jelas walaupun ikan-ikan berkenaan berada di dalam air.
“Saya percaya, cerita tentang
kapal yang dulunya dikenali “bidal” milik Cik Siti Wan Kembang yang karam di
bahagian atas sungai itu memang benar-benar berlaku. Namun, disebabkan banjir melanda menyebabkannya
hanyut dan terdampar di kawasan tersebut’, ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga tidak
menafikan tentang terdapatnya sebuah gua yang pada masa dulu dapat dilihat
dengan agak jelas di bahagian tebing Sungai Kelantan yang terletak dalam daerah
di Kampung Padang Pak Amin itu. Ini kerana menurutnya, di kawasan tebing sungai
terbabit terdapat sebuah gua dan batu hampar yang dikenali “Pulau Batu Hampar”
di kawasan terbing sungai terbabit.
“Emas memang banyak terdapat di
kawasan tersebut kerana dua sebab iaitu kerana terdapatnya sebuah batu hampar
yang dikenali Pulau Batu Hampar yang menutup khazanah emas itu dan adanya
sebuah gua yang dikatakan masih misteri sehingga hari ini”, ujar Owe lagi.
Menurutnya, sebuah gua di kawasan
itu telah ditemui oleh salah seorang warga emas yang dikenali sebagai Pak Mat
kerana Pak Mat dikatakan pernah menyelam ke dasar sungai berkenaan dan menemui
lubang gua di tebing sungai yang dimaksudkan. Penutup pintu gua itu diperbuat
daripada emas dan Pak Mat sendiri pernah menunjukkan kepadanya.
“Pak Mat memberitahu saya bahawa
beliau telah menemui penutup gua itu yang diperbuat dari emas tulen. Pada
mulanya, saya menafikan ceritanya kerana saya anggap tak masuk akal.
“Disebabkan terlalu geram dengan
penafian saya, Pak Mat mengheret lengan saya sambil mengajak saya menyelam bersama. Akhirnya,
mata saya dapat melihatnya sendiri, pintu gua itu memang bertutup rapat dan tidak dapat
dibuka. Pintu gua itu bertutup rapat di dalam air yang semakin hari semakin
pasang dan berkelodak”, tambah Owe lagi yang dapat melihat sendiri pintu gua
itu, beliau mula mempercayainya. Apatah lagi, setelah dimaklumkan oleh bapanya
sendiri bahawa kampung itu dikenali Kampung Gua.
Apabila ditanya, adakah benar
dengan dakwaan yang menyatakan Kampung Gua itu pada masa dahulu adalah sebuah kota raja. Beliau tidak
menafikan dan beliau percaya salah satu kota
yang tenggelam terdapat di tebing sungai itu yang dikenali Kampung Gua itu.
“Saya memang akui, kota yang tenggelam pada
masa dulu dikenali Kampung Gua memang wujud. Kalaulah keadaan air sekarang ini
tidak berkelodak, sudah tentu pintu gua itu boleh dilihat di dasar sungai itu”,
katanya.
Katanya menambah, lazimnya
kebanyakan kota
dan kerajaan zaman dulu terdapat di kawasan tebing-tebing sungai kerana pada
masa itu belum lagi wujud jalan darat sebagaimana hari ini. Kebanyakan
alat pengangkutan pada masa itu seperti perahu, kapal sungai, tongkang, bahtera
dan bidal hanya menggunakan jalan sungai sebagai laluan utama.
Dengan adanya jalan sungai, maka
adalah jelas kerajaan dan kota-kota dibina di tebing-tebing sungai kerana
itulah sahaja pengangkutan yang sesuai untuk singgah dan mendarat di
tempat-tempat terbabit. Apabila diwujudkan jalan raya sebagaimana hari ini,
maka sejarah pengangkutan sungai dan kota-kota pemerintahan di kawasan sungai
mula terhakis dan terbiar sehingga tenggelam tidak diketahui umum.
Apabila dikatakan kota tinggalan sejarah,
maka banyaklah barangan berharga seperti artifak-artifak lama dan emas akhirnya
tenggelam di kawasan tersebut. Sebagaimana yang berlaku di Kota Melaka, maka di
Kelantan juga mempunyai kota
tinggalan sejarah yang menyimpan pelbagai barangan lama dan berharga berkubur
di kawasan itu kerana tiada pihak yang ingin mengambil peduli tentang tinggalan
sejarah itu. Kalau pun ada usaha ke arah itu, hanya seperti “melepaskan batuk
di tangga sahaja”.
Owe Cheng Huai.
Owe Cheng Huai ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Inilah "Kota Gua" di Kampung Padang Pak Amin.
Ini pula adalah Pulau Batu Hampar tempat wujudnya emas tulen yang belum diteroka.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan