RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Sabtu, 1 Jun 2013

Malang Ular Sawa


MALANG! ULAR SAWA

KLANG, SELANGOR KERJA menangkap ular bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi membabitkan ular yang besar seperti ular sawa. Jika tersilap langkah, reptilia tersebut tidak akan memberi peluang kepada lawannya dan natijahnya orang yang cuba berani berhadapan dan melawan pastinya ditelan hidup-hidup.

Aktiviti menangkap ular perlukan semangat kental dan berani menghadapi risiko. Kalau berhadapan dengan ular seumpama ini, si penangkap ular itu perlu bertindak pantas dan bertindak bijak terhadap lawannya. Si penangkap ular tidak akan tahu kekuatan lawannya, kerana selain badan ular itu yang licin dan sukar dipegang, ular sawa lazimnya mempunyai kekuatan dan tenaga yang tinggi apatah lagi selain mulutnya yang boleh menganga dengan lebih lebar, bahagian ekornya juga mempunyai daya dan kekuatan yang bukan calang-calang.

Apabila mangsa dapat dibelit, lazimnya ular tersebut tidak akan melepaskannya sebegitu mudah kerana itulah makanannya pada hari itu dan natijahnya akan ditelan terus kerana ketika ini tulang-tulang mangsa pastinya akan dipatahkan oleh rahang yang terdapat dalam badan atau perut ular tersebut menyebabkan mangsa hilang kekuatan untuk melawan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh seorang remaja penangkap ular, Muhammad Shaffiq bin Jamaluddin, 16, dari Kampung Pandan, Klang, Selangor ketika ditemui Wartawan RELATIF di hari kejadian beliau menangkap reptilia seberat 15 kilogram dan sepanjang 4 meter pada 12 Mei, 2013 yang lalu adalah sesuatu yang amat dikagumi.

Ketika menceritakan pengalamannya itu, pada hari kejadian ibunya baharu pulang dari kerja, secara tiba-tiba ibunya bertempik agak lantang kerana terkejut. Ibunya sering menggunakan laluan ke rumahnya itu kerana itulah sahaja laluan yang ada untuk keluar dan masuk. Katanya, ketika itu ular sawa terbabit sedang berlingkar di tepi semak seolah-olah sudah bersedia untuk membaham mangsa yang lalai. Apabila terdengar jeritan ibunya itu, beliau bergegas ke tempat kejadian dengan membawa bersama sebatang cangkuk besi untuk tujuan menangkap ular tersebut. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.00 malam.

Mungkin dengan pengalamannya yang sering menangkap reptilia hidup apatah kedudukan rumahnya itu berhampiran dengan Sungai Klang yang dikelilingi semak-samun dan hutan belukar yang redup dan sentiasa lembab tentunya menjadikan kawasan berkenaan sebagai habitat semula jadi reptilia terbabit.

"Ular ini adalah ular jantan. Sudah tiga kali muncul di persekitaran rumah kami. Sebelumnya, ular ini telah membaham ayan dan kucing kesayangan saya", ujar Shaffiq pada malam kejadian sambil menunjukkan ke arah ular sawa yang telah ditangkap dan ditambat dengan tali ke sebatang pokok cermai berhampiran dengan rumahnya.

Menurut Shaffiq, di antara reptilia lain yang pernah ditemui seperti ular kapak, ular tedung, ular daun selain biawak yang agak besar sering muncul di kawasan persekitaran rumahnya kerana menghendap ayam yang dipelihara oleh bapanya.

"Ular sawa jantan ini sering menyusur dari arah longkang tempat laluan itu. Kawasan itu memang sesuai sebagai habitat semula jadinya kerana berkeadaan lembab dan basah", ujar Shaffiq sambil menunjukkan ke arah longkang yang bersambung dengan Sungai Klang.

Katanya, beliau pernah menyaksikan seekor ular kapak bersaiz besar pernah menyusur masuk ke rumahnya. Tetapi ular tersebut datang bertujuan untuk merenggut pasangan tikus yang sering menyanyi dalam rumahnya. Tetapi bagi ular sawa sebesar itu pula memang membahayakan manusia jika tersilap langkah. Malah penduduk-penduduk di kampung terbabit pernah bertembung dengan ular sawa seperti itu beberapa kali, beliau percaya mungkin ular sawa yang sama.

Apabila ditanya, adakah ular sawa tersebut menyusur dari semak-samun yang terletak di tebing Sungai Klang. Katanya, setahunya ular tersebut tidak gemarkan dengan keadaan sungai apatah lagi Sungai Klang yang berbau busuk. Ular sawa biasanya tidak suka diganggu malah tinggal menyendiri dari lain-lain koloni.

Walau bagaimanapun, disebabkan kasihan melihat keadaan ular sawa yang ditambat seperti lembu di mana sebelumnya telah dibungkus di dalam kampit beras beberapa jam sebelum itu. Melihatkan keadaan itu, Wartawan RELATIF meminta supaya ular itu dilepaskan kerana mungkin pasangan atau anak-anaknya sedang tercari-cari.

Apatah lagi menurut Shaffiq bahawa, ular itu tidak laku jika dijual dan lazimnya hanya dibayar oleh pembeli sekadar RM40 sahaja. Manakala pihak Zoo sekadar ingin memperolehinya secara percuma. Justeru, memikirkan ada benarnya pendapat Wartawan RELATIF, akhirnya beliau membebaskan ikatan ular yang telah luka itu dan ular sawa itu menyusur pergi dengan laju dan tidak mungkin akan ke situ lagi kerana bimbang masuk perangkap buat kali kedua.

Muhammad Shaffiq Jamaluddin.

Arah semak-samun inilah ular sawa itu berlingkar.

Ular yang dapat ditangkap, dimasukkan dalam kampit beras.


Ular sawa dipertontonkan kepada Wartawan RELATIF untuk dirakam gambar.

Habitat asal ular sawa.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan