RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Khamis, 20 Jun 2013

Misteri Laluan Ghaib


MISTERI LALUAN GHAIB

WAKAF BAHARU, KELANTAN SUDAH menjadi kelaziman, kebanyakan cerita yang dialami mangsa sama ada sering diusik, terserempak dengan makhluk halus atau terlihat jelmaan makhluk yang menakutkan sering berlaku di kawasan tanah perkuburan. Bukanlah untuk memberikan gambaran tanah perkuburan itu sebuah kawasan bermisteri, tempat menjadi kegemaran makhluk halus bersantai, namun kebanyakan kejadian yang dialami oleh mangsa terjadi di kawasan tanah perkuburan.

Kejadian yang melibatkan jirat Cina yang terletak di Kampung Chenderung Batu dekat sini juga berlaku di tanah perkuburan, tetapi kejadian yang berlaku di laluan yang terletak bersebelahan dengan jirat Cina di mana kawasan berkenaan masih dipenuhi hutan buluh dan semak-samun yang agak tebal.

Nasib yang menimpa seorang warga emas yang dipanggil "pakcik" ketika menunggang basikal tua miliknya yang melalui kawasan itu ketika pulang dari warung kopi yang terletak bersebelahan dengan tempat kejadian memberikan gambaran, makhluk halus sebenarnya suka pada waktu malam kerana waktu malam adalah pertukaran masa untuk spesis mereka bekerja. Malah Nabi S.A.W  sendiri melarang sesiapa saja bergerak atau bergiat aktif pada waktu malam tanpa tujuan penting, kecuali ingin menuntut ilmu dan mengharapkan sesuatu yang berfaedah kepada agama dan diri sendiri adalah digalakkan. Tetapi bagi tujuan yang tidak berfaedah, adalah lebih baik dibatalkan jika ada niat untuk berbuat demikian pada waktu malam atau tangguhkannya pada sebelah siang saja.

Salah seorang yang ditemui Wartawan RELATIF, Mohd. Saiful Mohd. Nor, 21, dari Kampung Kebakat, Wakaf Baharu, Kelantan berkata, warga emas terbabit pulang dari warung kopi yang terletak di kampung bersebelahan malah terpaksa melalui laluan jirat Cina itu, Kejadian itu sebenarnya berlaku jam 1.00 pagi beberapa tahun yang lalu di mana warga emas ketika itu berusia 50 tahun sedang menunggang basikalnya seorang diri.

"Saya dapat tahu cerita ini dari orang-orang kampung juga. Mungkin telah diceritakan oleh pakcik itu kepada mereka.

"Saya pun agak hairan, bagaimana laluan itu boleh hilang sedangkan ketika kejadian, bulan purnama penuh. Setakat berita yang saya dengar, laluan itu kosong di hadapan pakcik itu", ujar Saiful ketika menceritakan pengalaman mangsa di hari kejadian itu.

Sambung Saiful, warga emas itu menunggang basikalnya agak laju juga untuk cepat sampai di rumahnya kerana hari sudah larut malam. Apabila tiba di laluan jirat Cina itu, warga emas berkenaan dapat melihat dengan jelas laluan yang bakal ditempuhnya itu hilang, padahal ketika kejadian bulan purnama penuh. Bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini jika terperosok ke arah laluan yang hilang, warga emas itu secara tiba-tiba memperlahankan kayuhan basikalnya dengan membreknya secara mengejut.

"Saya dapat tahu, kira-kira lima minit pakcik itu terpaksa menunggu agar laluan yang ghaib itu berkeadaan seperti sediakala", ujar Saiful lagi.

Kata Saiful menambah, kejadian sedemikian pernah berlaku sebelum ini dan orang-orang kampung turut heboh di warung-warung kopi. Namun, cerita tentang kejadian sedemikian hanya hilang setakat itu sahaja. Jadi, apabila dialami oleh warga emas berkenaan baharulah penduduk-penduduk kampung agak gelisah dan hairan tentang kejadian yang dialaminya.

Apatah lagi, mangsa turut menceritakan kejadian yang dialaminya kepada penduduk-penduduk kampung membuktikan kawasan hutan buluh yang terletak berhampiran dengan jirat Cina itu adalah seperti "mengusik". Walaupun dianggap mengusik dengan kejadian "laluan ghaib", namun orang-orang kampung tidak pernah menceritakan tentang kejadian orang hilang, kemalangan, terjatuh atau disorok ke tempat lain atau sesuatu yang buruk telah berlaku.

Saiful menambah, jirat Cina yang terletak di laluan Kampung Chederung Batu itu telah dijadikan tapak perkuburan sejak dari tahun 1960-an lagi. Sebelum ini, beliau tidak pernah mendengar kejadian misteri seperti itu. Apa yang diketahuinya, kawasan terbabit pada masa dulu adalah kawasan yang agak seram disebabkan laluan berkenaan terletak di kawasan hutan buluh, semak-samun dan kini jirat itu didapati terbiar dan tidak digunakan lagi.

Laluan pintas itu kini sering digunakan oleh kebanyakan penduduk-penduduk kampung lain untuk ke destinasi yang dituju kerana dikatakan jalan yang paling singkat dan tidak begitu sibuk berbanding laluan lain. Malah Saiful sendiri turut menggunakan laluan berkenaan setiap hari kerana membeli barangan keperluan dengan masa yang agak pendek kerana jaraknya agak pendek. 

Mohd. Saiful Mohd. Nor.

Saiful ketika menceritakan pengalaman warga emas itu di tempat kejadian.

Inilah laluan ghaib yang dimaksudkan.


Hutan buluh terletak di kawasan jirat Cina. Kejadian usikan sering berlaku di kawasan ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 10 Jun 2013

Misteri Lembaga Terowong Karak


MISTERI LEMBAGA TEROWONG KARAK

KUALA LUMPUR:  Terowong Karak yang bersempadan antara Bentong (Pahang) dengan Kuala Lumpur adalah sebuah terowong yang dianggap bermisteri. Beberapa kejadian aneh dan tidak masuk akal sering dialami dan terjadi ke atas oleh beberapa pemandu yang melalui tempat tersebut. Kejadian seumpama ini pernah dialami oleh rakan Penulis pada tahun 2007 dulu ketika pulang dari Kuala Lumpur, juga melalui kawasan yang sama.

Kejadian terbaharu pula terjadi ke atas pemandu kedua Penulis bernama Zamri ketika menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 12 Mei, 2013 yang lalu ketika melalui terowong berkenaan. Tujuan Penulis dan beliau ke sana adalah untuk menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-78, Universiti Teknologi Mara (UiTM) anak ketiga Penulis di Shah Alam. Ketika kami melalui terowong itu, Wartawan RELATIF sempat merakam video dan kelihatan dalam video berkenaan seperti lembaga seorang remaja sedang bertenggek di sebelah kanan terowong berkenaan, di mana ketika itu jam menunjukkan 7.21 malam.

Penulis tidak mengetahui adakah mangsa iaitu Zamri tersampuk ketika melalui terowong itu kerana setibanya kami di tempat penginapan, beliau tidak menunjukkan tanda-tanda yang mencurigakan yang beliau telah terkena gangguan di tempat itu.

Pada 13 Mei, 2013, Penulis menghadiri majlis berkenaan bersama isteri dan anak ketiga lalu meminta beliau dan adik ipar menjemput Penulis di laman universiti berkenaan setelah selesai majlis terbabit jam 5.00 petang. Hampir dua jam menunggu, beliau tidak kunjung tiba dan apabila Penulis menghubunginya, beliau didapati berada di daerah lain dan disebabkan lalu lintas jalan agak sesak, beliau tidak mungkin tiba dalam masa yang pantas. Kerana geram dengan tindakannya, Penulis melepaskan kata-kata, pastinya mereka akan tersesat jalan untuk pulang. Malahan memang benar, mereka telah tersesat dan mereka dapat menemui jalan pulang ke tempat penginapan yang terletak di Kampung Pandan, Klang kira-kira jam 10.30 malam.

Pada malam tersebut, mungkin agak malu dengan janjinya terhadap Penulis dan isteri, Zamri merajuk untuk tidak tidur di dalam rumah kononnya agak sempit, sebaliknya beliau ingin tidur di luar rumah iaitu di dalam keretanya seorang diri. Penulis memberitahunya, kalau berani tidurlah, sekejap lagi tentunya dia dicekik "hantu". Memang benar, selepas Penulis selesai berkata-kata, beliau dengan tiba-tiba dicekik hantu ketika tidur di dalam kenderaannya. Melihatkan keadaan itu, Penulis meminta anak keempat, Anis Sabirin supaya mengejutkannya dan memintanya tidur di dalam rumah supaya lebih selamat. Setelah anak keempat Penulis mengejutkannya dengan mengetuk cermin pintu keretanya, baharulah lehernya yang dicekik makhluk halus yang dikatakan "hantu" itu dilepaskan. Katanya, beliau berasa sesak nafas seperti hendak mati.

Sememangnya kawasan sekitar penginapan kami di Kampung Pandan, Klang adalah kawasan agak keras kerana pada masa dulu, tempat terbabit pernah dijadikan tempat timbunan mayat. Bukan sahaja makhluk halus sering mundar-mandir di malam hari sehingga larut malam, kadang-kadang di siang hari juga jelmaan lembaga terbabit dapat dilihat dengan jelas sering berkeliaran di kawasan itu. Apatah lagi, sebatang pokok nangka yang dilihat condong tiba-tiba menjadi tegak apabila makhluk halus terbabit bertenggek di atas dahan dan batang pokok tersebut. Malah sememangnya, pokok nangka terbabit adalah penempatan makhluk ghaib itu sejak dulu.

Pada 15 Mei, 2013, konvoi kami berangkat pulang. Selang sehari beliau tiba di kampungnya di Pasir Mas, Kelantan, Penulis mendapat khabar beliau mengalami gangguan histeria yang agak pelik sehingga seminggu lamanya. Berikutan kejadian yang tidak diduga itu, beliau dibawa oleh adik ipar menemui Pengamal Rawatan Tradisional di kampung berhampiran untuk tujuan memulihkan semangat dan gangguan terhadap dirinya.

Menurut dakwaan perawat tradisional itu berkata, mangsa tersampuk lembaga di terowong karak itu. Ini adalah kerana, ketika menyusur dalam terowong karak itu pintu kenderaan di bahagian pemandu tidak ditutup kerana didakwanya agak panas sedangkan pintu-pintu lain semuanya ditutup agak sempurna.

Walau bagaimanapun, Penulis percaya Zamri bukan sahaja tersampuk lembaga seperti seorang remaja di terowong karak itu, namun beliau juga turut menjadi mangsa ketika dicekik makhluk halus yang dikatakan hantu ketika beliau tidur di dalam kenderaannya di Kampung Pandan, Klang, Selangor.

Setelah menerima rawatan yang agak sempurna dari Pengamal Rawatan Tradisional itu, keadaannya beransur pulih dan mungkin beliau masih teringat dengan kedua-dua peristiwa itu yang merupakan sebagai pengajaran kepadanya supaya lain kali sentiasa berwaspada ketika menyusur perjalanan pada waktu malam.

Zamri: Mangsa tersampuk lembaga di terowong karak.

Di sinilah dipercayai Zamri tersampuk lembaga yang sedang bertenggek dalam terowong karak itu.

Mangsa tiba-tiba dicekik hantu ketika tidur dalam kenderaannya yang diparkir di luar rumah.


Dipercayai makhluk halus yang menghuni dalam pokok nangka inilah yang menyebabkan mangsa dicekik.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 1 Jun 2013

Malang Ular Sawa


MALANG! ULAR SAWA

KLANG, SELANGOR KERJA menangkap ular bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi membabitkan ular yang besar seperti ular sawa. Jika tersilap langkah, reptilia tersebut tidak akan memberi peluang kepada lawannya dan natijahnya orang yang cuba berani berhadapan dan melawan pastinya ditelan hidup-hidup.

Aktiviti menangkap ular perlukan semangat kental dan berani menghadapi risiko. Kalau berhadapan dengan ular seumpama ini, si penangkap ular itu perlu bertindak pantas dan bertindak bijak terhadap lawannya. Si penangkap ular tidak akan tahu kekuatan lawannya, kerana selain badan ular itu yang licin dan sukar dipegang, ular sawa lazimnya mempunyai kekuatan dan tenaga yang tinggi apatah lagi selain mulutnya yang boleh menganga dengan lebih lebar, bahagian ekornya juga mempunyai daya dan kekuatan yang bukan calang-calang.

Apabila mangsa dapat dibelit, lazimnya ular tersebut tidak akan melepaskannya sebegitu mudah kerana itulah makanannya pada hari itu dan natijahnya akan ditelan terus kerana ketika ini tulang-tulang mangsa pastinya akan dipatahkan oleh rahang yang terdapat dalam badan atau perut ular tersebut menyebabkan mangsa hilang kekuatan untuk melawan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh seorang remaja penangkap ular, Muhammad Shaffiq bin Jamaluddin, 16, dari Kampung Pandan, Klang, Selangor ketika ditemui Wartawan RELATIF di hari kejadian beliau menangkap reptilia seberat 15 kilogram dan sepanjang 4 meter pada 12 Mei, 2013 yang lalu adalah sesuatu yang amat dikagumi.

Ketika menceritakan pengalamannya itu, pada hari kejadian ibunya baharu pulang dari kerja, secara tiba-tiba ibunya bertempik agak lantang kerana terkejut. Ibunya sering menggunakan laluan ke rumahnya itu kerana itulah sahaja laluan yang ada untuk keluar dan masuk. Katanya, ketika itu ular sawa terbabit sedang berlingkar di tepi semak seolah-olah sudah bersedia untuk membaham mangsa yang lalai. Apabila terdengar jeritan ibunya itu, beliau bergegas ke tempat kejadian dengan membawa bersama sebatang cangkuk besi untuk tujuan menangkap ular tersebut. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.00 malam.

Mungkin dengan pengalamannya yang sering menangkap reptilia hidup apatah kedudukan rumahnya itu berhampiran dengan Sungai Klang yang dikelilingi semak-samun dan hutan belukar yang redup dan sentiasa lembab tentunya menjadikan kawasan berkenaan sebagai habitat semula jadi reptilia terbabit.

"Ular ini adalah ular jantan. Sudah tiga kali muncul di persekitaran rumah kami. Sebelumnya, ular ini telah membaham ayan dan kucing kesayangan saya", ujar Shaffiq pada malam kejadian sambil menunjukkan ke arah ular sawa yang telah ditangkap dan ditambat dengan tali ke sebatang pokok cermai berhampiran dengan rumahnya.

Menurut Shaffiq, di antara reptilia lain yang pernah ditemui seperti ular kapak, ular tedung, ular daun selain biawak yang agak besar sering muncul di kawasan persekitaran rumahnya kerana menghendap ayam yang dipelihara oleh bapanya.

"Ular sawa jantan ini sering menyusur dari arah longkang tempat laluan itu. Kawasan itu memang sesuai sebagai habitat semula jadinya kerana berkeadaan lembab dan basah", ujar Shaffiq sambil menunjukkan ke arah longkang yang bersambung dengan Sungai Klang.

Katanya, beliau pernah menyaksikan seekor ular kapak bersaiz besar pernah menyusur masuk ke rumahnya. Tetapi ular tersebut datang bertujuan untuk merenggut pasangan tikus yang sering menyanyi dalam rumahnya. Tetapi bagi ular sawa sebesar itu pula memang membahayakan manusia jika tersilap langkah. Malah penduduk-penduduk di kampung terbabit pernah bertembung dengan ular sawa seperti itu beberapa kali, beliau percaya mungkin ular sawa yang sama.

Apabila ditanya, adakah ular sawa tersebut menyusur dari semak-samun yang terletak di tebing Sungai Klang. Katanya, setahunya ular tersebut tidak gemarkan dengan keadaan sungai apatah lagi Sungai Klang yang berbau busuk. Ular sawa biasanya tidak suka diganggu malah tinggal menyendiri dari lain-lain koloni.

Walau bagaimanapun, disebabkan kasihan melihat keadaan ular sawa yang ditambat seperti lembu di mana sebelumnya telah dibungkus di dalam kampit beras beberapa jam sebelum itu. Melihatkan keadaan itu, Wartawan RELATIF meminta supaya ular itu dilepaskan kerana mungkin pasangan atau anak-anaknya sedang tercari-cari.

Apatah lagi menurut Shaffiq bahawa, ular itu tidak laku jika dijual dan lazimnya hanya dibayar oleh pembeli sekadar RM40 sahaja. Manakala pihak Zoo sekadar ingin memperolehinya secara percuma. Justeru, memikirkan ada benarnya pendapat Wartawan RELATIF, akhirnya beliau membebaskan ikatan ular yang telah luka itu dan ular sawa itu menyusur pergi dengan laju dan tidak mungkin akan ke situ lagi kerana bimbang masuk perangkap buat kali kedua.

Muhammad Shaffiq Jamaluddin.

Arah semak-samun inilah ular sawa itu berlingkar.

Ular yang dapat ditangkap, dimasukkan dalam kampit beras.


Ular sawa dipertontonkan kepada Wartawan RELATIF untuk dirakam gambar.

Habitat asal ular sawa.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH