RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Khamis, 30 Mei 2013

Taman Tema I-City


TAMAN TEMA I-CITY

SHAH ALAM, SELANGOR: SESUATU yang amat menarik, mungkin Selangor adalah bandar pertama yang memperkenalkan Taman Tema I-City menggunakan pokok-pokok tiruan yang dipasang lampu berwarna-warni secara besar-besaran, walaupun di tempat lain hal seumpama ini juga turut disediakan, namun tidak sehebat sebagaimana di Taman Tema I-City itu.

Tinjauan Wartawan RELATIF di Taman Tema I-City ini baru-baru ini mendapati, kebanyakan pengunjung yang datang ke taman tema ini bukan sahaja terdiri daripada warga tempatan, namun dari bahasa dan dialek yang dipertuturkan, taman tema ini sebenarnya turut dikunjungi oleh penduduk dari berbilang bangsa dari seluruh Malaysia. Salah satu sebab mereka berkunjung ke Taman Tema I-City ini adalah kerana pemandangannya amat menarik selain dapat melihat suasana yang tidak pernah dapat dilihat di tempat sendiri.

Menurut Wikipedia, Taman Tema I-City dulunya dikenali sebagai "Bandar Sumur" iaitu sebuah perbandaran baharu terletak dalam kawasan Lembah Klang, Selangor. Pekan baharu ini terletak di Seksyen 7, Shah Alam berdekatan dengan Sungai Rasau di antara Bandar Baru Klang, Klang dan Shah Alam.

Pekan baharu ini dulunya tempat bagi Pusat Pameran "Pengembaraan Angkasa Lepas Bandar Sumur" yang berlangsung pada tahun 1995. Kini, pekan ini dipenuhi pokok-pokok tiruan yang dipasang lampu berwarna-warni.

Sesuatu yang menjadikan pengunjung begitu teruja untuk ke taman tema ini selain kawasan persekitarannya yang cantik dan mempesonakan, pengunjung yang datang tidak dikenakan sebarang bayaran kecuali dikenakan parkir kenderaan sebanyak RM10 sebuah. Hal ini dapat ditafsirkan, penganjur tidak ingin melihat pengunjung parkir kenderaan sesuka hati yang tentunya mencacatkan pandangan dan penyebab kepada kesesakan laluan.

Kalau pada waktu malam, Taman Tema I-City ini dipasang dan dihias dengan pokok tiruan yang dipasang lampu berwarna-warni yang menambahkan lagi panorama malamnya, tetapi pada siang harinya kawasan ini adalah lokasi pejabat awam dan swasta. Di antara kemudahan untuk keselesaan pengunjung selain parkir kenderaan, terdapat juga kemudahan kerusi rehat dan gerai makanan. 

Justeru, peluang seumpama ini tidak seharusnya ditunggu-tunggu dan pengunjung yang berkesempatan ke Kuala Lumpur dan khususnya ke Selangor silalah menjejakkan kaki ke Taman Tema I-City ini. Walaupun keadaan laluannya masih belum sempurna dan masih dibaik-pulih untuk keselesaan pemandu kenderaan, namun Taman Tema I-City setia menanti kehadiran pengunjung pada setiap malam.
  



Betapa cantiknya pokok tiruan yang dipasang lampu warna-warni terhias pada waktu malam.

Kemudahan roller coaster ini juga turut disediakan.


Kemudahan kerusi rehat. Kelihatan Wartawan RELATIF (kiri) bersama keluarga bersantai di sebuah kerusi rehat di Taman Tema I-City.

Replika harimau. Ada kanak-kanak menangis melihat wajah replika harimau ini.



Pemandangan jauh kawasan replika dinosaur.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 20 Mei 2013

Amaran! Sungai Klang


AMARAN! SUNGAI KLANG

KLANG, SELANGOR ISU pencemaran alam sekitar khususnya yang melibatkan kawasan tadahan air dan sungai masih tidak berjaya diuruskan oleh kebanyakan negeri. Walaupun kita mempunyai undang-undang dan peraturan khusus yang mengawal masalah pencemaran termasuk pencemaran sungai seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, namun isu pencemaran berkenaan masih juga dilakukan.

Sungai yang merupakan kawasan tadahan air yang paling berharga sepatutnya sentiasa diberikan perhatian paling khusus. Apabila dikatakan sungai, ia bermaksud air suatu juzuk yang paling penting untuk tubuh. Tubuh akan dapat bernyawa dan dapat hidup dalam tempoh yang agak lama jika tidak memperolehi makanan. Tetapi, tubuh akan mati jika tidak memperolehi air atau dengan kata lain tidak "meminum air". Disebabkan sumber alam ini iaitu "sungai" dan "air" itu paling penting dalam konteks kesihatan dan alam ini, maka sewajarnya sumber ini sentiasa mendapat kawalan.

Walaupun teknologi terkini mampu merawat air yang tercemar, namun sampai bila kita akan hidup berstatus "merawat air?" Disebabkan sumber alam ini Allah S.W.T  anugerahkan kepada manusia untuk digunakan sebagai juzuk minuman, mandi (mencuci tubuh badan dari kotoran dan bau), membasuh pakaian dan sebagainya, dengan demikian menjadi tugas manusia untuk menjaganya supaya tidak terus tercemar atau dicemarkan.

Membicarakan tentang masalah pencemaran sungai, kalau dulu pernah timbul berita tentang pencemaran Sungai Melaka yang akhirnya susut dalam jumlah yang agak luar biasa dan Sungai Juru di Pulau Pinang. Tetapi Sungai Klang yang terletak dalam daerah Selangor yang dianggap sungai yang terbesar di Malaysia juga tidak dapat lari dari masalah pencemaran. Pernah suatu ketika, bahan-bahan pepejal, sisa dari rumah dan sampah yang dibuang ke sungai ini terpaksa dibersihkan kerana didapati tersumbat.

Hari ini, walaupun didapati keadaan Sungai Klang boleh dilihat yang mengalun itu adalah sungai, namun keadaan pencemarannya masih tidak dapat dikawal. Sungai Klang yang dianggap sungai terkotor di Malaysia disebabkan sikap, tabiat dan gatalnya tangan-tangan manusia yang sengaja mencampakkan sampah, sisa dan bahan buangan (najis) dari rumah ke tebing akhirnya dihanyutkan sungai berkenaan ke laut apabila berlakunya air surut. Tetapi apabila berlakunya air pasang, sampah yang dibuang itu kembali ke sungai berkenaan yang akhirnya sisa buangan berkenaan hancur berkecai di tengah-tengah alunan ombak.

Menurut Wikipedia, Sungai Klang mengalir melalui Kuala Lumpur dan Selangor ke Selat Melaka. Panjang sungai ini kira-kira 120 kilometer dan menyalirkan lembangan kira-kira 1,288 kilometer persegi. Sungai Klang mempunyai 11 cawang sungai utama yang bersambung dengan Sungai Gombak. Disebabkan kepadatan lebih 4 juta penduduk menyebabkan sungai ini tercemar dan pembangunan pesat telah menyempitkan sebahagian sungai.

Tinjauan Wartawan RELATIF dari hulu hingga ke hilir Sungai Klang pada 13 Mei, 2013 baru-baru ini dapat disimpulkan bahawa, tahap pencemaran Sungai Klang masih wujud. Bukan sahaja ikan dan buaya yang pada mulanya pening kerana terpaksa berenang dan hidup dalam habitat air yang hapak dan berbau busuk, tetapi baru-baru ini ditemui bangkai manusia terapung di tebing sungai berkenaan. Rugilah sumber alam yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T ke atas manusia apabila air berkenaan tidak lagi dapat digunakan kerana aliran pasang surutnya yang silih berganti itu tercemar dan berbau busuk.

Sepatutnya masyarakat kita khususnya yang tinggal di pinggir dan tebing sungai sentiasa prihatin dengan masalah pencemaran sungai itu bukan sahaja mengurangkan jumlah dan kualiti air bersih tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan. Pihak kerajaan negeri sepatutnya memainkan peranan paling utama diikuti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Tiada guna kita mewujudkan undang-undang dan peraturan untuk mengawal selia pencemaran, tetapi kita sendiri yang tidak mematuhinya.

Kita sepatutnya malu kepada negara-negara lain seperti India dan sebagainya yang dapat mengawal pencemaran air dan sungai kerana juzuk inilah yang paling berharga berbanding juzuk-juzuk lain. Ingatlah, Allah S.W.T  tidak akan menurunkan walau setitis hujan kalau tidak kerana makhluk-makhluk-Nya yang lain seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga. Jika tiada air bukan sahaja tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga akan mati, manusia juga pastinya tidak akan hidup. Justeru, hargailah air dan sungai, jangan mencemari sungai.

Wartawan RELATIF ketika membuat tinjauan dari atas bot di Sungai Klang.


Sungai Klang dari arah tebing.



Sampah-sarap di atas tebing Sungai Klang.


Keadaan bekas lumpur melekat di pokok kayu di tebing sungai menunjukkan Sungai Klang masih tercemar.

Kelihatan bahan buangan baru.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 1 Mei 2013

Kejadian Nahas Luar Biasa


KEJADIAN NAHAS LUAR BIASA

KOTA BHARU, KELANTAN:  LAZIMNYA apabila berlaku kejadian nahas jalan raya (kemalangan) yang melibatkan nahas ngeri, mangsanya pasti menemui ajalnya. Walau bagaimanapun, atas ketentuan Allah S.W.T yang jiwa manusia sentiasa berada di dalam perhatian-Nya, ada mangsa nahas dapat meneruskan kehidupan yang sempurna tanpa mengalami kecacatan anggota. Mungkinkah kelebihan yang diberikan Allah kepada mangsa di atas jiwa dan rohaninya yang suci, adalah juga di dalam pengetahuan Allah Yang Maha Kaya.

Membicarakan tentang nahas berkenaan, suatu kejadian nahas ngeri melibatkan pertembungan dua buah motosikal melibatkan anak keempat Penulis yang merupakan anggota Unit Ghostbusters (Abjad Kelantan), Anis Sabirin bin Azmi dengan seorang mangsa lain yang merupakan seorang pelajar salah sebuah sekolah tahfiz. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.00 pagi pada 30.4.2013 itu adalah kejadian nahas pelik dan luar biasa dialami oleh anak keempat Penulis itu.

Menurut Anis, sebelum kejadian nahas tersebut pada malam 30.4.2013 itu beliau telah mengalami suatu mimpi yang agak pelik. Dalam mimpi berkenaan, beliau seolah-olah terjatuh dari sebuah bangunan yang agak tinggi di mana kedua-dua kakinya didapati patah.

Pada pagi 30.4.2013, seperti biasa jam 8.00 pagi beliau ke tempat kerjanya. Ketika waktu rehat selama 15 minit, lazimnya beliau akan pulang ke rumah untuk berehat sementara. Tetapi pada hari berkenaan, beliau berasa tidak sedap hati untuk pulang ke rumah yang jaraknya kira-kira 150 meter dari tempat kerja, beliau sebenarnya tidak berhasrat untuk pulang ke rumah ketika itu disebabkan hal berkenaan. Namun, pegawainya memaklumkan kepada beliau bahawa masa rehat sudah sampai dan wajarlah beliau pulang ke rumah ketika itu.

Akhirnya beliau pulang ke rumah juga setelah dimaklumkan oleh pegawainya yang beliau sering memanggilnya sebagai "bos". Ketika beliau memasuki laluan Jalan Tengku Mohd. Ma'asum berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Zainab Satu, Kota Bharu beliau terpandang sebuah motosikal Honda 70 Cup dari arah belakang sebuah lori muatan di mana penunggangnya tidak memakai topi keledar. Beliau tidak mempedulikan gelagat penunggang motosikal itu kerana niatnya untuk sampai ke rumah. Tetapi secara tiba-tiba, penunggang motosikal yang sedang menunggang dari belakang lori muatan itu membuat pusingan ke kanan untuk memasuki sebatang lorong sekolah berkenaan secara tidak wajar dan mengejut. Disebabkan jaraknya sudah terlalu dekat, beliau menekan brek motosikal dengan kuat dan cuba mengelak ke sebelah kiri iaitu ke tepi jalan berhampiran sekolah tersebut supaya tidak berlakunya sesuatu kejadian yang tidak diingini. Namun, tindakannya tidak berjaya kerana kelajuan motosikal penunggang motosikal Honda itu terlalu laju dan agak keras telah merempuh motosikal yang ditunggang oleh Anis.

Akibat rempuhan kasar dan agak kuat itu, Anis terpelanting dan tercampak di tepi jalan dalam keadaan meniarap, namun sempat beliau berguling beberapa kali ke tepi jalan walaupun motosikalnya itu didapati telah menghempap ke atas pahanya. Beliau kemudiannya bangun seketika untuk menyelamatkan diri ke tepi jalan tersebut yang kemudiannya terjatuh kerana agak pening akibat dirempuh oleh penunggang motosikal itu secara agak keras. Dalam keadaan rebah itu, beliau terus merangkak perlahan-lahan untuk mengelakkan dirinya dari dipijak lori muatan lain dari arah belakangnya. Dalam keadaan menanggung kesakitan disebabkan kulit, anggota badan  dan darah menitis di tempat kejadian. Setelah mengheret tubuh badannya beliau menyandarkan dirinya di pagar sekolah berkenaan lantas menghubungi mamanya melalui telefon bimbitnya untuk memaklumkan tentang kejadian nahas itu.

Setelah beliau dapat memaklumkan kejadian itu kepada mamanya beberapa patah perkataan melalui telefon bimbitnya itu, beliau kemudiannya tidak bermaya dan matanya terpejam secara tiba-tiba. Mamanya yang tiba di tempat kejadian dengan membawa sebotol air mineral yang telah dibacakan Selawat Nabi S.A.W (7 kali) dan Surah Qul (7 kali) lalu dihembuskan ke dalam botol air mineral itu sempat melihat Anis dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila dari hujung kakinya sehingga ke bahagian dada didapati putih dan kaku seperti mayat.

Ketika ditanya, Anis memberitahu, beliau berasa nyawanya (berwarna putih) telah ditarik dari hujung kaki sehingga ke bahagian dada di mana dadanya ketika itu terasa sakit dan berasa sangat panas (dadanya bagaikan hendak pecah) dan ketika itu juga beliau dapat melihat "alam barzakh", sebahagian nyawanya itu dirasakan hendak melepasi ubun-ubun kepalanya. Ketika itulah "rohaninya" bertanya "adakah ini ajal aku?" Kemudiannya beliau dapat mendengar satu suara berkata "tidak". Ketika itulah juga mamanya tiba lalu merenjiskan air ke muka dan ke bahagian dadanya. Mamanya memintanya "mengucap", "ingatkan Allah" dan "ingat dan pandang ustaz (tok guru)". Ketika itulah beliau dapat berkata "ak" dan beliau merasakan nyawanya telah masuk dan bercantum kembali dalam tubuh. Selepas itu, seluruh anggotanya dapat bergerak sedangkan sebelumnya beliau tidak sedarkan diri dan semua anggotanya telah kaku.

Selepas itu, mamanya menghubungi talian "kecemasan" dan Penulis menerima panggilan dari mamanya beberapa ketika sebelum itu. Semasa di pejabat pada hari kejadian, Penulis bersin sebanyak lima (5) kali sedangkan hal berkenaan tidak pernah berlaku sebelum ini. Menerima berita berkenaan, Penulis bergegas ke tempat kejadian dan sempat melihat Anis telah diangkat ke dalam kenderaan ambulan Kementerian Dalam Negeri lalu dibawa ke Bahagian Kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Ketika Penulis tiba di Bahagian Kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab II, pihak doktor telah membalut luka akibat bergeser dengan tar dari atas katil berkenaan yang kemudiannya dibawa ke bahagian X-Ray. Sebelum Anis ditolak masuk ke Bilik X-Ray pada hari yang sama, Penulis bertanya beliau adakah beliau telah pandang Ustaz (Tok Guru) di mana kalau beliau telah pandang, Penulis akan melakukan kaedah berkenaan bersama-sama, sambil memegang tangannya Penulis memberitahunya "tiada apa-apa". Beliau menyatakan beliau masih ingatkan Ustaz (Tok Guru) ketika itu. Setelah itu, beliau dibawa masuk ke Bilik X-Ray di hospital berkenaan. Katanya, di antara bahagian tubuh yang telah di X-Ray seperti kepala, dada, pinggang dan kaki.

Kira-kira setengah jam kemudiannya beliau dibawa keluar dari Bilik X-Ray ke tempat awal beliau ditempatkan di hospital tersebut. Hasil pemeriksaan terhadap filem X-Ray itu, doktor mengesahkan beliau tidak mengalami sebarang kompilasi atau masalah dalaman tetapi pihak doktor meminta beliau untuk bermalam di hospital itu untuk pemeriksaan lanjut. Namun, beliau menolaknya dengan meminta beliau dibenarkan pulang. Seketika kemudian, beliau bangkit dari katil hospital itu lalu melangkah turun dan berjalan keluar hospital.

Kejadian itu dilihat oleh sebahagian kakitangan hospital termasuk doktor terbabit. Bapa pelajar yang merempuh Anis turut berada berdekatan katil beliau merasa terpegun dan beliau sempat berkata, anak Penulis seorang yang keras semangat dan seolah-olah penyakitnya dicabut dengan mudah ketika itu. Penulis menerangkan serba sedikit kepada bapa pelajar yang merempuh Anis ketika itu bahawa, jika jiwa bersih dan rohani suci dan jika rohani sentiasa mengingati Allah dan sentiasa bersama Ustaz (Tok Guru), Allah pasti memberikan pertolongan. Jika tiada hal seumpama ini, paling jelas rugilah umat-umat Islam.

Nasihat Penulis:
1. Jika anda mengalami kemalangan seumpamanya dan jika tubuh boleh bergerak walaupun tubuh masih lemah dan tidak bermaya, cuba gagahkan dan kuatkan semangat diri untuk tidak tertidur. Sebab lazimnya, jika tertidur, ketika itulah "nyawa" keluar dari "jasad".

2. Hal yang melemahkan tubuh badan, jiwa dan rohani adalah disebabkan "saka". Untuk memperolehi rohani yang kuat dan bersih, buanglah saka itu.

Anis Sabirin bin Azmi.


 Di tempat inilah kejadian nahas itu berlaku.

Inilah pagar sekolah, tempat Anis Sabirin menyandarkan tubuhnya.

Foto di hospital tidak dapat dirakam kerana Penulis tidak membawa kamera bersama.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH