RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Rabu, 30 Julai 2014

Pantai Teluk Gadong (Terengganu)


PANTAI TELUK GADONG

DUNGUN, TERENGGANU: Pantai Teluk Gadong yang terletak di Kampung Sura Hujung, Dungun, Terengganu adalah sebuah pantai yang agak cantik. Pantai ini agak memanjang di mana di bahagian hujungnya terdapat sebuah bukit dan sebuah tasik yang agak tenang dan menarik. Di dalam tasik ini pula didiami spesis ikan yang agak besar yang sering bermain di sebuah pelantaian tangga di tasik tersebut.

Di daratan Pantai Teluk Gadong ini pula terdapatnya Universiti Teknologi Mara (UiTM), selain kemudahan pondok rehat, gerai makanan dan restoran, tandas awam, tempat solat serta tong sampah. Sampah yang setiap hari dipungut oleh pekerja Majlis Daerah Dungun akan menjadi pantai ini sentiasa bersih dan sejuk mata memandangnya.

Sesuatu yang agak menarik tentang Pantai Teluk Gadong bukan sahaja tentang keindahan pantai dan suasananya yang hening dengan hembusan bayu pantai serta deruan ombak menghempas pantai adalah irama yang lazim bagi kebanyakan pantai, begitu juga dengan Pantai Teluk Gadong ini. Selain pokok rhu yang tumbuh subur, keadaan pasirnya yang memutih dan berkilau ketika menanti pancaran sinar mentari menambahkan lagi suasana di Pantai Teluk Gadong ini.

Selain pantainya, keadaan tasiknya yang berteluk itu seolah-olah permai apabila memandangnya dari tepi hingga di bahagian hujungnya. Mungkin di pantai-pantai lain tidak sebagaimana Pantai Teluk Gadong yang mempunyai tasik, begitulah halnya dengan pantai ini yang seolah-olah lain dari yang lain.

Justeru, jika anda mempunyai kesempatan masa di musim cuti, silalah berkunjung ke Pantai Teluk Gadong yang terletak di Kampung Sura Hujung, Dungun, Terengganu ini kerana pantainya menjanjikan ketenangan dan kedamaian jika anda berharap kepada kenyamanan dan pemandangan yang indah, Pantai Teluk Gadonglah tempatnya.

Keadaan pasir pantainya yang hening dan memutih.

Ombak sering menghempas pantai dan sebuah bukit di hujung pantainya.

Pemandangan pasir pantai.

Pemandangan yang teduh dengan adanya pokok-pokok sebagai pelindung mentari.

Pondok rehat turut dibina sebagai salah satu kemudahan kepada pengunjung.







Suasana tasik dan teluk yang mendamaikan.

Spesis ikan sering bertandang ke pelantaian ini.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 20 Julai 2014

Kota Gua dan Artifak Emas


KOTA GUA DAN ARTIFAK EMAS


PASIR MAS, KELANTAN: Kisah penemuan syiling emas dikenali 'pitis' dan beberapa artifak emas yang lainnya di zaman Kelantan purba di Kampung Padang Pak Amin yang terletak di tebing Sungai Kelantan juga bersempadan dengan Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas, Kelantan menjadi bualan umum setahun yang lalu. Orang pertama yang menemui syiling tersebut adalah Owe Cheng Huai yang tinggal berhampiran dengan tebing sungai di Kampung Sakar Sungai.

Seorang penduduk, Owe Cheng Huai ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, artifak emas termasuk syiling emas iaitu syiling emas berlubang dan bukan sahaja bahan-bahan tinggalan sejarah itu sahaja yang ditemui di tebing sungai berkenaan, namun terdapat juga emas yang berkualiti tinggi.

“Saya percaya, syiling emas yang ditemui di sungai itu adalah milik Raja Kelantan Keenam iaitu Cik Siti Wan Kembang apabila 'bidal' dikenali Jong Kapa Ulana yang dinaiki Baginda karam  di sungai tersebut sejak beratus tahun lamanya.

“Saya dapat tahu hal ini setelah diceritakan oleh bapa saya yang ketika itu berusia 82 tahun. Pada mulanya, saya sukar nak mempercayainya, tetapi setelah ditunjukkannya kepada saya, memang benarlah syiling emas itu ditemui di tempat bidal itu karam”, katanya.

Katanya lagi, pada masa dulu Sungai Kelantan itu keadaan airnya agak jernih tidak sebagaimana sekarang yang didapati keruh dan berkelodak. Ikan-ikan lampam yang bersaiz besar dapat dilihat dengan agak jelas walaupun ikan-ikan berkenaan berada di dalam air.

“Saya percaya, cerita tentang kapal yang dulunya dikenali “bidal” milik Cik Siti Wan Kembang yang karam di bahagian atas sungai itu memang benar-benar berlaku. Namun, disebabkan banjir melanda menyebabkannya hanyut dan terdampar di kawasan tersebut’, ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menafikan tentang terdapatnya sebuah gua yang pada masa dulu dapat dilihat dengan agak jelas di bahagian tebing Sungai Kelantan yang terletak dalam daerah di Kampung Padang Pak Amin itu. Ini kerana menurutnya, di kawasan tebing sungai terbabit terdapat sebuah gua dan batu hampar yang dikenali “Pulau Batu Hampar” di kawasan terbing sungai terbabit.

“Emas memang banyak terdapat di kawasan tersebut kerana dua sebab iaitu kerana terdapatnya sebuah batu hampar yang dikenali Pulau Batu Hampar yang menutup khazanah emas itu dan adanya sebuah gua yang dikatakan masih misteri sehingga hari ini”, ujar Owe lagi.

Menurutnya, sebuah gua di kawasan itu telah ditemui oleh salah seorang warga emas yang dikenali sebagai Pak Mat kerana Pak Mat dikatakan pernah menyelam ke dasar sungai berkenaan dan menemui lubang gua di tebing sungai yang dimaksudkan. Penutup pintu gua itu diperbuat daripada emas dan Pak Mat sendiri pernah menunjukkan kepadanya.

“Pak Mat memberitahu saya bahawa beliau telah menemui penutup gua itu yang diperbuat dari emas tulen. Pada mulanya, saya menafikan ceritanya kerana saya anggap tak masuk akal.

“Disebabkan terlalu geram dengan penafian saya, Pak Mat mengheret lengan saya sambil mengajak saya menyelam bersama. Akhirnya, mata saya dapat melihatnya sendiri, pintu gua itu memang bertutup rapat dan tidak dapat dibuka. Pintu gua itu bertutup rapat di dalam air yang semakin hari semakin pasang dan berkelodak”, tambah Owe lagi yang dapat melihat sendiri pintu gua itu, beliau mula mempercayainya. Apatah lagi, setelah dimaklumkan oleh bapanya sendiri bahawa kampung itu dikenali Kampung Gua.

Apabila ditanya, adakah benar dengan dakwaan yang menyatakan Kampung Gua itu pada masa dahulu adalah sebuah kota raja. Beliau tidak menafikan dan beliau percaya salah satu kota yang tenggelam terdapat di tebing sungai itu yang dikenali Kampung Gua itu.

“Saya memang akui, kota yang tenggelam pada masa dulu dikenali Kampung Gua memang wujud. Kalaulah keadaan air sekarang ini tidak berkelodak, sudah tentu pintu gua itu boleh dilihat di dasar sungai itu”, katanya.

Katanya menambah, lazimnya kebanyakan kota dan kerajaan zaman dulu terdapat di kawasan tebing-tebing sungai kerana pada masa itu belum lagi wujud jalan darat sebagaimana hari ini. Kebanyakan alat pengangkutan pada masa itu seperti perahu, kapal sungai, tongkang, bahtera dan bidal hanya menggunakan jalan sungai sebagai laluan utama.

Dengan adanya jalan sungai, maka adalah jelas kerajaan dan kota-kota dibina di tebing-tebing sungai kerana itulah sahaja pengangkutan yang sesuai untuk singgah dan mendarat di tempat-tempat terbabit. Apabila diwujudkan jalan raya sebagaimana hari ini, maka sejarah pengangkutan sungai dan kota-kota pemerintahan di kawasan sungai mula terhakis dan terbiar sehingga tenggelam tidak diketahui umum.
 
Apabila dikatakan kota tinggalan sejarah, maka banyaklah barangan berharga seperti artifak-artifak lama dan emas akhirnya tenggelam di kawasan tersebut. Sebagaimana yang berlaku di Kota Melaka, maka di Kelantan juga mempunyai kota tinggalan sejarah yang menyimpan pelbagai barangan lama dan berharga berkubur di kawasan itu kerana tiada pihak yang ingin mengambil peduli tentang tinggalan sejarah itu. Kalau pun ada usaha ke arah itu, hanya seperti “melepaskan batuk di tangga sahaja”.

Owe Cheng Huai.

Owe Cheng Huai ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Inilah "Kota Gua" di Kampung Padang Pak Amin.


Ini pula adalah Pulau Batu Hampar tempat wujudnya emas tulen yang belum diteroka.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Khamis, 10 Julai 2014

Lata Changkah Dua (Terengganu)


HUTAN LIPUR LATA CHANGKAH DUA

SETIU, TERENGGANU: Hutan Lipur Lata Changkah Dua yang letaknya dalam daerah Setiu, Terengganu bukan sekadar sebuah lata atau jeram yang menarik tetapi juga sebuah Taman Rekreasi yang terbaik untuk dikunjungi. Dalam konteks pemandangannya yang kaya dengan flora dan fauna yang belum diteroka, Lata Changkah Dua menjanjikan kelainan kerana keadaan airnya yang dalam, jernih dan sejuk malah sesuai untuk aktiviti terjun ke dalam air, berenang, berendam, mandi dan menyelam serta pelbagai aktiviti lain yang berfaedah seperti mengadakan bar-b-que, berkhemah mahupun santai-santai di jeram itu sambil menyedut keheningan hutan dan suasananya yang nyaman, selesa dan memikat jiwa. Terdapat gerombolan ikan sebagai penghuni asal di jeram berkenaan yang membesar dengan cepat disebabkan persekitarannya yang belum tercemar.

Sekali berkunjung, mungkin anda tidak merasa kepuasannya, tetapi apabila berkunjung buat kali kedua dan seterusnya, anda akan merasai kelainannya. Air yang mengalir di jeramnya itu bukan sahaja dalam yang dikatakan mengalir dari air terjun Lata Changkah Satu yang terletak di bahagian atas jeram ini. Namun, Lata Changkah Satu belum dibuka kepada kunjungan umum atas sebab tertentu, hanya Lata Changkah Dua ini sahaja yang aktif di daerah Setiu, Terengganu itu.

Walaupun Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini dianggap tidak begitu tersohor sebagaimana Hutan Lipur Lata Belatan dan Hutan Lipur Lata Tembakah yang letaknya di daerah Besut, Terengganu kerana dianggap tidak begitu popular dan terlindung dari pengetahuan umum, namun melihatkan kepada pengunjung yang datang ketika cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu menggambarkan Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini juga tidak kurang hebatnya menerima kunjungan orang ramai.

Di antara kemudahan asas yang disediakan di Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini seperti tempat parkir kenderaan yang agak luas, surau, tandas awam, wakaf rehat, bangku rehat, laluan pejalan kaki dan tong sampah. Malahan papan tanda juga dianggap begitu penting kepada orang ramai sebagai suatu arahan dan amaran supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak diingini ketika berkunjung ke hutan lipur berkenaan. Bahkan, pengunjung juga perlu berhati-hati terhadap batu yang tenggelam di dalam air itu agak licin.

Sementara itu, kebanyakan hutan lipur yang terdapat di Terengganu telah mengenakan kadar bayaran masuk yang agak berpatutan. Namun, Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini masih lagi tidak dikenakan bayaran dan anda boleh datang pada bila-bila masa yang sesuai, cuma patuhilah papan tanda yang dipasang di beberapa tempat sebagai langkah berwaspada dan beringat untuk tidak melakukan aktiviti yang menyalahi peraturan.

Justeru, silalah berkunjung ke Hutan Lipur Lata Changkah Dua ini kerana jeramnya sentiasa menanti anda sambil berehat, menenangkan fikiran dan berhibur dengan bisikan suara alam di situ.

Papan tanda arah masuk ke Lata Changkah Dua di Setiu, Terengganu.



Suasana hutan dan pemandangannya yang menarik.




Keadaan jeram dan batu yang tersusun rapi menambahkan lagi keindahan jeram ini.




Keadaan airnya adalah jernih.


Pelbagai aktiviti boleh dilakukan ketika berada dalam air seperti mandi, berendam dan menyelam.

Aktiviti merakam foto yang dilakukan Penulis.

Golongan remaja tidak melepaskan peluang terjun dan mandi di tempat yang dalam.


Kemudahan parkir kenderaan yang agak luas.

Surau juga disediakan.

Tandas dan tempat persalinan.

Tong sampah.


Laluan pejalan kaki.





Papan tanda arahan dan amaran.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH