AMARAN! SUNGAI KLANG
KLANG, SELANGOR: ISU pencemaran alam sekitar khususnya yang melibatkan kawasan tadahan air dan sungai masih tidak berjaya diuruskan oleh kebanyakan negeri. Walaupun kita mempunyai undang-undang dan peraturan khusus yang mengawal masalah pencemaran termasuk pencemaran sungai seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, namun isu pencemaran berkenaan masih juga dilakukan.
Sungai yang merupakan kawasan tadahan air yang paling berharga sepatutnya sentiasa diberikan perhatian paling khusus. Apabila dikatakan sungai, ia bermaksud air suatu juzuk yang paling penting untuk tubuh. Tubuh akan dapat bernyawa dan dapat hidup dalam tempoh yang agak lama jika tidak memperolehi makanan. Tetapi, tubuh akan mati jika tidak memperolehi air atau dengan kata lain tidak "meminum air". Disebabkan sumber alam ini iaitu "sungai" dan "air" itu paling penting dalam konteks kesihatan dan alam ini, maka sewajarnya sumber ini sentiasa mendapat kawalan.
Walaupun teknologi terkini mampu merawat air yang tercemar, namun sampai bila kita akan hidup berstatus "merawat air?" Disebabkan sumber alam ini Allah S.W.T anugerahkan kepada manusia untuk digunakan sebagai juzuk minuman, mandi (mencuci tubuh badan dari kotoran dan bau), membasuh pakaian dan sebagainya, dengan demikian menjadi tugas manusia untuk menjaganya supaya tidak terus tercemar atau dicemarkan.
Membicarakan tentang masalah pencemaran sungai, kalau dulu pernah timbul berita tentang pencemaran Sungai Melaka yang akhirnya susut dalam jumlah yang agak luar biasa dan Sungai Juru di Pulau Pinang. Tetapi Sungai Klang yang terletak dalam daerah Selangor yang dianggap sungai yang terbesar di Malaysia juga tidak dapat lari dari masalah pencemaran. Pernah suatu ketika, bahan-bahan pepejal, sisa dari rumah dan sampah yang dibuang ke sungai ini terpaksa dibersihkan kerana didapati tersumbat.
Hari ini, walaupun didapati keadaan Sungai Klang boleh dilihat yang mengalun itu adalah sungai, namun keadaan pencemarannya masih tidak dapat dikawal. Sungai Klang yang dianggap sungai terkotor di Malaysia disebabkan sikap, tabiat dan gatalnya tangan-tangan manusia yang sengaja mencampakkan sampah, sisa dan bahan buangan (najis) dari rumah ke tebing akhirnya dihanyutkan sungai berkenaan ke laut apabila berlakunya air surut. Tetapi apabila berlakunya air pasang, sampah yang dibuang itu kembali ke sungai berkenaan yang akhirnya sisa buangan berkenaan hancur berkecai di tengah-tengah alunan ombak.
Menurut Wikipedia, Sungai Klang mengalir melalui Kuala Lumpur dan
Selangor ke Selat Melaka. Panjang sungai ini kira-kira 120 kilometer dan
menyalirkan lembangan kira-kira 1,288 kilometer persegi. Sungai Klang
mempunyai 11 cawang sungai utama yang bersambung dengan Sungai Gombak.
Disebabkan kepadatan lebih 4 juta penduduk menyebabkan sungai ini
tercemar dan pembangunan pesat telah menyempitkan sebahagian sungai.
Tinjauan Wartawan RELATIF dari hulu hingga ke hilir Sungai Klang pada 13 Mei, 2013 baru-baru ini dapat disimpulkan bahawa, tahap pencemaran Sungai Klang masih wujud. Bukan sahaja ikan dan buaya yang pada mulanya pening kerana terpaksa berenang dan hidup dalam habitat air yang hapak dan berbau busuk, tetapi baru-baru ini ditemui bangkai manusia terapung di tebing sungai berkenaan. Rugilah sumber alam yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T ke atas manusia
apabila air berkenaan tidak lagi dapat digunakan kerana aliran pasang
surutnya yang silih berganti itu tercemar dan berbau busuk.
Sepatutnya masyarakat kita khususnya yang tinggal di pinggir dan tebing sungai sentiasa prihatin dengan masalah pencemaran sungai itu bukan sahaja mengurangkan jumlah dan kualiti air bersih tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan. Pihak kerajaan negeri sepatutnya memainkan peranan paling utama diikuti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Tiada guna kita mewujudkan undang-undang dan peraturan untuk mengawal selia pencemaran, tetapi kita sendiri yang tidak mematuhinya.
Kita sepatutnya malu kepada negara-negara lain seperti India dan sebagainya yang dapat mengawal pencemaran air dan sungai kerana juzuk inilah yang paling berharga berbanding juzuk-juzuk lain. Ingatlah, Allah S.W.T tidak akan menurunkan walau setitis hujan kalau tidak kerana makhluk-makhluk-Nya yang lain seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga. Jika tiada air bukan sahaja tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga akan mati, manusia juga pastinya tidak akan hidup. Justeru, hargailah air dan sungai, jangan mencemari sungai.
Wartawan RELATIF ketika membuat tinjauan dari atas bot di Sungai Klang.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Sungai Klang dari arah tebing.
Sampah-sarap di atas tebing Sungai Klang.
Keadaan bekas lumpur melekat di pokok kayu di tebing sungai menunjukkan Sungai Klang masih tercemar.
Kelihatan bahan buangan baru.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan