RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Jumaat, 30 Ogos 2013

Misteri Gadis Pontianak


MISTERI GADIS PONTIANAK

TUMPAT, KELANTAN:  Jelmaan makhluk halus sering dialami oleh mangsa apabila mangsa dalam keadaan tertekan dan lemah semangat. Hal yang sering berlaku dan dialami ialah di kalangan pelajar dan graduan yang sedang dan akan menghadapi peperiksaan. Walaupun kejadian berkenaan tidak pernah dialami ketika dalam bilik pembelajaran, namun kejadian-kejadian gangguan misteri seumpamanya sering berlaku di asrama pelajar terbabit. Malah kadang-kadang ada pelajar yang mengalami kejadian histeria ketika mula-mula masuk ke pusat-pusat pembelajaran berkenaan. Apakah sebagai memaklumkan kepada setiap pelajar baru supaya berhati-hati untuk mengingatkan mereka bahawa makhluk halus ada di tempat itu?

Kejadian usikan dan gangguan terhadap pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi seperti universiti, kolej dan sebagainya bukanlah cerita dongengan. Ini kerana, kejadian ini pernah dialami oleh salah seorang anak sulong Siti Mariam binti Mamat, 51, atau lebih dikenali Kak Lah ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya di Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan ketika anak perempuannya itu menuntut di Kolej Matrikulasi Kuala Batas, Pulau Pinang.

“Kejadian ini berlaku ketika anak akak sedang studi di asrama dengan kawan-kawannya kerana akan menghadapi peperiksaan semester di kolejnya. Ketika itu, jam 1.00 pagi, semua kawan-kawannya bersurai untuk masuk tidur kerana terlalu mengantuk.

“Anak sulong akak ni masih meneruskan pembacaannya sampai selesai. Dengan tiba-tiba, seorang rakannya meminta anak akak menemankannya ke tandas. Katanya, dia takut ke tandas seorang diri.

“Jadi, tanpa berfikir hal yang lain, anak akak akur dengan permintaan rakannya itu. Anak akak hanya tunggu di luar tandas sahaja, sementara rakannya itu telah masuk ke dalam”, ujar Kak Lah.

Sambung Kak Lah lagi, anaknya agak hairan juga kerana mendapati rakannya itu agak terlalu lama masuk ke tandas terbabit. Dari luar tandas, anaknya bertanya adakah rakannya itu telah siap atau belum, lalu dijawab oleh rakan anaknya itu yang sedang berada dalam tandas ketika itu berkata bahawa beliau masih belum siap lagi. Keadaan demikian menyebabkan timbul sesuatu yang agak ganjil dari dalam benak anak sulongnya ketika itu, kerana terpaksa menunggu terlalu lama.

Disebabkan agak terlalu lama menunggu rakannya di luar tandas, anak sulongnya itu membuat keputusan untuk masuk ke tandas terbabit untuk tujuan melihat keadaan rakannya itu. Apabila anak sulongnya itu masuk ke dalam tandas terbabit, didapati tiada seorang pun di dalam tandas berkenaan termasuk rakan anaknya itu. Jadi, anak sulongnya itu berfikir sejenak dengan kejadian misteri itu, adakah benar yang masuk ke tandas itu rakannya atau siapa?

Menerangkan lebih lanjut tentang kisah berkenaan, sebenarnya agak ramai juga rakan-rakannya yang sedang studi bersama ketika itu. Tetapi apabila masing-masing terlalu mengantuk apatah lagi jam telah mencecah sehingga larut malam iaitu 1.00 pagi, jadi masing-masing ingin melelapkan mata kerana terlalu keletihan. Hanya anak sulongnya seorang sahaja yang masih belum mengantuk dan ingin meneruskan studi itu kerana akan menghadapi peperiksaan semester.

Apabila ditanya, tidakkah anak sulongnya mengetahui bentuk fizikal makhluk yang menjelma sebagai rakannya, anak sulongnya tidak memberitahunya. Beliau ada anaknya itu bahawa sesuatu yang menzahirkan diri dalam rupa manusia apatah lagi dalam rupa rakannya itu bukanlah rakannya yang sebenar tetapi jelmaan lembaga makhluk halus. Pada hematnya, rupa bentuk lembaga terbabit hampir sama tinggi dan sebaya dengan anaknya itu. Anaknya mungkin tidak terfikir ketika itu bahawa rakannya itu adalah lembaga yang menyamar sebagai rakan yang menetap bersama di asramanya ketika itu, jadi dia hanya turut sahaja sebagaimana yang diminta oleh rakannya itu.

Menurut Kak Lah, disebabkan terlalu lama menunggu rakannya masuk ke tandas, dia pun tidak puas hati lalu menjenguknya ke dalam tandas. Didapati tiada siapa pun dalam tandas terbabit. Akhirnya, timbul idea mungkin rakannya itu sudah masuk ke dalam bilik tidurnya. Lalu dia pun menjenguk ke bilik tidur di asrama itu. Rupa-rupanya rakannya itu telah tidur sejak jam 1.00 pagi itu lagi dan bukannya di tandas sebagaimana yang pernah dialaminya ketika itu. Apabila timbul hal yang sedemikian, baharulah dia terfikir siapa yang telah mengajaknya masuk ke tandas itu, baharulah anak sulongnya itu perasan. Apabila timbul hal yang sedemikian, mulalah hatinya berasa lain dan menggelabah.

“Setelah anak akak alami kejadian itu, tiba-tiba dia berasa tidak sihat dan ketika itu juga anak akak jatuh demam dan sakit kepala yang tidak dapat ditahan-tahan lagi sehingga berhari-hari.

“Ketika anak akak masuk ke kelas, dia seperti tidak ada semangat untuk belajar kerana sering teringatkan tentang kejadian dia ditegur lembaga perempuan yang menjelma seperti rakannya pada pagi itu”, ujar Kak Lah apabila ditanya tentang perubahan fizikal anak sulongnya apabila mengetahui yang disangka rakannya itu adalah jelmaan makhluk halus seperti yang dialaminya.

Kak Lah menambah, kejadian berkenaan dialami oleh anak sulongnya itu dalam tempoh sehari dua sahaja kerana anaknya itu pernah disarankan oleh neneknya supaya mengamalkan “Surah Tiga Qul” untuk menjauhkan gangguan jelmaan jin dan syaitan ketika bersendirian. Jadi, hal berkenaan habis setakat itu sahaja dan anaknya kemudiannya berkeadaan seperti sedia kala semula.

“Hanya sekali itu sahaja anak akak yang alaminya ketika menuntut di kolej itu. Ini setahu akak, anak akak itu memang seorang yang keras semangat dan tidak mudah mengalah kepada keadaan apatah lagi yang melibatkan gangguan makhluk halus seperti itu.

“Jadi, jika berlaku untuk kali keduanya, anak akak tidak melayaninya kerana pernah mengalaminya buat kali pertama dulu.

“Justeru, apabila anak sulong menghubungi akak selepas kejadian itu, dia beritahu memang dia lemah dan tidak sihat disebabkan tekanan untuk menghadapi peperiksaan. Jadi, akak sempat berpesan supaya jangan tinggalkan sembahyang, amalkan selalu membaca Surah Tiga Qul dan Surah Yassin sebagai pembenteng diri”, katanya.

Menceritakannya lebih lanjut tentang kejadian misteri di asrama kolej terbabit, kejadian yang hampir sama sebagaimana yang dialami oleh anaknya di kolej tersebut hampir tiga kali berlaku. Menurutnya, ada rakannya iaitu seorang pelajar lelaki yang memberitahunya, ketika beliau bersendirian jam 10.00 malam untuk menelefon ibunya di kampung dengan tiba-tiba ada lembaga menjelma di sebelahnya, jadi rakannya yang lelaki itu memberitahunya bahawa dirinya ketika itu terlalu takut disebabkan dia hanya seorang diri saja ketika itu.

Apabila ditanya, bentuk fizikal lembaga tersebut, beliau memberitahu bahawa, lembaga tersebut seorang perempuan yang berambut panjang malah berwajah hodoh dan dia agak mungkin pontianak jika melihat rupa parasnya itu. Anaknya pun tidak mengetahui punca kejadian jelmaan itu terhadap tapak kolej itu sebelum ini sama ada pernah berlaku kejadian bunuh atau mati terbunuh, maklumlah di kawasan pembinaan, tentunya ramai warga asing yang menetap di situ, sementelah pula kemungkinan juga wujudnya amalan khurafat seperti “ilmu hitam” dan sebagainya.

“Cuma apa yang pernah didengari oleh anak akak ialah semasa dia masuk ke kolej itu pernah berlaku kejadian histeria yang dialami oleh tiga orang pelajar perempuan ketika itu. Sering berlaku histeria ialah di kantin kolej tersebut” jelasnya.

Katanya, pelajar-pelajar perempuan yang pernah alami kejadian histeria pada ketika itu kini tidak lagi ambil kisah apabila berlaku kejadian yang seumpamanya selepas itu. Ini disebabkan, pihak warden asrama segera bertindak apabila berlakunya pelajar mengalami gangguan dari makhluk halus di kolej itu.

Manakala kejadian lain pula sebagaimana yang dimaklumkan oleh anak sulongnya itu ialah, pernah berlaku beberapa pelajar di kolej terbabit melihat kelibat lembaga yang melintas berhampiran cermin tingkap asrama yang dihuni pelajar-pelajar perempuan terbabit dalam keadaan mengilai. Malah kadang-kadang ada pelajar-pelajar yang berbual-bual kosong yang diselang-selai dengan hilai ketawa, dengan tiba-tiba lembaga perempuan itu melintas dan memotong hilai ketawa mereka seperti dalam keadaan seronok. Jadi, ketika itu juga pelajar-pelajar terbabit pastinya akan perasan dan mendengar hilaian lembaga terbabit. Akibatnya, mereka mendiamkan diri dan menamatkan perbualan serta-merta.

Siti Mariam binti Mamat atau Kak Lah.

Kak Lah ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Foto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM 

Selasa, 20 Ogos 2013

Perigi Disangka Terowong


PERIGI DISANGKA TEROWONG


TUMPAT, KELANTAN:  HEBOH satu Malaysia pada tahun 2012 lalu kononnya ada pihak telah menemui terowong yang dibina oleh pihak Jepun yang terletak di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, Kelantan. Disebabkan dakwaan itu, ramai pihak yang berkampung di kampung terbabit semata-mata ingin melihat terowong yang sesetengah pihak mendakwa terowong tersebut adalah laluan bawah tanah sehingga ke Tak Bai, Thailand. Tidak kurang pula yang mendakwa, terowong itu mengandungi khazanah bumi yang paling berharga, kalau tidak emas mungkin juga bijih besi. Malah tidak kurang juga yang memberikan saranan supaya pengunjung ke situ perlu berhati-hati kerana dibimbangi terdapatnya bom peninggalan zaman Jepun yang tidak meletup tetapi masih aktif.

Ketika Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim menjengah ke kampung terbabit pada 17 Ogos, 2013 lalu, salah seorang warga emas, Mohd. Nor Awang, 72, atau lebih dikenali sebagai Pak Nor yang merupakan penduduk jati kampung terbabit menafikan wujudnya terowong di kampung berkenaan ketika zaman Jepun itu. Katanya, dakwaan kononnya wujudnya terowong yang terletak berhampiran dengan landasan keretapi di Kampung Sungai Nyior itu adalah beberapa buah perigi milik Jepun semata-mata.

“Bukannya terowong, tetapi perigi yang dibina oleh pihak Jepun menggunakan tenaga pemuda-pemuda Melayu dari kampung ini”, katanya.

Tambahnya, salah satu punca empat buah perigi itu digali di kawasan itu disebabkan sejak awal lagi pihak Jepun telah pun membina penginapan (berek) pekerja di mana kesan tapak penginapan terbabit masih lagi wujud sehingga hari ini. Beliau mengetahui cerita ini disebabkan, ketika Jepun menjadikan kawasan berkenaan sebagai penginapan pekerja, beliau ketika itu masih kanak-kanak dalam lingkungan usia kira-kira 6 tahun yang menjadi penjaja kuih-kuih tradisional Kelantan kepada pihak Jepun.

Menurutnya lagi, di kawasan lapang berhampiran dengan perigi yang didakwa terowong itu adalah tempat longgokan bijih besi yang didatangkan dari lombong Bukit Besi yang terletak di Kampung Temangan Lama (kini Kampung Bukit Besi) dalam daerah Machang. Katanya, pembinaan perigi amat perlu bagi pihak Jepun untuk mendapatkan bekalan air yang disalurkan dari Sungai Palekbang. Adalah amat mustahil bekalan air dperolehi terus dari sungai berkenaan kerana dianggap jauh, justeru dengan pembinaan perigi tersebut dapatlah bekalan air diperolehi dengan mudah.

Pak Nor menambah, selain itu kampung itu juga amat tersohor di zaman Jepun apabila diwujudkan bengkel membaikpulih keretapi. Ini katanya, apabila keretapi mengalami kerosakan, akan dibawa ke tempat itu. Justeru, penggunaan air yang banyak amat diperlukan untuk tujuan mencuci peralatan yang kotor dan tercemar. Sebuah perigi besar selain tiga perigi lain di kawasan yang sama masih wujud sehingga hari ini yang terletak berhampiran dengan kediaman Pak Nor.

“Kawasan simpanan bijih besi di kawasan lapang itu dikenali sebagai “Pinako” dan boleh jadi juga dianggap sebagai bengkel keretapi Jepun”, katanya menambah.

Selepas beberapa dekad lamanya bijih besi yang dilonggok dan disimpan di kawasan lapang di kampung itu sehingga ketinggiannya mencecah pokok kelapa, akhirnya bijih besi yang dimaksudkan itu terus dibawa ke tempat memproses dan mencairkannya yang terletak di Jubakar Pantai untuk dibawa terus ke Negara Matahari Terbit itu, akhirnya kawasan lapang itu menjadi kosong.

“Perigi itu digali sebagai sumber air minuman pekerja-pekerja dan untuk bekalan ke penginapan pekerja itu. Jika perigi tidak disediakan, bagaimana bekalan air bersih dapat diambil?” ujarnya.

Kata Pak Nor, kesan pejabat atau bengkel membaikpulih keretapi tidak lagi wujud hari ini. Namun, tapak bangunan dan berek pekerja masih ada kesannya yang terletak berhampiran dengan perigi kedua, ketiga dan keempat. Manakala sebuah lagi perigi sebagai tempat mengisi minyak atau tapak minyak keretapi itu pula terletak berhampiran dengan Balai Polis Tumpat itu.

Pak Nor menambah, Jepun tidak mempunyai masa untuk membina terowong kalau berdasarkan kepada kelengkapan mereka di negara ini, berbanding di negara mereka. Katanya, Jepun hanya mampu menggali perigi itu lalu memasang beberapa batang paip dari Sungai Palekbang untuk digunakan di kawasan berkenaan (menyedut air sungai ke dalam perigi tersebut) sebagai “lubang nafas”.

Menurutnya lagi, ketika serangan Jepun di kampung terbabit, banyak bom digugurkan oleh tentera udara Jepun. Namun, sebiji bom yang digugurkan ketika itu menyebabkan landasan keretapi musnah. Malah didakwa dua biji bom yang digugurkan di kawasan sekitar Kampung Sungai Nyior itu didapati tidak meletup dan bom itu kemudiannya ditemui oleh beberapa penduduk dari kampung terbabit. Namun, dua bom itu kemudiannya diletupkan oleh pihak British setelah dilaporkan oleh penduduk-penduduk kampung kepada tentera British selepas pihak berkenaan mengambil alih dari tangan Jepun yang telah menyerah kalah pada tahun 1945.

Justeru, jelaslah empat buah perigi yang terdapat di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, Kelantan dan sebuah lagi di Tumpat bukanlah terowong sebagai laluan bawah tanah pihak Jepun. Sifat terowong sebenar ialah mendatar atau memanjang malah mempunyai tangga di dalamnya jika ia dibina secara menegak. Penulis difahamkan, dua daerah di negeri ini yang didakwa mempunyai terowong terletak di Kampung Bukit Besi (Temangan Lama, Machang) dan di Batu Melintang, Jeli, Kelantan.

Mohd. Nor bin Awang atau Pak Nor.

Pak Nor ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Perigi terawal dibina pihak Jepun di laluan ke kediaman Pak Nor.


Inilah perigi yang didakwa sebagai terowong.


Perigi ini terletak berdekatan dengan penginapan (berek) pekerja.

Tapak asal penginapan (berek) pekerja masih kekal sehingga hari ini.

Bijih besi dari Kampung Temangan Lama, Machang dilonggokkan di sini.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Sabtu, 10 Ogos 2013

Misteri Rumah Sewa Bermisteri


MISTERI RUMAH SEWA BERMISTERI

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Pada tahun 1970 dulu sebatang sebatang pokok celagi yang terletak di sebatang lorong yang dikenali Lorong Alabaladi, Jalan Kebakat dekat sini yang kini berhampiran dengan gelanggang futsal dikatakan sering menjadikan mangsanya gementar dan bertempiaran lari apabila makhluk halus yang menghuni di kawasan itu menyakat mangsa yang lalu lalang di situ. Mangsa yang disakat oleh makhluk halus itu menamakannya sebagai “hantu” disebabkan tidak kelihatan dengan mata kasar apabila cuba melihatnya.

Salah seorang anak jati kampung terbabit, Burahman Zakaria, 41, atau lebih dikenali sebagai Man berkata, ketika berlakunya hujan panas di sebelah petang yang turun di kawasan itu, pasti di sebelah malamnya ada orang yang menjadi mangsa disakat makhluk ghaib itu.

“Pada masa itu, sering berlaku mangsa disakat oleh makhluk ghaib yang melalui kawasan tersebut apabila hujan panas di turun di sebelah petangnya. Namun, mangsa tidak dapat melihat makhluk itu dengan mata kasar”, ujar Burahman ketika menceritakannya kepada Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi. 
     
Katanya, walaupun beliau tidak pernah melihat makhluk halus terbabit, namun dari apa yang diceritakan oleh mangsa amat jelas hantu tersebut memang wujud sejak dulu dan sering berkeliaran di kawasan terbabit pada malam hari. Malah beliau percaya, kawasan terbabit hingga ke kawasan gelanggang futsal itu adalah tempat tinggal asal makhluk yang digelarkan hantu itu. Bukan seorang dua yang pernah menjadi mangsa tetapi agak ramai juga terutamanya bagi yang suka menjadikan waktu malam sebagai aktiviti harian.

Selain itu menurut Burahman lagi, di kawasan rumah bapa saudaranya yang terletak di lorong terbabit terdapatnya pokok manggis yang pernah didakwa oleh orang-orang kampung terbabit terdapatnya “hantu beruk” (spesis monyet) atau orang-orang kampung memanggil hantu itu sebagai jelmaan hantu raya yang sering bertenggek di dahan pokok terbabit. Apabila tibanya musim buah, hantu beruk itu akan memetik buahnya lalu membaling ke arah orang yang lalu lalang dengan tujuan untuk menakut-nakutkan mangsanya.

“Sudah ramai mangsa yang dibaling oleh hantu beruk itu. Apabila dilihat, tidak ada makhluk di situ. Akhirnya mangsa lari lintang-pukang”, katanya.

Menurut Burahman, hantu beruk itu mengusik apabila menjelangnya waktu malam di antara jam 10.00 malam yang berakhir jam 4.00 pagi iaitu sebelum Subuh menjelma. Lazimya, setiap penyewa rumah yang lemah semangat pastinya akan sering diusik oleh lembaga yang menghuni di kawasan terbabit.

Kata Burahman, rumah bapa saudaranya yang pernah dijadikan sebagai rumah untuk disewa adalah sebuah rumah yang mengusik. Bukan sahaja berlaku di jalanan malah turut berlaku di persekitarannya, apatah lagi sering berlaku di dalam rumah berkenaan. Di antara usikan yang berlaku terutamanya di dalam rumah, jika ada gelas, gelas pasti akan terbang dengan sendiri, malah pernah terjadi terhadap seorang penyewa yang terlihat sekujur mayat, kadang-kadang berlaku kanak-kanak menangis. Kejadian ini pernah berlaku pada tahun 1970 dulu. Katanya, setiap kali penyewa masuk ke rumah itu, pastinya kejadian misteri itu berlaku seolah-olah tidak mengizinkan penyewa tinggal di dalam rumah itu.

“Biasanya, kebanyakan penyewa hanya kekal selama seminggu dan selepas itu terpaksa pindah kerana tidak tahan dengan gangguan di rumah tersebut.

“Kejadian berlaku ke atas seorang kontraktor berbangsa Cina yang bertugas untuk menyiapkan jalan baru dari bulatan Wakaf Baharu ke sebuah balai polis di situ perlu melalui jalan itu untuk dibaiki kerana mengalami kerosakan. Natijahnya kontraktor tersebut mendapat gangguan dari penghuni ghaib di kawasan tersebut”, jelas Burahman.

Setahu beliau, setakat ini kira-kira lapan keluarga yang menyewa di rumah tersebut mengalami kejadian misteri. Pernah terjadi gangguan terhadap keluarga seorang guru agama (ustaz) dari Terengganu apabila memasuki rumah sewa terbabit, anaknya mulai menjerit kerana dapat melihat lembaga yang menyeramkan dari dalam rumah tersebut.

“Abang kandung saya sendiri yang cuba tidur di rumah itu seorang diri pada suatu malam dengan tiba-tiba dilihatnya mayat bergelimpangan dengan banyaknya dalam rumah tersebut, berbanding dengan beliau yang belum pernah mengalami kejadian usikan sedemikian”, katanya ketika menceritakan pengalaman abangnya yang pernah tidur di rumah bapa saudaranya pada masa itu.

Menjelaskan tentang sejarah rumah itu, Burahman berkata, setahunya rumah tersebut pada masa dulu adalah tapak rumah asal tempat tentera Jepun memancung kepala pesalah, cuma itu sahaja yang pernah didengarinya pada masa itu dari orang tuanya termasuk beberapa penduduk kampung asal itu. Beliau pernah beberapa kali yang melintasi rumah berkenaan sering berderau bulu romanya tetapi belum pernah terlihat kelibat makhluk halus yang menghuni di dalam rumah terbabit.

"Arwah ibu pernah memberitahu saya, kadang kala beliau terdengar seperti ada orang yang bercakap-cakap dalam sebuah pasar besar. Tetapi apabila beliau mengamatinya tidak kelihatan pun kelibat orang yang bercakap itu”, katanya mengingatkan pengalaman arwah ibunya ketika itu.

Tambah Burahman, makhluk halus yang menghuni rumah tersebut akan menjelma dalam pelbagai rupa terutamanya dalam rupa binatang seperti beruk dan paling menakutkan ialah menjelma dalam bentuk mayat. Apabila ditanya tentang makhluk tersebut yang jika pada masa-masa tertentu menjelma dalam rupa manusia, beliau menjelaskan belum pernah mendengarnya dari orang tuanya. Namun, kejadian yang sering terjadi ialah didapati gelas dan pinggan mangkuk yang ada dalam rumah itu seperti terbang atau bergawangan di udara untuk menunjukkan makhluk halus itu ada dalam rumah tersebut.

Walau bagaimanapun menurut Burahman, tapak rumah tersebut kini telah ditukar menjadi tempat atau kedai pertukangan besi pula. Namun menurutnya, kejadian sedemikian hanya berlaku pada waktu malam sahaja tetapi tidak di siang hari. Malah kejadian tersebut hanya diperolehi sumber berkenaan dari keluarganya termasuk pengalaman penduduk-penduduk kampung dan mangsa yang pernah mengalaminya apabila melalui kawasan tersebut.

Malah katanya, pernah pekerja pertukangan besi memberitahu kepadanya bahawa, mereka sering mendengar bunyi seperti ketukan atau paluan untuk menunjukkan suatu bunyi aneh dari kawasan tapak kedai pertukangan besi itu. Namun, salah seorang pekerjanya mendakwa bunyi tersebut sekadar mainan tikus yang sering berkeliaran di kawasan terbabit.

Justeru, kejadian demikian hanya berlaku pada tahun 1970 dulu namun tidak lagi berlaku di zaman moden ini. Walaupun pernah didakwa kadang-kadang terdengar bunyi sesuatu yang agak misteri di rumah terbabit, namun percayalah kawasan tersebut kini telah dimajukan menjadi sebuah kedai pertukangan besi. Bunyi yang agak misteri di rumah tersebut hanyalah sekali sekala ketika makhluk berkenaan tersepit atau terkurung di kawasan yang dihuninya. 

Burahman bin Zakaria atau Man.

Burahman Zakaria (kiri) ketika ditemubual Wartawan RELATIF.


Lorong Alabaladi, Jalan Kebakat laluan kejadian misteri.

Inilah tempat kejadian rumah misteri itu (sebelah kanan). Sebelah kiri pula Lorong Alabaladi.


Inilah rumah misteri yang dimaksudkan. Kelihatan Burahman Zakaria sedang menunjukkan sebatang pokok celagi dan manggis yang menjadi tempat hantu beruk itu bertenggek.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH


Foto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Khamis, 1 Ogos 2013

Lagenda Puteri Mayang Mengurai


LAGENDA PUTERI MAYANG MENGURAI


PASIR PUTEH, KELANTAN:  BUKIT JAWA yang terletak di Kampung Bukit Jawa dalam daerah Pasir Puteh, Kelantan adalah sebuah bukit yang agak sarat dengan lagenda “Puteri Mayang Mengurai”. Apabila membicarakan kisah Puteri Mayang Mengurai, warga emas di kampung berkenaan pastinya sedia maklum tentang cerita berkenaan yang dikatakan melarikan diri dari niat raja-raja ketika itu yang ingin melihat dan menatap wajah puteri berkenaan yang dikatakan amat cantik dan paling menawan.

Ramai yang mendakwa, Puteri Mayang Mengurai adalah dari keturunan jin Islam yang bersahabat dan begitu akrab dengan kebanyaan raja-raja ketika itu. Puteri Mayang Mengurai ini pula adalah sepupu Puteri Sa’adong atau Puteri Maryam binti Raja Loyor yang merupakan anak angkat Cik Siti Wan Kembang.

Salah seorang warga emas, Wan Abdullah Wan Daud, 71, atau lebih dikenali dengan panggilan Wan yang merupakan anak jati Kampung Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh, Kelantan berkata, Puteri Mayang Mengurai menetap dalam gua Bukit Jawa sejak dulu kerana melarikan diri dari sultan lalu bersembunyi di dalam gua berkenaan.

“Puteri Mayang Mengurai adalah seorang puteri yang agak cantik, sebab itulah dia lari dan bersembunyi di gua itu.

“Bukan pria dari rakyat biasa saja yang terpesona dengan kejelitaannya, sultan dan raja juga menjadi tidak keruan jika terpandang wajahnya yang ayu”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya yang memperolehi cerita berkenaan dari salah seorang arwah penduduk asal yang tinggal berhampiran dengan Bukit Jawa itu.

Katanya, sikap terpuji Puteri Mayang Mengurai ialah sebagaimana Puteri Sa’adong juga yang suka menolong orang-orang kampung yang terlalu daif dan miskin ketika itu. Jika ada di kalangan penduduk kampung yang ingin melaksanakan kenduri kahwin, majlis bacaan doa dan sebagainya, maka mereka akan mendapatkan peralatan dan pinggan mangkuk milik Puteri Mayang Mengurai.

Walau bagaimanapun, Puteri Mayang Mengurai tidak pernah memperlihatkan rupa parasnya setiap kali ada di kalangan orang-orang kampung yang datang ke tempatnya untuk meminjam pinggan mangkuk dan peralatan kenduri lainnya. Mereka akan masuk ke dalam gua itu lalu mengambilnya sendiri.

“Ayahanda Puteri Mayang Mengurai adalah dari kalangan jin Islam. Disebabkan bimbang rahsianya bocor bahawa puteri itu menetap dalam gua di Bukit Jawa, Puteri Mayang Mengurai kemudiannya pindah ke Gunung Ayam (kini terletak dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan) untuk tinggal bersama dengan sepupunya Puteri Sa’adong ketika itu”, ujarnya.

Menurutnya, ketika Puteri Mayang Mengurai akan berpindah dari gua Bukit Jawa, pada sebelah malamnya keadaan bulan samar-samar (sekejap cerah dan sekejap malap), ketika itulah bunyi suara binatang dalam hutan dari sawah Kampung Cherang Rotan dan Pasir Puteh semakin jelas kedengaran. Beberapa keluarga yang menetap di kawasan itu pastinya mendengar bunyi riuh dan gegak gempita suara binatang sebagai petanda Puteri Mayang Mengurai akan berpindah meninggalkan tempat tinggalnya di Bukit Jawa itu.

Katanya, Puteri Mayang Mengurai itu menuju ke sebuah gua di Gunung Ayam (dulu dikenali sebagai Gunung Dang Besar atau Gunung Chinta Wangsa) yang terletak berhampiran dengan Gunung Stong dekat Dabong, Kuala Krai dan telah menetap di situ sehingga beliau meninggal dunia. Pada masa itu, bagi penduduk-penduduk kampung yang ingin melihat wajah Puteri Mayang Mengurai mereka dibenarkan berbuat demikian kononnya masyarakat di kampung berkenaan ketika itu apabila menyeru nama Puteri Mayang Mengurai, puteri berkenaan akan datang dan terus menjelma.

“Sesiapa saja terutamanya lelaki yang dapat melihat wajah Puteri Mayang Mengurai tentunya menjadi “gila” dengan kecantikan puteri itu. Apatah lagi ketika itu, semua putera-putera raja terpaksa mengadu kekuatan dan berperang setelah melihat wajah Puteri Mayang Mengurai seolah-olah memberikan gambaran puteri itu mempengaruhi fikiran raja-raja itu”, katanya.

Puteri Mayang Mengurai adalah sepupu Puteri Saadong dan nama berkenaan adalah sekadar panggilan atau gelaran yang diberikan oleh penduduk-penduduk kampung berkenaan ketika itu untuk menggambarkan rupa paras Puteri Mayang Mengurai yang cantik dan rambutnya yang mengurai sampai ke pinggang.

Tambah Wan lagi, Puteri Mayang Mengurai ini adalah anak kepada Cik Siti Wan Kembang yang merupakan pemerintah Kelantan ke-6 yang bertakhta di Gunung Dang Besar atau Gunung Chinta Wangsa (kini dipanggil Gunung Ayam). Dalam konteks ini, Puteri Mayang Mengurai dianggap adik kepada Puteri Sa’adong. Puteri Mayang Mengurai tinggal di gua Bukit Jawa dan selepas itu berangkat di Gunung Ayam kerana melarikan diri dari raja-raja dan lanun-lanun yang suka mengganggu ketika itu.

Katanya, perpindahan Puteri Mayang Mengurai itu bukanlah perpindahan secara alam nyata tetapi secara alam ghaib. Sebab itulah, perpindahan puteri berkenaan pada ketika itu tidak diketahui oleh sesiapa. Bahkan katanya, puteri terbabit sering juga datang ke Kota Bharu dan Pasir Puteh dari Gunung Ayam secara ghaib yang sememangnya tidak diketahui oleh sesiapa termasuk raja-raja dan lanun-lanun yang sentiasa menunggunya. Puteri Mayang Mengurai boleh datang dan pergi, namun puteri berkenaan sebenarnya mempunyai kenderaannya sendiri yang dikatakan berwarna gelap (biru kehitaman) yang boleh bergerak secara ghaib.

Menurut ceritera orang tua-tua zaman dulu, pada ketika itu raja-raja yang memerintah memang banyak cawangan dan tempat dan keturunan. Bahkan amat tersohor pada masa itu, kebanyakan raja-raja mendapatkan khidmat jin Islam sama ada dalam kehidupan berkeluarga dan dalam konteks pemerintahan dan secara tidak langsung apabila mereka berkahwin dan mempunyai anak-pinak, anak-anak berkenaan dari keturunan jin Islam terbabit. Katanya, dalam bentuk, corak pemerintahan dan kehidupan berkeluarga dua perkara utama yang terbabit dalam situasi ketika itu ialah hal manusia dan jin. Kedua-duanya yang mencorakkan kehidupan pada ketika itu amat rapat malah saling perlu-memerlukan di antara satu sama lain.

Jin Islam pada ketika itu dikatakan sering berkawan dengan raja-raja Melayu ketika itu sehingga boleh menuntut bela dalam konteks pemerintahan beraja. Misalnya, Cik Siti Wan Kembang dikatakan pernah berkawan dengan jin-jin Islam ini ketika zaman pemerintahannya. Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk mendapatkan khidmat secara ghaib pihak jin-jin Islam ini menurut Wan tentunya para raja berkenaan mempunyai ilmu khusus supaya jin-jin Islam berkenaan sentiasa berdamping dengan mereka. Berbanding di zaman sains dan teknologi ini tiada lagi manusia yang ingin berdamping dengan jin-jin berkenaan kerana masyarakat ini tidak mempercayai makhluk-makhluk berkenaan, apatah lagi dengan perkembangan Islam.

Selepas lebih 300 tahun Puteri Mayang Mengurai meninggalkan gua Bukit Jawa menuju ke Gunung Ayam, tempat Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Sa’adong bersemayam dan hidup di alamnya, pada tahun 2010 berlaku kejadian seorang lelaki tersesat ketika memasuki gua Bukit Jawa. Dikatakan, lelaki terbabit memasuki gua Bukit Jawa itu seorang diri dan apabila dia ingin melangkah keluar dari gua itu, dia tidak menemui jalan keluar seolah-olah jalan keluar tidak kelihatan di hadapannya. Dengan itu, dia seperti terkurung seorang diri di gua itu.

Walau bagaimanapun, mangsa berusaha sedaya upaya untuk meninggalkan gua itu sehingga hari beransur malam, namun jalan keluar yang diharapkan masih juga tidak kelihatan. Disebabkan terlalu letih mencari laluan keluar, beliau membaringkan diri untuk berehat seketika sehingga tertidur. Ketika berada di antara alam sedar dan tidak sedar, dia tidak pasti sama ada dia bermimpi atau sebaliknya kerana beliau dapat melihat dengan jelas wajah sebenar Puteri Mayang Mengurai itu.

Beberapa detik selepas itu pula, beliau seperti sedang memasuki dan berada di suatu hutan yang agak tebal. Dengan tiba-tiba semasa beliau melangkah di sebuah bongkah batu dalam gua terbabit, beliau dapat melihat seorang puteri yang amat cantik. Setelah diamati, beliau agak terkejut kerana puteri yang hadir ketika itu ialah Puteri Sa’adong dan setelah dilihat keseluruhan tempat itu, rupa-rupanya dia ketika itu sedang berada di Gunung Tebu (terletak di Besut, Terengganu). Ketika dia dapat melihat rupa paras Puteri Sa’adong itu, beliau telah berada dalam sebuah gua, mungkin itulah yang dikatakan gua di Batu Mat Hassan di mana di dalamnya seperti dunia asing yang agak luas seperti dunia luar.

Wan menambah, ketika mangsa berada dalam gua Gunung Tebu, beliau dapat melihat empat lorong dalam gua tersebut dan beliau tidak pasti lorong manakah yang dapat keluar nanti apabila melaluinya. Katanya lagi, keempat-empat gua seperti Gunung Tebu (Terengganu), Bukit Jawa (Pasir Puteh), Bukit Marak (Bachok), Gunung Ayam (Dabong, Kuala Krai) dan Gunung Stong (Dabong, Kuala Krai) adalah rangkaian laluan dalam tanah yang dikatakan dunianya luas lagi sunyi. Kalau kita berada di gua Bukit Jawa, satu laluan ke Bukit Marak dan satu laluan lagi ke Gunung Ayam dan Gunung Stong pula. Katanya, keempat-empat gua berkenaan boleh dimasuki kerana keadaan laluan dalam gua berkenaan agak luas dan cerah yang boleh dilalui, cuma tiada individu yang berani atau cuba membongkarnya.

Justeru kata Wan lagi, cerita berkenaan tamat setelah kemangkatan Sultan Ibrahim. Bahkan katanya, penduduk kampung ketika dalam zaman pemerintahan sultan berkenaan semua mengetahui tentang ceritera ini. Di antara raja-raja di zaman Sultan Ibrahim seperti Cik Siti Wan Kembang, Sultan Muhammad IV, Sultan Muhammad Mulut Merah dan Sultan Abdullah (suami Puteri Sa’adong).

Wan Abdullah Wan Daud.

Wan Abdullah Wan Daud ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Laluan di Kampung Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH