MISTERI TELUK BELAKANG KURA
PASIR MAS, KELANTAN: TELUK BELAKANG KURA yang terletak kira-kira 30 meter ke pedalaman Kampung Tendong dekat sini amat popular sebagai sebuah tempat agak keras dan mengusik pada tahun 1960 dulu. Kawasan ini yang dilingkungi kampung, semak-samun dan hutan tebal dan bentuknya agak melengkung seperti sebuah pulau memang sebuah kawasan yang amat menarik apatah lagi ia dikelilingi sebatang parit yang melingkari pulau kecil itu. Manakala di sebelah atas tebing pulau itu pula terdapatnya sebuah pokok besar kelihatannya seperti balak. Pokok inilah yang sering dipuja oleh segelintir penduduk kampung pada waktu itu dengan mengadakan jamuan nasi kunyit. Malah ada yang menyatakan, pokok besar itu pernah menjadi tempat membuang saka yang dikeluarkan dari tubuh seseorang lalu dihumbankan di perdu pokok tersebut.
Salah seorang penduduk yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Abdullah bin Harun, 70, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah tidak menafikan penduduk kampung berkenaan pada masa dulu masih mengamalkan ajaran khurafat dengan mempercayai jin itu sebagai penunggu.
"Perbuatan khurafat yang dilakukan oleh penduduk kampung pada masa itu menyebabkan pada hari-hari tertentu jelmaan jin sering muncul di kawasan tempat mereka mereka memuja itu. Akibatnya menimbulkan masalah khususnya kepada penduduk dari kampung lain yang bertandang ke kampung ini apabila mangsa yang melalui kawasan terbabit dapat melihat dengan jelas lembaga yang dikatakan menghuni di kawasan itu, namun tidak pernah dialami oleh penduduk dari kampung ini. Natijahnya, mereka menjadi takut kerana jelmaan berkenaan dapat disaksikan dengan mata dan kepala mangsa sendiri", jelasnya ketika diminta menceritakan tentang kawasan terbabit.
Katanya, lembaga yang sering muncul dan menjelma di kawasan yang dimaksudkan adalah lembaga wanita apabila dengan jelas mangsanya dapat melihat rambutnya yang mengurai panjang dan gerak gerinya, tetapi wajahnya agak gelap sekadar kelihatan berbalam seperti tubuh manusia. Lembaga yang dimaksudkan itu tidak sering menjelma kerana kadang-kadang ia ghaib dan jelmaannya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja.
Katanya lagi, jelmaan wanita berambut panjang itu bukan sahaja berlaku di waktu malam hari ketika mangsa melalui kawasan terbabit, namun kadang-kadang jelmaannya berlaku di siang hari berdasarkan kepada mangsa yang didapati lemah semangat. Lazimnya kejadian itu berlaku ketika hujan turun dengan renyai-renyai dan jelmaan itu akan dapat dilihat dengan jelas oleh mangsanya.
Tambah Pak Lah, beliau tidak dapat memberikan jumlah yang sebenar mangsa yang telah diusik ketika melalui kawasan terbabit, namun dari apa yang dimaklumkan oleh penduduk kampung dan mangsa sendiri yang pernah mengalaminya, jumlah mangsa yang pernah disakat di kawasan itu agak ramai juga. Beberapa mangsa yang memaklumkannya, jelmaan wanita terbabit sering dapat dilihat di atas pokok besar itu untuk menunjukkan makhluk ghaib telah menghuni di kawasan itu.
"Jelmaan wanita berambut panjang itu hanya muncul di kawasan pokok besar dan berdekatan dengan teluk belakang kura itu sahaja dan tidak pernah mengganggu sehingga mengikut mangsa pulang ke rumah. Lembaga terbabit tidak menimbulkan masalah di luar kawasannya.
"Selain mangsanya orang-orang dewasa, kanak-kanak yang terlihat jelmaan wanita berambut panjang di kawasan itu akan bertempiaran lari sambil bertempik kerana agak terkejut dengan kejadian itu", ujar Pak Lah.
Cetusnya, sesuatu objek misalnya jika dipuja pastinya syaitan akan masuk campur sehingga menyebabkan objek yang tidak bernyawa akan hidup, hal itulah yang berlaku ke atas pokok besar di kawasan Teluk Belakang Kura itu yang sering menjelmakan rupa wanita tua berwajah gelap itu. Dari apa yang pernah didengarinya, tidak pernah berlaku mangsa dari kalangan dewasa yang pernah disakat di kawasan itu akan bertempiaran lari kerana mereka sedia maklum dengan kawasan berkenaan.
Lazimnya, apabila sesuatu kawasan itu agak keras dan sebelum munculnya lembaga di kawasan yang keras itu, pastinya mangsa akan dapat mendengar bunyi salakan anjing sayup-sayup kedengaran seperti dari kawasan yang jauh. Tetapi menurut Pak Lah, untuk kes seumpama ini mangsanya tidak pernah mendengar bunyi salakan anjing kecuali dapat melihat jelmaan itu secara terus dan sepontan.
"Lembaga yang menjelma di kawasan itu tidak pernah mengejar mangsa. Ini kerana, jelmaan tersebut untuk memberitahu kepada manusia bahawa kawasan tersebut adalah penempatan makhluk ghaib itu.
"Kejadian berkenaan sering berlaku pada tahun 1960 dulu, tetapi kini tiada lagi. Ini kerana, tempat yang berbentuk seperti pulau itu telah diruntuhkan oleh penduduk kampung. Apatah lagi, disebabkan generasi baru tidak lagi mempercayai adanya hantu menyebabkan makhluk ghaib itu seperti disisihkan lalu berlalu pergi, akhirnya kawasan itu kini aman dan orang yang lalu lalang tidak lagi berasa bimbang dan takut", katanya.
Apabila ditanya, adakah jelmaan makhluk wanita berambut panjang itu disebabkan makhluk saka yang dibuang di situ, Pak Lah tidak menafikannya. Ini kerana, selain penduduk kampung pada masa dulu sering mengadakan pemujaan, makhluk saka turut dibuang di sebatang pokok besar di kawasan Teluk Belakang Kura itu menyebabkan berlakunya jelmaan sebagaimana yang pernah dialami oleh mangsa yang sering menggunakan laluan di kawasan terbabit.
Abdullah bin Harun atau Pak Lah.
Pak Lah (kiri) ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah warung makanan.
Inilah Teluk Belakang Kura itu, dulunya agak melengkung seperti sebuah pulau.
Sebatang parit melingkari pulau kecil itu.
Jelmaan wanita berambut panjang muncul di sini kerana terdapatnya sebatang pokok besar di sini.
Inilah sebatang jalan digunakan oleh penduduk dari kampung lain. Jelmaan itu turut menampakkan dirinya di kawasan laluan ini.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan