MISTERI LEMBAGA TEROWONG KARAK
KUALA LUMPUR: Terowong Karak yang bersempadan antara Bentong (Pahang) dengan Kuala Lumpur adalah sebuah terowong yang dianggap bermisteri. Beberapa kejadian aneh dan tidak masuk akal sering dialami dan terjadi ke atas oleh beberapa pemandu yang melalui tempat tersebut. Kejadian seumpama ini pernah dialami oleh rakan Penulis pada tahun 2007 dulu ketika pulang dari Kuala Lumpur, juga melalui kawasan yang sama.
Kejadian terbaharu pula terjadi ke atas pemandu kedua Penulis bernama Zamri ketika menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 12 Mei, 2013 yang lalu ketika melalui terowong berkenaan. Tujuan Penulis dan beliau ke sana adalah untuk menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-78, Universiti Teknologi Mara (UiTM) anak ketiga Penulis di Shah Alam. Ketika kami melalui terowong itu, Wartawan RELATIF sempat merakam video dan kelihatan dalam video berkenaan seperti lembaga seorang remaja sedang bertenggek di sebelah kanan terowong berkenaan, di mana ketika itu jam menunjukkan 7.21 malam.
Penulis tidak mengetahui adakah mangsa iaitu Zamri tersampuk ketika melalui terowong itu kerana setibanya kami di tempat penginapan, beliau tidak menunjukkan tanda-tanda yang mencurigakan yang beliau telah terkena gangguan di tempat itu.
Pada 13 Mei, 2013, Penulis menghadiri majlis berkenaan bersama isteri dan anak ketiga lalu meminta beliau dan adik ipar menjemput Penulis di laman universiti berkenaan setelah selesai majlis terbabit jam 5.00 petang. Hampir dua jam menunggu, beliau tidak kunjung tiba dan apabila Penulis menghubunginya, beliau didapati berada di daerah lain dan disebabkan lalu lintas jalan agak sesak, beliau tidak mungkin tiba dalam masa yang pantas. Kerana geram dengan tindakannya, Penulis melepaskan kata-kata, pastinya mereka akan tersesat jalan untuk pulang. Malahan memang benar, mereka telah tersesat dan mereka dapat menemui jalan pulang ke tempat penginapan yang terletak di Kampung Pandan, Klang kira-kira jam 10.30 malam.
Pada malam tersebut, mungkin agak malu dengan janjinya terhadap Penulis dan isteri, Zamri merajuk untuk tidak tidur di dalam rumah kononnya agak sempit, sebaliknya beliau ingin tidur di luar rumah iaitu di dalam keretanya seorang diri. Penulis memberitahunya, kalau berani tidurlah, sekejap lagi tentunya dia dicekik "hantu". Memang benar, selepas Penulis selesai berkata-kata, beliau dengan tiba-tiba dicekik hantu ketika tidur di dalam kenderaannya. Melihatkan keadaan itu, Penulis meminta anak keempat, Anis Sabirin supaya mengejutkannya dan memintanya tidur di dalam rumah supaya lebih selamat. Setelah anak keempat Penulis mengejutkannya dengan mengetuk cermin pintu keretanya, baharulah lehernya yang dicekik makhluk halus yang dikatakan "hantu" itu dilepaskan. Katanya, beliau berasa sesak nafas seperti hendak mati.
Sememangnya kawasan sekitar penginapan kami di Kampung Pandan, Klang adalah kawasan agak keras kerana pada masa dulu, tempat terbabit pernah dijadikan tempat timbunan mayat. Bukan sahaja makhluk halus sering mundar-mandir di malam hari sehingga larut malam, kadang-kadang di siang hari juga jelmaan lembaga terbabit dapat dilihat dengan jelas sering berkeliaran di kawasan itu. Apatah lagi, sebatang pokok nangka yang dilihat condong tiba-tiba menjadi tegak apabila makhluk halus terbabit bertenggek di atas dahan dan batang pokok tersebut. Malah sememangnya, pokok nangka terbabit adalah penempatan makhluk ghaib itu sejak dulu.
Pada 15 Mei, 2013, konvoi kami berangkat pulang. Selang sehari beliau tiba di kampungnya di Pasir Mas, Kelantan, Penulis mendapat khabar beliau mengalami gangguan histeria yang agak pelik sehingga seminggu lamanya. Berikutan kejadian yang tidak diduga itu, beliau dibawa oleh adik ipar menemui Pengamal Rawatan Tradisional di kampung berhampiran untuk tujuan memulihkan semangat dan gangguan terhadap dirinya.
Menurut dakwaan perawat tradisional itu berkata, mangsa tersampuk lembaga di terowong karak itu. Ini adalah kerana, ketika menyusur dalam terowong karak itu pintu kenderaan di bahagian pemandu tidak ditutup kerana didakwanya agak panas sedangkan pintu-pintu lain semuanya ditutup agak sempurna.
Walau bagaimanapun, Penulis percaya Zamri bukan sahaja tersampuk lembaga seperti seorang remaja di terowong karak itu, namun beliau juga turut menjadi mangsa ketika dicekik makhluk halus yang dikatakan hantu ketika beliau tidur di dalam kenderaannya di Kampung Pandan, Klang, Selangor.
Setelah menerima rawatan yang agak sempurna dari Pengamal Rawatan Tradisional itu, keadaannya beransur pulih dan mungkin beliau masih teringat dengan kedua-dua peristiwa itu yang merupakan sebagai pengajaran kepadanya supaya lain kali sentiasa berwaspada ketika menyusur perjalanan pada waktu malam.
Zamri: Mangsa tersampuk lembaga di terowong karak.
Di sinilah dipercayai Zamri tersampuk lembaga yang sedang bertenggek dalam terowong karak itu.
Mangsa tiba-tiba dicekik hantu ketika tidur dalam kenderaannya yang diparkir di luar rumah.
Dipercayai makhluk halus yang menghuni dalam pokok nangka inilah yang menyebabkan mangsa dicekik.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan