RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Isnin, 30 Disember 2013

Misteri Lubuk Ikan


MISTERI LUBUK IKAN

MACHANG, KELANTAN:  KEBANYAKAN ikan lazimnya datang dari lubuk dan ikan-ikan berkenaan akan memasuki lubuk apabila didapati air semakin berkurangan dan kering. Apabila air kembali melimpah, ikan-ikan berkenaan akan mula keluar dari lubuk ke dunia luas sama ada ke sawah padi mahupun berenang ke parit dan saliran.

Membicarakan lubuk ikan, lazimnya kebanyakan masyarakat kampung akan mendapatkan ikan di lubuk-lubuk haiwan berkenaan apabila tibanya musim kemarau dengan mengadakan aktiviti menimba. Dengan cara dan kaedah ini, ikan-ikan yang berada dalam lubuk-lubuk berkenaan tidak akan dapat melarikan diri bahkan akan terperangkap di dalam lubuk-lubuk berkenaan disebabkan ketiadaan air. Apabila air terus dikeringkan, ikan-ikan berkenaan akan mudah ditangkap untuk dijadikan juadah pada hari itu.

Apabila membicarakan masyarakat kampung terutamanya remaja dan kanak-kanak amat gemar dengan aktiviti menimba ikan-ikan yang berada dalam lubuk-lubuk berkenaan. Apatah lagi, mereka sengaja mencari lubuk-lubuk ikan yang dikatakan menampung ikan-ikan besar di kawasan yang pernah dilalui orang atau kawasan terpencil. Dalam kegirangan untuk mendapatkan ikan-ikan yang berada di lubuk berkenaan, mereka sanggup menempuh risiko seperti berdepan dengan ular. Namun, hal yang sering terjadi ialah gangguan yang akan dialami di lubuk ikan terbabit.

Pengalaman seorang penduduk, Mohd. Fadli Yusoff ketika ditemui Wartawan RELATIF di Kampung Wakaf Bata, Machang, Kelantan yang sering menjadikan aktiviti menimba sebagai sebahagian aktiviti di kampungnya yang turut diganggu dengan kejadian aneh sewaktu menimba berkata, beliau turut diganggu oleh makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Pada zaman kanak-kanak tahun 1980 dulu, saya memang gemar menimba ikan. Setiap kali terlihat lubuk ikan, hanya terbayang dalam kepala saya tentunya ikan di situ banyak. Kalau saya tahu di kawasan itu ada lubuk ikan, peluang itu jarang saya lepaskan”, ujarnya kepada Wartawan RELATIF.

Katanya, di persekitaran kampungnya memang banyak lubuk ikan malahan terdapat lubuk-lubuk ikan itu yang tidak pernah diteroka dan dilalui oleh orang lain. Kawasan tempat beliau menimba ikan itu memang suatu tempat yang sunyi. Jadi, apabila musim kemarau, tentunya air dalam lubuk itu akan berkurangan dan kering, ikan-ikannya pula akan bersembunyi dalam lubuk-lubuk terbabit. Inilah masanya yang paling sesuai buat Fadli untuk menangkap ikan-ikan yang terperangkap dalam lubuk yang airnya semakin berkurangan itu.

Menurut Fadli, ikan-ikan yang dapat ditangkap dari sesuatu lubuk yang dikunjungi lazimnya ikan itu akan dibakar kerana ikan-ikan air tawar yang dikenali di Kelantan sebagai “ikan darat” memang enak dibakar. Apatah lagi, di kampungnya iaitu Kampung Banggol Cantik memang terdapat banyak lubuk ikan di mana lubuk ini tempat ikan-ikan darat seperti puyu, keli dan haruan bersembunyi dari kepanasan mentari akibat kekeringan air pada musim kemarau.

Tambah Fadli, beliau mempunyai dua adik lelaki jadi apabila beliau berasa ingin menikmati citarasa ikan darat dari sesuatu lubuk, beliau bersama-sama dua adik lelakinya itu akan bergegas ke lubuk ikan yang dimaksudkan itu dengan membawa bersama baldi, timba dan cangkul untuk dibuat batas untuk menakung dan sebagai aliran air keluar. Jadi, pada suatu petang, beliau bersama dengan adik-adiknya itu pergi menimba ikan di sebuah lubuk ikan dikenali “Lubuk Naso”.

“Zaman kanak-kanak, kita tak tahu erti takut. Sebut binatang apa, hantu atau sebagainya, sekalipun dilarang, kita akan pergi”, katanya yang menyatakan orang tuanya pernah melarangnya menimba ikan di lubuk itu bimbang sesuatu kejadian yang tidak diingini. Namun, beliau tetap ke lubuk ikan terbabit bersama-sama dua adiknya itu.

Menurut Fadli, setibanya di lubuk ikan dikenali sebagai Lubuk Naso itu, beliau bersama adik-adiknya itu akan membuat batas (menyekat ikan keluar) dan batas satu lagi untuk memudahkan air keluar dan menangkapnya. Selepas siap kerja-kerjanya itu, baharulah aktiviti menimba dilakukan.

Pada petang itu, memang Fadli bersama dua adiknya terlalu asyik melakukan aktiviti menimba supaya ikan-ikan yang dihajatkan dapat ditangkap sebelum waktu malam menjelang. Dalam keadaan hingar itu, dia memberhentikan kerja-kerjanya untuk menghilangkan rasa lenguh kerana agak terlalu lama tunduk dan menimba dalam lubuk ikan tersebut.

Dalam keadaan demikian, dia terlihat ke arah beberapa objek seperti “kulit pisang” berselerak di sana-sini seperti ada orang yang memakan isinya. Katanya, memanglah Lubuk Naso itu sebuah lubuk yang terletak di kawasan hutan tebal dalam daerah Machang, laluan singkat yang sering digunakan oleh penoreh-penoreh getah termasuk ibunya untuk ke kebun getah beberapa meter dari lubuk ikan itu.

Menurutnya, agak pelik juga dengan kulit pisang itu kerana kawasan hutan dan lubuk ikan itu tidak mempunyai sebatang pun pokok pisang, bagaimana kulit pisang itu berada di kawasan lubuk ikan itu dan jika ada kulit pisang tentunya ada orang yang telah memakannya, tetapi siapakah dia? Namun, amat mustahil ada manusia yang sengaja mencari tempat untuk memakan pisang apatah lagi di kawasan lubuk itu. Lubuk ikan bukan sebuah kawasan riadah atau perkelahan.

Tambah Fadli lagi, dia pun tidak perasan ketika awal beliau berlabuh di lubuk ikan itu sebab lazimnya lubuk ikan bukanlah sebuah kawasan yang menarik. Namun, melihat keadaan tempat berkenaan pada petang itu, kawasan lubuk ikan itu amat cantik dan menarik perhatian, seperti ada pihak tertentu yang mengurus dan menjaga kawasan lubuk ikan tersebut. Setahunya, manalah ada manusia yang sanggup membersihkan lubuk ikan yang terletak dalam kawasan hutan itu.

“Pada mulanya saya agak hairan kerana lubuk ikan itu agak cantik, seperti ada orang yang mengurusnya. Tidak mungkin penduduk kampung saya yang menguruskan lubuk itu kerana letaknya di kawasan hutan agak tebal”, ujar Fadli mengingati peristiwa pada petang tersebut.

Katanya menambah, satu hal lagi yang dianggap ganjil ialah air di lubuk itu memang tidak begitu dalam sangat, apabila ditimba beberapa kali tentunya airnya akan terus kering. Tetapi yang peliknya, apabila semakin ditimba, air itu semakin banyak dan tidak kering sehingga ke malam. Apabila hari sudah semakin senja dan dilihatnya akan Maghrib, beliau meneruskan aktiviti menimbanya dengan harapan air di lubuk itu semakin berkurangan dan kering, dengan demikian ikan yang terperangkap dalam lubuk berkenaan yang telah dibuat batas itu akan mudah ditangkap.

Namun, dilihatnya tiada ikan di kawasan itu sedangkan pada awal kedatangannya ke lubuk itu memang ada ikan yang melompat di lubuk itu. Tetapi sesuatu yang agak pelik baginya, semakin ditimba, air semakin bertambah banyak dan ikan yang diharapkannya tiada. Dalam keadaan berkenaan, dengan tiba-tiba tubuhnya berasa sesuatu yang menyeramkan, berbulu dan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan aktivitinya pada senja itu.

Disebabkan suasana yang semakin gelap dan di waktu Maghrib pula, tentunya ada sesuatu yang menunggu dan sedang memerhatikan tiga jiwa di kawasan lubuk itu yang menjadikan beliau berasa tidak selesa apabila melihat tiada ikan yang diperolehi. Jadi, beliau mengajak adik-adiknya pulang ke rumah dengan segera kerana jika berada agak lama di situ, bimbang sesuatu kejadian buruk akan berlaku.

Tambahnya, tempat beliau menimba ikan di Lubuk Naso itu merupakan tempat laluan ibunya untuk ke kebun getah sebagai penoreh di kawasan berhampiran. Katanya, ibunya akan turun dari rumahnya ke kebun getah itu mulai jam 5.30 pagi lagi untuk cepat sampai dan supaya getah yang ditoreh akan diperolehi dengan banyak kerana suasananya yang agak sejuk dan pada hari itu, beliau ke sekolah seperti biasa. Manakala ibunya pula seperti biasa akan ke kebun getah dengan melalui kawasan Lubuk Naso, tempat Fadli dan adik-adiknya sedang menimba petang semalam.

Pada hari esoknya, apabila beliau pulang dari sekolah, ibunya memaklumkan kepadanya bahawa suatu suara tiba-tiba memanggil ibunya ketika ibunya melintasi Lubuk Naso itu untuk menoreh di kebun getah berhampiran. Mendengar suara tersebut, ibunya memerhatikan kiri, kanan dan ke serata arah untuk melihat dan mencari gerangan suara yang memanggil namanya pada pagi itu. Bukan itu sahaja, ibunya juga mendengar suara beliau dan dua adiknya itu meminta ibunya itu turut menimba bersama.

Baginya, Lubuk Naso itu agak peliknya juga, mungkin juga sebuah kawasan agak keras dan ada penunggunya di kawasan itu. Selepas kejadian itu, beliau tidak lagi ke Lubuk Naso itu walaupun hanya seorang diri atau ditemani oleh adik-adiknya. Dia mendakwa Lubuk Naso ada penunggu yang menjaga lubuk berkenaan apabila ditemui kulit pisang berselerakan dan air yang ditimba tidak kering. Ini katanya, untuk memberikan gambaran ada makhluk di kawasan itu yang tidak dapat dilihat olehnya tetapi makhluk ghaib itu yang dapat melihatnya pada petang berkenaan.

Katanya, dia mula menimba selepas waktu Asar sehingga Maghrib. Kawasan itu tidak pernah dilalui orang lain kecuali penoreh-penoreh getah sebagai laluan singkat ke kebun getah terbabit. Sayangnya, Lubuk Naso dilihatnya banyak ikan, tetapi apabila cuba ditangkap ikannya hilang entah ke mana. Adakah ikan itu disembunyikan oleh makhluk halus itu atau ikan-ikan yang dilihatnya sewaktu tiba di lubuk itu hanya gambaran dalam penglihatannya semata-mata. Mungkin ikan haruan, keli dan puyu memang wujud di lubuk ikan itu tetapi makhluk halus yang menjaganya sejak awal lagi tidak membenarkan beliau menangkapnya kerana ikan-ikan itu adalah milik dan sebagai makanannya.

 Mohd. Fadli Yusoff.

 Mohd. Fadli Yusoff ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Jumaat, 20 Disember 2013

Misteri Pak Din Hilang


MISTERI PAK DIN HILANG

KOTA BHARU, KELANTAN:  KEJADIAN manusia disorok atau disembunyikan makhluk halus memang suatu yang realiti dan bukannya cerita dongengan. Bukan kanak-kanak sahaja yang menjadi mangsa disorok oleh makhluk ghaib itu, namun golongan veteran juga mengalami nasib yang sama. Puncanya, mungkin mangsa telah didapati mengganggu persekitaran atau tempat makhluk terbabit ataupun secara kebetulan makhluk berkenaan berada di kawasan itu yang berasa kasihan kepada mangsa yang dalam keadaan daif, lantas makhluk berkenaan cuba membantu mangsa. Ataupun pertolongan yang dimaksudkan itu sebenarnya ada udang di sebalik batu, mangsanya tidak sedar tentang hakikat itu, kerana di waktu yang akan datang mangsa terbabit pastinya akan menerima natijah yang sama.

Walaupun ada yang menganggap manusia disorok makhluk halus dikenali sebagai “jin” (hantu pari, pontianak dan langsuir) adalah kes terpencil, namun pastinya mangsa yang disorok akan mengalami pelbagai gangguan, terutamanya bagi mereka yang lemah semangat. Malah keluarga mangsa pula termasuk orang-orang kampung pastinya menjadi gempar dengan kejadian berkenaan. Bagaimana jika mangsanya disembunyikan terus dan makhluk halus terbabit enggan mengembalikannya ke alam manusia?

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, suatu kejadian yang tidak dapat dilupakan oleh Mohamed bin Awang Noh, 74, atau lebih dikenali sebagai Tok Haji Mamat dari Kampung Baru Salor, Kota Bharu, Kelantan berkata, kisah Pak Din yang merupakan rakan sekampungnya yang paling akrab pernah disorok oleh makhluk halus ketika sedang melakukan kerja-kerja menyadat untuk mendapatkan nira kelapa di Kampung Atas Pulau, Pasir Mas, Kelantan kira-kira 10 tahun lalu masih lagi segar dalam ingatannya sehingga kini.

Katanya, setelah selesai rutin hariannya menyadat nira kelapa pada pukul 11.00 pagi, Tok Haji Mamat agak hairan kerana sehingga jam 12.00 tengah hari beliau masih belum melihat kelibat Pak Din di tempat itu. Setahunya Pak Din masih berada di atas pohon kelapa di kampung itu kerana sedang menyudahkan kerja-kerjanya menyadat dan mendapatkan nira kelapa untuk dituangkan ke dalam kawah (kuali besar) yang turut disediakan di situ untuk dimasak. Pada mulanya Tok Haji Mamat terfikir sama ada Pak Din tertidur di denai hutan terbabit jika itulah kejadiannya.

“Kerja Pak Haji memangnya sudah selesai, Pak Haji bersiap untuk pulang. Hanya Pak Din sahaja yang masih belum siap. Pak Haji terus menunggu Pak Din untuk pulang bersama-sama, sebab pada masa itu Pak Din masih berada di atas pokok kelapa. Anehnya, Pak Din tidak kelihatan.

“Bimbang hari semakin panas, Pak Haji melangkah pulang seorang diri. Dalam hati bimbang dan tertanya-tanya, ke mana Pak Din menghilang”, ujar Tok Haji Mamat yang membahasakan dirinya Pak Haji.

Oleh kerana Pak Din tidak juga muncul, Tok Haji Mamat terus pulang sendirian tanpa Pak Din bersama kerana terik mentari mula menampakkan sinarnya. Kerja-kerja menyadat kelapa tidak perlu dilakukan terus kerana mudah merimaskan badan dan banyak tenaga hilang disebabkan terpaksa memanjat pokok kelapa yang kadang-kadang agak terlalu tinggi. Tok Haji Mamat kemudiannya mula angkat kaki meninggalkan suasana hutan ketika itu kerana Pak Din yang ditunggu tidak juga nampak batang hidungnya. Apabila sampai di rumah, Tok Haji Mamat ditanya isterinya kerana Tok Haji Mamat sahaja yang pulang sedangkan Pak Din tidak kelihatan bersamanya.

“Pak Haji maklumkan kepada isteri, semasa sibuk dengan urusan itu, Pak Din masih ada di atas pokok kelapa itu. Tetapi apabila bersiap untuk pulang, didapati Pak Din tidak kelihatan”, ujar Tok Haji Mamat.

Apabila hari menjelang malam, beliau meminta rakan-rakan sekampungnya yang lain supaya membantunya untuk cuba mencari Pak Din yang masih belum pulang lagi. Bertemankan rakannya itu, beliau kembali ke tempat kejadian untuk mencari Pak Din yang hilang. Apabila beliau dan rakannya tiba di tempat yang dimaksudkan yang pada hemahnya tentunya Pak Din hilang di tempat itu, matanya melilau ke serata arah. Beliau kemudiannya mendongak ke arah sebatang pokok kelapa tempat Pak Din sedang menyadat siang tadi, tetapi Pak Din tiada di atas pokok kelapa itu.

Dalam Tok Haji Mamat terlintas pelbagai perkara buruk terhadap Pak Din berdasarkan situasi pada masa itu. Kadang-kadang Tok Haji Mamat terfikir berkemungkinan Pak Din tidak dapat turun ke bawah dan dikatakan hilang disebabkan telah disorok oleh makhluk halus yang kebetulan ada di situ kerana tempat berkenaan pada ketika itu masih dipenuhi hutan yang belum dibersihkan.

Namun, rupa-rupanya ketika Tok Haji Mamat ingin mengangkat kaki untuk pulang kerana telah putus asa mencari Pak Din yang tetap tidak kelihatan, sedangkan pada ketika itu juga Pak Din nampak dengan jelas dari atas sebatang pohon kelapa itu orang-orang kampung berkenaan sedang mencarinya, tetapi orang-orang kampung tidak dapat melihat Pak Din yang hakikatnya masih berada di atas pokok kelapa itu. Bahkan suaranya untuk meraung dan memanggil-manggil mereka yang sedangnya mencarinya gagal didengari mereka yang mungkin telah dihalang alam makhluk halus itu.

Berikutan itu, Tok Haji Mat mencadangkan supaya membuat aduan polis tentang kehilangan Pak Din itu. Selepas membuat laporan polis kira-kira jam 1.00 pagi itu yang turut disertai oleh sepupu mangsa, mereka pulang ke rumah. Kerana masih belum puas hati, mereka kembali ke tempat Pak Din hilang itu dengan membawa pelbagai kelengkapan yang sepatutnya untuk tujuan meneruskan pencarian Pak Din yang dikatakan hilang itu.

Ketika semangat membara orang-orang kampung yang masih berusaha mencari Pak Din di tempat Pak Din hilang itu, dengan kehendak Allah mereka berselisih di perjalanan. Pak Din sedang dalam perjalanan pulang manakala kumpulan orang-orang kampung dalam perjalanan mencari Pak Din, akhirnya bertembung di tempat itu.

Mengetahui bahawa Pak Din telah pulang pada malam berkenaan, pada hari esoknya Tok Haji Mamat membatalkan niat untuk menyadat kelapa, sebaliknya terus bergegas ke balai polis bersama Pak Din untuk memaklumkan kepada pihak berkenaan bahawa, Pak Din telah ditemui dan telah pulang ke rumah malam semalam. Mendengarkan cerita Tok Haji Mamat itu, anggota polis terbabit ketawa kerana geli hati.

Menurut Tok Haji Mamat, kejadian berkenaan berlaku lebih dari 10 tahun lalu dan masih segar dalam ingatannya kerana mereka berdua tersohor sebagai penyadat kelapa yang disegani. Mereka berdua dianggap rakan sekampung yang hanya bekerja sebagai penyadat kelapa, itulah rutin harian mereka untuk mencari sesuap rezeki. Tetapi, disebabkan salah seorang rakannya itu didapati telah disorok oleh makhluk halus semasa sedang memanjat kelapa, menyebabkan berita berkenaan menjadi gempar kononnya Pak Din ghaib secara tiba-tiba.

Selepas Pak Din ditemui dan pulang dengan selamat, Tok Haji Mamat meminta Pak Din memintanya menceritakan pengalamannya itu. Menurut Pak Din, ketika berada di alam makhluk halus itu, dia tidak mengetahui tentang dirinya telah disorok kerana lupa setelah dijamu dengan nasi beras wangi berlaukkan gulai yang lazat. Tok Haji Mamat mencelah, adakah Pak Din tahu apa yang dimakannya ketika disorok oleh makhluk halus itu?

Tok Haji Mamat menjelaskan, Pak Din sebenarnya bukannya memakan beras wangi sebaliknya telur semut dan lauk yang lazat itu sebenarnya katak. Walaupun dimaklumkan oleh Tok Haji Mamat, Pak Din hanya ketawa kononnya beliau telah menikmati juadah yang lazat di alam makhluk halus itu. Pak Din juga berasa seperti masih berada dan memeluk batang kelapa itu, tetapi hakikatnya dia telah dibawa ke salah satu pokok mangga di kawasan yang sama

“Pak Haji agak, mungkin Pak Din tak tahu dia berada di atas pokok mangga itu, sebab itulah dia dapat makan nasi beras wangi”, jelas Tok Haji Mamat sambil ketawa.

Tambah Tok Haji Mamat, banyak kerengga di kawasan itu, tetapi Pak Din seperti tidak berasa apa-apa kerana telah dilindungkan ke alam berkenaan yang dianggapnya seperti alam manusia juga kerana keadaannya luas, sedangkan beliau ketika itu sedang berada di atas pokok mangga.

Kata Tok Haji Mamat lagi, usia Pak Din lebih tua dari usianya ketika itu, tetapi disebabkan rakan sekampung, mereka berkawan sehingga dewasa dan tidak pernah bermasam muka, begitulah hebatnya golongan remaja zaman dulu. Katanya, ketika kejadian beliau agak usia Pak Din dalam lingkungan 40 tahun.

Mohamed bin Awang Noh atau Tok Haji Mamat.

Tok Haji Mamat ketika menceritakan kisah misteri itu kepada Wartawan RELATIF.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Ahad, 1 Disember 2013

Budi Seekor Harimau


BUDI SEEKOR HARIMAU


MACHANG, KELANTAN:  HAIWAN kadang-kadang lebih baik, walaupun dianggap tidak sempurna dalam beberapa sifat sebagaimana yang dimiliki oleh manusia. Walaupun haiwan sekadar mempunyai perasaan tetapi tidak mempunyai akal sebagai alat berfikir seperti manusia, namun dalam hal-hal tertentu haiwan juga pandai membalas budi khususnya terhadap manusia yang pernah menolong spesis mereka. Misalnya, harimau yang dianggap haiwan ganas di rimba tetapi pada ketika-ketikanya haiwan ini juga yang dapat membantu manusia yang di dalam kesulitan.

Hal ini bukanlah suatu cerita dongengan, namun pengalaman salah seorang peneroka tanah hutan yang berasal dari Kampung Temangan Lama dekat sini yang hanya dikenali sebagai Pak Chek, adalah merupakan pengalaman berharga beliau ketika membuka tanah hutan di Kampung Kerilla, daerah Temangan pada tahun 1930 dulu. Kisah ini yang diceritakan semula oleh arwah bapa dan dipungut oleh Wartawan RELATIF semasa hayatnya memberitahu, seekor harimau betina yang dianggap ganas di hutan di kampung berhampiran tiba-tiba membalas budi dengan mempersembahkan seekor rusa sebagai hadiah kerana salah seorang hamba Allah pernah menolong anaknya yang terjatuh dan terperangkap dalam sebuah perigi buta di sebuah hutan dan bukit di kawasan terbabit.

Menurut ceritanya, Pak Chek bersama lima rakan-rakannya lain adalah kumpulan peneroka hutan telah membuka kawasan bukit dan hutan tebal di Kampung Kerila itu untuk dijadikan sebuah perkampungan dan penempatan baru. Dalam usaha untuk memudahkan kerja-kerja yang memakan masa beberapa bulan itu, mereka berenam telah membina sebuah “bangsal (danau)” yang lengkap dengan pagarnya yang dibuat dari batang-batang kayu untuk mengelakkan dari dirempuh haiwan buas di kawasan hutan terbabit sebagai penempatan sementara untuk berteduh dari hujan, panas, sebagai tempat tidur dan baring.

Pada suatu hari, mereka seperti lazimnya meneruskan tugas berkenaan seperti biasa dengan menebas dan menebang pokok-pokok kayu kerana itulah rutin kerja mereka ketika  remaja yang tabah dan berjiwa kental. Jika tidak mempunyai jiwa yang kental, tabah, teguh dan tekun dengan kerja-kerja berkenaan tidak mungkin sebuah kawasan dan penempatan baru dapat dibuka dengan sempurna. Ini kerana, apabila dikatakan kawasan bukit dan hutan, sudah tentu hal utama yang perlu dihadapi ialah sama ada bertembung dengan haiwan buas dan makhluk halus yang menghuni di kawasan terbabit.

Pada hari berkenaan, seperti biasa apabila hari semakin senja, mereka berenam berjaya  menyiapkan kerja sebagaimana yang diharapkan apabila beberapa kawasan tertentu telah dapat diterangkan dan pokok-pokok yang tumbuh subur di kawasan terbabit akhirnya dapat ditumbangkan. Sekitar kawasan berkenaan menjadi terang benderang apabila pancaran cahaya matahari, bulan dan cahaya langit dapat menembusi kawasan tersebut.

Setelah penat bekerja sehari suntuk, mereka kemudiannya beransur-ansur melangkah pulang ke danau kerana hari telah beransur senja. Disebabkan kawasan hutan berkenaan telah berjaya ditebang, mudahlah mereka berjalan pulang kerana suasananya agak terang sedikit berbanding sebelumnya.

Bezanya, atur langkah Pak Chek agak perlahan sedikit berbanding lima rakannya yang lain yang mendahuluinya dan mungkin telah sampai di danau mereka. Walaupun langkah Pak Chek agak perlahan berbanding lima rakannya itu, namun kaki tetap melangkah menuju ke danaunya. Tiba di suatu tempat yang agak samar-samar di antara waktu Maghrib, Pak Chek tiba-tiba dikejutkan dengan ngauman seekor binatang yang agak kasar. Pak Chek memberhentikan langkahnya, sambil anak telinganya cuba menangkap arah bunyi ngauman itu dengan meneruskan langkahnya perlahan-lahan.

Setibanya di tempat bunyi ngauman suara garang itu, terlihatkan olehnya seekor harimau belang sedang memerhatikan ke arahnya dengan pandangan yang agak liar. Dari pemerhatian Pak Chek, tentunya harimau yang sedang memuntahkan suara garau itu ialah seekor harimau belang betina. Harimau itu mungkin dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan seseorang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya, bisik hatinya.

Seketika kemudian, sekali lagi Pak Chek melihat dan mendengar dengan jelas ngauman harimau betina itu sambil melihatkan ekor matanya yang mengarahkan ke arah sebuah tempat yang dalam. Pak Chek cuba mendekati harimau betina itu dalam jarak beberapa meter untuk memerhatikan, apakah maksud di sebalik ngauman harimau betina itu.

Kepalanya dijengukkan ke arah sebuah tempat yang agak rendah. Dalam samar-samar senja itu, Pak Chek dapat melihat ada sebuah perigi yang sederhana dalamnya di kawasan itu. Di dalamnya ditakungi air kerana, hujan lebat sejak seminggu yang lalu menyebabkan air hujan itu bertakung dalam perigi tersebut. Tiba-tiba di sebalik rimbunan daun-daun yang tumbuh dalam perigi buta itu, Pak Chek terlihat seekor anak harimau berada dalam perigi berkenaan, mungkin anak harimau itu terjatuh ke dalam perigi itu ketika bermain-main atau sedang galak bersama ibunya, harimau betina tersebut.

Pak Chek yang begitu memahami dengan situasi itu cuba menyakinkan harimau betina yang pada perkiraannya tentunya ibu kepada anaknya yang terjatuh ke dalam perigi buta itu. Tanpa membuang masa yang suasananya semakin gelap, Pak Chek kemudiannya menebang sebatang pokok sebesar pahanya, lalu dibuang ranting dan daun pokok itu lalu  menyorongkan batang kayu itu ke dalam perigi berkenaan.

Anak harimau yang menyedari ada sebatang kayu berada dalam perigi itu kemudiannya melompat ke atasnya lalu berlari naik ke tebing perigi. Setelah selamat berada di tebing perigi, anak harimau itu menggoyang-goyangkan badannya untuk tujuan mengeringkan air yang membasahi bulunya.

Hairannya, anak harimau itu tidak terus mendapatkan ibunya yang setia menunggu anaknya, sebaliknya anak harimau itu menuju ke arah Pak Chek terlebih dahulu lalu menggesel-geselkan bulu dan badannya pada kedua-dua betis Pak Chek seperti seekor kucing manja lagaknya seolah-olah mengucapkan terima kasih kepada Pak Chek kerana telah menyelamatkan nyawanya dari perigi buta itu. Pak Chek kemudiannya menggosok-gosok badan anak harimau itu beberapa ketika. Kemudiannya anak harimau itu berlari riang ke arah ibunya yang sejak tadi sedang menanti dengan penuh kebimbangan tentang keselamatan anaknya yang terperangkap di dalam perigi buta itu. Sekali lagi harimau betina itu mengaumkan suaranya seolah-olah mengajak anaknya berlalu pergi dan mengucapkan terima kasih kepada Pak Chek.

Sementara di danau enam sekawan itu pula, masing-masing sibuk dengan aktiviti untuk makan malam dan sebagainya. Dalam suasananya yang agak hingar itu, tiba-tiba salah seorang rakan Pak Chek terdengar bunyi agak ganjil dari luar danau mereka. Bunyinya seperti pagar danau mereka runtuh seperti dihempap benda besar dan berat.

Bimbang dengan situasi dan bunyi pelik itu, rakannya itu memaklumkan hal berkenaan kepada Pak Chek. Pak Chek yang dianggap ceria dan sepontan dengan keadaan itu tidak menunjukkan sebarang kebimbangan kerana hanya Allah saja yang tahu dengan keadaan dirinya pada hari itu.

“Aku rasa, kita ada tuah dan rezeki yang tidak disangka pada malam ini”, ujar Pak Chek.
“Rezeki apa pulak. Kau jangan mengada-ngada, kita di dalam hutan sekarang. Aku bimbang sesuatu kejadian buruk”, cetus rakan yang mendengar bunyi pelik itu.
“Percayalah, kita dapat rezeki malam ini. Kalau tidak percaya, mari kita pergi tengok”, cetus Pak Chek lagi.

Mereka berenam kemudiannya berlari keluar danau untuk melihat sendiri apakah bunyi pelik sebagaimana yang didakwa oleh salah seorang rakan mereka kira-kira jam 10.30 malam itu. Apabila mereka berenam tiba di tempat yang dimaksudkan, mereka agak terkejut kerana seekor rusa betina terdampar di atas pagar yang kini telah runtuh dan patah disebabkan dirempuh rusa itu.

“Kan betul aku kata tadi, kita ada rezeki bertuah pada malam ini”.
“Kenapa dengan rusa ini?” soal seorang rakannya tidak percaya dengan situasi itu apabila melihatkan seekor rusa betina yang masih hidup tetapi tidak dapat bangun kerana kedua-dua kaki hadapannya telah dipatahkan harimau betina itu.

“Harimau betina itu membalas budi aku waktu senja tadi kerana aku telah menyelamatkan anaknya yang terjatuh dan terperangkap di dalam perigi buta di atas bukit itu”, ujar Pak Chek sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah bukit yang dimaksudkan.

Mendengar cerita dan penjelasan Pak Chek berhubung dengan harimau dan rusa itu, kelima-lima rakan-rakannya mula berasa lega. Hanya yang rakan-rakannya bimbang jika danau mereka diceroboh haiwan buas kerana selain harimau belang, haiwan buas yang lain seperti harimau bintang, badak sumbu, serigala dan babi hutan yang sering berkeliaran di kawasan hutan berhampiran.

Kata Pak Chek, mungkin juga harimau itu memburu mangsanya (seekor rusa) ketika rusa berkenaan sedang leka dengan kawanan haiwan berkenaan di sebuah hutan pada malam itu. Dalam agakan Pak Chek, setelah dapat mangsanya itu, harimau itu mungkin mematahkan kedua kaki hadapan rusa itu supaya itu tidak dapat melarikan diri lalu diseret ke danau mereka berenam sebagai hadiah kerana telah menyelamatkan anaknya yang terjatuh dan terperangkap dalam perigi buta itu. Jika tiada manusia yang cuba menyelamatkan anaknya, tiada siapa lagi yang dapat berbuat demikian termasuk harimau itu.

Malam berkenaan mereka kenduri sakan kerana selama ini mereka hanya mengharapkan daun-daun kayu dan buah-buahan hutan sebagai makanan, tetapi kini mereka boleh menikmati daging rusa segar yang manis dan enak sampai berminggu lamanya.

Dalam konteks ini, jangan kita labelkan haiwan ganas itu jahat dan ganas kerana yang ganasnya ialah sifat dan tabiat manusia sendiri yang mengganggu habitat haiwan itu. Lihatlah, haiwan sendiri faham dengan erti pertolongan dan bantuan dari manusia yang jujur akan dibalas dengan bantuan yang dianggap tidak ternilai dari seekor haiwan yang tidak mempunyai fikiran seperti kita. Ingatlah, orang yang jujur bukan saja disenangi manusia keseluruhannya dan malaikat tetapi juga haiwan kerana sifat berkenaan perlu kekal dalam diri manusia.


Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH