MEMULAKAN perjalanan yang jauh
adalah sesuatu yang sukar walaupun nampaknya agak mudah. Hakikatnya, memulakan
perjalanan yang jauh terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan berdasarkan
kepada keadaan apakah yang digunakan oleh individu terbabit untuk ke tempat
yang dituju itu. Sebab itulah, orang-orang tua zaman dahulu, apabila mereka
akan memulakan perjalanan, dalam masa solat lagi mereka akan meminta
pertolongan dan bantuan Allah dengan berdoa supaya mereka selamat dalam
perjalanan dan sampai ke tempat yang dituju. Di antara ayat yang dibaca ketika
dalam perjalanan itu berbunyi:
“Untuk perlindungan kaum Quraisy.
Perlindungan mereka selama perjalanan musim dingin dan musim panas. Dan
hendaklah mereka menyembah Tuhan Rumah ini (rumah suci Kaabah). Yang memberikan
makanan kepada mereka untuk menahan lapar dan mententeramkan mereka dari
ketakutan”.
(Surah Quraisy: ayat 1-4)
Malah ketika dalam perjalanan
sekalipun dengan menaiki basikal atau berjalan kaki, mulut mereka tidak
berhenti setakat itu sahaja sebaliknya sentiasa berzikir, membaca selawat
mahupun berniat dalam hati supaya Allah sentiasa melindungi mereka dari segala
bahaya yang bakal berlaku ketika dalam perjalanan itu. Ini kerana, malang memang tidak berbau
dan manusia tidak tahu apakah bahaya yang bakal diterima sewaktu dalam
perjalanan itu.
Hal berkenaan perlu dan wajar
dilakukan di samping perkara-perkara lain sama ada cuba menghindari maksiat dan
sesuatu yang terlintas di hati secara buruk yang didorongkan oleh hasutan
syaitan yang sengaja untuk menyesatkan manusia, kerana dengannya juga bakal
berlaku musibah buruk tanpa diduga. Itu hanya sekadar dalam perjalanan sama ada
berbasikal dan berjalan kaki. Tetapi bagaimana pula halnya jika berkenderaan
apatah lagi dengan menaiki helikopter atau pesawat terbang?
Dewasa ini, terlalu jarang atau
hanya segelintir sahaja dari manusia yang sedar dan sentiasa beringat sewaktu
ingin memulakan perjalanan lebih-lebih lagi dengan berkenderaan atau akan
menaiki kapal terbang. Dari awal lagi, Rasulullah S.A.W menyarankan kepada umat-umatnya, apabila
ingin memulakan perjalanan atau menaiki kenderaan misalnya, hendaklah membaca
doa dengan bunyinya:
“Aku berlindung dengan
kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kemurkaan-Nya dan kejahatan hamba-Nya;
aku berlindung dari hasutan-hasutan syaitan dan dari kedatangan mereka
(syaitan-syaitan) itu kepada aku”.
Menjadi kemestian dan kewajipan
khususnya kepada umat-umat Islam memohon doa, membaca ayat-ayat dalam
perjalanan, berselawat kepada Nabi S.A.W sewaktu ingin memulakan perjalanan
kerana hal-hal berkenaan adalah kunci yang paling terbaik supaya setiap
individu yang dalam perjalanan sentiasa dilindungi oleh Allah dan tiba di
tempat yang dituju itu dalam keadaan selamat, sejahtera dan sempurna. Bukan
mudah menaiki kenderaan dengan harapan tiba di tempat yang dituju tanpa
melakukan sesuatu yang seharusnya dilakukan kerana kita tidak pasti apakah yang
bakal kita hadapi semasa dalam perjalanan nanti. Adakah kita akan bertembung
dengan nahas atau kita sendiri yang terperosok dalam nahas itu, berhadapan
dengan haiwan atau makhluk ghaib (makhluk halus) yang sentiasa merayau-rayau
dalam waktu-waktu yang tidak dijangka.
Begitu halnya apabila menaiki pesawat
terbang untuk pergi ke tempat yang jauh. Ketika memulakan perjalanan di udara
ke tempat yang dimaksudkan itu, kita juga tidak pasti apakah yang akan berlaku ketika
berada di udara dan dalam udara itu. Mungkin dalam penerbangan itu kita akan
berhadapan dengan angin yang kosong (angin tidak berkualiti) keadaan cuaca yang
tidak disangka atau gangguan angin mahupun sesuatu yang ghaib (lintasan makhluk
halus). Jika berlakunya angin yang tidak berkualiti, sudah pasti pesawat yang
kita naiki akan menjunam dan terhempas. Bahkan dengan angin juga merupakan alat
yang digunakan oleh makhluk halus untuk terbang. Sebab, Nabi S.AW sendiri
pernah bersabda tentang makhluk halus (jin) itu ada tiga golongan, dengan maksudnya:
“Jin itu terdapat tiga golongan,
satu golongan berterbangan di udara, satu golongan berbentuk ular dan anjing
dan satu golongan lagi berdiam di tempat dan pergi berangkat”.
(Hadis riwayat Al-Hakim
dan At-Tibrani)
Bahkan, manusia juga perlu
mengetahui tentang masa untuk memulakan perjalanan sama ada waktu siang atau
waktu malam. Dalam konteks waktu siang, kemungkinan risiko menghadapi masalah
yang bakal berlaku itu amat kecil, tetapi jika memulakan perjalanan pada waktu
malam, risiko dan masalah besar pasti dihadapi. Ini kerana, pada waktu malam
bermula waktu Maghrib adalah pertukaran masa yang paling disukai oleh golongan
makhluk halus mengambil alih masa tersebut untuk aktiviti koloni mereka pula.
Pada waktu malam, pergerakan
syaitan lebih agresif dari di siang hari, sebab kegelapan dapat menghimpun
kekuatan mereka. Keluar malam itu tidak digalakkan, kecuali dengan sebab
tertentu seperti menuntut ilmu dan hal-hal yang berfaedah. Nabi S.A.W sendiri pernah menyarankan, jika tiada hal
penting elakkanlah memulakan perjalanan pada waktu malam sebagaimana sabda
Baginda Nabi S.A.W dalam sebuah hadis:
“Andainya manusia itu mengetahui
akibat (bahaya) bersendirian, tentu tidak ada seorang pun yang berjalan seorang
diri pada waktu malam”.
Manakala dalam hadis lain pula,
Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Apabila terdapat sebahagian
malam atau pada waktu malam hendaklah kamu menahan anak-anakmu, sesungguhnya
syaitan berkeliaran pada waktu itu. Apabila telah lenyap waktu itu maka
hendaklah mereka menetap di tempat dan tutuplah pintu dan berzikirlah kamu
dengan menyebut asma Allah kerana sesungguhnya syaitan itu tidak boleh membuka
pintu yang tertutup”. (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Dalam hubungan ini, manusia wajar menyelidiki diri sendiri bahawa, manusia
bukan hidup bersendirian di alam ini, bahkan manusia sebenarnya berkongsi alam
ini dengan makhluk-makhluk Allah yang lain seperti tumbuh-tumbuhan, serangga,
haiwan dan makhluk ghaib (jin dan syaitan).
Malah
apabila membicarakan tentang makhluk ghaib (jin), nisbah manusia hanya satu (1) peratus
sahaja, sebaliknya makhluk halus terbabit sebanyak sembilan (9) peratus yang
sentiasa mengelilingi, berada berhampiran dan ingin mendampingi manusia. Tetapi
manusia sentiasa lupa dan tidak sedar tentang hakikat sedemikian kerana
kelemahan yang dialami oleh manusia sendiri iaitu tidak dapat melihat makhluk
terbabit, jika manusia sentiasa melihat mereka sudah pasti manusia menjadi
kacau-bilau dan pastinya menjadi tidak keruan (gila).
Malahan
dalam konteks turutan makhluk ghaib, seperti Malaikat (diciptakan dari cahaya),
Bunian (diciptakan dari cahaya, makhluk yang menjadi rahsia Allah dan tiada
dinyatakan dalam hadis dan Al-Quran), Iblis (koloni di bawahnya ialah syaitan
dan jin). Iblis diciptakan oleh Allah dari api yang sangat panas (api biru)
manakala jin terjadi pergaulan sesama mereka sebagaimana manusia juga melalui
perhubungan jantina lelaki dan perempuan. Mereka mempunyai akal, nafsu,
berilmu, berkelamin, mempunyai keturunan, makan minum, usaha dan ikhtiar,
dipertanggungjawab untuk beribadat kepada Allah (hukum taklif) dan ditegah
melakukan kekufuran dan maksiat kecuali jin kafir.
Asal
iblis adalah penjaga syurga (Khaazin) dan ketua langit dunia dan ia juga
mempunyai kekuasaan di bumi (induk makhluk halus). Iblis juga adalah ketua
bangsa jin di bumi, di mana dalam bahasa Arab namanya dikenali “Al-Harith”
(penjaga), manakala dalam bahasa Suryani ia disebut “Azazil”. Menurut
An-Nuqaasy, iblis juga digelarkan “Abu Kirdaus”. Disebabkan iblis kuat
beribadat dan paling banyak ilmu, maka ia mencapai martabat malaikat yang
mempunyai empat sayap. Penafsir Qataadah menyebutkan berita yang disampaikan
oleh Sa’id bin Al-Musayyab bahawa iblis itu ketua malaikat. Dia juga dipanggil
“jin” kerana dinisbah kepada “Al-Jannah” iaitu syurga (kerana dia adalah
penjaga syurga).
Berdasarkan
hadis daripada Zaid bin Mujahid mengatakan, iblis mempunyai lima anak terdiri daripada:
- Thabr (selalu mendatangi
manusia yang menghadapi masalah seperti kematian, kerugian, kecelakaan,
hilang harta benda dan pangkat. Ia mendorong manusia supaya berputus asa,
keluh kesah, mencarik-carik baju, meratapi kematian dan menyalahkan
Allah).
- Al-Awar (berusaha memujuk
manusia melakukan zina (meniup liang kemaluan lelaki dan kemaluan
perempuan). Ia merayu dan memujuk dengan mengatakan betapa nikmatnya
pekerjaan nista dan keji ini diteruskan).
- Maswath (mendorong
manusia supaya berdusta. Ia cukup seronok kalau ada cerita-cerita bohong
untuk dipercayai).
- Dasim (bertugas menggoda
orang yang mahu masuk ke rumah agar tidak memberikan salam dan berusaha
untuk mencerai-beraikan pasangan suami isteri dengan cara menanam rasa
benci dan sakit hati (dengan
memperlihatkan kesalahan) antara keduanya sehingga berlaku perceraian).
- Zalnabur (adalah dari
golongan syaitan yang berkeliaran
di pasar-pasar dan di merata tempat untuk menyuburkan pertengkaran,
tipu-menipu, caci-cela dan berbunuhan sesama manusia).
Kelima-lima
anak iblis ini menjadi pemimpin dan setiap tugas dengan mempunyai kekuatan
tentera yang tidak terkira jumlahnya yang terdiri daripada syaitan-syaitan.
Iblis mengirimkan beberapa pasukan tenteranya setiap hari (dari singahsananya
yang terletak di permukaan laut) untuk menimpakan fitnah ke atas manusia. Iblis
juga mempunyai cucu yang sebahagiannya terdiri daripada syaitan-syaitan yang
mempunyai tugas masing-masing. Kerana itu, dia disebut “Bapa Syaitan”.
(Sumber: Buku
Jelajah Alam Jin, Haji Wan Abdul Halim Bashah).
Dari
segi kerajaan pula, iblis mempunyai kerajaan yang sangat besar dan megah.
Mereka ada menteri, pemerintah, ada pejabat dan mempunyai wakil-wakil dan
pengikut yang tidak terkira jumlahnya.
Iblis
mempunyai kerajaan di atas air. Ini kerana, dunia ini mempunyai 72 peratus
adalah air sedangkan daratan hanya 28 peratus. Manusia hanya mendiami daratan
hanya satu pertiga dunia itu, itu pun belum semua dihuni oleh manusia.
Sedangkan iblis, syaitan dan jin sudah terlebih dahulu menduduki dunia dan
telah menubuhkan kerajaan yang megah di perairan, bahkan sebahagiannya mendiami
di daratan.
Semua
makhluk halus amat menggemari tempat di perairan terutamanya jika ada pertemuan
dua arus, baik sungai mahupun lautan dengan lautan. Ini disebabkan di antara
keduanya terdapat “batas”. Pembatasan kedua aliran berkenaan akan menimbulkan medan magnet yang sangat
disukai oleh makhluk halus.
Dalil
yang menyatakan iblis mempunyai arasy atau kerajaan di atas air adalah
sebagaimana sebuah hadis yang diberitakan daripada Jabir r.a, Nabi S.A.W
bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya
Iblis itu meletakkan arasynya di atas air, kemudian ia mengutus pasukan
tenteranya dan yang paling dekat mereka dari kedudukan keagungannya adalah
fitnah, salah satu dari mereka datang seraya berkata: “Aku telah kerjakan ini
dan itu. Kemudian dia berkata: “Apa yang telah engkau perbuat tentang sesuatu,
ia menjawab: “Salah satu dari mereka dan berkata: “Tidaklah aku tinggalkan
kepadanya (manusia) sehingga aku boleh memisahkan antara dia dengan
keluarganya, lalu ada yang berkata: “Hendaklah engkau mendekatkan darinya. Atau
ada yang berkata lagi: “Tetapkanlah saja dia” lalu ia berkata: “Betul engkau”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Berdasarkan
hadis daripada Rasululah S.A.W itu
bukanlah teori sebagaimana dakwaan manusia. Ini kerana, dalam konteks rohani,
iblis dan jin banyak lari ke kawasan lautan dan dasar laut kerana lebih sesuai
terhadap koloni mereka. Bahkan di kawasan terbabit juga syaitan amat suka
bermain-main di antara tempat cerah dan gelap, kawasan sejuk dan panas. Apatah
lagi dajjal sememangnya sejak dulu telah bersepakat dengan kerajaan Iblis dan
mereka mahu meniru atau menandingi istana dan kerajaan Nabi Sulaiman a.s dahulu
lalu mereka membina singahsana Kristal di atas air terutamanya di tengah
lautan. Jika kita melihatnya dengan mata kasar, tentunya mata tidak dapat
melihat istana golongan mereka di atas lautan yang dimaksudkan.
Sebab
itulah, di dunia ini terdapat tiga tempat yang dianggap misteri, luar biasa dan
ganjil malah kesemuanya tidak terjangkau oleh akal jika tidak memiliki atau
mendalami ilmu tentangnya. Misalnya kawasan misteri dan ganjil yang dimaksudkan
memang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, malah kadang-kadang ilmu
kebatinan dan kerohanian kadang-kadang tidak dapat menjangkau ke daerah itu kecuali yang
bertaraf musawwir dan murabi.
Misalnya
kawasan luar biasa, misteri dan ganjil yang dimaksudkan dikenali sebagai
Segitiga Bermuda (Bermuda Triangle), Segitiga Formosa (Formosa Triangle) dan
Segitiga Maselambo. Segitiga Bermuda terletak di barat laut Atlantik. Ia
meliputi Miami, Florida
dan Puerto Rico yang berdekatan dengan negara Cuba. Malah ada yang menyatakan
kawasan ini dikenali juga sebagai Teluk Mexico.
Manakala dua lagi segitiga terdapat di Asia seperti
Segitiga Formosa dan
Segitiga Masalembo yang terletak di Indonesia.
Segitiga Formosa dikenali juga sebagai
kembar Segitiga Bermuda. Formosa
adalah sebuah pulau yang terletak 145 km sebelah timur daratan China, yang dipisahkan oleh sebuah selat yang
disebut Selat Formosa.
Formosa adalah Cina
nasionalis yang lebih dikenal dengan nama Taiwan. Luas pulau ini sekitar
35.961 km persegi, dengan ibu kota Taipei. Formosa terkenal
karena posisinya yang terletak di tenggara sebuah segitiga yang dikenal dengan
nama “perigi syaitan” yang disitu terjadi peristiwa-peristiwa-peristiwa yang
menyangkut hilangnya kapal dan pesawat yang tak kalah misterinya dengan
peristiwa-peristiwa yang terjadi di Segitiga Bermuda.
Puncak atas segitiga Formosa terletak di Pulau Gilbert
di Laut Kuning. Daerah ini disebut dengan "Kuburan kapal dan Pesawat
Terbang". Sudut timur lautnya terletak di Pulau Wake, sedangkan sudut
tenggaranya terletak di Pulau Formosa.
Bukti-bukti Ilmiah menunjukan bahawa kawasan tersebut merupakan pertemuan
antara arus air hangat dengan air yang dingin. (Sumber: http://sudut-pandang-islam.blogspot.com)
Ketiga-tiga segitiga ini memang kelihatannya agak
tenang, tetapi penuh bergelora. Tempat-tempat berkenaan menjadi kesukaan
makhluk-makhluk syaitan, jin dan alien di bumi, malah ada yang mendakwa kawasan
terbabit juga berkampungnya kumpulan dajjal.
Peristiwa kehilangan beberapa kapal laut dan
pesawat yang melalui kawasan terbabit memang diketahui sejak dulu, namun
sebahagian masyarakat zaman moden ini tidak mempercayainya yang menganggapnya
sebagai “karut”. Begitu halnya dengan kehilangan pesawat Malaysia – MH370 juga ada kaitan
dengan kawasan terbabit. Pesawat ini dipercayai telah memasuki terowong di
Segitiga Formosa itu yang turut dikenali Terowong Masa atau kadang-kadang
dikenali juga Terowong Cahaya kerana apabila terdorong ke terowong berkenaan
tentunya tidak akan dapat keluar kerana tidak dapat menemui pintu keluar.
Pesawat canggih ciptaan manusia belum tentu dapat mengesan kehilangan pesawat
terbang atau kapal laut apabila terjerumus ke segitiga terowong tersebut. Hanya yang dapat mengeluarkan mangsa adalah
kalimah Allah seperti azan, syahadah, selawat dan doa.
Mungkin
iblis, jin dan syaitan dianggap hebat kerana dapat mendirikan kerajaan mereka,
mereka juga mampu mengucapkan syahadat, tetapi mereka tidak mampu untuk
menyebut “nur Muhammad”. Ini kerana, apabila mereka menyebutkan, hancur
leburlah mereka.
Sebab
itu, manusia jangan terlalu bangga dengan kehebatan dapat menciptakan senjata
dan pesawat tempur yang canggih tetapi hakikatnya tidak akan mampu menandingi
kehebatan senjata iblis dan syaitan kerana mereka memperolehi ilmu lebih 100
tahun dari ilmu yang diperolehi manusia.
Justeru,
adalah amat mustahil dan agak tidak munasabah pesawat Malaysia MH370 itu
terhempas di Lautan Hindi kerana dari awal lagi pesawat terbabit berlepas dari
KLIA, Kuala Lumpur ke Beijing jam 12.41 pagi membawa 227 penumpang dari 14
negara bersama 12 anak kapal dijadual mendarat di Beijing jam 6.30 pagi telah
terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang jam 2.40 pagi Sabtu.
Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan radar Pusat Kawalan Trafik Udara Vietnam yang
kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang.
Kerahan
mencari pesawat MAS MH370 termasuk kotak hitam di Lautan Hindi pastinya menemui
jalan buntu dan sia-sia kerana amat mustahil pesawat tersebut menjunam atau
terhempas di kawasan itu. Adalah lebih baik dan amat wajar aktiviti mencari
pesawat yang hilang itu ketika pesawat itu berlepas menghala arah laluan ke Beijing itu, salah satunya ialah di kawasan
Laut China Selatan dan Laut Kuning tersebut.
Peta dan kedudukan Laut China Selatan dan Laut Kuning.
Peta dan kedudukan Segitiga Formosa
Peta dan kedudukan Segitiga Bermuda.
Nota:
Penulis turut bermimpi, terdengar suara ramai seperti dalam kesulitan, kesakitan dan meminta tolong seperti dalam sebuah tempat terkurung pada 29.3.2014 (Sabtu) apabila terjaga dari tidur kira-kira jam 2.50 pagi sebelum menunaikan Solat Tahajjud (Qiamullail) yang lazimnya dilakukan Penulis setiap jam 3.00 pagi.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH