RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Khamis, 30 Januari 2014

Misteri Hutan Lipur Jeram Linang


MISTERI HUTAN LIPUR JERAM LINANG

MACHANG, KELANTAN:  JERAM LINANG adalah sebuah kawasan hutan lipur, rekreasi dan air terjun yang dianggap malah begitu terkenal di negeri Kelantan. Hutan lipur ini terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Sat, dalam jajahan Machang, Kelantan. Hutan lipur ini dikatakan ditemui, diteroka dan dibuka oleh moyang Paksu Mi (Paksu Mi adalah rakan Penulis yang kini menetap di Kota Bharu) pada tahun 1930 di mana ketika itu kawasan berkenaan masih belum mempunyai nama malah masih lagi dipenuhi hutan tebal dan pokok-pokok yang agak tinggi mendongak langit.

Beliaulah yang menebang dan menebas semak-samun dan pokok-pokok yang menghalang laluannya ketika mula meneroka kawasan tersebut. Moyang beliau dianggap seorang yang berani dan salah seorang peneroka hutan yang disegani kerana dalam usia berkenaan beliau sudah sanggup meredah hutan seorang diri semata-mata mencari kawasan baru untuk dibuka dan diberikan nama. Untuk datang ke sini pada ketika itu bukan calang-calang orang, kerana memang berlaku kejadian misteri ketika moyang Paksu Mi ingin membersihkan hutan di situ.

Ketika moyangnya itu mengambil peluang untuk berehat buat sementara waktu dari kepenatan, moyangnya itu menyandarkan tubuhnya pada sebatang pokok yang tumbuh di kawasan tersebut. Alat atau senjata yang digunakan untuk menebasnya ialah sebilah sabit (sadat) sahaja. Ketika moyangnya itu berehat, sabit tersebut dipacakkan di atas kepalanya di sebatang pokok tempat beliau bersandar itu. Dengan tidak disangka-sangka, pokok tersebut bergerak, mungkin sakit kerana senjata sabit itu terpacak pada lututnya. Mungkin pokok itu adalah makhluk halus yang dimaksudkan. Namun, disebabkan moyangnya itu seorang yang handal ketika berada di hutan, beliau tidak diapa-apakan sehinggalah aktiviti menebas kawasan itu selesai. Sudahnya kelihatanlah batu-batan yang agak besar dan air terjun yang memukau pandangan mengalir melalui jeram itu. Ketika itu, terjunan air terjunnya agak tinggi tidak sebagaimana hari ini yang agak perlahan.

Kolam air terjun yang terletak di bahagian bawah air terjun yang dimaksudkan sememangnya agak dalam, terdapat beberapa ekor ikan yang agak besar sentiasa berenang dalam kolam berkenaan. Sebahagian ikan berkenaan tidak kelihatan pada pandangan manusia, namun ikan-ikan berkenaan wujud dan hidup di dalam kolam yang dimaksudkan.


Ketika kali pertama Penulis menjejakkan kaki di dataran berbukit berhampiran dengan batu licin iaitu di kawasan kolam air terjun pada tahun 2007 dulu, Penulis pernah melihat serumpun pokok rendang berwarna unggu yang agak cantik tumbuh betul-betul di perdu sebatang pokok di kawasan itu. Tetapi apabila Penulis melihatnya buat kali kedua, didapati rumpunan pokok yang dimaksudkan ghaib (hilang) dari pandangan. Ini bermakna, kawasan terbabit memang segar sebagai kawasan milik makhluk halus di jeram itu yang tidak dapat dilihat oleh mata kita.

Walau bagaimanapun, kejadian misteri tidak habis setakat itu sahaja. Ini kerana, beberapa kejadian misteri mangsa lemas di kawasan kolam air terjun itu kerap dilaporkan dalam akhbar-akhbar tempatan. Kejadian misteri yang begitu ketara berlaku sejak tahun 2012, juga dikaitkan dengan kejadian lemas dan kematian mangsa di kawasan kolam air terjun Hutan Lipur Jeram Linang itu.

Manakala kejadian terbaru berlaku pada 25 Januari, 2014 lalu apabila dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Machang, Ahmad Izaat Zakaria, 19, dari Kampung Atas Banggol, Kota Bharu dan rakannya, Wan Khairul Ariffin Abdullah, 19, dari Kampung Durian Rendang, Ketereh juga mangsa di kawasan terbabit. Walaupun di kawasan kolam serta air terjun berkenaan telah dipasang papan tanda dilarang mandi-manda di kawasan “Kolam Air Terjun” berkenaan malah risiko berkenaan ditanggung sendiri oleh mangsa, namun kejadian mangsa lemas sering dilaporkan terjadi di kawasan tersebut. Mengapa jadi begitu?

Bukan ingin menyalahkan sesiapa di atas kejadian itu, tetapi apabila berada kawasan yang sunyi dan tersembunyi khususnya di kawasan bukit, gunung mahupun lata atau jeram, kita perlu beringat kawasan terbabit dihuni oleh makhluk halus dari bangsa “jin”. Makhluk ini juga sebagaimana manusia, boleh menjelma dalam bentuk dan rupa manusia, boleh menyusup masuk ke dalam tubuh, darah dan otak manusia, boleh juga menyakat atau mengganggu manusia apabila koloni dan tempat penginapan atau perkampungan mereka telah diganggu.

Maksud “ganggu” adalah merujuk kepada perbuatan atau sikap manusia yang tidak dapat melihat mereka sedangkan makhluk halus terbabit dapat melihat manusia dengan jelas. Berikutan itu, apabila manusia bersikap lepas tangan dengan menjadikan kawasan berkenaan menjadi kotor bagi pandangan mereka seperti ada manusia yang duduk berdua-duaan tanpa ikatan “pernikahan” seperti melakukan maksiat, berpelukan atau berbogel di kawasan dimaksudkan, dalam keadaan tertentu mangsa pasti disakat untuk tujuan menghalau pelaku dari melakukan perkara yang tidak senonoh di kawasan itu.

Manusia tidak dapat melihat atau tidak nampak makhluk berkenaan dengan mata kasar, sebab itulah mangsa melakukan hal-hal yang tidak senonoh dan kotor di situ. Makhluk halus yang menghalau mangsa mungkin dari jin Islam. Kalau jin bukan Islam menetap di situ, sudah tentu mangsa mendapat kecelakaan atau sebagainya kerana mereka akan masuk ke dalam tubuh manusia sehingga natijahnya (histeria) akan dialami pula oleh orang lain apabila cuba menolong mangsa, malah jin dalam ketegori ini juga boleh melahap manusia jika mereka mahu.

Selain itu, disebabkan manusia juga tidak nampak tempat berkenaan sebagai kolam atau taman biru (merujuk kepada cantik) milik makhluk itu, ada di kalangan manusia yang cuba membuat angkara seperti menyentuh beberapa batu aneh atau haiwan peliharaan milik mereka, mencemarkan kolam atau taman, memegang benda-benda aneh seperti ikan aneh atau sebagainya malah membuat bising di kawasan itu juga pastinya mangsa akan ditimpa petaka. Ini kerana, makhluk halus sudah cuba sedaya upaya untuk menjauhkan koloni mereka dari manusia kerana mereka juga berhati perut untuk tidak memberi ancaman terhadap manusia. Tetapi disebabkan manusia sendiri yang lalai kerana tabiat dan perilaku manusia menyebabkan mereka tidak cuba berhati-hati apabila berada di kawasan seperti itu.

Walaupun kawasan berkenaan berada di dalam negeri dan negara kita, tetapi kita sebenarnya berkongsi alam dengan mereka. Sebagai manusia, kita jangan fikir bahawa alam ini hak kita semata-mata tetapi makhluk halus juga adalah makhluk Allah yang perlukan makan minum, tempat tinggal, tidur, beranak-pinak malah mempunyai keluarga dan tidak ingin diganggu. Kalaulah manusia sentiasa berwaspada dan sentiasa faham dengan hal berkenaan, jika penempatan dan keluarga kita diganggu, begitulah juga makhluk halus tidak ingin diganggu sebagaimana manusia.

Kolam air terjun yang terletak di bahagian bawah air terjun yang dimaksudkan sememangnya agak dalam, terdapat beberapa ekor ikan yang agak besar sentiasa berenang dalam kolam berkenaan. Sebahagian ikan berkenaan tidak kelihatan pada pandangan mata kasar manusia, namun ikan-ikan berkenaan wujud dan hidup di dalam kolam yang dimaksudkan.

Manakala sebuah tempat di bahagian atas kolam berkenaan adalah tempat makhluk halus itu berkawal. Mereka sentiasa berada di situ malah sentiasa memerhatikan ke bawah iaitu ke kolam yang dimaksudkan. Buktinya, ketika Penulis bersama keluarga berkelah dan mandi-mandi di kawasan kolam berkenaan pada 17 Oktober, 2013 lalu, dari awal lagi Penulis melihat seorang makhluk halus sedang berdiri di kawasan yang dimaksudkan. Penulis berpura-pura mandi sebenarnya untuk melihat ke arah makhluk terbabit. Melihatkan paras rupa makhluk halus itu seperti sudah berusia dan Penulis percaya di tempat makhluk halus itu berdiri berhampiran dengan sebuah gua yang terselindung dari pandangan umum terletak di sebelah hadapan.

Dalam hubungan ini, untuk mengelakkan korban yang terlalu ramai ketika mandi-mandi di kawasan kolam terbabit, pengunjung dinasihatkan supaya tidak membuat bising atau bercakap perkara yang mengarut dan mencarut malah terlalu gembira sehingga tidak sedar dan lalai. Ini kerana, apabila kita mandi jam 10.00 pagi (di alam manusia) tetapi di alam mereka ketika itu sudah larut malam. Mungkinkah mereka sudah melelapkan mata yang menyebabkan mereka terganggu oleh bunyi bising suara manusia? Jika begitu, siapakah yang harus dipersalahkan?


Pintu gerbang Hutan Lipur Jeram Linang.
Kolam air terjun (anak panah), kawasan kolam ini agak dalam airnya (terdapat ikan yang boleh dilihat dan ikan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar).
Di sinilah (dalam bulatan merah) iaitu atas kolam air terjun, Penulis melihat makhluk halus lelaki sedang memerhatikan remaja sedang mandi pada 17.10.2013 (ketika rakaman foto tarikh tersebut).


Air mengalir dari Kolam Air Terjun.
Papan tanda larangan dan amaran mandi-manda di kawasan "Kolam Air Terjun".

Keratan akhbar Sinar Harian edisi Kelantan, 26 Januari, 2014.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 20 Januari 2014

Misteri Gadis Penumpang


MISTERI GADIS PENUMPANG

JERTEH, TERENGGANU:  BUKIT BAUK yang terletak dalam daerah Dungun, Terengganu pada masa dulu adalah sebuah bukit yang masih diselubungi hutan yang didakwa oleh kebanyakan pemandu-pemandu kenderaan sebagai tempat yang berpuaka dan sering mengusik. Seringkali pemandu kenderaan yang melalui bukit tersebut pasti akan terserempak dengan pelbagai jelmaan makhluk halus dalam rupa paras manusia.

Bahkan pernah juga dikatakan bukit berkenaan adalah penempatan makhluk halus sejak dulu dan bagi segelintir pemandu yang sering berulang alik, apabila melintasi bukit berkenaan mereka akan memperlahankan pemanduan kerana bimbang terserempak dengan jelmaan lembaga yang dimaksudkan, sering terjadi ialah lembaga perempuan yang sedang memangku anaknya akan sering melintasi laluan itu.

Salah seorang yang mengalami kejadian di Bukit Bauk, Wan Azhar Wan Muhammad, 45, dari Seberang Jerteh, Jerteh, Terengganu ketika ditemui Wartawan RELATIF berkata, beliau turut mengalami kejadian yang dimaksudkan di bukit itu ketika bersama seorang rakannya yang ingin ke Kuala Lumpur untuk tujuan membeli kenderaan yang dihajatkan.

Katanya, setelah pulang dari Kuala Lumpur, rakannya itu menguji keupayaan kereta yang baru dibeli itu dengan memandu agak laju. Dia yang turut bersama dalam kenderaan berkenaan cuba mengimbangkan tempat duduknya sambil melihat di kiri kanan jalan, ternyata kenderaan yang dipandu itu sedang memasuki dan akan melalui Bukit Bauk itu.

Menurut Azhar, beliau yang sering kali memandu kenderaan ketika memasuki dan melintasi Bukit Bauk itu sentiasa berhati-hati kerana bimbang dengan sesuatu kejadian yang tidak diingini. Dalam keadaan corak pemanduan yang dianggap terlalu laju itu, beliau menasihatkan rakannya itu supaya memperlahankan kenderaan dan berhati-hati tetapi rakannya itu tidak mempedulikan amarannya sebaliknya beliau diminta bersedia di tempat duduk saja. Melihatkan keadaan sikap rakannya itu yang tidak mengendahkan permintaannya supaya memperlahankan kenderaan yang dipandunya, beliau akan menceritakan apakah misterinya Bukit Bauk itu nanti. Namun, rakannya itu masih dengan sikapnya dengan mendakwa kawasan bukit itu memang sesuai sebagai tempat memandu dan memotong secara laju.

Akhirnya, setelah melintasi beberapa meter dari kawasan Bukit Bauk di mana jalannya masih dalam kawasan bukit itu, beliau bangun dari kerusi yang didudukinya dalam kereta itu kerana ingin menceritakan rahsia bukit itu kepada rakannya itu. Belum pun sempat beliau cuba membuka rahsia dan misteri bukit berkenaan, dengan tiba-tiba beliau terlihat makhluk terbabit berdiri di tepi jalan. Makhluk yang dapat dilihatnya itu memakai “semutar”, sementara bajunya berwarna coklat dan kain sarung seperti seorang ingin ke laut, manakala matanya sebesar biji saga berwarna merah sedang memandang tepat ke arah wajahnya.

Katanya, wajah makhluk halus bermata merah itu menggerutu seperti kulit biawak. Melihatkan pandangan makhluk halus itu terhadapnya, Azhar membatalkan niatnya untuk menceritakan misteri bukit itu, rakannya itu tiba-tiba berpaling ke arahnya secara mengejut dan luar biasa.

Tujuan beliau ingin menceritakan situasi dan rahsia di Bukit Bauk adalah supaya rakannya itu tidak memandu laju berikutan sering kali pemandu kenderaan yang melalui kawasan terbabit bertembung dengan makhluk perempuan sedang memangku anaknya di persekitaran Bukit Bauk itu. Jika memandu terlalu laju akan menjadikan corak pemanduan kita lalai dan apabila makhluk yang memangku anak itu muncul serta merta, sudah tentu pemandu kenderaan tidak akan dapat mengelak, jadi jika tidak dapat mengelak pastinya melanggar perempuan tersebut ataupun terbabas. Justeru, hal itulah yang ingin dimaklumkan kepada rakannya itu dan beliau tidak ingin kejadian itu berlaku kepada mereka berdua.

Menurut Azhar, beliau juga turut diberitahu oleh seorang guru yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan yang datang ke kedai mekanik miliknya itu kerana melawat seorang rakannya yang mengalami nahas jalan raya. Ketika kejadian, beliau baru pulang dari Kuantan, Pahang kerana berkursus. Dalam perjalanan pulang itu, beliau memandu melalui Bukit Bauk itu.

“Katanya, dalam jarak beberapa meter ketika beliau sedang memandu itu, pandangannya tertumpu kepada sebuah teksi penumpang (kereta sewa) yang sedang parkir di tepi Bukit Bauk itu. Apa yang dilihat olehnya ialah bahagian belakang kereta penumpang itu didapati terbuka.

“Dengan tidak sangka-sangka pemandu kereta penumpang itu menahan kereta yang dipandunya. Tanpa mencurigakan hal-hal yang lain, beliau memberhentikan kenderaannya bersebelahan dengan kereta penumpang itu lalu bertanya tentang masalah yang dihadapi mereka di situ.

“Kata pemandu kereta itu, dia ingin menumpangkan seorang gadis yang ingin balik ke Kota Bharu. Pemandu itu tidak dapat menghantarkan gadis berkenaan kerana terpaksa menghantar penumpang yang ada dalam kenderaannya itu ke tempat lain”, katanya kepada Wartawan RELATIF.  

Mendengarkan masalah yang dihadapi oleh pemandu kereta penumpang itu, beliau sanggup menumpangkan dan menghantarkan gadis berkenaan ke rumahnya apatah lagi beliau juga ingin pulang ke Kelantan iaitu di Pasir Mas.

Katanya, gadis terbabit kemudiannya menumpang kenderaan guru itu lalu melabuhkan dirinya di bahagian belakang kenderaan tersebut. Selepas melintasi kawasan Bukit Bauk itu, dia memberhentikan kenderaannya di salah sebuah warung kopi di tepi laluan berkenaan untuk membasahkan tekak (minum air) disebabkan terlalu mengantuk di mana ketika itu jam menunjukkan jam 2.00 pagi. Beliau mempelawa gadis tersebut singgah untuk hal yang sama, namun gadis tersebut menolaknya. Guru itu memberitahu, apabila ditanya sepatah, gadis itu menjawab sepatah perkataan dan tidak lebih dari itu. Setelah selesai menikmati minuman di warung berkenaan, beliau masuk ke dalam kenderaan untuk menyambung perjalanan.

Setelah agak lama memandu sejak dari Bukit Bauk dan tiba di laluan Kota Bharu, beliau bertanya gadis tersebut ke manakah destinasi yang hendak dituju kerana beliau berhasrat untuk menghantarkan ke rumah gadis tersebut disebabkan hari sudah larut malam. Gadis itu memberitahu bahawa beliau ingin ke Batu 2, Jalan Bunut Payong, Kota Bharu iaitu selepas melintasi sebuah Jambatan Bunut Payong itu.

Dalam keadaan malam yang semakin larut itu beliau cuba mencari laluan yang dimaksudkan untuk tujuan menghantarkan gadis tersebut ke rumah yang dimaksudkan. Dalam beberapa detik, beliau tiba di rumah gadis tersebut lalu ditunjukkan oleh gadis berkenaan bahawa itulah rumahnya sebagaimana yang dimaksudkan. Beliau melihat rumah gadis tersebut terang benderang dengan cahaya lampu yang terpasang dan dilihatnya ramai yang hadir di rumah gadis tersebut seperti majlis kenduri dan turut dilihatnya juga banyak kenderaan diparkir di hadapan rumah gadis tersebut.

Disebabkan penghuni di rumah gadis tersebut agak terlalu ramai, jadi dia tidak ingin keluar dari kenderaannya dan tidak berhasrat untuk singgah di rumah gadis tersebut walaupun dipelawa oleh gadis itu kerana beliau mahu pulang cepat ke rumahnya di Pasir Mas. Beliau hanya menurunkan gadis berkenaan di sebatang lorong menghala ke rumah gadis itu sahaja yang dianggapkannya selamat apatah lagi melihat keadaan rumah berkenaan mempunyai penghuninya. Kemudiannya, gadis itu memberitahu bahawa rumahnya itu sedang mengadakan “kenduri arwah” dan “majlis tahlil”, jadi kalau ada masa datanglah ke rumahnya pada bila-bila masa sahaja (pelawa gadis) itu.

Akhirnya dia meninggalkan gadis tersebut di sebatang jalan ke rumah gadis berkenaan lalu terus memandu ke rumahnya. Pada malam esoknya, sengaja beliau ingin jalan-jalan lalu berhasrat ke rumah gadis yang mempelawanya pada malam semalam disebabkan beliau juga tidak ada hal yang ingin dilakukannya di rumah. Setibanya di rumah gadis itu di Batu 2, Jalan Bunut Payong, Kota Bharu beliau melihat ramai tetamu di rumah gadis itu diadakan majlis tahlil, untuk siapa majlis itu beliau tidak tahu dan tidak bertanya.

Setelah duduk di suatu ruang di rumah gadis berkenaan, semua yang hadir dalam majlis tahlil di rumah gadis itu pada malam berkenaan tertumpu memandang ke arahnya. Hal berkenaan menyebabkan beliau berasa segan dan malu seolah-olah orang asing dan mengganggu majlis berkenaan. Apatah lagi, gerak hatinya seolah-olah memberitahu dia tidak dijemput untuk ke rumah itu dan kalau ada yang menjemputnya, siapakah gerangannya. Justeru, melihatkan keadaan itu beliau agak tidak tergamak untuk menjamah dan menikmati makanan yang dihidangkan, lalu beliau melangkah turun dari rumah itu untuk menghilangkan rasa malu yang dialaminya sebentar tadi itu. Pada masa itu, beliau cuba ingin memberitahu tuan rumah kenapa beliau boleh hadir di rumah berkenaan pada masa itu adalah atas jemputan gadis yang ditumpangkannya malam semalam.

“Oleh kerana dia berasa malu dengan tetamu yang hadir itu agak ramai dan melihat ke arahnya, dia pun melangkah turun dari rumah itu perlahan-lahan.

“Setelah kedua-dua kakinya berpijak ke tanah, dilihatnya orang ramai yang sedang menikmati hidangan dalam rumah itu termasuk gadis yang mempelawanya datang ke kenduri arwah di rumah berkenaan tiba-tiba hilang (ghaib)”, ujarnya.

Tambah Azhar, terkejut dengan kejadian itu, beliau mencari pemilik rumah yang akhirnya disapa oleh tuan rumah terbabit iaitu seorang lelaki separuh usia yang dipanggilnya sebagai “pakcik”. Dia menceritakan hal gadis yang ditumpangkannya dari Bukit Bauk, Dungun, Terengganu untuk dihantarkan pulang ke Jalan Bunut Payong, Kota Bharu dan dia hadir pada malam berkenaan kerana dipelawa oleh gadis terbabit sempena majlis tahlil dan kenduri arwah.

Katanya, pakcik itu merenung ke arahnya lalu memberitahu, gadis yang dimaksudkan itu adalah anaknya seorang jururawat yang telah meninggal beberapa tahun lalu akibat nahas jalan raya di bukit tersebut. Pakcik yang dimaksudkan itu bergegas memperlihatkan kepadanya album foto anak gadis yang dimaksudkan itu. Pakcik itu berkata, dia tidak pasti dengan kejadian majlis kenduri sebagaimana yang dilihat oleh guru tersebut sama ada jelmaan jin atau jelmaan rohnya pada ketika itu yang memperlihatkan wajah makhluk itu sebagai anak gadisnya. Pakcik terbabit turut menunjukkan pusara anaknya yang telah dikebumikan berhampiran rumahnya itu.

Menurut Azhar sebagaimana yang diceritakan oleh guru terbabit kepadanya menyatakan, beliau percaya sebuah kereta sewa yang diparkir di tepi Bukit Bauk yang dilihatnya tempat barangan terbuka, wajah pemandu kereta terbabit yang menahannya untuk menumpangkan gadis dan juga gadis yang ditumpangkan dalam keretanya adalah jelmaan makluk halus semata-mata yang sengaja ingin memperdayanya dan bukannya manusia sebagaimana yang dilihatnya. Menurut Azhar, guru terbabit yang menjadi mangsa permainan makhluk terbabit agak malu dengan tuan rumah kerana tuan rumah tidak pernah mempelawanya ke rumah terbabit pada malam berkenaan.  

Kata Azhar lagi, guru tersebut kemudiannya perasan bahawa gadis yang ditumpangkannya sejak dari Bukit Bauk ke Kota Bharu itu adalah makhluk halus yang menjelma seperti manusia. Malahan majlis tahlil dan kenduri arwah sebagaimana yang beliau hadir pada malam terbabit tidak wujud dan sejak itu beliau mula berhati-hati.

Inilah permainan makhluk halus yang sengaja ingin menjadikan orang yang lemah sebagai mangsanya. Justeru, berhati-hatilah apabila memandu di kawasan agak luar biasa dan di kawasan yang jarang dilalui atau dikenali kerana sesuatu yang pasti berlaku adalah gangguan dan jelmaan makhluk yang tidak disangka apatah lagi jika jelmaannya dalam rupa manusia. Jika memandu laju, natijahnya adalah terbabas dan berlakunya nahas.
Wan Azhar Wan Muhammad.

Wan Azhar ketika menceritakan kejadian misteri Bukit Bauk itu kepada Wartawan RELATIF.


Mungkin di lorong inilah mangsa diperdaya oleh gadis penumpang itu tentang majlis kenduri dan
arwah yang tidak wujud sebagaimana yang dimaksudkan. Sebelah belakang premis ini adalah
tanah perkuburan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 10 Januari 2014

Misteri Gua Ikan


MISTERI GUA IKAN


KUALA KRAI, KELANTAN:  MAKHLUK halus khususnya jin memang sukakan tempat yang sunyi, bebas dari bunyi bising serta pelbagai gangguan lain. Sebab itulah mereka menghuni kawasan-kawasan terpencil dan jauh dari manusia seperti di hutan, bukit-bukau, gua-gua, gunung-ganang, kawasan lembah, sungai dan tasik-tasik. Kejadian gangguan yang dialami oleh manusia disebabkan oleh sikap manusia sendiri yang mengganggu mereka dan menceroboh penempatan mereka, menyebabkan makhluk halus bertindak membalas dendam.

Begitu halnya tentang kejadian misteri di Gua Ikan yang sering berlaku sejak tahun 1970 dulu malah keadaannya semakin menjadi-jadi sejak pembukaan rasmi Taman Rekreasi Gua Ikan pada tahun 2006 sehingga hari ini untuk memberikan gambaran bahawa makhluk halus ingin hidup tenang dan bebas dari gangguan, hanya manusia yang tidak berhati perut tetapi suka menimbulkan angkara yang sentiasa mengancam kehidupan makhluk berkenaan. Apabila makhluk halus membalas dendam, manusia juga yang menderita dan sentiasa di dalam kesusahan.

Seorang penduduk yang ditemui Wartawan RELATIF, Zakaria bin Mohamed, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Da Soh dari Kampung Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan berkata, kejadian kedua misteri di Gua Ikan itu berlaku pada tahun 2011 yang dialami oleh rakannya bersama dua sahabatnya yang lain yang juga bekerja sebagai buruh menurap batu jalan untuk tujuan pembinaan jalan raya di kawasan laluan umum Gua Ikan itu.

Katanya, rakannya itu berhasrat untuk menjadikan surau yang dibina oleh pihak Majlis Daerah Dabong (MDD) di Taman Rekreasi Gua Ikan itu sebagai tempatnya untuk menumpang tidur bersama dua lagi rakanya, lalu meminta izin daripada Pak Da Soh. Beritahu Pak Da Soh, kalau sekadar untuk dijadikan tempat tumpang berteduh memang tidak menjadi masalah kerana kemudahan berkenaan memang dijadikan dan disediakan oleh pihak kerajaan sebagai suatu kemudahan kepada orang ramai. Namun, Pak Da Soh meminta segala barangan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu yang masih ada di situ tidak diusik, tetapi sekadar untuk melihatnya tidak menjadi masalah.

Setelah mendapat izin daripada Pak Da Soh, ketiga-tiga pekerja buruh tersebut kemudiannya menumpang tidur dan bermalam di surau itu. Namun, dengan tidak disangka-sangka, berlaku kejadian luar biasa yang menimpa ketiga-tiga mereka, salah satunya mungkin disebabkan keceluparan mulut dan tutur kata mereka memburuk-burukkan taman rekreasi itu tentunya telah didengari oleh makhluk halus yang sering mundar-mandir di malam gelap di taman itu tanpa disedari oleh mereka.

Ketika ketiga-tiganya asyik berborak dengan menghamburkan kata-kata nista dan kesat terhadap taman rekreasi itu, tanpa disedari oleh mereka bertiga jam telah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Dalam sekelip mata, ketiga-tiga mereka melihat ketiga-tiga tangan panjang sedang menghulurkannya di balik cermin tingkap surau itu.

Tambah Pak Da Soh, jelmaan makhluk halus yang menyakat ketiga-tiga mangsa pada pagi itu adalah seorang wanita yang dikatakan agak cantik berpakaian serba putih, manakala bentuk fizikalnya seperti manusia. Sambung Pak Da Soh, ketika ketiga-tiga pergelangan tangan dihulurkan masuk melalui cermin tingkap surau yang dihuni oleh ketiga-tiga mangsa, mangsa memang nampak dengan jelas dari arah cermin tingkap yang terbuka susuk tubuh lembaga wanita terbabit. Tetapi apabila mereka keluar dari surau itu sambil menggenggam lampu suluh untuk meninjau sambil melihat gerangan lembaga yang dimaksudkan, lembaga itu tiba-tiba ghaib.

Melihatkan situasi berkenaan seolah-olah lembaga berkenaan ingin mempermainkan dan mencabar ketiga-tiga mangsa terbabit, sebab apabila jarak mereka jauh lembaga berkenaan menunjukkan rupa dan diri di sebalik cermin tingkap yang terbuka itu. Tetapi apabila mereka keluar dari surau untuk melihat batang tubuh lembaga terbabit, lembaga itu ghaib pula.

Geram dengan permainan lembaga wanita itu, salah seorang mangsa cuba mencabar lembaga tersebut dengan menyatakan jangan cuba menyakat mereka, sebab mereka tidak takut kepada cabaran lembaga tersebut. Lalu ketiga-tiga mangsa kembali masuk ke dalam surau itu. Selang dua minit, dengan tiba-tiba lembaga wanita misteri itu menangis sambil menekup wajahnya dekat kenderaan Hilux milik mangsa.

"Tak usah menangis, kalau kamu nak datang ke surau ini, kamu datanglah", Pak Da Soh cuba mengajuk kata-kata salah seorang mangsa yang seolah-olah cuba mencabar makhluk halus pada pagi itu.

Dakwa Pak Da Soh, mungkin sikap geram lembaga itu terhadap cabaran yang dimajukan oleh seorang mangsa, lembaga wanita berkenaan kemudiannya menghentak dan memukul kenderaan Hilux mangsa dengan kuat. Walaupun kenderaan mangsa dipukul agak kuat dan bunyi menggegar suasana di Taman Rekreasi Gua Ikan pada pagi itu, kenderaannya tidaklah kelihatan kemek atau remuk tetapi sekadar bergoyang sahaja.

Mangsa yang naik marah dan geram dengan sikap biadap lembaga itu yang menghentak kenderaan Hiluxnya itu, dengan pantas berlari keluar dari surau terbabit seraya menyuluh dengan lampu suluhnya ke arah lembaga wanita itu. Mereka cuba menerpa ke arah lembaga wanita yang sedang naik angin itu, tetapi dengan tidak disangka-sangka mereka seperti dihalang atau ditolak secara ghaib, mereka seolah-olah tidak berdaya untuk melawan atau cuba bergerak ke hadapan yang juga seolah-olah badan mereka menjadi berat.

Dakwa ketiga-tiga mangsa, ketika kejadian itu, penglihatan mereka tidak lagi dapat melihat lembaga wanita yang sedang naik angin itu. Apa yang diberitahu oleh mangsa kepada Pak Da Soh, ketika lembaga wanita itu menghentak kenderaan Hiluxnya didapati kenderaannya itu bergoyang ke kiri dan kanan seperti akan terbalik.

"Ketika situasi itulah, sebagai seorang Islam mereka bertiga berdoa dan membaca beberapa potong ayat Al-Quran yang memotong halangan itu sehingga mereka dapat maju ke hadapan dan dapat naik ke atas kenderaan Hiluxnya lalu mereka bergegas ke rumah Pak Da.

"Apabila mereka sampai di rumah Pak Da, mereka kata Pak Da dan Pak Ku Li tiada di rumah, untuk menggambarkan mangsa tidak dapat melihat Pak Da dan Pak Ku Li", ujar Pak Da Soh.

Sambung Pak Da Soh, disebabkan terlalu kecewa dalam keadaan cemas itu apatah lagi melihatkan Pak Da Soh dan Pak Ku Li tiada di rumah untuk meminta bantuan yang diperlukan, mereka bertiga kemudiannya beralih arah untuk tidur di sebuah tempat lain iaitu di sebatang cabang di Kampung Sungai Sam iaitu lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian.

Manakala pada awal pagi esoknya, mangsa menemui Pak Da Soh menyatakan pengalaman mereka pada jam 1.00 pagi itu bahawa selepas kejadian amukan lembaga wanita berkenaan, mereka terus bergegas ke rumah Pak Da Soh untuk meminta bantuan tentang hal terbabit, tetapi didapati Pak Da Soh tiada di rumah, lalu mereka tidur di Kampung Sungai Sam itu. Lantas dijawab oleh Pak Da Soh bahawa beliau dan Pak Ku Li ada di rumah pada masa itu, tetapi mungkin mereka tidak dapat melihatnya.

Tambah Pak Da Soh, ketika ketiga-tiga mangsa bergegas dari rumahnya untuk tinggal di sebuah tempat di Kampung Sungai Sam pula pada pukul 3.00 pagi itu, beliau beranggapan lembaga wanita itu mengekori mereka dari belakang untuk membuat gangguan di Kampung Sungai Sam pula. Lembaga itu memarahi ketiga-tiganya kerana mangsa meminta dengan lembaga itu suatu benda yang tidak masuk akal tetapi mangsa menolaknya, seolah-olah ingin mempermainkan makhluk halus itu.

Setelah Pak Da Soh menyoal mangsa berulang kali tentang rahsia sehingga mereka diperlakukan sedemikian, salah seorang mangsa memberitahu bahawa mereka meminta nombor ekor untuk "berjudi". Keceluparan sikap dan tutur kata mereka membuatkan Pak Da Soh menengking mereka kerana berkelakuan tidak senonoh dan sepatutnya mereka menjaga tingkah laku ketika berada di tempat-tempat begitu.

Justeru, amat jelas bahawa tutur kata yang tidak sopan dan bersikap tidak beradat bukan sahaja tidak disenangi oleh kalangan manusia, namun makhluk halus juga tidak menyukainya dan memandang mereka dengan jelek. Dengan demikian, berwaspadalah apabila berada di tempat yang asing, kerana di tempat terbabit sememangnya dihuni makhluk halus yang tidak dapat dilihat oleh penglihatan manusia. Pengalaman misteri mangsa di Gua Ikan patut dijadikan sebagai satu pengajaran untuk tidak dilakukan oleh orang lain pula.

Zakaria Mohamed atau Pak Da Soh di gerai makanan miliknya.

Papan tanda ke arah Gua Ikan.

Puncak Gua Ikan adalah perkampungan jin.


Muka Gua Ikan, tempat permainan makhluk halus dari bangsa jin.

Sungai dan batu ini adalah tempat makhluk halus perempuan itu bermain.

Tangan makhluk halus dihulurkan ke arah cermin tingkap surau ini.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 1 Januari 2014

Misteri Diusik Makhluk Halus


MISTERI DIUSIK MAKHLUK HALUS

JERTEH, TERENGGANU: KAWASAN yang masih belum diteroka dan terpencil memang telah menjadi kawasan dihuni pelbagai makhluk, selain haiwan, makhluk halus ternyata gemarkan kawasan-kawasan tersebut kerana dianggap bebas dari gangguan terutamanya dari manusia. Ini menunjukkan makhluk halus menjauhkan diri dan koloni mereka dari manusia supaya bebas dari gangguan berkenaan. Tetapi apabila manusia memulakan angkara, koloni mereka yang bertindak semata-mata untuk menyelamatkan keluarga dan koloni mereka itu.

Sebab itulah, individu yang masuk ke hutan mahupun ke bukit-bukau jika tidak membuat persediaan awal dari pelbagai kemungkinan, ada di kalangan mereka yang diganggu oleh makhluk ghaib itu. Apatah lagi, jika kawasan-kawasan yang tidak diketahui manusia sebagai tempat makhluk halus itu menghuni telah menyebabkan kawasan-kawasan berkenaan menjadi satu kawasan lapang tentunya menyakitkan golongan makhluk-makhluk berkenaan.

Kes-kes gangguan seumpama ini bukan lagi dianggap sebagai kes-kes terpencil, kerana jika manusia mengganggu penempatan makhluk terbabit, sudahnya manusia pula yang ditimpa celaka. Gangguan dan usikan pasti mencabar keberanian manusia yang dianggap sebagai penghuni baru di kawasan terbabit, malah jika manusia itu tetap dengan kesabarannya, mereka akan tetap berada di kawasan itu dan jika tidak pastinya akan cabut lari.

Pengalaman seumpama ini biasa terjadi apatah lagi kisah seorang pekerja ladang, Wan Azman Wan Mohammad, 54, dari Kampung Padang Luas, Jerteh, Terengganu ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu berkata, kejadian beliau diusik makhluk halus ketika bekerja di sebuah ladang ternakan lembu di Padang Hijau iaitu kira-kira 11 batu dari Pekan Kluang, Johor pada tahun 1975 dulu sememangnya kejadian yang tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini.

Beliau yang merupakan seorang Pegawai Veterinar, Bahagian Ternakan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Pasir Puteh, Kelantan berkata, ketika kejadian beliau ketika itu berusia 22 tahun (masih bujang) dan berada di salah sebuah rumah yang didudukinya seorang diri.

Katanya, kejadian itu berlaku pada malam hari raya aidilfitri iaitu sekitar jam 3.00 pagi. Rumah kakitangan ladang yang didudukinya itu berada di atas bukit. Hanya beliau seorang diri sahaja di rumah itu kerana rakan-rakannya yang lain telah pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut hari raya aidilfitri. Baginya yang masih seorang bujang, tidak perlulah beliau pulang kerana kalau pulang pun tiada kerja yang perlu dilakukannya di kampung, jadi biarlah beliau di rumah itu sahaja.

Dalam kejadian jam 3.00 pagi itu, beliau terdengar pintu rumahnya diketuk untuk menunjukkan ada tetamu pada pagi itu. Katanya, orang yang mengetuk pintu rumahnya itu memanggil namanya “Wan” sebanyak tiga kali. Di Padang Hijau itu, nama ringkas yang sering dipanggil oleh rakan-rakan dan kakitangan di situ kepadanya dengan panggilan “Wan” sahaja. Namun, panggilan tiga kali sebagaimana yang didengarinya agak jelas itu tidak disahutnya.

“Pada mulanya, saya mengamati suara panggilan itu adakah pemanggil berkenaan akan masuk ke dalam rumah saya, tetapi tidak nampak pun pemanggil terbabit yang masuk ke rumah saya.

“Dalam masa yang sama, saya pun agak hairan, siapakah yang memanggil nama saya sedangkan hanya saya seorang saja yang berada di rumah ladang itu”, katanya.

Pada keesokan harinya, beliau bertanya kakitangan unit lain yang bertugas di pejabat unit berkenaan, adakah kakitangan berkenaan yang datang ke rumahnya jam 3.00 pagi itu, namun mereka menafikannya. Apabila mengetahui jawapan tersebut, dia terus berfikir, siapakah yang datang menemuinya pagi-pagi buta itu. Sehingga sekarang ini pun, beliau masih berfikir tentang pengalamannya itu, siapakah yang datang ke rumahnya pada pagi tersebut. Dan jawapan untuk persoalan tersebut masih belum terjawab sehingga hari ini.

Katanya, keluasan ladang ternakan itu kira-kira 5,000 ekar. Jadi semua kakitangan di ladang berkenaan semuanya pulang ke kampung kecuali beliau dan kakitangan pejabat di unit yang lain tidak pulang ke kampung disebabkan pada masa itu beliau masih bujang lagi.

Menceritakan perihal ladang ternakan lembu itu, ladang berkenaan baharu dibuka kira-kira 1,000 ekar yang terletak di kawasan hutan dan berbukit. Jadi katanya, apabila kawasan hutan dan bukit dibina projek tentunya gangguan makhluk ghaib pastinya akan berlaku.

Ketika kejadian beliau diganggu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kira-kira jam 3.00 pagi itu, tidak timbul pun di fikirannya hal-hal yang mengarut dan tidak masuk akal sepertimana usikan yang dialaminya itu. Hanya yang difikirkannya ialah mungkin salah seorang mandur yang datang mencarinya di ladang itu. Apabila keesokannya, beliau memaklumkan hal berkenaan, namun mereka tidak mengaku pernah ke rumahnya di ladang tersebut pada pagi-pagi buta itu. Jadi, jelaslah baginya bahawa beliau telah diusik oleh makhluk halus pada pagi yang dimaksudkan.

Apabila ditanya, adakah beliau mengetahui di kawasan ladang berkenaan adalah kawasan penempatan makhluk ghaib itu, beliau menjelaskan kemungkinan itu ada sebab kawasan berkenaan masih dipenuhi hutan tebal dan berbukit pula. Apabila projek membangunkan ladang ternakan, pokok-pokok perlu ditebang dan bukit pula perlu ditarah untuk pembinaan prasarana seperti perumahan pekerja dan pejabat. Jadi, dalam hal usikan itu beliau tidak nafikan makhluk halus sememangnya ada di kawasan berkenaan kerana di situlah penempatannya asal mereka.

“Saya pernah mendengar bunyi seperti kuku mencakar dinding beberapa kali, jadi saya syaklah makhluk halus memang ada di kawasan ladang itu”, katanya menambah.

Menurutnya, berhubung dengan kejadian berkenaan beliau tidak pernah rasa tercabar diusik oleh makhluk itu, walaupun pernah mendengar suara memanggil namanya berulang kali sebanyak tiga kali. Pengalaman berkenaan dianggapnya sebagai sebahagian yang perlu dilalui untuk mengukur sejauh mana keberanian yang ada pada dirinya.

Justeru menurutnya, sebelum memulakan projek mewujudkan ladang ternakan lembu itu, tidak ada mana-mana pihak yang bercerita tentang kejadian sebagaimana yang dialaminya itu. Katanya, hutan berkenaan terletak kira-kira 11 batu dari pekan Kluang, Johor. Jadi, apabila mewujudkan ladang lazimnya akan wujud pelbagai gangguan yang tidak sepatutnya sebab sebelum ini kawasan berkenaan tidak pernah diteroka malah makhluk halus itu memang ada di mana-mana.

Wan Azman Wan Muhammad.

 Wan Azman ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Tulisan:
 AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM