RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-2.blogspot.com

Isnin, 25 Februari 2013

Kolam Air Panas Tok Bok (Machang)


KOLAM AIR PANAS TOK BOK
(TOK BOK HOT SPRING)

MACHANG, KELANTAN:  KOLAM AIR PANAS TOK BOK yang terletak di Kampung Rengas, Labok, Machang, Kelantan ketika ditemui oleh pemilik asal tanah berkenaan yang merupakan seorang Penggawa Daerah Labok, Haji Mohd. Taib Haji Ibrahim adalah sekadar pancutan air panas yang wujud di tengah-tengah sawah padi dalam kawasan belukar dan semak-samun di kampung terbabit. Kolam air panas yang dimaksudkan pada waktu itu masih tidak mempunyai sebarang nama khusus, sehinggalah beliau mula memajukan tapak berkenaan pada awal tahun 1950-an sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1962.

Pada ketika itu, pemilik tanah yang dimaksudkan mengambil inisiatif dengan membina sebuah rumah kayu yang tinggi, manakala di bawahnya beliau memelihara lima ekor kuda yang disewakan kepada pengunjung kolam tersebut untuk bersiar-siar di sekitar kampung dengan bayaran RM0-20.

Kemudiannya, beliau membina rumah tumpangan, surau, tandas dan gerai makanan untuk kemudahan pengunjung dari luar daerah. Setiap pengunjung yang masuk ke kolam itu dikenakan bayaran RM0-50 seorang.

Seorang warga emas, Kamal bin Ismail, 59, atau lebih dikenali sebagai Pak Din Pak Tengah yang merupakan seorang penduduk jati Kampung Rengas, Tok Bok dekat sini berkata, ketika air panas berkenaan ditemui oleh arwah penggawa itu, air panas itu terpancut dari bumi sehinggakan apabila dilihat olehnya, arwah terpaksa membina perigi (telaga) untuk tujuan menakung air panas itu dari terus mengalir keluar.

"Ketika kedatangan Jepun pada tahun 1941, pihak Jepun turut membantu arwah dengan membina dan menyiapkan kolam air panas itu.

"Pada ketika itu, keadaan fizikal tanah di kawasan kolam ini agak lembut dan berlumpur, jadi amat sukar untuk dilalui. Lantas, arwah mencari daya usaha dengan membina jalan sejauh kira-kira 20 hingga 30 meter terus ke kolam ini", katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF di kolam berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, dalam tahun 1970, Jabatan Pelancongan telah mengambil alih kolam terbabit dengan membayar harga tanah kawasan kolam itu (milik penggawa) dan membayar harga tanah milik orang tua Pak Din Pak Tengah untuk mewujudkan pembangunan kawasan kolam air panas itu. Projek berkenaan siap sepenuhnya, namun lama-kelamaan kolam berkenaan tidak terjaga disebabkan tiada petugas di kolam itu menyebabkannya terbiar.

Sambungnya, disebabkan kolam tersebut didapati terbiar dan pengunjung tidak lagi berminat untuk ke kolam air panas yang dimaksudkan, dalam tahun 1980, tapak kolam air panas itu kemudiannya diambil alih pula oleh Majlis Daerah Machang (MDM). Pihak majlis tempatan itu telah mewujudkan beberapa kemudahan seperti wakaf rehat, surau dan sebagainya. Namun, kemudahan yang dikhususkan yang menelan belanja beribu ringgit itu akhirnya tidak ke mana apabila kesemuanya terus mereput dan runtuh malah terbiar begitu sahaja setelah kolam berkenaan tidak lagi dikunjungi kerana tiada petugas khusus yang mengawal selia kolam berkenaan.

Katanya, disebabkan terlalu sedih melihat Kolam Air Panas Tok "hidup segan mati tak mahu" dan agak terbiar dipenuhi semak-samun dan hutan belukar berikutan tiada pihak yang memberikan perhatian dan mengawal selia persekitarannya, beliau kemudiannya mengambil alih tugas itu setelah bersara penuh sebagai penjawat awam dengan hasrat supaya kolam air panas itu mendapat nafas baru agar kelihatannya cantik dan menarik mata yang memandangnya.

Jelasnya, pada awalnya, beliau berhasrat untuk menubuhkan Pertubuhan Belia Kampung, namun disebabkan pertubuhan berkenaan perlu berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan, beliau membatalkan hasrat itu lalu mewujudkan NGO Alam Sekitar pula.

Setelah berbincang dengan golongan belia dari empat buah kampung seramai 40 orang, mulai awal Januari 2013 mereka mula mengadakan operasi membersihkan kawasan dan persekitaran kolam berkenaan. Melihatkan keadaan kawasan kolam berkenaan yang dianggap "menarik untuk dicernakan", Majlis Daerah Machang (MDM) mula mengambil alih kawasan kolam tersebut secara peringkat demi peringkat.

"Disebabkan runtunan hati ingin melihat Kolam Air Panas Tok Bok bernafas sepenuhnya, Pak Din memohon sumbangan derma dari pihak pengunjung secara ikhlas sebanyak RM10, ada yang menyumbangkan RM50 dan RM2. Wang hasil sumbangan ini, Pak Din kumpul untuk membeli peralatan yang dikehendaki seperti menyediakan segala kemudahan prasarana walaupun ala kadar atas kapasiti belanja yang agak terhad", ujarnya.

Selepas itu katanya, beliau menambak beberapa kawasan kolam itu agar kelihatan menarik dipandang dan dalam usaha untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung dengan menanam beberapa batang pokok bunga di samping membuat hiasan yang sepatutnya. Katanya, sekiranya ada pihak yang bermurah hati untuk memberikan peruntukan yang secukupnya, beliau berhasrat untuk mewujudkan "taman kanak-kanak" menggantikan bilik persalinan.

Apabila ditanya tentang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang pernah melakukan kajian bagi melengkapkan praktikal mereka pada tahun 2004, graduan itu mendakwa terdapat kesan gunung berapi wujud di kawasan terbabit. Ini kerana menurut graduan itu lagi, salah satu sebab air tersebut dalam keadaan panas berikutan wujudnya lava dari gunung terbabit.

Dalam hal ini, beliau tidak mengetahui tentang hal itu tetapi tidak menafikannya kerana kepanasan air kolam itu berpunca dari kandungan "belerang" atau sulfur yang mana kepanasan telaga asal sehingga mencecah 42 darjah Celcius dan kepanasan air kolam pula sehingga 41 darjah Celcius. Malah katanya, air berkenaan apabila dicium akan berbau belerang dan belerang berkenaan berkhasiat untuk merawat pelbagai jenis penyakit kulit selain penyakit strok.

"Setahu Pak Din, pernah pihak Inggeris cuba membuat kajian tentang punca air kolam itu menjadi panas, masih gagal ditemui. Pihak berkenaan juga pernah mendaki Bukit Rengas yang bersetentang dengan kolam ini pun masih tidak menemui sebarang bukti yang menjadikan air kolam berkenaan menjadi panas dan setakat itu sahajalah keputusannya, Pak Din tidak lagi mengambil tahu tentangnya", ujarnya sambil menunjukkan jari ke arah Bukit Rengas.

Ditanya, tidakkah ada inisiatif untuk mewujudkan landskap menarik di kawasan Kolam Air Panas Tok Bok sebagaimana di La Hot Spring yang terletak di daerah Besut, Terengganu. Beliau sememangnya berhasrat ke arah itu dan salah satunya ingin mewujudkan "kolam dalam taman" seandainya sumber peruntukan untuk tujuan berkenaan mencukupi, namun disebabkan sumber kewangan yang agak terhad menyebabkan cita-cita berkenaan terpaksa ditangguhkan buat sementara.

Katanya, keadaan Kolam Air Panas Tok Bok kini boleh dikatakan mula bernafas di bawah seliaan Pak Din Pak Tengah dan dengan bantuan serta titik peluh 40 belia dari empat buah kampung sekitarnya dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti wakaf rehat, bilik persalinan, papan gelongsor untuk kanak-kanak, gerai makanan, tandas dan kawasan beriadah.

Walaupun kelihatannya masih banyak yang perlu diperbaiki dan diberikan perhatian disebabkan kos yang agak terhad, namun Kolam Air Panas Tok Bok kini mula dikunjungi orang ramai sejak sebulan yang lalu. Cuma beliau masih berharap sumbangan ikhlas sama ada dari individu, pihak pertubuhan, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi kerajaan. Apatah lagi, kawasan Kolam Air Panas Tok Bok itu sememangnya menjanjikan taman rekreasi yang menarik untuk dikunjungi berikutan turut dikelilingi Bukit Sabut dan Bukit Rengas yang memancarkan panorama hutannya yang menghijau di samping ditemani hembusan bayu yang menyegarkan yang tentunya dapat menghilangkan tekanan apabila pengunjungnya berada di tempat berkenaan.

Untuk sebarang pertanyaan dan bagi pembaca yang ingin menghulurkan sumbangan derma dalam usaha untuk membangunkan prasarana Kolam Air Panas Tok Bok (Tok Bok Hot Spring), sila berhubung terus dengan Kamal bin Ismail atau Pak Din Pak Tengah di talian:  019-9959163.

Kamal bin Ismail atau Pak Din Pak Tengah.

Papan tanda arah masuk ke Kolam Air Panas Tok Bok.

Papan tanda Sejarah Kolam Air Panas Tok Bok.



Inilah wajah Kolam Air Panas Tok Bok yang baru diseliakan oleh Pak Din.


Telaga asal. Kepanasannya mencecah 42 darjah Celcius berbanding di kolam 41 darjah Celcius.


Wakaf Rehat.

Papan gelongsor untuk kanak-kanak.

Tandas dan bilik persalinan.

Kemudahan parkir kenderaan turut disediakan dalam kawasan kolam berlatar belakangkan Bukit Rengas.

Kolam lama (Foto dirakam tahun 2007).

Pintu masuk ke Kolam Air Panas Tok Bok (Foto dirakam tahun 2007).

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan