RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Rabu, 1 Mei 2013

Kejadian Nahas Luar Biasa


KEJADIAN NAHAS LUAR BIASA

KOTA BHARU, KELANTAN:  LAZIMNYA apabila berlaku kejadian nahas jalan raya (kemalangan) yang melibatkan nahas ngeri, mangsanya pasti menemui ajalnya. Walau bagaimanapun, atas ketentuan Allah S.W.T yang jiwa manusia sentiasa berada di dalam perhatian-Nya, ada mangsa nahas dapat meneruskan kehidupan yang sempurna tanpa mengalami kecacatan anggota. Mungkinkah kelebihan yang diberikan Allah kepada mangsa di atas jiwa dan rohaninya yang suci, adalah juga di dalam pengetahuan Allah Yang Maha Kaya.

Membicarakan tentang nahas berkenaan, suatu kejadian nahas ngeri melibatkan pertembungan dua buah motosikal melibatkan anak keempat Penulis yang merupakan anggota Unit Ghostbusters (Abjad Kelantan), Anis Sabirin bin Azmi dengan seorang mangsa lain yang merupakan seorang pelajar salah sebuah sekolah tahfiz. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.00 pagi pada 30.4.2013 itu adalah kejadian nahas pelik dan luar biasa dialami oleh anak keempat Penulis itu.

Menurut Anis, sebelum kejadian nahas tersebut pada malam 30.4.2013 itu beliau telah mengalami suatu mimpi yang agak pelik. Dalam mimpi berkenaan, beliau seolah-olah terjatuh dari sebuah bangunan yang agak tinggi di mana kedua-dua kakinya didapati patah.

Pada pagi 30.4.2013, seperti biasa jam 8.00 pagi beliau ke tempat kerjanya. Ketika waktu rehat selama 15 minit, lazimnya beliau akan pulang ke rumah untuk berehat sementara. Tetapi pada hari berkenaan, beliau berasa tidak sedap hati untuk pulang ke rumah yang jaraknya kira-kira 150 meter dari tempat kerja, beliau sebenarnya tidak berhasrat untuk pulang ke rumah ketika itu disebabkan hal berkenaan. Namun, pegawainya memaklumkan kepada beliau bahawa masa rehat sudah sampai dan wajarlah beliau pulang ke rumah ketika itu.

Akhirnya beliau pulang ke rumah juga setelah dimaklumkan oleh pegawainya yang beliau sering memanggilnya sebagai "bos". Ketika beliau memasuki laluan Jalan Tengku Mohd. Ma'asum berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Zainab Satu, Kota Bharu beliau terpandang sebuah motosikal Honda 70 Cup dari arah belakang sebuah lori muatan di mana penunggangnya tidak memakai topi keledar. Beliau tidak mempedulikan gelagat penunggang motosikal itu kerana niatnya untuk sampai ke rumah. Tetapi secara tiba-tiba, penunggang motosikal yang sedang menunggang dari belakang lori muatan itu membuat pusingan ke kanan untuk memasuki sebatang lorong sekolah berkenaan secara tidak wajar dan mengejut. Disebabkan jaraknya sudah terlalu dekat, beliau menekan brek motosikal dengan kuat dan cuba mengelak ke sebelah kiri iaitu ke tepi jalan berhampiran sekolah tersebut supaya tidak berlakunya sesuatu kejadian yang tidak diingini. Namun, tindakannya tidak berjaya kerana kelajuan motosikal penunggang motosikal Honda itu terlalu laju dan agak keras telah merempuh motosikal yang ditunggang oleh Anis.

Akibat rempuhan kasar dan agak kuat itu, Anis terpelanting dan tercampak di tepi jalan dalam keadaan meniarap, namun sempat beliau berguling beberapa kali ke tepi jalan walaupun motosikalnya itu didapati telah menghempap ke atas pahanya. Beliau kemudiannya bangun seketika untuk menyelamatkan diri ke tepi jalan tersebut yang kemudiannya terjatuh kerana agak pening akibat dirempuh oleh penunggang motosikal itu secara agak keras. Dalam keadaan rebah itu, beliau terus merangkak perlahan-lahan untuk mengelakkan dirinya dari dipijak lori muatan lain dari arah belakangnya. Dalam keadaan menanggung kesakitan disebabkan kulit, anggota badan  dan darah menitis di tempat kejadian. Setelah mengheret tubuh badannya beliau menyandarkan dirinya di pagar sekolah berkenaan lantas menghubungi mamanya melalui telefon bimbitnya untuk memaklumkan tentang kejadian nahas itu.

Setelah beliau dapat memaklumkan kejadian itu kepada mamanya beberapa patah perkataan melalui telefon bimbitnya itu, beliau kemudiannya tidak bermaya dan matanya terpejam secara tiba-tiba. Mamanya yang tiba di tempat kejadian dengan membawa sebotol air mineral yang telah dibacakan Selawat Nabi S.A.W (7 kali) dan Surah Qul (7 kali) lalu dihembuskan ke dalam botol air mineral itu sempat melihat Anis dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila dari hujung kakinya sehingga ke bahagian dada didapati putih dan kaku seperti mayat.

Ketika ditanya, Anis memberitahu, beliau berasa nyawanya (berwarna putih) telah ditarik dari hujung kaki sehingga ke bahagian dada di mana dadanya ketika itu terasa sakit dan berasa sangat panas (dadanya bagaikan hendak pecah) dan ketika itu juga beliau dapat melihat "alam barzakh", sebahagian nyawanya itu dirasakan hendak melepasi ubun-ubun kepalanya. Ketika itulah "rohaninya" bertanya "adakah ini ajal aku?" Kemudiannya beliau dapat mendengar satu suara berkata "tidak". Ketika itulah juga mamanya tiba lalu merenjiskan air ke muka dan ke bahagian dadanya. Mamanya memintanya "mengucap", "ingatkan Allah" dan "ingat dan pandang ustaz (tok guru)". Ketika itulah beliau dapat berkata "ak" dan beliau merasakan nyawanya telah masuk dan bercantum kembali dalam tubuh. Selepas itu, seluruh anggotanya dapat bergerak sedangkan sebelumnya beliau tidak sedarkan diri dan semua anggotanya telah kaku.

Selepas itu, mamanya menghubungi talian "kecemasan" dan Penulis menerima panggilan dari mamanya beberapa ketika sebelum itu. Semasa di pejabat pada hari kejadian, Penulis bersin sebanyak lima (5) kali sedangkan hal berkenaan tidak pernah berlaku sebelum ini. Menerima berita berkenaan, Penulis bergegas ke tempat kejadian dan sempat melihat Anis telah diangkat ke dalam kenderaan ambulan Kementerian Dalam Negeri lalu dibawa ke Bahagian Kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Ketika Penulis tiba di Bahagian Kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab II, pihak doktor telah membalut luka akibat bergeser dengan tar dari atas katil berkenaan yang kemudiannya dibawa ke bahagian X-Ray. Sebelum Anis ditolak masuk ke Bilik X-Ray pada hari yang sama, Penulis bertanya beliau adakah beliau telah pandang Ustaz (Tok Guru) di mana kalau beliau telah pandang, Penulis akan melakukan kaedah berkenaan bersama-sama, sambil memegang tangannya Penulis memberitahunya "tiada apa-apa". Beliau menyatakan beliau masih ingatkan Ustaz (Tok Guru) ketika itu. Setelah itu, beliau dibawa masuk ke Bilik X-Ray di hospital berkenaan. Katanya, di antara bahagian tubuh yang telah di X-Ray seperti kepala, dada, pinggang dan kaki.

Kira-kira setengah jam kemudiannya beliau dibawa keluar dari Bilik X-Ray ke tempat awal beliau ditempatkan di hospital tersebut. Hasil pemeriksaan terhadap filem X-Ray itu, doktor mengesahkan beliau tidak mengalami sebarang kompilasi atau masalah dalaman tetapi pihak doktor meminta beliau untuk bermalam di hospital itu untuk pemeriksaan lanjut. Namun, beliau menolaknya dengan meminta beliau dibenarkan pulang. Seketika kemudian, beliau bangkit dari katil hospital itu lalu melangkah turun dan berjalan keluar hospital.

Kejadian itu dilihat oleh sebahagian kakitangan hospital termasuk doktor terbabit. Bapa pelajar yang merempuh Anis turut berada berdekatan katil beliau merasa terpegun dan beliau sempat berkata, anak Penulis seorang yang keras semangat dan seolah-olah penyakitnya dicabut dengan mudah ketika itu. Penulis menerangkan serba sedikit kepada bapa pelajar yang merempuh Anis ketika itu bahawa, jika jiwa bersih dan rohani suci dan jika rohani sentiasa mengingati Allah dan sentiasa bersama Ustaz (Tok Guru), Allah pasti memberikan pertolongan. Jika tiada hal seumpama ini, paling jelas rugilah umat-umat Islam.

Nasihat Penulis:
1. Jika anda mengalami kemalangan seumpamanya dan jika tubuh boleh bergerak walaupun tubuh masih lemah dan tidak bermaya, cuba gagahkan dan kuatkan semangat diri untuk tidak tertidur. Sebab lazimnya, jika tertidur, ketika itulah "nyawa" keluar dari "jasad".

2. Hal yang melemahkan tubuh badan, jiwa dan rohani adalah disebabkan "saka". Untuk memperolehi rohani yang kuat dan bersih, buanglah saka itu.

Anis Sabirin bin Azmi.


 Di tempat inilah kejadian nahas itu berlaku.

Inilah pagar sekolah, tempat Anis Sabirin menyandarkan tubuhnya.

Foto di hospital tidak dapat dirakam kerana Penulis tidak membawa kamera bersama.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan