MISTERI MAKHLUK TUMPANG
TUMPAT, KELANTAN: MAKHLUK
halus kenal siapa yang boleh diusik atau siapa yang tidak patut disakat.
Makhluk ini akan melihat dengan jelas dalam sanubari manusia, jika orang yang
ingin disakat itu seorang yang mempunyai semangat kental, makhluk halus akan menjauhkan
diri. Sebaliknya, jika mangsanya seorang yang mudah dipermainkan, maka pada
setiap masa mangsa akan diperlaku dan diperlekehkan oleh makhluk halus yang
jahat itu.
Begitulah kejadian yang menimpa
keluarga Haji Said Haji Abdullah, 67, atau lebih lebih dikenali dengan
panggilan Pak Aid dari Cabang Tiga Kampung Berangan, Tumpat, Kelantan ketika
ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu.
“Makhluk halus itu tidak pernah
mengusik pakcik, yang sering menjadi mangsanya ialah isteri dan cucu pakcik yang
tinggal di rumah ini”, jelasnya kepada RELATIF.
Menurutnya, pada tahun 1957 dulu
rumah berkenaan dibina dari papan dan kayu sahaja dan ketika itu beliau menetap
di rumah terbabit bersama isterinya, Lijah binti Jusoh. Ketika mendiami rumah
yang dibuat dari kayu dan papan kelihatannya agak uzur itu, keluarganya tidak
pernah mendapat gangguan dari sesiapa apatah lagi dari makhluk halus.
Isterinya juga tidak pernah
merewel atau memaklumkan kepadanya wujudnya gangguan sebagaimana yang
dimaksudkan. Ini untuk menunjukkan, beliau dan isterinya ketika itu hidup dalam
keadaan aman tanpa rasa takut kerana tidak pernah diganggu walaupun rumahnya
ketika itu jauh dari jiran tetangga. Apatah lagi kawasan tapak rumah dan
persekitaran rumahnya ketika itu masih dipenuhi hutan tebal yang belum diteroka
sepenuhnya dan selepas itu kebun getah pula.
Namun katanya, pada tahun 1997
iaitu apabila rumah lama yang berkonsepkan papan dan kayu dirombak untuk
pembinaan rumah batu dan simen, iaitu kira-kira tiga tahun selepas dapat menyiapkan
pembinaannya, gangguan yang dimaksudkan masih lagi belum berlaku. Namun,
pengalaman jiran-jirannya yang pernah datang ke rumahnya ketika itu mendakwa
sering berasa takut dan kecut perut melihat keadaan rumah berkenaan. Kata
mereka, rumahnya ketika itu seolah-olah ada penghuni ghaib yang sedang
memerhatikan ke arah mereka dan kalau tidak kerana ada urusan rasmi pastinya
jiran-jirannya itu tidak akan bertandang ke rumahnya.
Sambungnya, selepas 10 tahun
berlalu dan rumahnya kini siap sepenuhnya, kejadian gangguan tersebut mula dan
semakin kerap berlaku. Hal yang dapat diingatinya apabila sering berlaku
pertengkaran yang tidak pernah berlaku sebelumnya, keadaan dalam rumahnya itu
seolah-olah dibakar api kepanasan dan kalau bertutur pun seperti dalam keadaan tidak selesa
kerana apabila mula bercakap pastinya akan berasa terbakar dan hati sentiasa
mendidih. Melihatkan wujudnya kegelisahan dan suasana yang dianggap panas dan
tidak aman dalam rumah batu ketika itu, beliau mendapatkan khidmat “Bomoh
Budak” yang tinggal di sebuah pulau.
“Pakcik panggillah seorang bomoh
budak, minta dia bantu untuk selesaikan masalah pakcik. Pakcik tidak menjadi
masalah, yang merungsingkan adalah keluarga pakcik”, katanya.
Katanya, bomoh budak tersebut
membuat kaedah “pagar rumah” dengan melakukannya di sekeliling rumah, kemudiannya
dia paku dan ikat paku itu dengan secebis kain merah untuk mengelakkan makhluk
halus itu masuk ke kawasan rumah terbabit. Dakwaan bomoh budak itu menyatakan,
kaedah pagar sebagaimana yang dilakukan oleh bomoh budak itu dapat mengelakkan
gangguan makhluk halus tersebut.
Namun menurut Haji Said, selepas kaedah
berkenaan dilakukan oleh bomoh budak terbabit, bukan masalah semakin berkurang
atau gangguan makhluk halus telah selesai, sebaliknya gangguan makhluk
berkenaan semakin menjadi-jadi untuk menunjukkan makhluk halus itu “bertambah
marah” dengan apa yang dilakukan oleh Bomoh Budak itu.
Berikutan kejadian itu, makhluk
halus semakin geram dan bertambah marah sehinggakan anak-anak kecil dan cucunya
sendiri semakin takut untuk masuk ke dapur di rumahnya seorang diri walaupun
sebelum ini tidak begitu. Bukan sahaja amat menakutkan kanak-kanak, bahkan
orang-orang dewasa sendiri pun seperti dalam kebimbangan kerana bulu roma meremang setiap kali terfikir tentang makhluk itu. Katanya, beliau tidak pernah diganggu oleh makhluk halus itu,
namun orang-orang perempuan seperti isterinya sendiri dan cucunya yang menetap
di rumah berkenaan yang menjadi mangsanya akibat gangguan makhluk halus yang
dianggap tidak “makan saman” itu.
Adalah lazim katanya, gangguan
yang dialami oleh keluarga Haji Said apabila makhluk halus itu sering menjelma
menunjukkan dirinya dan wajahnya. Ditanya, adakah makhluk halus itu pernah
membisikkan di telinga ahli keluarganya? Beliau menjelaskan, makhluk halus itu
tidak pernah bertindak sedemikian, tetapi sering terjadi apabila kaki mereka
sentiasa ditarik dan tangan mangsa disentap berulang kali. Malah kadang-kadang
pernah terjadi urat perut terseliuh dan luka kerana dipijak dan disentap
sedemikian rupa ketika mereka ingin masuk tidur di dalam bilik kira-kira jam 11.00
malam.
“Hal ini pernah dimaklumkan
beberapa kali oleh isteri pakcik. Pakcik hanya mendiamkan saja sambil berfikir
bagaimana cara untuk bertindak”, luah Haji Said sambil memendamkan kemarahannya
terhadap makhluk halus itu.
Menurutnya, kejadian anggota
tubuh ahli keluarga disentap berulang kali ketika masuk tidur pernah berlaku
beberapa kali. Namun, apabila kejadian berkenaan dimaklumkan dia hanya
mendiamkan diri. Tetapi, disebabkan tidak sabar dengan kejadian berkenaan yang
dianggap “mencabar” kesabarannya, beliau kemudiannya mendapatkan khidmat
seorang bomoh siam.
Katanya, bomoh siam
itu melakukan dengan cara “tuntung” dan selepas dilakukan cara berkenaan,
baharulah keluarganya tidak lagi diganggu oleh makhluk halus yang dianggap
nakal dan suka menyakat itu.
Apabila ditanya tentang sebab dan
punca kejadian gangguan makhluk halus yang semakin menjadi-jadi itu, beliau
menjelaskan, pada masa dulu orang-orang tua zaman lampau suka “bermain puteri”.
Banyak “balai” yang di dalamnya disajikan dengan jamuan untuk makhluk halus
terbabit dibuang di kawasan berhampiran rumahnya kini kerana pada masa dulu,
kawasan tapak rumahnya sekarang ini adalah hutan dan kawasan pokok getah.
“Balai itu dibuang di kawasan
hadapan rumah pakcik berdekatan dengan sebatang pokok besar itu. Disebabkan
kejadian berkenaan sering berlaku dan pakcik mengetahui puncanya datang dari
tempat itu, pokok besar itu pakcik tebang kerana tersangat benci melihatnya”,
ujarnya yang juga sudah meluat dengan sikap makhluk halus itu.
Mungkin katanya, disebabkan pokok
besar tempat makhluk halus itu menghuni itulah menyebabkan makhluk berkenaan
semakin geram dan marah dengan tindakannya. Bermula dari saat itulah, mungkin
disebabkan tempat makhluk halus itu menghuni sudah tiada menyebabkan makhluk
ghaib itu bertindak menjadikan rumahnya pula sebagai tempat tinggal tetap
sebagai ganti rugi. Sejak hari itu, makhluk halus itu akan menjelmakan dirinya
dalam rupa beruk, kucing, malah kadang-kadang menjelma dalam rupa manusia.
Katanya, pada suatu hari pernah
berlaku makhluk halus berkenaan mengucapkan salam kepadanya. Dia tidak tahu
makhluk halus datang dari arah mana malah dia tidak mendengar bunyi tapak kaki
seperti manusia berjalan yang lazimnya dapat didengari. Malah beliau juga
memberitahu, dia tidak mengetahui apakah kategori makhluk halus yang yang
sering mengganggu keluarganya itu dan makhluk halus yang memberi salam itu
dalam kategori mana, beliau tidak pasti. Tetapi bagi makhluk halus yang sering
mengganggu dan menjelma dalam rumahnya itu ialah hantu raya.
Sementara itu, menurut salah
seorang cucunya yang tinggal bersama, Muhd. Faiz Mohamed Isa Saw, 8, atau lebih
dikenali sebagai Faiz berkata, makhluk halus itu sering menjelmakan dirinya
lalu duduk di atas sebuah tangga dalam rumahnya.
Pelajar Sekolah Kebangsaan
Berangan Dua, Tumpat itu mendakwa makhluk halus terbabit adalah berwajah hodoh
seperti seorang perempuan yang memakai kain putih dan kadang-kadang berwarna
hitam pekat.
“Adik melihatnya pun berasa
takut. Tak tahulah makhluk jenis apa. Dia sering duduk di atas tangga itu”,
jelas adik Faiz.
Manakala bagi isteri Haji Said,
Lijah binti Jusoh, 62, yang lebih dikenali dengan panggilan Makcik Jah berkata,
jelmaan makhluk halus di rumahnya itu dalam pelbagai bentuk. Misalnya jelmaan
dalam rupa manusia berjubah putih hanya kadang kala tetapi makhluk berkenaan
dapat dilihatnya dari arah belakang sahaja. Selepas itu, dalam tempoh dua
minggu makhluk berkenaan akan melalui rumahnya itu dan begitulah seterusnya
seperti ada tempoh masa tertentu makhluk terbabit akan melalui halaman rumahnya
itu.
“Ada satu ketika, makcik pernah mendengar
bunyi kenderaan parkir di kawasan rumah ini. Namun apabila makcik jenguk di
luar rumah tiada pun kenderaan yang berada di kawasan rumah.
“Sedangkan bunyi kereta datang
dan parkir di hadapan rumah ini bunyinya agak jelas menusuk lubang telinga
makcik. Sehingga hari ini bunyi seperti itu tidak kedengaran lagi”, ujar
makcik Jah lagi.
Katanya, makhluk berjubah putih
itu akan melalui kawasan laluan bersebelahan rumahnya kemudian ghaib di hujung
rumahnya itu untuk menunjukkan makhluk itu ada di kawasan itu. Namun katanya
jika didapati makhluk ghaib itu ada di rumah berkenaan beliau akan terasa
sesuatu yang agak berlainan tentang hakikat itu untuk menunjukkan makhluk
terbabit berada di kawasan yang dimaksudkan, di mana bulu roma dan tubuhnya
akan berasa meremang beberapa kali.
Sambungnya, pernah juga berlaku
makhluk halus yang lain pula akan menjelma dalam rupa haiwan seperti gajah.
Ketika itu beliau sedang mencuci pinggan mangkuk di mana jelmaan haiwan besar
seperti itu akan muncul waktu petang. Waktu itu jam menunjukkan pukul 5.00
petang. Ketika mendengar bunyi pelik seperti itu, dia sempat berpaling ke
belakang untuk melihat apakah bunyi yang dimaksudkan, rupa-rupanya jelmaan
gajah berwarna hijau berada dalam rumahnya dan makhluk itu dapat melihatnya
ketika itu.
Ketika ditanya jenis makhluk
halus yang sering menjelma di kawasan rumahnya, makcik Jah berasa segan untuk
memberikan jawapannya kerana tidak mengetahui makhluk berkenaan dalam kategori
mana. Katanya, kalau dikatakan pada masa dulu kawasan berkenaan pernah menjadi
tempat buangan makhluk halus yang dijadikan seperti “balai” misalnya, makhluk
terbabit tidak pernah menyakatnya. Ini kerana, jika makhluk seperti itu mengusik
dan menyakat ahli keluarga di dalam rumahnya, pastinya semua ahli keluarga di
dalam rumahnya akan dapat mendengar bunyi tersebut bersama-sama.
Tetapi kejadian dan pengalaman
yang dialaminya kini, hanya dia seorang sahaja yang mengalami dan mendengarnya tetapi
ahli keluarga lain di rumah yang sama tidak pernah mendengarnya. Katanya,
beliau mendengar bunyi seperti ada benda terbang lalu bertenggek di atas
bumbung rumahnya. Dia seorang sahaja yang mendengar bunyi itu dan sehingga hari
ini bunyi rumahnya dipijak makhluk halus terbabit tiada lagi.
Katanya, kejadian benda terbang
dan kemudiannya bertenggek di atas rumahnya itu berlaku pada 2 Disember, 2012
jam 9.00 malam. Kebetulan, ketika itu suaminya tiada di rumah dan hanya dia
dengan cucunya sahaja tinggal di rumah ketika itu. Ketika kejadian, bunyi objek
terbang lalu hinggap di atas bumbung rumahnya itu beliau berada di atas sejadah
untuk menunaikan solat selepas selesai mencuci pinggan mangkuk di dapur
rumahnya.
Telinganya dapat menangkap bunyi
itu dengan agak jelas sebanyak menyebabkan dia terkejut sakan kerana tidak
pernah mendengar bunyi sedemikian sebelum ini. Selepas bunyi benda menghempap
itu, terdengar pula bunyi seperti makhluk gergasi sedang berjalan dan dengan
tiba-tiba bunyi pula seperti objek yang agak kasar dan dan keras sedang
menghempap rumahnya sebanyak dua kali, sekali imbas dapat dirasakan suatu objek
besar telah menghempap rumahnya dengan kasar ketika itu bagaikan akan
menyebabkan rumahnya runtuh dan ranap.
“Disebabkan makcik terlalu terkejut
dengan bunyi kasar itu, tidak semena-mena terkeluar dari mulut makcik. Makcik
kata, ya Allah tiada apalah dengan rumah aku ini.
“Ketika bunyi kasar menghempap
rumah makcik ini, makcik dapati pintu dapur bahagian dalam rumah dalam keadaan
terbuka. Dalam keadaan masih rasa takut, makcik gagahi juga untuk pergi menutup
pintu dapur itu. Selepas itu, bunyi itu tiada lagi”, ujarnya.
Tambah makcik Jah, dia pada masa
itu menjadi serba salah dan membebel mengenangkan suaminya masih tidak
pulang-pulang lagi kerana beliau begitu terkejut dan takut dengan bunyi yang
agak kasar itu. Selang beberapa ketika kemudian, dilihat suaminya pulang lalu
hal berkenaan diceritakannya kepada suaminya itu dari awal hingga akhir.
Menurutnya, bunyi sedemikian kasar seperti itu hanya sekali dalam hidupnya dan
sehingga hari ini tiada lagi bunyi yang sama menghantui cuping telinganya.
Justeru katanya, jika tidak
berlakunya gangguan seumpama yang pernah dialaminya itu beliau akan berasa
hidup tenang tanpa berasa apa-apa. Tetapi jika berlakunya gangguan seperti itu,
jiwanya mula tidak keruan malah berasa takut yang amat sangat. Namun jelasnya,
dia bukannya berasa takut kepada makhluk halus itu kerana dia sudah biasa
dengan keadaan itu, sebaliknya bimbang jika ada manusia yang ingin melakukan
perbuatan yang tidak baik seperti ingin mencuri dan sebagainya. Jadi jelasnya,
beliau terkejut pada malam berkenaan kerana bimbangkan perbuatan manusia
terhadap rumah, diri dan cucunya itu bukannya makhluk halus itu. Ini kerana,
kawasan berkenaan pernah berlaku kejadian manusia cuba menceroboh beberapa buah rumah
penduduk di kawasan itu untuk tujuan mencuri dan menggeledah harta orang.
Haji Said Haji Abdullah atau Pak Aid.
Haji Said ketika diwawancara Wartawan RELATIF.
Muhd. Faiz Muhammad Isa Saw atau Faiz.
Muhd. Faiz menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF.
Lijah binti Jusoh atau Makcik Jah.
Makcik Jah berkongsi pengalamannya.
Bunyi kereta milik makhluk halus itu parkir di laman rumah ini.
Makhluk berjubah hijau menyusur melalui lorong bersebelahan rumah mangsa.
Kadang-kadang makhluk halus itu menyusur dari semak dan belukar ini.
Balai makhluk halus dibuang di sebatang pokok besar di sini. Pokok ini kemudiannya ditebang oleh Haji Said menyebabkan makhluk halus itu mengamuk.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM